baka anjing dari England, United Kingdom From Wikipedia, the free encyclopedia
Buldog Inggeris[a] atau hanya buldog[b] ialah satu baka anjing British daripada jenis mastif. Ia mungkin juga dikenali sebagai buldog British.[c] Ia merupakan anjing berotot bersaiz sederhana dengan berat sekitar 40–55 lb (18–25 kg). Ia mempunyai kepala besar dengan lipatan kulit tebal di sekitar muka dan bahu dan muka agak rata dengan rahang bawah menjulur. Baka ini mempunyai isu kesihatan ketara akibat pembiakbakaan untuk penampilan distingtifnya, termasuk brakisefalia, displasia pinggul, kepekaan haba, dan jangkitan kulit. Oleh sebab kebimbangan tentang kualiti hidupnya, pembiakbakaan buldog Inggeris diharamkan di Norway dan di Belanda.
Nama lain | Buldog Buldog British | ||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | England[1] | ||||||||||||||
| |||||||||||||||
| |||||||||||||||
Catatan | Haiwan kebangsaan United Kingdom | ||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Buldog moden dibiakbakakan sebagai anjing teman daripada buldog lama Inggeris, baka yang kini pupus yang digunakan untuk pengumpanan lembu, apabila sukan ini diharamkan di England di bawah Akta Kekejaman terhadap Haiwan. The Bulldog Club (di England) ditubuhkan pada tahun 1878 dan Bulldog Club of America ditubuhkan pada tahun 1890. Walaupun kerap digunakan sebagai lambang kebengisan dan keberanian, buldog moden pada umumnya anjing ramah dan mesra. Buldog kini umumnya dibela sebagai anjing peliharaan; pada tahun 2013, buldog ialah baka ke-12 paling kerap berdaftar di seluruh dunia.[2]
Rujukan pertama kepada perkataan "bulldog" bertarikh pada tahun 1631 atau tahun 1632 dalam sepucuk surat oleh seorang lelaki bernama Preswick Eaton yang dalamnya dia menulis: "procuer mee two good Bulldogs, and let them be sent by ye first shipp" (terjemahan: "dapatkanku dua ekor buldog bagus dan kirimkan mereka dengan kapal pertama").[3] Pada tahun 1666, saintis Inggeris Christopher Merret menggunakan: "Canis pugnax, a Butchers Bull or Bear Dog" ("anjing lembu atau anjing beruang tukang daging"), sebagai entri dalam Pinax Rerum Naturalium Britannicarum beliau.[4]
Gelaran "bull" ("lembu jantan; kerbau jantan; dll. (jantan)") digunakan oleh sebab kegunaan anjing ini dalam sukan pengumpanan lembu jantan. Ini memerlukan penetapan anjing (selepas meletakkan taruhan pada setiap anjing) di hadapan seekor lembu jantan tertambat. Anjing yang menangkap hidung lembu jantan itu dan menumbangkannya ke tanah menjadi pemenang. Ada kelaziman bahawa lembu jantan mencacatkan atau membunuh beberapa ekor anjing dalam acara sedemikian, sama ada dengan merodok, melambungkan, atau memijak-mijak anjing-anjing tersebut.[5] Selama berabad-abad, anjing yang digunakan untuk pengumpanan lembu mengembangkan tubuh gempal dan kepala dan rahang besar yang menjeniskan baka ini, serta perangai ganas dan buas.[5] Pengumpanan lembu diharamkan di England melalui Akta Kekejaman Terhadap Haiwan 1835.[6] Oleh itu, buldog lama Inggeris telah hidup lebih lama daripada kegunaannya di England sebagai haiwan sukan dan zaman "kerja"-nya mendekati penghujung. Walau bagaimanapun, para emigran memang mempunyai kegunaan untuk anjing sedemikian di Dunia Baru. Di New York pertengahan abad ke-17, buldog digunakan sebagai sebahagian daripada usaha di seluruh bandar untuk pengumpulan yang dipimpin oleh Gabenor Richard Nicolls. Oleh sebab pengepungan dan penggiringan lembu jantan liar adalah berbahaya, buldog dilatih untuk menangkap lembu jantan dengan hidungnya dengan cukup lama sehingga ada tali untuk dipasang di lehernya.[7]
Buldog sebagai haiwan peliharaan terus dipromosikan oleh peniaga anjing Bill George.[8]
Pada tahun 1864, sekumpulan pembiak baka buldog yang dipimpin oleh R. S. Rockstro mengasaskan kelab buldog pertama. Tiga tahun selepas pembukaannya, kelab ini berhenti wujud, tanpa menganjurkan satu pertunjukan pun. Pencapaian utama Rockstro Bulldog Club ialah perihal terperinci tentang buldog, yang dikenali sebagai piawaian Philo-Kuan. Samuel Wickens, bendahari kelab, menerbitkan perihal ini pada tahun 1865 di bawah pseudonim Philo-Kuan.[9][sumber lebih baik diperlukan]
Pada 4 April 1873, The Kennel Club diasaskan, kelab pembiakbakaan anjing pertama yang berurusan dengan pendaftaran anjing baka tulen dan baka anjing.[10]Templat:Primary source inline Buldog disertakan dalam jilid pertama Buku Pembaka The Kennel Club, yang dipersembahkan dalam Pertunjukan Birmingham pada 1 Disember 1874. Buldog Inggeris pertama yang dimasukkan ke dalam daftar ialah seekor anjing jantan bernama Adam, lahir pada tahun 1864.[perlu rujukan]
Pada Mac 1875, kelab buldog ketiga didirkan, yang masih wujud sehingga kini.[11][12][sumber lebih baik diperlukan] Para anggota kelab ini kerap bertemu di pub Blue Post di Jalan Oxford di London. Para pengasas kelab mengumpulkan semua maklumat yang tersedia tentang baka ini dan wakil-wakil terbaiknya dan membangunkan piawaian baharu untuk buldog Inggeris, yang diterbitkan pada 27 Mei 1875, tahun sama yang padanya mereka mengadakan pertunjukan baka pertama. Sejak tahun 1878, pameran kelab ini diadakan setiap tahun, kecuali semasa Perang Dunia Kedua. Pada 17 Mei 1894, The Bulldog Club dianugerahi status perbadanan dan sejak itu telah membawa nama rasmi "The Bulldog Club, Inc.". Ini merupakan kelab anjing satu baka tertua di dunia.[13][sumber lebih baik diperlukan]
Buldog diiktiraf secara rasmi oleh American Kennel Club pada tahun 1886.[14]
Pada tahun 1894, dua ekor buldog teratas, King Orry dan Dock Leaf, bertanding dalam pertandingan untuk menentukan anjing yang mampu berjalan sejauh 20 batu (32 km). King Orry merupakan kenangan daripada buldog asli, bertulang lebih ringan, dan sangat atletik. Dock Leaf ialah anjing lebih kecil dan lebih berat, lebih seperti buldog moden. King Orry diisytiharkan sebagai pemenang pada tahun itu, setelah menamatkan perjalanan sejauh 20 batu (32 km) manakala Dock Leaf rebah dan mati.[15] Walaupun kini, buldog kelihatan gagah, ia tidak dapat melaksanakan tugas yang untuknya pada asalnya ia dibiakkan, kerana ia tidak mampu menahan kedahsyatan pengejaran lembu dan pelambungan oleh lembu dan juga tidak dapat kuat-kuat memegang dengan muncung begitu pendek.[16]
Buldog mempunyai kepala dan bahu lebar yang menjadi ciri bersama-sama dengan prognatisme rahang bawah jelas. Pada umumnya terdapat lipatan kulit tebal pada kening; mata bulat, hitam, terletak rengang-rengang; muncung pendek dengan lipatan ciri yang dipanggil tali atau gulungan hidung di atas hidung; kulit tergantung di bawah leher; bibir menjebik dan gigi runcing, dan gigitan bawah dengan rahang terbalik. Lapis bulunya pendek, rata, dan berkilat dengan warna merah, perang kekuning-kuningan, putih, brindle, dan piebald.[14] Ia mempunyai ekor pendek yang sama ada dapat tergantung lurus ke bawah atau tersemat dalam "skru gabus" bergelung ke dalam poket ekor.
Di United Kingdom, piawaian baka ialah 55 lb (25 kg) untuk jantan dan 50 lb (23 kg) untuk betina.[17] Di Amerika Syarikat pula, piawaian mensyaratkan anjing lebih kecil — jantan matang tipikal berukuran seberat 50 lb (23 kg), manakala betina matang pula seberat kira-kira 40 lb (18 kg).[18]
Menurut American Kennel Club (AKC), pembawaan buldog patut "tenang dan baik hati, tegas, dan berani (tidak ganas atau agresif), dan perilaku patut cenderung damai dan penuh kehormatan. Atribut-atribut ini patut diimbangi dengan ekspresi dan tingkah laku".[19]
Buldog terkenal kerana mudah bergaul dengan kanak-kanak, anjing lain, dan haiwan peliharaan lain.[20][21]
Sebuah kajian tahun 2022 di United Kingdom tentang data veterinar mendapati jangka hayat sebanyak 7.39 tahun, angka kedua terendah antara semua baka dalam kajian.[22] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 pula mendapati jangka hayat sebanyak 9.8 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[23]
Tinjauan United Kingdom tahun 2004 mendapati bahawa punca utama bagi kematian buldog merupakan masalah berkaitan dengan jantung (20%), kanser (18%), dan usia lanjut (9%).[24]
Muncung pendek dan muka tertekan ke dalam pada buldog Inggeris dikenali sebagai brakisefali.[25][26] Brakisefali menyebabkan pencanggaan bagi salur udara atasan dan membawa kepada penyekatan pernafasan.[27] Kesan brakisefali merupakan stridor, pernafasan berdengkus, emesis, dermatitis lipatan kulit, sindrom obstruktif salur udara brakisefalik, eksoftalmos, refleks gag farinks, sianosis, dan keruntuhan larinks.[28][29][27][30][31][32][33] Isu lain yang timbul daripada brakisefali merupakan risiko komplikasi di bawah pengaruh anestesia,[34] dan hipertermia — yang disebabkan oleh ketidakbolehan untuk menurunkan suhu badan dengan berkesan melalui cungapan.[35] Banyak syarikat penerbangan mengharamkan baka ini daripada penerbangan di dalam ruang simpanan kargo kerana kadar kematian tinggi akibat interaksi buruk antara tekanan udara dengan masalah pernafasannya.[36]
Statistik daripada Orthopedic Foundation for Animals menunjukkan bahawa daripada 467 ekor buldog yang diuji pada antara tahun 1979 dengan tahun 2009 (30 tahun), 73.9% terjejas akibat displasia pinggul, angka tertinggi antara semua baka.[37] Begitu juga, baka ini mempunyai skor terburuk dalam skim penskoran British Veterinary Association/Kennel Club Hip Dysplasia, walaupun hanya 22 ekor buldog yang diuji dalam skim tersebut.[38]
Sebuah kajian di England mendapati bahawa buldog mempunyai risiko hampir tiga kali ganda lebih besar bagi kehelan tempurung lutut, dengan 2.9% daripada semua buldog yang menghidap keadaan ini.[39]
Dalam sebuah kajian United Kingdom tahun 1963, 17% daripada jumlah buldog yang ditinjau menghidap dermatitis lipatan kulit.[40] Baka ini juga cenderung terhadap dermatitis atopi.[41]
Sebuah kajian oleh Royal Veterinary College mendapati bahawa buldog ialah baka jauh kurang sihat berbanding dengan purata, dengan lebih daripada dua kali ganda kemungkinan untuk didiagnosis dengan sekurang-kurangnya salah satu daripada kecelaruan anjing umum yang disiasat dalam kajian itu.[42]
Lebih daripada 80% daripada perinduk buldog dilahirkan melalui pembedahan caesar kerana kepala besarnya yang merupakan cirinya dapat tersangkut di dalam saluran kelahiran si ibu dan untuk mengelakkan masalah pernafasan yang berpotensi untuk si ibu semasa bersalin.[43]
Sebuah kajian British mendapati bahawa demodikosis adalah lebih prevalen pada buldog berbanding dengan baka lain. Prevalens keseluruhan ialah 1.5% pada baka ini berbanding dengan kadar 0.17% untuk semua anjing. Untuk anjing yang berusia kurang daripada 2 tahun, prevalensnya ialah 3.6% berbanding dengan 0.48%.[44]
Buldog ialah salah satu daripada dua baka paling lazim terjejas akibat hernia hiatus.[45]
Pada Januari 2009, selepas dokumentari BBC Pedigree Dogs Exposed, The Kennel Club memperkenalkan piawaian baka semakan semula untuk British Bulldog, bersama-sama dengan 209 baka lain, untuk menguruskan kebimbangan kesihatan. Selepas ditentang oleh British Bulldog Breed Council, pihak akhbar berspekulasi bahawa perubahan-perubahan itu akan membawa kepada kepala lebih kecil, lipatan kulit berkurangan, muncung lebih panjang, dan postur lebih tinggi dan lebih kurus, untuk memerangi masalah dengan pernafasan dan pembiakan akibat saiz kepala dan lebar bahu.[46] Pada tahun 2019, Raad van Beheer op Kynologisch Gebied in Nederland (Kelab Kenel Belanda) melaksanakan beberapa peraturan pembiakbakaan untuk memperbaik kesihatan buldog. Antaranya merupakan ujian kebugaran yang melibatkan yang anjing perlu berjalan sejauh 1 kilometer (0.62 bt) dalam masa 12 minit. Suhu dan kadar denyut jantungnya perlu pulih selepas 15 minit.[47]
Pada tahun 2014, pemerintah Belanda melarang pembiakbakaan anjing dengan muncung lebih pendek daripada sepertiga panjang tengkorak, termasuk buldog, iaitu undang-undang yang mula dikuatkuasakan pada tahun 2019.[48] Pada tahun 2022, Mahkamah Daerah Oslo membuat keputusan yang mengharamkan pembiakbakaan buldog di Norway oleh sebab kecenderungannya untuk menderitai masalah kesihatan. Dalam keputusannya, mahkamah memutuskan bahawa tiada anjing daripada baka ini dapat dianggap sihat. Oleh itu, penggunaannya untuk pembiakbakaan akan menjadi pelanggaran Akta Kebajikan Haiwan Norway.[49][50]
Buldog kerap dikaitkan dengan keazaman, kekuatan, dan keberanian oleh sebab pekerjaannya dalam sejarah, walaupun anjing zaman moden dibiakbakakan untuk penampilan dan keramahan dan tidak sesuai untuk desakan fizikal ketara. Ia kerap digunakan sebagai maskot oleh pihak universiti, pasukan sukan, dan pertubuhan lain-lain. Sesetengah maskot buldog yang lebih terkenal termasuk Jack daripada Georgetown, Blue IV daripada Butler, Handsome Dan daripada Yale, Uga daripada Universiti Georgia, Bully daripada Universiti Negeri Mississippi, dan Chesty daripada Kor Marin Amerika Syarikat.[51][52]
Buldog berasal dari England dan mempunyai hubungan bertahan lama dengan kebudayaan British; BBC menulis: "Bagi ramai orang, buldog ialah ikon kebangsaan, yang melambangkan keberanian dan keazaman".[53] Semasa Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri Winston Churchill diumpamakan seperti buldog kerana penentangan terhadap pihak Jerman Nazi.[54]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.