From Wikipedia, the free encyclopedia
Baton istiadat ialah sejenis objek berbentuk batang yang bulat panjang, biasanya diperbuat dari logam (atau kayu), merupakan lambang tradisi bagi seseorang Fil Marsyal atau pegawai tinggi tentera yang seumpamanya, dan dibawa sebagai satu kelengkapan pakaian seragam mereka. Baton tersebut dibezakan dengan tongkat swagger kerana ia lebih tebal dan tanpa sebarang fungsi yang praktikal melainkan sebagai tanda kebesaran. Tongkat kuasa boleh dicacak atas tanah manakala baton tidak boleh. Berlainan dengan cogan diraja yang bertahkta pada hulu atas dengan lambang helang atau cembul, baton biasanya berhulu rata.
Asal-usul baton komander adalah dari masa lampau tetapi menjadi kebiasaan bagi semua masyarakat pastoral dan orang-orang di Mesir dan Rome yang menyukai kerja seni. Dipercayai bahawa sejenis artifak pra sejarah berhias yang dipanggil bâton de commandement mempunyai peranan ini di Zaman Paleolitik Akhir Eropah, tetapi ahli arkeologi menolak teori ini. Di Eropah barat kebanyakan variasi salah seorang konsul menerima baton itu dan ia mewakili keseluruhan pemerintahan kepada orang-orang fasces yang mewakili suku kaum Rom yang merangkumi bangsa Rom. Mengikut zaman ia telah diperluaskan kepada para komander yang memegang kuasa tertinggi, awam dan ketenteraan keatas negeri-negeri republik, dan kemudian dibawah pemerintahan diktator dan akhirnya maharaja.
Sejenis baton yang pendek, berat, berwarna putih merupakan simbol mandat imperial yang diberikan kepada seorang wakil tentera Rom. Dia memegangnya dengan bangga sambil berkata "berada atas kepala anda dan saya" bagi mewakili maharaja.
Ada kemungkinan bahawa batang besi bertulisan rahsia Spartan, iaitu scytale', juga mempunyai kaitan status tentera, wujud sebelum baton Rom, tetapi rujukan terperinci yang pertama di era Plutarch bermula dari zaman Rom.
Baton telah diberikan kepada para komander kanan di kebanyakan angkatan tentera Eropah semenjak Zaman Pembaharuan, sebagai kebangkitan semula amalan klasik. Mereka biasanya dikurniakan oleh raja, dan ia selalunya dihasilkan dari logam berseni, walaupun potret lebih awal menunjukkan baton kayu yang kosong, lazimnya lebih panjang dan lebih tipis daripada contoh yang kemudian. Ia juga biasanya dibawa oleh golongan raja apabila bergambar dengan pakaian seragam tentera. Raja-raja Perancis, dan Napoleon, melengkapkan Marsyal Perancis dengan baton berhias, lazimnya dibalut baldu biru bertakhta simbol fleurs-de-lys sebelum Revolusi Perancis, kemudian dengan bintang-bintang atau lebah-lebah Napoleon.
Duke Wellington memiliki pelbagai baton, sejak beliau menyandang pangkat field marshal atau setaraf dengannya dalam lapan negara angkatan tentera Eropah, setiap daripadanya menganugerahkan beliau dengan satu baton. Selain dengan baton Inggerisnya beliau juga telah dikurniakan dengan dua baton British.[2] Sembilan daripada baton itu (berserta dengan beberapa tongkat kuasa) telah dipamerkan di kediamannya, Apsley House (baton Rusia telah dicuri pada 9 Disember 1965 dan belum ditemui).[3][4]
Tsar Alexander I (1801–1825) menganugerahkan lima baton, satu kepada Duke Wellington dan empat kepada jeneral Rusia.[5]
Fil marsyal moden selalunya mempunyai baton yang lebih ringkas untuk dibawa pada waktu kerja biasa, dan juga baton istiadat untuk majlis-majlis yang lebih rasmi.
Setelah kematian Arthur Wellesley, Duke Wellington, negeri Prusia memperkenalkan semula baton marsyal pada tahun 1852. Wellington merupakan Fil Marsyal kehormat Tentera Darat Prusia. Sebelum dikebumikan, telah ditetapkan bahawa beliau sepatutnya mendapat sebuah baton marsyal Inggeris di atas kerandanya. Jadi sebuah baton marsyal Prusia telah dibuat secara tergesa-gesa dan diletakkan di atas kerandanya.
Setiap Generalfeldmarschall atau Grossadmiral yang baru dinaikkan pangkat akan dianugerahi dengan dua baton: yang pertama, baton istiadat (Marschallstab), untuk kegunaan majlis-majlis rasmi, dipenuhi dengan perhiasan berharga manakala yang kedua adalah tongkat kuasa (Interimstab) untuk kegunaan harian supaya dapat mengurangkan kelusuhan pada baton istiadat yang lebih berat, sensitif, terdedah, dan sangat mahal. Baton istiadat fil marsyal Prusia yang teragam hias ini berukuran 30 sm panjang, dibalut dengan kain baldu berwarna biru langit yang bertatahkan 20 mahkota diraja emas dan 20 helang heraldik emas secara berselang seli. Kedua-dua hulu baton telah dihiasi dengan penutup berkerawang emas yang di atasnya terterap lambang helang heraldik dan jata Prusia. Kedua-dua penutup emas itu ditatahkan dengan batu-batu delima kecil berwarna merah dan terukir nama si penerima pada pangkalnya. Gambar helang hitam diraja heraldik berlatar putih telah ditempelkan pada ruang dalam baton.
Pada masa itu baton marsyal negeri-negeri Jerman yang lain kebanyakannya menyerupai baton Prusia, dengan perbezaan di negeri Bavaria dan Württemberg .[6]
Tongkat interim atau tongkat kuasa fil marsyal (dibawa untuk tugas harian) hanya digunakan oleh angkatan tentera Jerman. Tongkat kuasa ini diilhamkan oleh Kaiser Wilhelm II. Ia dicipta mengikut reka bentuk cambuk kuda dengan beberapa pengubahsuaian yang mewah. Tongkat ini berupa sebatang kayu walnat berwarna hitam atau coklat berukuran 31 inci panjang yang berbingkaikan tombol logam perak pada hulunya. Di bahagian tengah tombol itu diterapkan lambang mahkota kecil emas serta huruf besar Gothic "WII" (untuk Kaiser Wilhelm II dari Prusia) dan moto "furchtlos und treu" (berani dan setia) yang disadur emas. Di bahagian belakang tombol pula diterapkan lambang Helang Heraldik bersadur emas yang besar dan diselang-selikan dengan manik emas dan kekili emas serta kalungan laurel yang berkepalakan sebuah Mahkota Kerajaan yang besar diperbuat dari emas. Terukir pada gelung pangkal tombol ini ialah tulisan timbul emas "Wilhem II" yang lubang dibawahnya diikatkan tali jerumbai berwarna merah, hitam dan perak.
Tongkat kuasa fil marsyal kemudian dikurniakan kepada raja-raja dan para panglima perang Jerman semasa Perang Dunia I, cuma dibezakan ukiran nama dan jata masing-masing. Kadangkala tongkat marsyal dibuat khas, contohnya untuk ulang tahun ketenteraan ke-50 Raja Albert dari Saxony dan untuk hari lahir ke-90 tahun Fil Marsyal Helmuth von Moltke (baton marsyal versi Prusia bertatah berlian).[7]
Sewaktu era Reich Ketiga, Generalfeldmarschall dan Grossadmiral membawa baton-baton istiadat, yang dikeluarkan khas oleh tukang emas Jerman. Tujuh gaya baton telah dianugerahkan kepada 25 individu. Hermann Göring memiliki dua gaya baton yang berlainan untuk pangkat Generalfeldmarschall dan Reichsmarschall.
Kesemua baton, kecuali milik Erich Raeder, telah direka dengan cara yang serupa: batang baton dihiasi dengan Iron Cross dan helang Wehrmacht. Batang baton Luftwaffe (tentera udara) pula dihiasi dengan Balkenkreuz ("salib balkan"), manakala batang baton Kriegsmarine (tentera laut) dihiasi dengan simbol sauh berbelit. Kedua-dua hulu baton telah dihiasi dengan penutup berkerawang.
Tongkat interim atau tongkat kuasa adalah sama dengan Tentera Darat dan Tentera Udara dan serupa dengan kepunyaan Prusia. Perbezaannya ialah ia mempunyai tombol licin dan buah oak sebagai puncaknya. Ia dihiasi dengan helang Wehrmacht. Dalam Reich Ketiga, tongkat kuasa ini dikurniakan buat pertama kalinya pada 20 April 1936, kepada Werner von Blomberg, yang juga merupakan Fil Marsyal pertama dibawah Hitler. Tongkat ini berukuran 31 inci panjang, berupa sebatang kayu mahogani hitam yang berbingkaikan tombol yang diperbuat dari logam perak. Pada bahagian depan tombol ini ia diterapkan satu lambang helang Wehrmacht yang besar bersadur emas dan pada bahagian belakang diterapkan satu Iron Cross perak berenamel hitam manakala dua helang Reichsadler kecil bersadur emas diterapkan sedikit atas diantara kedua-dua bahagian tombol ini. Di atas tombol diperbuat cembul berbentuk buah oak daripada perak. Terukir pada gelung pangkal tombol ialah tulisan timbul "von Blomberg" yang gelang dibawahnya diikatkan tali jerumbai berwarna merah, hitam dan perak. Perbezaan tongkat kuasa hanyalah nama penerima dan lambang pada tombol yang mengikut perkhidmatan masing-masing.
Baton tradisi India Aymara dipaparkan dalam suatu majlis pelantikkan alternatif bagi presiden peribumi pertama Bolivia (Evo Morales) pada Januari 2006.
Di United Kingdom dan negara-negara komanwel terpilih tradisi diteruskan bagi mereka yang dilantik field marshal; Walaubagaimanapun, sejak tahun 1997 dengan pelantikkan Baron Inge hanya terdapat perlantikkan kehormat pangkat itu disebabkan konflik bersenjata yang sedikit.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.