baka anjing dari Amerika Syarikat From Wikipedia, the free encyclopedia
Terier Boston[lower-alpha 1] ialah satu baka anjing yang berasal dari Amerika Syarikat. "American gentleman" ("budiman Amerika") ini diterima pada tahun 1893 oleh American Kennel Club sebagai baka bukan sukan.[2] Terier Boston adalah kecil dan padat dengan ekor pendek dan telinga tegak.
Nama lain | |||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Amerika Syarikat | ||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||
Catatan | Anjing negeri Massachusetts | ||||||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Terier Boston dinilai sebagai baka ke-24 paling popular dari segi pendaftaran dengan American Kennel Club pada tahun 2022.[3]
Baka terier Boston berasal dari sekitar tahun 1870, apabila seorang lelaki bernama William O'Brien membeli daripada Edward Burnett seekor anjing bernama Judge (yang kemudian dikenali sebagai Hooper's Judge), yang daripada zuriat jenis bull and terrier. Hooper's Judge berkaitan secara langsung dengan baka-baka bull and terrier asli dari abad ke-19 dan awal abad ke-20. American Kennel Club mengutip Hooper Judge's sebagai leluhur kepada hampir semua terier Boston moden sejati.[4]
Judge berukuran seberat kira-kira 32 lb (15 kg). Judge dibiakbakakan dengan anjing betina milik Edward Burnett bernama Gyp (atau Kate). Gyp ialah seekor betina putih jenis buldog, yang dimiliki oleh Edward Burnett, dari Southboro, Massachusetts. Ia berukuran seberat kira-kira 20 paun (9.1 kg), bertubuh gempal dan kuat serta mempunyai kepala gempal tipikal yang kini terpapar pada terier Boston. Daripada asas baka ini, pembiak baka berikutnya memperhalus baka ini menjadi penampilan zaman modennya.[5] Setelah dikecilkan melalui pembiakbakaan daripada anjing laga daripada jenis bull and terrier, terier Boston pada asalnya berukuran sehingga seberat 44 paun (20 kg) (buldog lama Boston).[2]
Boston Terrier Club dibentuk pada tahun 1891. Kelab ini diberi keahlian dalam American Kennel Club pada 1893.[4] Ia merupakan salah satu daripada sebilangan kecil baka yang telah berasal dari Amerika Syarikat.[perlu rujukan]
Pada tahun-tahun awal, warna dan tanda tidak begitu penting untuk piawaian baka. Menjelang abad ke-20, tanda dan warna distingtif baka ini disuratkan dalam piawaian, lalu menjadi ciri penting. Terier Boston telah kehilangan kebanyakan sifat agresifnya sehingga lebih suka dengan pendampingan manusia, walaupun sesetengah jantan masih mencabar anjing lain jika berasa bahawa wilayah sendiri sedang dicerobohi.[perlu rujukan] Universiti Boston telah menggunakan Rhett the Boston Terrier sebagai maskot mereka sejak tahun 1922.[6] Terier Boston juga telah menjadi anjing negeri rasmi Massachusetts sejak tahun 1979.[7]
Terier Boston ialah anjing dengan tubuh padat dan berperkadaran baik. Ia mempunyai kepala yang kelihatan segi empat sama dengan telinga tegak dan leher sedikit melengkung. Muncungnya pendek dan pada umumnya tidak berkedut dengan gigitan sekata atau rahang bawah pendek sedikit. Dadanya lebar dan ekornya pendek.[8] Mengikut piawaian baka antarabangsa, anjing ini tidak patut berukuran lebih berat daripada 25 paun (11 kg). Terier Boston biasanya berdiri sehingga setinggi 15–17 inci (38–43 cm) pada paras kelasa.[9]
American Kennel Club membahagikan baka ini kepada tiga kelas: di bawah 15 paun; 15 paun dan di bawah 20 paun; dan 20 paun dan tidak melebihi 25 paun.[9]
Terier Boston bercirikan tanda-tanda berwarna putih mengikut perkadaran sama ada dengan warna hitam, brindle, sil (sil kelihatan seperti hitam dengan kesan cahaya merah), atau gabungan ketiga-tiga ini.[9] Warna padu dan warna yang tidak disebut tidak diterima oleh piawaian baka.[9][8] Menurut American Kennel Club, tanda-tanda terier Boston dipecahkan kepada dua kategori: Wajib, yang terdiri daripada dada putih, jalur muncung putih dan jalur putih di antara mata; dan Diingini, yang termasuk tanda-tanda Wajib yang ditambahi dengan kolar putih, putih pada tungkai hadapan, sehingga keting pada tungkai belakang.[9] Untuk penunjukan pengakuran, tanda-tanda bersimetri diutamakan.[9] Oleh sebab tanda-tanda terier Boston yang menyerupai pakaian formal, sebagai tambahan kepada keperibadian halus dan menyenangkan, baka ini pada umumnya dirujuk sebagai "American gentleman" ("budiman Amerika").[2][4]
Sepasang mata besar dan menonjol terier Boston ialah ciri pembeza. Mata bulat baka ini terpisah secara renggang, bersaiz besar, dan terletak betul-betul di dalam tengkorak.[10]
Kandungan genetik baka ini menghasilkan ekor pendek.[11] Ekor pendek ini dapat memilik bentuk skru gabus, atau ikal, atau mungkin lurus.[11] Pada umumnya, ekor terier Boston tidak lebih panjang daripada 2 inci (5.1 cm).[12]
Terier Boston ialah baka lemah lembut yang biasanya mempunyai keperibadian kuat, senang hati, dan ramah dengan citarasa humor riang. Terier Boston pada umumnya bersemangat untuk menggembirakan pemiliknya dan mudah dilatih.[13] Ia dapat menjadi sangat bersikap pelindung bagi pemiliknya, yang mungkin mengakibatkan tingkah laku agresif dan teritorial terhadap haiwan peliharaan dan orang asing lain.[perlu rujukan]
Kedua-dua betina dan jantan pada umumnya pendiam dan menyalak hanya apabila perlu.[14] Sikapnya yang biasanya wajar terhadap salakan menjadikannya pilihan sangat baik untuk penghuni pangsapuri.[13][sumber lebih baik diperlukan] Ia suka berada di sekeliling orang, bergaul dengan baik dengan kanak-kanak, orang tua, anjing lain, dan haiwan peliharaan bukan anjing, jika tersosialisasi dengan betul.[2]
Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 11.8 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[15]
Kelengkungan belakangnya, yang dipanggil roaching, mungkin disebabkan oleh masalah tempurung lutut dengan tungkai belakang, yang kemudian menyebabkan anjing berkenaan bersandar ke hadapan di atas tungkai hadapan.[2]
Terier Boston ialah baka anjing brakisefalik.[16] Brakisefali merujuk muncung pendek baka ini yang menyebabkan penampilan tertekan ke dalam bagi muka.[17] Brakisefali menyebabkan pencanggaan bagi salur udara atasan dan membawa kepada penyekatan pernafasan.[18] Kesan brakisefali merupakan stridor, pernafasan berdengkus, emesis, dermatitis lipatan kulit, sindrom obstruktif salur udara brakisefalik, eksoftalmos, refleks gag farinks, sianosis, dan keruntuhan larinks.[19][20][18][21][22][23][24] Isu lain yang timbul daripada brakisefali merupakan risiko komplikasi di bawah pengaruh anestesia,[25] dan hipertermia — yang disebabkan oleh ketidakbolehan untuk menurunkan suhu badan dengan berkesan melalui cungapan.[26]
Terier Boston kerap memerlukan pembedahan caesar untuk melahirkan anak dengan lebih 80% daripada perinduk dalam tinjauan The Kennel Club United Kingdom yang dilahirkan dengan cara ini.[27][28] Sebuah kajian United Kingdom mendapati bahawa terier Boston betina adalah 12.9 kali lebih berkemungkinan untuk mengalami distosia.[29]
Baka ini cenderung terhadap keadaan dermatologi berikut: dermatitis atopi,[30] penyakit kulit alahan, demodikosis,[31] hiperadrenokortisisme, tumor sel masta, alopesia corak, dan dermatosis responsif zink.[32]
Sebuah kajian di Amerika Utara terhadap rekod veterinar bagi hampir 10,000 ekor terier Boston dan lebih daripada 1,000,000 ekor anjing mendapati bahawa 0.36% daripada jumlah terier Boston menghidap displasia pinggul berbanding dengan 3.52% secara keseluruhan.[33]
Terier Boston ialah salah satu baka yang paling lazim terjejas akibat katarak keturunan.[34]
Pada tahun 1921 dalam majlis untuk memperingati Infantri ke-102 Amerika Syarikat, Tentera Darat Amerika Syarikat menganugerahkan pingat emas kepada seekor anjing perang terhormat: Sarjan Stubby.[35] Bulterier Boston itu, yang memiliki tiga calit perkhidmatan dan satu calit luka, diberi pangkat dalam Tentera Darat Amerika Syarikat yang menjadikannya anjing pertama yang pernah memperoleh pangkat itu.[35] Anjing perang yang menghiburkan dan melindungi itu turut diganjari pingat oleh Perancis.[35] Sarjan Stubby mati pada tahun 1926 dengan legasi sebagai "anjing perang terhebat" Amerika Syarikat.[35]
Kolej Wofford di Spartanburg, Carolina Selatan telah mempunyai maskot terier Boston hidup bernama Blitz sejak tahun 2003 yang menghadiri perlawanan bola sepak di halaman rumah.[36]
Pada tahun 2012, seorang pelajar sekolah tinggi bernama Victoria Reed mengambil nasihat doktor haiwannya dan menyerahkan sekeping foto terier Boston-nya, Bruschi, kepada Rekod Dunia Guinness.[37] Dengan setiap biji mata yang berdiameter 1.1 inci, atau 28 mm, Bruschi diiktiraf oleh Guinness sebagai anjing dengan mata terbesar.[37]
Lennu, anjing peliharaan dari tahun 2012 hingga tahun 2021 milik Sauli Niinistö, Presiden Finland, hadir dalam banyak kehadiran kurang formal beliau dan cukup terkenal di Finland.[38] Foto pasangan itu menjadi tular di Amerika Syarikat pada tahun 2017.[39][40][41]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.