From Wikipedia, the free encyclopedia
Dalam bidang sains, kognisi adalah segugusan proses mental yang mencakupi perhatian, ingatan, penghasilan dan pemahaman bahasa, pembelajaran, penaakulan, penyelesaian masalah, dan pembuatan keputusan. Kognisi dikaji oleh pelbagai bidang seperti psikologi, falsafah dan linguistik. Bagaimanapun, kognisi ini lain bidang lain ertinya; misalnya dalam bidang psikologi dan sains kognitif, "kognisi" biasanya memaksudkan pandangan secara pemprosesan maklumat terhadap fungsi-fungsi jiwa individu. Kognisi juga digunakan dalam secabang psikologi sosial yang dipanggil kognisi sosial untuk menerangkan sikap, atribusi, dan dinamik kumpulan.[1] Dalam psikologi kognitif dan kejuruteraan kognitif, kognisi biasanya dianggap sebagai pemprosesan maklumat dalam minda atau otak seseorang peserta atau pengendali.[2]
Kognisi merupakan kemudahan untuk mengolah maklumat, menggunakan maklumat serta menukar keutamaan. Kognisi atau proses kognitif adalah semula jadi atau buatan manusia, secara sedar atau tak sedar.[3] Proses-proses ini dikupas dari pelbagai perspektif dalam pelbagai konteks, terutamanya dalam bidang-bidang linguistik, anestesia, neurologi dan psikiatri, psikologi, falsafah, antropologi, sistemik, dan sains komputer.[4] Dalam bidang psikologi atau falsafah, konsep kognisi berkait rapat dengan konsep-konsep abstrak seperti minda dan kecerdasan. Ia melingkungi fungsi mental, proses mental (pemikiran), dan keadaan entiti cerdas (manusia, kumpulan bekerjsama, pertubuhan manusia, mesin automatik tinggi, dan kecerdasan buatan).[2]
Perkataan kognisi berasal dari kata kerja Latin cognosco (con 'dengan' + gnōscō 'tahu') yang seasal dengan kata kerja Yunani gnόsko "γνώσκω" yang bererti 'aku tahu' (kata nama: gnόsis "γνώσις" = pengetahuan), maka ertinya pada umumnya, 'bertanggapan' atau 'mengenal'.[5]
Perhatian kepada proses kognitif timbul pada zaman sebelum Masihi, bermula dengan Aristotle dengan minat beliau terhadap fungsi dalaman minda dan kesannya terhadap pengalaman manusia. Aristotle tertumpu pada bab-bab kognitif yang berkenaan dengan ingatan, persepsi dan bayangan minda. Ahli falsafah Yunani itu mementingkan bukti empirik sebagai asas kajian-kajiannya; maklumat saintifik yang terkumpul melalui pemerhatian yang teliti serta pengujikajian yang hemat.[6] Berabad-abad kemudian, apabila ilmu psikologi mula mekar di Eropah dan seterusnya menjadi ikutan di Amerika, saintis-saintis lain seperti Wilhelm Wundt, Herman Ebbinghaus, Mary Whiton Calkins, dan William James antara lainnya menawarkan sumbangan mereka kepada kajian kognisi.
Wilhelm Wundt (1832–1920) amat menekankan tanggapan yang digelarnya kaji diri (introspection); mengkaji perasaan dalaman seseorang individu. Dengan mengkaji diri, subjek perlu berhati-hati untuk menerangkan perasaannya secara seobjektif yang mungkin untuk Wundt mendapati maklumatnya sebagai berasas sains.[7][8] Walaupun sumbangan Wundt tidak sesekali kecil, namun ahli psikologi moden mendapati kaedah beliau agak subjektif dan memilih untuk mengharapkan prosedur-prosedur uji kaji yang lebih objektif untuk membuat kesimpulan tentang porses kognitif manusia.
Herman Ebbinghaus (1850–1909) mengadakan kajian-kajian kognisi yang dikaji terutamanya untuk fungsi dan keupayaan ingatan manusia. Ebbinghaus mencipta uji kajinya sendiri yang mana beliau membentuk lebih 2,000 suku kata yang dipetik dari perkataan yang tidak wujud, contohnya EAS. Kemudian, beliau mengkaji kebolehan dirinya untuk mempelajari perkataan palsu itu. Beliau memilih perkataan palsu daripada perkataan sebenar untuk mengawal pengaruh dari pengalaman sedia ada tentang apa yang dilambangkan oleh kata-kata itu, justeru memudahkan pengingatan.[7][9] Ebbinghaus memerhatikan dan mengandaikan bahawa sebilangan pemboleh ubah yang mungkin menjejaskan kebolehannya untuk mempelajari dan mengingati kembali kata-kata palsu yang direkanya. Antara sebab kesimpulannya adalah jumlah masa antara penyampaian senarai perangsang. Karyanya amat mempengaruhi kajian kedudukan bersiri serta kesannya pada ingatan.
Mary Whiton Calkins (1863–1930) adalah seorang perintis wanita Amerika yang berpengaruh dalam bidang psikologi. Hasil kerjanya juga tertumpu pada keupayaan ingatan manusia. Suatu teori umum yang dipanggil kesan baru lepas (Recency) boleh diatribusikan kepada kajian-kajian yang diadakan oleh Calkins.[10] Kesan baru lepas merupakan kecenderungan untuk dapat mengingati semula dengan setepatnya perkara-perkara terakhir yang disampaikan dalam satu turutan perangsang. Teorinya amat berkait rapat dengan kajian dan kesimpulan uji kaji ingatan yang diadakan oleh Herman Ebbinghaus seperti yang disebut tadi.[11]
William James (1842–1910) adalah seorang lagi tokoh penting dalam sejarah sains kognitif. James agak tidak puas hati dengan penekanan Wundt terhadap kaji diri dan penggunaan perangsang kata palsu oleh Ebbinghaus. Oleh itu, beliau memilih untuk bertumpu kepada pengalaman pembelajaran manusia dalam kehidupan seharian serta kepentingannya dalam kajian kognisi. Sumbangan utama James ialah buku teksnya, Principles of Psychology yang khususnya mengkaji pelbagai aspek kognisi seperti pencerapan, ingatan, penaakulan, dan perhatian antara lainnya.[11]
Dalam psikologi, istilah "kognisi" biasanya digunakan dalam pandangan pemprosesan maklumat mengenai fungsi psikologi individu, dan begitu juga dalam kejuruteraan kognitif.
Dalam kajian kognisi sosial, cabang psikologi sosial, istilah ini digunakan untuk menjelaskan sikap, atribusi, dan dinamik kumpulan.
Kognisi manusia adalah sedar dan tidak sedar, konkrit atau abstrak, serta intuitif (seperti pengetahuan bahasa) dan konseptual (seperti model bahasa).
Ia merangkumi proses seperti ingatan, perkaitan, pembentukan konsep, pengecaman corak, bahasa, perhatian, persepsi, tindakan, penyelesaian masalah, dan imejan mental.
Secara tradisinya, emosi tidak dianggap sebagai proses kognitif, tetapi kini banyak penyelidikan sedang dijalankan untuk mengkaji psikologi kognitif emosi; penyelidikan juga tertumpu kepada kesedaran seseorang tentang strategi dan kaedah kognisi sendiri, yang dipanggil metakognisi.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.