Menara Berkembar PETRONAS (Tulisan Jawi: منارا بركمبر ڤيترونس) di Kuala Lumpur, Malaysia ialah sepasang menara berkembar yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia sebelum diatasi oleh Burj Khalifa dan Taipei 101. Sungguhpun begitu, kedua-dua menara ini masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan juga merupakan bangunan tertinggi pada abad ke-20. Kini, Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan ke-11 tertinggi di dunia. Menara Berkembar Petronas memegang gelaran bangunan tertinggi dari tahun 1998 hingga 2004 dari segi ukuran dari aras pintu masuk utama hingga atas struktur, iaitu rujukan ketinggian asli yang digunakan oleh pertubuhan antarabangsa Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar sejak tahun 1969 (tiga kategori ketinggian tambahan diperkenalkan ketika menara ini hampir disiapkan pada tahun 1996).[8] Menara berkembar ini merupakan mercu tanda dan ikon Kuala Lumpur, bersama-sama Menara Kuala Lumpur yang terletak berdekatan. Menara Berkembar Petronas telah majlis pembukaan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Mahathir Mohamad sempena ulang tahun Petronas ke-25 dengan tajuk pesta perak dan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-42 pada 31 Ogos 1999.
Menara Berkembar PETRONAS | |
---|---|
منارا برکمبر ڤيترونس | |
Nama alternatif | Menara PETRONAS, Menara KLCC |
Etimologi | Petronas |
Ketinggian yang direkodkan | |
sejarah bangunan tertinggi di dunia (sejak 1998 hingga 2004) | |
Didahului oleh | Menara Willis |
Diatasi oleh | Taipei 101 |
Maklumat umum | |
Jenis | Menara berkembar, pencakar langit, tarikan pelancong |
Gaya seni bina | Seni bina pascamoden |
Lokasi | Jalan Ampang, Kuala Lumpur |
Alamat | Menara Berkembar Petronas, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, 50088, Kuala Lumpur |
Negara | Malaysia |
Koordinat | 3°9′27.315″N 101°42′42.939″E |
Pecah tanah | 1 Januari 1992 |
Pembinaan bermula | 1 Mac 1993 |
Disiapkan pada | 1 Mac 1996 |
Dirasmikan pada | 31 Ogos 1999 |
Diubah suai pada | 16 September 2011 |
Pembiayaan | AS$1.6 bilion[1][2] |
Pemilik | KLCC Holdings Sdn Bhd |
Maklumat ketinggian | |
Puncak | 451.9 m (1,483 ka) |
Menara antena | 46 m (151 ka) |
Bumbung | 405.9 m (1,332 ka) |
Tingkat teratas | 375 m (1,230 ka) (aras 88)[3] |
Balai cerap | 370 m (1,210 ka) (aras 86) |
Butiran teknikal | |
Bilangan tingkat | 88 (5 di aras bawah tanah)[3] |
Lif/mesin pengangkat | 38 (setiap menara) |
Keluasan permukaan | 395,000 m² |
Reka bentuk dan seni bina | |
Arkitek | César Pelli |
Pemaju | KLCC Property Holdings |
Jurutera penstrukturan | Thornton Tomasetti, Ranhill Bersekutu[3] |
Kontraktor utama | Hazama Corporation, Samsung C&T Corporation, Kukdong Engineering & Construction (en) |
Tapak web | |
https://www.petronastwintowers.com.my/ | |
Rujukan | |
[3][4][5][6][7] | |
sunting · sunting di Wikidata |
Perbandingan dengan menara lain
Menara Berkembar Petronas menjadi bangunan tertinggi di dunia sehingga siapnya Taipei 101 pada tahun 2004, seperti yang diukur hingga ke atas komponen strukturnya (kemuncak, bukan antena).[11] Puncak (spire) dianggap sebagai bahagian penting dalam reka bina bangunan, dan jika diubah boleh banyak mengubah rupa dan reka bina bangunan, manakala antena boleh dipasang atau dicabut tanpa memberi kesan kepada rupa bangunan. Menara Berkembar Petronas masih merupakan bangunan berkembar tertinggi di dunia.[12]
Menara-menara Willis (dahulunya Spears) dan World Trade Center terbina dengan 110 tingkat yang boleh diduduki, iaitu lebih 22 tingkat berbanding Petronas Twin Towers yang ada 88 tingkat. Bumbung-bumbung dan tingkat tertinggi menara Willis dan World Trade Center agak melebihi ketinggian bumbung dan tingkat tertinggi Menara Berkembar Petronas. Antena tertinggi di Willis Tower adalah 75 meter (246 ka) lebih tinggi berbanding puncak-puncak Menara Berkembar Petronas. Walaupun demikian, mengikut peraturan dan garis panduan CTBUH,[8] antena-antena Menara Willis tidak diambil kira sebagai sebahagian ciri-ciri seni binanya.[13] Sebaliknya, puncak-puncak pada Menara Petronas dikira dalam ukuran ketinggian kerana bukan merupakan tiang antena. Oleh itu, Menara Berkembar Petronas mengatasi ketinggian rasmi Menara Willis dengan beza 10 meter (33 ka), padahal Menara Willis lebih banyak bilangan tingkat dan lebih besar kakian perseginya.
Pembinaan
Menara Petronas yang direka oleh jurubina César Pelli dari Argentina ini, siap dibina pada tahun 1998 setelah menelan masa tujuh tahun sehingga menjadi bangunan tertinggi di dunia sewaktu disiapkan.[14] Menara ini dibina di atas tapak lumba kuda Kuala Lumpur.[15] Kedalaman batuan dasar menjadikan bangunan ini dibina pada tapak yang paling dalam di dunia.[16] Tapak sedalam 120 meter itu memerlukan sejumlah konkrit yang berlebihan untuk dibina dalam masa 12 bulan oleh Bachy Soletanche.[17]
Menara setinggi 88 tingkat ini banyak dibuat daripada konkrit bertetulang dengan muka bangunan buatan keluli dan kaca yang direka untuk menyerupai motif kesenian Islam untuk mencerminkan agama Islam di Malaysia.[18] Satu lagi pengaruh seni Islam dalam bangunan ini ialah keratan rentas kedua-dua menara yang berbentuk Rub el Hizb, ditambah dengan bahagian bundar untuk memenuhi keperluan ruang pejabat.[19] Menara 1 dibina oleh konsortium Jepun yang dipimpin oleh Hazama Corporation manakala Menara 2 dibina oleh dua kontraktor Korea Selatan, iaitu Samsung C&T dan Kukdong Engineering & Construction. Jejantasnya pula disiapkan oleh Kukdong.
Disebabkan kekurangan keluli serta kos pengimportan keluli yang mahal, menara berkembar ini didirikan atas konkrit bertetulang teramat kukuh bereka bentuk radikal yang murah sekali.[20] Konkrit yang amat kukuh dikenali ramai kontraktor Asia dan dua kali lebih berkesan mengurangkan gegaran berbanding keluli; namun, oleh itu bangunan ini dua kali beratnya pada tapak berbanding bangunan keluli yang seumpamanya. Disokong oleh teras konkrit 23-kali-23 meter[21] dan segelang luar tiang super yang beruang legar, menara-menara ini menggunakan sistem struktur canggih yang menampung profilnya yang langsing serta menyediakan ruang pejabat tanpa tiang seluas 560,000 meter persegi (669,754 ela2).[22] Di bawah menara berkembar ini ialah pusat beli-belah Suria KLCC dan Dewan Filharmonik Petronas.
Pada 31 Ogos 1999, Menara Berkembar Petronas telah majlis pembukaan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Mahathir Mohamad sempena ulang tahun Petronas ke-25 dengan tajuk pesta perak dan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-42 pada 31 Ogos 1999.
Penyewa
Menara Satu diduduki sepenuhnya oleh Petronas dan sebilangan anak syarikat dan syarikat sekutunya, manakala ruang pejabat di Menara Dua pula disewakan ke syarikat-syarikat lain[23] Antara syarikat-syarikat yang mendirikan pejabat dalam Menara Dua termasuk Al Jazeera[24], Carigali Hess[25], Bloomberg[26], GE[27], IBM, Khazanah Nasional[28], McKinsey & Company[29], Microsoft[30], Reuters[31]dan Shell[32].
Taman KLCC
Di bawah bangunan ini, terdapat sebuah Taman KLCC seluas 17 ekar (69,000 m2) yang tersedia lorong berjoging dan bersiar-siar, kolam air pancut yang dihiasi pertunjukan cahaya, kolam randuk, dan taman permainan kanak-kanak. Suria KLCC ialah salah sebuah pusat beli-belah terbesar di Malaysia.[33]
Jejantas
Terdapat sebatang jejantas udara yang menyambungkan kedua-dua menara di tingkat 41 dan 42, iaitu jejantas dua tingkat tertinggi di dunia.[34] Jejantas ini tidak dipasang terus pada struktur utama, sebaliknya direka agar berlongsor ke dalam dan ke luar menara agar tidak patah akibat angin kencang atau penggerakan plat seismik. Ia juga bagi mengawal pengumpulan tekanan berlebihan dari berlaku di bahagian tengah jejantas, ini kerana jika jejantas dibina begitu rapat dan terlalu tekap dengan struktur menara, pemindahan tekanan akan berselerak di serata jejantas yang akhirnya mewujudkan fenomena "jejantas tertekan", ini boleh menyebabkan jejantas runtuh dengan mudah.[35] Jambatan ini terletak 170 meter (558 ka) dari aras jalan dan panjangnya 58.4 meter (192 ka), manakala beratnya pula iaitu 750 tonne (750,000 kg).[36]
Jejantas udara Petronas juga sebenarnya diperkukuhkan lagi dengan 2 kaki retort yang setiap satunya berkembar 2, panjang setiap satu kaki iaitu 51 m dari, ia dihubung pasakkan di suatu bola keluli besar bagi mengawal ayunan jejantas. Hujung kaki berbola ini terletak di aras 29 bagi setiap satu menara.
Petikan
Petikan terkenal daripada arkitek Menara Berkembar Petronas:
"Menurut Laozi, realiti objek yang kosong adalah tidak sah dan bukannya pada dinding yang menentukannya. Ia berbicara tentunya dalam realiti spiritual. Ini juga adalah realiti buat Menara Petronas. Kuasa yang kosong ditingkatkan dan membuatkan ia lebih jelas dengan adanya jejantas pejalan kaki dimana ... dengan struktur penyokong yang dibina sebagai pintu ke angkasa ... pintu ke alam maya."[37]
- —César Pelli, arkitek (1995)
Lawatan jejantas
Tingkat 41 dan 42 juga dikenali sebagai podium, kerana para pelawat yang hendak ke tingkat lebih tinggi perlu menukar lif di sini. Jejantas ini terbuka kepada semua pelawat, semua pelawat yang mahu melawat jejantas atas tujuan rekreasi perlu mendapatkan tiket dan pas lawatan. Asalnya tiket yang dikeluarkan adalah percuma, namun atas sebab menjaga kualiti dan piawai sistem penyelenggaraan jejantas dan pelantar pemandangan yang dilihat semakin memerlukan kos yang tinggi, pihak pengurusan Jejantas Menara Berkembar Petronas telah mengambil keputusan untuk mengenakan caj lawatan pada harga yang berpatutan.
Semua tiket yang dijual, rata-rata mengamalkan kaedah penjualan tiket berkonsep 'siapa datang awal, dia akan dapat (first come first serve). Pada bulan Ramadan, pengeluaran tiket hanya dianggarkan terhad sekitar 600 keping sahaja. Manakala bagi bulan-bulan lain, pengeluaran tiket dianggarkan sekitar 1500 hingga 1700 orang sehari. Namun begitu, para pelawat dinasihatkan untuk berada di garisan beratur (queue-point) lebih awal yakni pada pukul 6.00 pagi. Ini kerana kaunter tiket hanya mula beroperasi pada 8.30 pagi pada setiap hari kecuali hari Isnin (ditutup untuk tujuan penyelenggaraan).[38] Waktu pelepasan pertama pula akan bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada jam 7.00 malam. Pelawat bebas memilih waktu lawatan pada hari tersebut bergantung kepada kekosongan tempat. Pada kebiasaannya, tiket yang diperuntukkan akan habis dijual oleh pihak pengurusan Jejantas Petronas pada pukul 9.30 pagi, hanya tiket yang dipulangkan atau tiket jualan terus untuk lawatan hari ketiga dari hari ia beroperasi akan terus dijual sehingga kaunter ditutup pada pukul 5.00 petang.
Para pelawat hanya dibenarkan berada di tingkat 41 kerana tingkat 42 hanya dibuka kepada kakitangan penghuni bangunan. Atas dasar kemampuan capaian muatan lif hanya boleh membawa 20 orang pelawat dalam satu masa ke jejantas. Lif adalah lif berkelajuan tinggi yang bergerak hanya 41 saat ke podium jejantas. Maka pelawat perlu menunggu di balai menunggu yang disediakan oleh pihak pengurusan. Balai menunggu mempunyai kemudahan paparan teater, video DVD pembinaan menara, panel maklumat, pusat penskrinan barangan, lokar simpanan barangan dan beberapa bahan pameran yang lain. Pelawat akan dibawa melawat jejantas selama 15-20 minit dengan kumpulan tag warna tertentu.[39][40]
Harga tiket jualan adalah seperti berikut:
- Pakej 1 (Jejantas udara sahaja) --- RM 3 (warganegara dan kanak-kanak), RM 10 (bukan warganegara dewasa).
- Pakej 2 (Jejantas udara dan pelantar pemandangan) --- RM 20 (warganegara dan kanak-kanak), RM 40 (bukan warganegara dewasa).
Pelantar pemandangan terletak di tingkat 86, Menara 2 Petronas. Perjalanan ke sana mengambil masa 86 saat dari balai berlepas. Pelawat yang memilih pakej 2 selalunya diberi peluang sehingga 45 minit bagi melengkapkan lawatan bagi jejantas udara dan pelantar pemandangan.
Fungsi keselamatan jejantas
Jejantas ini juga berperanan sebagai peranti keselamatan, yang mana sekiranya terjadinya kebakaran atau kecemasan seumpamanya di satu menara, para penghuninya boleh mengosongkannya dengan menaiki jejantas ke menara yang satu lagi.[41] Kadar pengosongan yang tercetus oleh ancaman bom palsu pada 12 September 2001[42] (sehari selepas tragedi keruntuhan menara berkembar World Trade Center di Bandar Raya New York) menunjukkan bahawa jejantas tersebut tidak berguna sekira kedua-dua bangunan perlu dikosongkan serentak, kerana muatan tangga kecemasan adalah tidak cukup untuk menghadapi kejadian sebegini. Oleh itu, adalah dirancangkan agar lif boleh digunakan sekiranya kedua-dua menara perlu dikosongkan, lantas dijayakan oleh raptai kecemasan yang mengikut rancangan tersebut pada tahun 2005.
Jejantas udara Menara Berkembar Petronas ini juga sentiasa dilengkapi alat pemadam api moden yang terkini, terdapat juga sistem pengesanan haba, asap dan suhu dengan penggera keselamatan dan alat percikan air. Terdapat juga panel penyedut wasap di sisi jambatan bagi menyedut asap kebakaran jika kebakaran berlaku didalam kompleks jejantas.
Sistem lif
Syaf utama lif buatan Otis terletak di pusat setiap menara. Semua lif utama merupakan lif dua tingkat yang terdiri daripada dek bawah yang mengangkut penumpang ke tingkat bernombor ganjil dan dek atas untuk ke tingkat bernombor genap. Untuk mencapai tingkat bernombor genap dari tingkat bawah, penumpang perlu menaiki tangga bergerak ke dek atas lif.[43]
Dari tingkat bawah, terdapat tiga kelompok lif. Kelompok enam lif "jarak pendek" mengangkut penumpang ke antara tingkat 2/3 dan tingkat 16/17. Kelompok enam lif "jarak sederhana" pula mengangkut penumpang ke antara tingkat 18/19 dan tingkat 37/38. Terdapat juga lima lif segera yang membawa penumpang terus ke tingkat 41/42. Untuk ke tingkat-tingkat melebihi 41/42, penumpang perlu menaiki lif segera, kemudian bertukar lif ke tingkat-tingkat tinggi itu. Lif-lif penyambung ini melebihi paras tertinggi lif-lif yang mencapai tingkat 2 hingga 38. Corak perkhidmatan lif berulang dengan tingkat-tingkat atas, iaitu satu set ke tingkat antara 43/44 dan 57/58 dan satu lagi set ke tingkat antara 59/60 dan 73/74.[43]
Selain lif-lif utama ini, terdapat juga sebilangan lif "penyambung" yang mengangkut penumpang di antara kelompok tingkat lif utama. Berbeza dengan lif utama tersebut, lif tambahan ini bukan jenis dua tingkat. Dua buah lif disediakan untuk mengangkut penumpang dari tingkat 37/38 ke tingkat 41/42 (tingkat 39 dan 40 tidak boleh dimasuki). Oleh itu, tidak perlulah seseorang di separuh bawah bangunan untuk turun ke tingkat bawah untuk sampai ke separuh atas bangunan.
Lif-lif ini dilengkapi beberapa ciri-ciri keselamatan, seperti kebolehan mengeluarkan orang dari lif yang tersekat di antara tingkat dengan memandu salah sebuah lif bersebelahan secara manual ke sisinya, kemudian membuka panel pada dinding untuk membuka laluan kepada penumpang dalam lif yang tersekat agar melintas ke gerabak lif yang lain.[44] Ketika mengosongkan bangunan, hanya lif segera boleh digunakan, kerana hanya dilengkapi pintu keluar di tingkat G/1 dan tingkat 41/42; oleh itu sekiranya terjadinya kebakaran di separuh bawah bangunan, syaf yang terlindung ini tidak akan terjejas. Lif bomba turut disediakan untuk tujuan kecemasan.[44]
Sistem penghawa dingin terpusat
Di kawasan timur perkarangan Menara Berkembar Petronas, di sebelah utara Masjid Asy-Syakirin[45], terletaknya bangunan utiliti KLCC District Cooling yang bertujuan membekalkan air sejuk kepada semua bangunan di perkarangan KLCC. Unit air dingin pacuan turbin janaan gas ini mampu membekalkan udara nyaman sebanyak 42,000 RT[45], bukan sahaja kepada Menara Berkembar Petronas dan Suria KLCC, bahkan juga Menara Maxis, Menara Exxon Mobil, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Mandarin Oriental Kuala Lumpur dan Masjid Asy-Syakirin.
Peristiwa terpenting
Ribuan orang mengosongkan bangunan setelah menerima panggilan ugutan bom pada 12 September 2001, sehari selepas serangan 11 September membinasakan menara berkembar World Trade Center di Bandar Raya New York. Skuad pembuangan bom dikerah ke mari tetapi tidak menjumpai apa-apa bom dalam kedua-dua menara Petronas walaupun memindahkan keluar semua orang. Para pembeli dan pengunjung dibenarkan masuk semula tiga jam kemudian pada tengah hari. Tiada seorang pun tercedera dalam langkah pengosongan tersebut.[46]
Pada waktu larut malam 4 November 2005, terjadi kebakaran di kompleks pawagam di pusat beli-belah Suria KLCC di bawah Menara Berkembar Petronas. Tidak dilaporkan mana-mana kecederaan. Ketika itu, kedua-dua menara hampir kosong (kecuali Suria KLCC yang diisi pengunjung pawagam dan pelanggan restoran).[47]
Pada waktu pagi 1 September 2009, pemanjat bangunan pakar dari Perancis, Alain "Spiderman" Robert, berjaya memanjat hingga ke puncak Menara Dua dengan menggunakan tangan dan kaki kosong sendirinya tanpa apa-apa kelengkapan keselamatan dalam masa tidak lebih dua jam, setelah dua percubaan sebelumnya terhalang oleh tangkapan polis di tengah-tengah.[48] Pada 20 Mac 1997, pihak polis menangkap beliau di tingkat 60, iaitu 28 tingkat lagi ke puncak. Percubaan keduanya pada 20 Mac 2007, genap 10 tahun kemudian, sekali lagi terhalang di tingkat yang sama (tetapi di menara yang satu lagi).[49]
Galeri
- Bahagian hadapan pintu masuk.
- Kompleks membeli belah Suria KLCC di asas menara.
- Bahagian kompleks membeli belah Suria KLCC.
- Dari bawah menara.
- Menara dari taman air pancut simfoni di Taman KLCC.
- Pemandangan Menara Berkembar Petronas di waktu malam.
- Pemandangan Menara Berkembar Petronas waktu tengahari.
- Melihat ke atas dari aras dataran di ruang atrium Suria KLCC.
- Air pancut simfoni di pintu belakang Suria KLCC dan Kuala Lumpur.
- Tingkat 41 jejantas udara.
- Menara pada waktu malam.
- Pandangan dekat jejantas udara.
- Pemandangan selepas hujan puncak Menara 1. Gambar ditangkap dari Menara 2.
- Pemandangan di waktu malam selepas hujan puncak Menara 1. Gambar ditangkap dari Menara 2.
- Menara Kembar Petronas, Bandaraya Kuala Lumpur, 10 Julai 2018.
- Pemandangan dalam jejantas.
Lihat juga
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand in your browser!
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.