baka anjing dari England From Wikipedia, the free encyclopedia
Bulterier Staffordshire atau bull terrier Staffordshire,[lower-alpha 1] juga dipanggil staffy atau stafford, ialah satu baka anjing tulen bersaiz kecil hingga sederhana dalam kumpulan terier yang berasal dari bahagian utara Birmingham dan dari Black Country di Staffordshire, yang sempenanya ia dinamai. Ia diturunkan daripada bulterier abad ke-19 yang dikembangkan melalui penyilangan buldog dengan pelbagai terier untuk menghasilkan jenis anjing generik yang pada umumnya dikenali sebagai bull and terrier. Stafford mengongsi keleluhuran sama dengan bulterier moden, walaupun kedua-dua baka berkembang mengikut susur galur sendiri dan tidak menyerupai satu sama lain. Stafford moden lebih menyerupai jenis bulterier lama dan pertama kali diiktiraf sebagai baka anjing tulen oleh The Kennel Club di Great Britain pada tahun 1935.
Nama lain | Bull terrier Staffordshire | ||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas |
| ||||||||||||||||||||||||||||||
Negara asal | United Kingdom | ||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Dalam sapuan luas sejarah anjing, kisah di sebalik stafford moden agak ringkas dan agak mengelirukan kerana pelbagai alias yang dikaitkan dengan anjing ini pada abad-abad lalu, seperti "Patched Fighting Terrier", "Staffordshire Pit-dog", "Brindle Bull", dan "Bull-and-Terrier".[2] Silangan serupa juga mempunyai alias seperti half-and-half dan half-bred. Sukan darah seperti pengumpanan lembu jantan dan pengumpanan beruang diharamkan dengan kelulusan Akta Kekejaman Terhadap Haiwan 1835 oleh Parlimen, yang menjadikan pengumpanan haiwan haram tetapi menggalakkan laga anjing antara satu sama lain. Pembiak baka anjing beralih daripada buldog lebih berat dan memperkenalkan darah terier ke dalam silangan mereka untuk gameness dan ketangkasan. Silangan bull and terrier ini menghasilkan ternakan pembiakbakaan leluhur yang, selama berdekad-dekad, berkembang menjadi anjing pertunjukan pengakuran moden yang dikenali kini sebagai bulterier Staffordshire dan bulterier. Tidak lama sebelum Perang Saudara Amerika, pendatang dari Great Britain membawa baka silang bull and terrier mereka ke Amerika Syarikat. Anjing ini menjadi leluhur kepada terier Staffordshire Amerika (AmStaff), bulterier katik, terier Boston, dan pitbulterier Amerika.
Sejarah pembiakbakaan tidak terkawal dan kandungan genetik tidak tekal bagi keleluhuran awal stafford telah membawa kepada salah tanggapan tentang asal usulnya.[3]:8–11 Jenis dan gaya individu bagi anjing baka silang berbeza-beza mengikut rantau geografi.[4]:18 Sebagai contoh, progeni dari satu kawasan mungkin mempunyai peratusan lebih tinggi bagi terier berbanding dengan buldog, sementara laporan lain mendakwa bahawa buldog kepada terier lebih diutamakan berbanding dengan bull and terrier kepada bulterier.[4]:18 Pembiak baka anjing membuat pilihan cermat untuk mengukuhkan trait-trait boleh waris daripada jenis anjing spesifik. Banyak jenis baka kacuk yang digunakan untuk mewujudkan anjing laga awal telah lama ber-evolusi dan menstabil menjadi anjing baka tulen moden yang dikenali kini. Banyak trait filogenetik yang diingini pada keleluhuran baka ini telah terpulihara dan selanjutnya diperhalusi dengan pembiakbakaan terpilih agar lebih sesuai dengan tujuan moden stafford sebagai anjing pertunjukan pengakuran, sementara trait-trait yang tidak diingini telah dikeluarkan melalui pembiakbakaan.[5]
Pada pertengahan abad ke-19, hibrid bull and terrier dikenali dengan beberapa sebutan berlainan, seperti patched fighting terrier, Staffordshire pit-dog, brindle bull, dan bull-and-terrier.[2] Ia juga dirujuk sebagai half-and-half, half-bred, atau lebih lazim sebagai bull and terrier, walaupun ia bukan baka benar dalam erti kata sama sebagaimana baka anjing moden dikenali. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya enam baka moden dapat menjejaki keleluhuran masing-masing kepada silangan bull and terrier.[6] Satu lagi nama lazim yang digunakan untuk bull and terrier ialah bull terrier ("bulterier"), yang menjadi nama untuk baka baharu yang dikembangkan oleh James Hinks.[3]:18 Hinks menggunakan pelbagai silangan ke luar tidak berdokumen, termasuk anjing Dalmatia dan collie, yang dianggap oleh para penyokong bagi strain asli sebagai hasil yang tidak diingini. Sebaliknya, mereka memilih untuk kekal setia kepada jenis pilihan mereka.[7][8] Hasilnya, dua baka bulterier berlainan muncul: bulterier, yang digelar white cavalier, dan bulterier Staffordshire, yang dinamai sempena kaunti lokasi perkembangannya.[6][9] Warisan laga bulterier ditinggalkan sementara pembiak baka bulterier Staffordshire di United Kingdom meneruskan pertandingan haram mereka yang selari dengan yang berlaku di Amerika Syarikat dengan terier Staffordshire Amerika; tiada satu baka pun dapat memperoleh penerimaan rasmi di tanah asli masing-masing. Wartawan dan pakar anjing Denise Flaim menyatakan dengan ringkas: "Tiada pejabat pendaftaran mantap yang mahu bergabung dengan anjing yang menumpahkan darah kaum sendiri untuk kelangsungan hidup."[9]
Pedigri boleh jejak tidak wujud sebelum pengasasan The Kennel Club (KC) pada tahun 1873, yang pada mulanya dibentuk oleh sekumpulan penggemar pertunjukan anjing yang ingin memulihara reputasi pertunjukan anjing, sementara pada masa sama, mengelakkan penipuan pembiak baka dengan mengasaskan identiti anjing dan mendokumenkan pedigrinya.[10][11] Jilid pertama The Kennel Club Stud Book ("Buku Pembaka The Kennel Club") diterbitkan pada tahun 1874 dan termasuk senarai pertunjukan anjing dan nama anjing yang dipamerkan dalam setiap pertunjukan, bermula dengan pertunjukan anjing pertama pada tahun 1859.[10] Bulterier dan buldog juga diiktiraf dan disertakan dalam jilid pertama.[12][13] Walau bagaimanapun, hanya mulai tahun 1935, bulterier Staffordshire diiktiraf secara rasmi oleh KC.[14] Lama kemudian, pada tahun 1974, American Kennel Club (AKC) menerima bulterier Staffordshire ke dalam daftar bakanya sebagai baka rasmi ke-121.[15][2]
Antara enam baka berlainan yang diturunkan daripada baka-baka bull and terrier, lima baka diiktiraf oleh AKC dalam susunan berikut: bulterier, terier Boston, terier Staffordshire Amerika (AmStaff), bulterier Staffordshire, dan bulterier katik.[4]:39[2][16] Lima baka sama ini juga diiktiraf oleh Canadian Kennel Club (CKC). KC mengiktiraf hanya empat baka dan tidak menerima AmStaff atau pitbulterier Amerika (APBT).[4]:39 APBT diiktiraf oleh United Kennel Club (UKC).
KC, yang merupakan pejabat pendaftaran baka pertama yang menerima bulterier Staffordshire yang baru dikembangkan ke dalam Buku Pembaka-nya, menyatakan bahawa baka ini "mengongsi keleluhuran sama dengan bulterier, iaitu buldog yang disilangkan dengan terier hitam dan sawo matang dan dikembangkan sebagai anjing laga." Mereka selanjutnya mengakui bahawa oleh sebab "perkaitan awal anjing ini dengan laga, untuk suatu tempoh waktu, ada kesukaran untuk mendapatkan pengiktirafan untuk baka ini dan hanya mulai tahun 1930-an The Kennel Club mengiktiraf baka ini."[14][17] Canadian Kennel Club (CKC) tidak mengiktiraf stafford sehingga tahun 1952 dan menaruh lebih kepercayaan pada warisan bull and terrier pada baka ini: "Bull and terrier mungkin telah lenyap jika bukan kerana sekumpulan penggemar yang diketuai oleh Joseph Dunn yang menghargai anjing ini demi kepentingannya sendiri dan memujuk The Kennel Club (England) agar mengiktiraf baka ini sebagai bulterier Staffordshire, nama kaunti Inggeris; di sana baka ini merupakan yang paling popular."[18]
Apabila membandingkan bull and terrier berusia ratusan tahun dengan stafford moden, Joanna de Klerk, DVM, pengarang The Complete Guide to Staffordshire Bull Terriers (2019), berkata bahawa "dengan keserupaan tinggi dengan buldog lama Inggeris yang asli, yang sejak itu telah dibiakbakakan sehingga tidak dikecam lagi, sesetengah pihak berhujah bahawa staffie berasal semata-mata daripada baka itu dan bukan mempunyai sebarang terier dalam campuran."[3]:8–11 Sebahagian daripada kekeliruan dan salah tanggapan tentang baka ini adalah kerana kandungan genetik tidak tekal baka ini yang disebabkan oleh amalan pembiakbakaan tidak terkawal bermula dengan asal usul staffie dan berterusan kemudian ke dalam perkembangannya, jauh sebelum pedigri boleh jejak wujud. Pada umumnya, terdapat penerimaan bahawa stafford diturunkan daripada silangan buldog–terier abad ke-19 yang kemudiannya dibiakbakakan untuk laga anjing selepas sukan darah diisytiharkan haram.[3]:8–11 Hanya mulai awal abad ke-20, jauh selepas pembiakbakaan terpilih memperhalus silangan bull and terrier menjadi bulterier Inggeris, stafford akhirnya muncul, piawaian baka diwujudkan, dan pada tahun 1935, bulterier Staffordshire diiktiraf secara rasmi oleh KC.[3]:8–11
Dalam keluaran musim bunga tahun 2013 bagi The Stafford Knot, Jason Nicolai memerihalkan sesetengah faktor evolusi penting dalam piawaian baka bulterier Staffordshire yang "sangat kerap disalah kutip dan disalahfahami".[19] Piawaian untuk stafford moden sejajar dengan transformasi baka ini daripada keleluhuran bull and terrier-nya sebagai anjing laga kepada anjing pertunjukan pengakuran moden.[19] Sesetengah pengarang buku telah membandingkan lukisan-lukisan abad kesembilan belas dengan penampilan visual stafford moden. Pengarang dan peminat stafford, James Beaufoy, menulis dalam buku beliau Staffordshire Bull Terriers: A Practical Guide for Owners and Breeders ("Bulterier Staffordshire: Panduan Amali untuk Pemilik dan Pembiak Baka") (2016) bahawa terdapat "bukti menarik" dalam sesetengah lukisan awal abad ke-19 yang menggambarkan pengakuran dan keserupaan warna lapis bulu stafford moden apabila dibandingkan dengan buldog lama Inggeris. Sebuah lukisan sedemikian adalah oleh seniman Abraham Cooper (1817), berjudul Crib and Rosa.[20]
A.W.A Cairns ialah penyunting bagi terbitan dalam talian Stafford Magazine.[21] Cairns percaya bahawa "haiwan mirip stafford wujud pada permulaan abad ke-19" dan mengakui, dengan "kemungkinan untuk sedikit prasangka", bahawa "satu-satunya anjing moden daripada jenis ini ialah bulterier Staffordshire". Walau bagaimanapun, Cairns menjelaskan bahawa pedigri yang tertera pada plak bagi lukisan Crib and Rosa, khususnya perkataan "the famous Staffordshire bitch" ("anjing betina Staffordshire masyhur"), tidak mencadangkan bahawa ia merupakan bulterier Staffordshire, tetapi "dapat ada kesimpulan bahawa haiwan jenis itu wujud di kaunti itu sebelum tahun 1816."[22] Kedua-dua tulisan Cairns dan tulisan Beaufoy sejajar bahawa "bulterier Staffordshire ialah 'baka agak baharu'" dalam konteks ketika ia pertama kali diiktiraf oleh KC.[22]
Pada Oktober 1987, Cairns menulis dalam Kennel Gazette bahawa "pengiktirafan The Kennel Club bagi baka ini diselubungi misteri. Pengiktirafan diumumkan dalam terbitan Kennel Gazette April 1935 atas nama bulterier Staffordshire. Tiada penjelasan tentang cara kejadian ini. Tiada kelab baka atau piawaian baka yang wujud."[22] Cairns juga menarik perhatian kepada keserupaan pada bulterier dan stafford pada lewat abad ke-19, sebelum ciri muka menurun bagi bulterier moden: "Pada masa itu bull terrier dapat didaftarkan dengan sire, dam and date of birth unknown ("bapa, ibu, dan tarikh lahir tidak diketahui"), maka sebenarnya mana-mana anjing dapat didaftarkan sebagai bull terrier. Akibatnya, banyak anjing yang didaftarkan didapati merupakan yang dikenali sebagai bulterier Staffordshire."[22]
Pada tahun 2017, sebuah kajian seluruh genom mencadangkan bahawa semua anjing jenis bull and terrier, termasuk bulterier Staffordshire dan lima baka berasingan lain, berpeta kembali kepada terier dari Ireland dan kepada asal usul yang bertarikh ke tempoh 1860–1870. Masanya sepadan dengan huraian bersejarah bagi pertandingan laga anjing di Ireland, kekurangan pendokumenan tepat buku pembaka, dan, sebagai hasil, silangan anjing tidak berdokumen pada masa baka-baka ini mula-mula diwujudkan.[23][24][25]
Kajian-kajian DNA telah membawa sedikit kejelasan tentang misteri penghibridan bagi pembiakbakaan bull and terrier, yang menunjukkan unsur anjing Dunia Baru dalam sesetengah baka moden, tetapi mereka tidak mengenal pasti secara positif semua baka yang terlibat.[23] Seperti yang disokong oleh kajian DNA, serta AKC dan KC, rujukan kepada bull and terrier bersejarah bukan sebagai baka bona fide;[6][4]:18 sebaliknya, istilah itu digunakan untuk memerihalkan sekumpulan anjing heterogen yang mungkin termasuk anjing baka tulen daripada baka berlainan, atau silangan baka-baka itu. Hibrid-hibrid bull and terrier, atau jenis-jenis pitbul dianggap sebagai pendahulu kepada beberapa baka piawai moden.[26]
Akta Kekejaman terhadap Haiwan 1835 menjadikan sukan darah menyalahi undang-undang dan berkesan dalam menghentikan pengumpanan lembu dan beruang di United Kingdom.[20][27] Pengumpanan memerlukan arena besar yang memudahkan pihak berkuasa memantau, sementara laga anjing haram adalah lebih sukar untuk ditamatkan kerana penaja laga menyembunyikan dan rapi-rapi mengawal tempat acara mereka di ruang bawah tanah persendirian dan di lokasi-lokasi serupa. Hasilnua, laga anjing berterusan lama-lama selepas pengumpanan lembu dan beruang telah berhenti. Hanya mulai kelulusan Akta Perlindungan Haiwan 1911, laga anjing anjuran di Britain sebahagian besarnya berakhir.[20]
"Proto-stafford awal menyediakan leluhur ternakan asasi untuk bulterier Staffordshire, pitbulterier Amerika, dan terier Staffordshire Amerika."[28][29] Pada tahun 1930, nama "bulterier Staffordshire" pertama kali muncul dalam iklan untuk anjing jenis ini.[20] Sepanjang tahun 1932 dan tahun 1933, percubaan untuk mencapai pengiktirafan The Kennel Club untuk baka ini dilakukan oleh hakim pertunjukan anjing dan pembiak baka, Joseph Dunn, tetapi asal usul awal stafford sebagai anjing laga menyukarkannya untuk mendapat penerimaan.[7][30][29] Pada awal tahun 1935, Dunn mendapat keiizinan daripada KC untuk mengadakan pertunjukan anjing aneka ragam untuk melihat sama ada itu menarik pemilik stafford untuk menunjukkan anjing mereka; beliau menawarkan wang tunai sebagai tarikan istimewa. Pertunjukan itu diadakan pada April 1935 dan berjaya.
Pada Mei 1935, KC meluluskan nama "Staffordshire Bull Terrier" ("bulterier Staffordshire"); nama pertama yang diminta, "Original Bull Terrier" ("bulterier asli"), telah ditolak.[7][20] Dunn membuat keputusan untuk membentuk sebuah kelab dan mengundang pembiak baka anjing lain untuk ikut serta.[30] Pada Jun 1935, Staffordshire Bull Terrier Club dibentuk semasa mesyuarat di pub Old Cross Guns di Cradley Heath; piawaian baka diluluskan pada hari sama dan pertunjukan lanjut diadakan pada tahun itu.[20] Pembiak baka penting lain yang terlibat dalam pemerolehan pengiktirafan baka merupakan Joe Mallen dan pelakon Tom Walls.[20] Juara-juara pertama yang diiktiraf di England merupakan anjing betina Lady Eve dan anjing jantan Gentleman Jim pada tahun 1939.[2][17]
Phil Drabble melaporkan bahawa antara pelbagai jenis bull and terrier, jenis dari Cradley Heath diiktiraf sebagai baka terpisah yang dinamai bulterier Staffordshire.[31] Ia kemudiannya diterima oleh The Kennel Club (KC) pada Julai 1935, lalu menandakan kemajuan rasmi untuk penerimaan bulterier Staffordshire ke dalam daftar baka KC.[30]
Pada tahun 1954, baka ini diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa yang terletak di Thuin, Belgium.[32]
Bulterier Staffordshire, serta bulterier dan terier Staffordshire Amerika, merupakan tiga baka anjing tulen moden berlainan dalam Kumpulan Terier AKC, kesemuanya dengan keleluhuran serupa.[2] Dari segi sejarah, terier Staffordshire telah tiba di Amerika pada pertengahan tahun 1800-an. Selepas ketibaan, dua baka berasingan dikembangkan, salah satunya dikembangkan oleh pembiak baka Amerika menjadi cabang lebih tinggi dan lebih berat bagi versi Inggeris yang menjadi terier Staffordshire Amerika.[33]
Pada mulanya, AKC enggan mengiktiraf mana-mana baka yang dikaitkan dengan laga anjing.[33][34] Baka bulterier awal yang dikembangkan oleh James Hinks sebagai anjing pertunjukan pengakuran diiktiraf oleh AKC pada tahun 1885. Hampir 50 tahun kemudian pada tahun 1936, AKC mengiktiraf terier Staffordshire, kemudian mengubah nama baka ini kepada terier Staffordshire Amerika untuk mengelakkan kekeliruan dengan versi Inggeris.[34][33] Dalam usaha untuk mencapai pengiktirafan AKC bagi stafford Inggeris, Steve Stone menubuhkan US Staffordshire Bull Terrier Club pada 14 Januari 1967.[35] Terdapat segelintir stafford di negara itu pada masa itu, kebanyakannya import dari Australia, Kanada, New Zealand, dan bahagian lain di dunia.
Percubaan pertama untuk menggalakkan keahlian kelab dan mendapatkan pengiktirafan AKC bermula dengan perhimpunan yang diadakan pada musim panas tahun 1967 yang menghasilkan 14 keahlian dan 8 ekor stafford didaftarkan oleh kelab itu. Menjelang akhir tahun, kiraan telah meningkat kepada 39 ekor anjing berdaftar. Import anjing diteruskan dan bilangan keahlian dan anjing berdaftar meningkat tetapi tempoh hampir sedekad untuk menganjurkan pertunjukan yang disokong dan menunjukkan ketekalan piawaian baka dengan pengekalan amalan pembiakbakaan bertanggungjawab berlalu sebelum kelab itu memperoleh pengiktirafan rasmi AKC.[2][35]
Pada tahun 1974, AKC secara rasmi mengiktiraf Staffordshire Bull Terrier Club, lalu memberinya pengiktirafan sebagai Kelab Induk AKC rasmi yang mewakili baka ini. Stafford pertama yang didaftarkan dan dimasukkan ke dalam Buku Pembaka AKC ialah Ch. Tinkinswood Imperial, seekor import Inggeris. Seekor import Australia, Northwark Becky Sharpe, ialah juara pertama di Amerika Syarikat.[35][36]
Stafford berbulu pendek dan lebih kurang sama panjang dari kelasa ke ekor dengan dari kelasa ke tanah. Lapis bulunya pendek, kaku, dan rapat. Bulunya mungkin putih; hitam, biru, perang kekuning-kuningan, atau merah, kesemuanya dengan putih atau tanpa putih; atau mana-mana keragaman brindle, dengan putih atau tanpa putih.[1][37] Ia mempunyai kepala lebar; telinga yang terlipat di hujung. Ia berotot dan cukup bertulang, dengan bahu kuat, dada lebar, dan tungkai renggang. Ia tangkas dan agak giat. Ia merupakan terier dan dikelaskan sedemikian oleh The Kennel Club dan Persekutuan Kinologi Antarabangsa.[32][1] Anjing ini biasanya berdiri setinggi 36–41 cm (14–16 in) pada paras kelasa. Berat jantan ialah kira-kira 13–17 kg (29–37 lb); betina pula hampir-hampir 2 kg (4.4 lb) lebih ringan.[1][7]
Stafford mempunyai reputasi untuk sifat suka bergaduh; apabila dicabar oleh anjing lain, ia diketahui tidak berundur. Ia juga pernah terlibat dalam serangan maut anjing ke atas manusia.[37][25]
Sebuah kajian United Kingdom tahun 2022 tentang catatan veterinar mendapati bahawa baka ini mempunyai jangka hayat sebanyak 11.33 tahun, sedikit kurang daripada jangka hayat baka silang: 11.82 tahun tetapi sedikit di atas purata keseluruhan sebanyak 11.23 tahun.[38] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 12 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[39]
Sebuah kajian United Kingdom mendapati predisposisi terhadap demodikosis permulaan juvenil pada bulterier Staffordshire: Pada anjing berusia kurang daripada dua tahun, 2.14% daripada populasi stafford menghidap demodikosis berbanding dengan 0.48% secara keseluruhan.[40] Sebuah kajian Amerika mendapati predisposisi sama dengan 10% daripada populasi stafford yang menghidap keadaan ini berbanding dengan 0.58% secara keseluruhan.[41]
Gangguan neurologi yang dikenal pasti pada baka ini termasuk abiotrofi serebelum, malformasi mirip Chiari, miotonia kongenital, dan asiduria L-2-hidroksiglutarik.[42]:6 Bulterier Staffordshire ialah salah satu baka yang paling lazim terjejas akibat katarak keturunan.[43]
Stafford dianggap sebagai anjing peliharaan keluarga dan anjing pendamping dan merupakan antara baka yang disyorkan oleh KC untuk keluarga.[7][44] Berbanding dengan leluhur baka ini, AKC menyatakan: "Daripada masa lalunya dalam pergaduhan, bulterier Staffordshire yang berotot namun tangkas mengekalkan trait-trait keberanian dan ketabahan. Dengan gembira, pembiakbakaan baik mengubah bekas gladiator ini menjadi teman sederhana dan suka bermain dengan perasaan istimewa untuk kanak-kanak."[2]
Dalam dekad 2011–2020, pendaftaran tahunan dengan KC menurun daripada kira-kira 7000 kepada kira-kira 5000; pada tahun 2019 dan tahun 2020, ia mempunyai angka pendaftaran tertinggi dalam Kumpulan Terier.[45] Ia merupakan antara baka paling kerap berdaftar di Australia, di Perancis, dan di New Zealand.[25][46][47][48] Di Amerika Syarikat, ia berada di tempat ke-81 dalam senarai pendaftaran AKC mengikut bilangan pada tahun 2020.[49]
Stafford moden kerap dikelirukan dengan jenis pitbul laga kerana ia mengongsi leluhur bersama yang bertarikh kembali ke awal tahun 1800-an semasa laga serling ialah sukan popular. Akibatnya, stafford dianggap sebagai antara baka yang mempunyai stigma yang terikat dengan "chav"[25] dan telah diistilahi "anjing status".[50][51] Di peringkat global, jenis pitbul termasuk bulterier Staffordshire telah membuat berita tempatan kerana tindakan agresi, tetapi penyokong baka telah menimbulkan persoalan tentang kebenaran pengenalan baka visual dan gembar-gembur media.[52][53] Laporan berita kerap melayan baka ini sebagai salah satu yang menyerang anjing lain.[54] Baka-baka serupa telah dikaitkan dengan gigitan kepada manusia.[55]
Penyelidikan DNA awal mendapati sesetengah pautan genetik antara baka dengan tingkah laku. Sebuah kajian tahun 2022 dari Institut Penyelidikan Genom Manusia Kebangsaan memerihalkan secara terperinci cara variasi bukan pengekod dalam genom anjing dikaitkan dengan trait-trait tingkah laku bagi pelbagai baka.[56] Mereka mendapati pola boleh waris pada terier yang "tekal dengan peranan kerja yang melibatkan penangkapan dan pembunuhan mangsa".[56] Sebuah lagi kajian tahun 2022, dari Broad Institute, berkesimpulan bahawa kebanyakan trait tingkah laku boleh diwarisi manakala tingkah laku "hanya halus-halus membezakan baka".[57] Kajian itu mendapati bahawa baka anjing yang telah distereotaipkan sebagai baka agresif, seperti jenis pitbul, adalah tidak lebih agresif daripada anjing lain. Keputusan kertas itu menunjukkan bahawa tingkah laku anjing terutamanya "dibentuk oleh persekitarannya, bukan bakanya".[58]
Pada tahun 2018, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) melobi Parlimen British supaya baka ini ditambahkan ke dalam senarai baka anjing terhad dalam Akta Anjing Berbahaya 1991. Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals, KC, Dogs Trust, Blue Cross, dan Battersea Dogs & Cats Home kesemuanya membantah cadangan itu. Cadangan itu ditolak oleh Parlimen;[59] oleh itu, stafford tidak dilarang di bawah Akta Anjing Berbahaya 1991 United Kingdom.[25][60]
Di Amerika Syarikat, anjing yang kerap ditakrifkan sebagai pitbul dan lazimnya dilarang di sesetengah kaunti termasuk pitbulterier Amerika, stafford, terier Staffordshire Amerika, dan bulterier.[61] CDC dan ASPCA merupakan antara beberapa agensi dan pertubuhan yang menentang "teori yang mendasari undang-undang spesifik baka—bahawa sesetengah baka menggigit dengan lebih kerap dan menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding dengan yang lain, oleh itu, undang-undang yang menyasarkan baka-baka ini akan mengurangkan kejadian dan keparahan gigitan" kerana mereka tidak percaya bahawa itu telah berjaya secara amali.[62] Setakat Jun 2017, terdapat 21 buah negeri di Amerika Syarikat yang melarang perundangan spesifik baka.[63][64]
Di Malaysia, baka ini tersenarai sebagai salah satu baka anjing terhad, yang bermaksud bahawa baka ini hanya boleh dibiakbakakan dengan keizinan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar.[65]
Di United Kingdom, pitbulterier Amerika kadang-kadang diiklankan sebagai "bulterier Staffordshire Ireland" dalam usaha untuk memintasi Akta Anjing Berbahaya 1991.[66] Bulterier Staffordshire Ireland tidak diiktiraf sebagai baka oleh Irish Kennel Club atau mana-mana kelab kenel lain.[67]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.