Beluru merupakan sebuah daerah yang terletak dalam pentadbiran Bahagian Miri di wilayah Sarawak, Malaysia. Daerah ini terletak di timur wilayah Sarawak dan mempunyai penduduk lebih 28 orang ribu orang pada tahun 2020. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Pekan Beluru.
Sejarah
Sistem pentadbiran di Beluru mula diwujudkan pada tahun 1970-an dan diletakkan di bawah pentadbiran wakil Ulu Sungai. Pada tahun 1976, daerah Beluru telah dijadikan sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran daerah Marudi.
Pada 1 Ogos 2016, Beluru telah dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh dengan Mataip Sayu dilantik sebagai pegawai daerah pertama.[1]
Pentadbiran
Daerah Beluru terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Beluru yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran Bahagian Miri. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Majlis Daerah Marudi. Terdapat juga sebuah daerah kecil yang berada di bawah pentadbiran daerah ini, iaitu Daerah Kecil Tinjar.
Politik
Daerah Beluru diletakkan di bawah dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Marudi (N76) dan Telang Usan (N77) yang terletak di bawah kawasan Parlimen Baram (P220).
Geografi
Daerah Beluru terletak di timur negeri Sarawak, dan di tengah bahagian Miri. Daerah Beluru bersempadan dengan daerah Miri di utara, daerah Marudi di timur laut, daerah Telang Usan di timur, daerah Subis di barat, daerah Sebauh di barat daya dan daerah Belaga di selatan.
Daerah Beluru mempunyai keluasan kira-kira 4,905 kilometer persegi dan mempunyai titik tertinggi mencecah 1,449 meter. Bentuk muka bumi daerah ini kebanyakannya merupakan kawasan rata dan mendatar di bahagian utara manakala di bahagian selatan daerah ini merupakan kawasan tanah tinggi dan berbukit. Antara sungai utama yang mengalir di daerah ini termasuklah Sungai Tinjar.
Demografi
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Beluru ialah seramai 28,695 orang dengan kepadatan penduduk enam orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sangat jarang. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 7,284 isi rumah dengan 9,908 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Beluru merupakan Bumiputera selain Melayu, dengan majoriti antara mereka merupakan Orang Ulu. Penduduk berbangsa Melayu membentuk kelompok kedua terbesar diikuti penduduk berbangsa Cina. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 8,418 orang.[2][3]
Agama
Agama di Beluru - Banci 2020 | ||||
---|---|---|---|---|
Agama | Peratusan | |||
Kristian | 55.3% | |||
Islam | 38.2% | |||
Tidak diketahui | 2.3% | |||
Lain-lain | 2.0% | |||
Tiada agama | 1.3% | |||
Buddha | 0.9% |
Di daerah Beluru, agama Kristian merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan 55 peratus diikuti agama Islam sebanyak 38 peratus. Sebanyak hampir tiga peratus penduduk tidak beragama atau tidak diketahui status agamanya. Penduduk beragama Buddha, Hindu dan lain-lain membentuk kumpulan minoriti.
Agama | Jumlah |
---|---|
Kristian | 15,855 |
Islam | 10,972 |
Tidak diketahui | 662 |
Lain-lain | 568 |
Tidak beragama | 385 |
Buddha | 250 |
Hindu | 3 |
Jumlah | 28,695 |
Infrastruktur
Pada Mei 2009, RM 1.03 bilion diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya dari Miri ke tapak projek hidroelektrik Bakun. RM150 juta di antaranya untuk membaiki jalan raya 40 kilometer antara Beluru dan bazar Lapok di daerah Baram. Ia sebahagian daripada projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).[4]
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand in your browser!
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.