From Wikipedia, the free encyclopedia
Waktu Sejagat (bahasa Inggeris: Universal Time , UT) merupakan piawaian waktu yang berasaskan putaran Bumi, sebagai kesinambungan moden buat Waktu Min Greenwich (GMT), iaitu waktu suria min pada Meridian Utama di Greenwich. GMT kadang-kadang disamakan lebih kurang dengan UTC. Sebenarnya, ungkapan "Waktu Sejagat" kurang jelas kerana terdapat beberapa versinya, terutama sekali UTC dan UT1 (rujuk di bawah). Kesemua versi UT ini berasaskan putaran Bumi secara nisbi dengan jasad-jasad cakerawala yang jauh (bintang dan kuasar) dengan faktor penskala dan lain-lain penyelerasan supaya dekat dengan waktu suria.
Sebelum diperkenalkannya waktu piawai, setiap bandar di seluruh dunia bertamadun yang berwaktu rasmi menetapkan waktunya mengikut kedudukan Matahari setempat (rujuk waktu suria). Amalan ini memadai hinggalah terciptanya enjin wap, telegraf, dan pengangkutan keretapi yang membolehkan perjalanan jarak jauh yang cukup laju untuk memerlukan jam dilaraskan semula acap kali apabila keretapi merentasi berbilang bandar dalam satu hari. Maka terciptanya waktu piawai untuk menyelesaikan masalah ini, yang mana semua jam di sebuah kawasan besar dilaraskan kepada waktu yang sama. Kronometer atau telegrafi digunakan untuk menyelaraskan jam-jam ini.[1]
Waktu piawai yang mula-mula diusulkan oleh Sir Sandford Fleming dari Scotland pada tahun 1879, membahagikan dunia kepada 24 zon waktu, setiap satunya meliputi kira-kira 15 darjah longitud. Kesemua jam di dalam setiap zon mestilah dilaraskan pada waktu yang sama dengan satgu sama lain, tetapi berbeza satu jam dari zon-zon bersebelahan. Waktu tempatan di Balai Cerap Diraja di Greenwich, England dipilih sebagai piawaian pada Persidangan Meridian Antarabangsa 1884, maka meluasnya penggunaan Waktu Min Greenwich untuk melaraskan waktu-waktu tempatan. Lokasi ini terpilih kerana pada tahun 1884, dua pertiga semua carta nautika dan peta sudah menjadikan Greenwich sebagai meridian utama.[2] Persidangan itu tidak menerima guna zon-zon waktu tetapan Fleming kerana ia berada di luar tujuan ia diusulkan, iaitu memilih asas untuk waktu sejagat (di samping meridian utama).
Pada tahun 1884 hingga 1972, kesemua negara utama menerima guna zon waktu berasaskan meridian Greenwich.[3]
Pada tahun 1935, istilah Universal Time disyorkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa sebagai istilah yang lebih jitu daripada GMT kerana GMT boleh memaksudkan sama ada hari astronomi yang bermula pada tengah hari, atau hari awam yang bermula pada tengah malam.[4] Namun begitu, istilah Greenwich Mean Time masih dikekalkan berkenaan dengan penjagaan waktu awam hingga kini.
Berasaskan putaran Bumi, waktu boleh diukur dengan memerharikan jasad-jasad cakerawala yang merentasi garis meridian setiap hari. Para ahli falak mendapati kaedah itu lebih jitu untuk menentukan waktu dengan memerhatikan bintang-bintang yang melintasi meridian daripada memerhatikan kedudukan Matahari di angkasa. Dewasa ini, UT yang berhubung dengan Waktu Atom Antarabangsa (TAI) ditentukan oleh pemerhatian Interferometri Asas Sangat Panjang (VLBI) pada kuasar yang jauh, iaitu kaedah yang boleh menentukan UT1 sejitu dalam 4 milisaat.[5][6]
Putaran Bumi dan UT diperhatikan oleh Perkhidmatan Sistem Putaran dan Rujukan Bumi Antarabangsa (IERS). Kesatuan Astronomi Antarabangsa turut terlibat dalam menetapkan piawaian, tetapi pemutus terakhir piawaian penyiaran ialah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).[7]
Pusingan Bumi agak tidak sekata dan beransur-ansur perlahan disebabkan oleh pecutan pasang surut. Lebih-lebih lagi, tempoh sesaat ditentukan daripada pemerhatian terhadap Bulan dari tahun 1750 hingga 1890. Kesemua faktor ini melahirkan hari suria min pada puratanya lebih lama sedikit daripada 86,400 saat SI, iaitu jumlah saat sehari yang dibiasakan. Oleh sebab UT sedikit tidak sekata kadarnya, para ahli falak memperkenalkan Waktu Efemeris yang kini digantikan oleh Waktu Bumi (TT). Namun begitu, oleh sebab Waktu Sejagat segerak dengan malam dan siang, apatah lagi piawaian kekerapan atom yang lebih jitu menyimpang dari ini, UT masih digunakan untuk menghasilkan pembetulan (iaitu saat lompat) kepada waktu atom untuk mendapat bentuk waktu awam tersiar yang mencerminkan kekerapan atom. Oleh itu, piawaian penyiaran awam untuk waktu dan frekuensi biasanya rapat mengikuti TAI tetapi kadang-kadang berputus sinambung (atau "melompat") agar terelak dari terlalu jauh menyimpang dari waktu suria min.
Waktu Dinamik Baripusat (TDB), iaitu sebentuk waktu atom, kini digunakan dalam pembentukan efemeris planet-planet dan jasad-jasad yang lain dalam sistem suria atas dua sebab utama.[8] Pertama, efemeris-efemeris ini diikat pada pemerhatian optik dan radar terhadap pergerakan planet, dan skala masa TDB disesuaikan supaya hukum pergerakan Newton dengan pembetulan untuk kerelatifan am dipatuhi. Kedua, skala-skala masa yang berasaskan putaran Bumi tidak sekata, oleh itu ia tidak sesuai untuk meramal pergerakan jasad-jasad di dalam sistem suria kita.
Waktu Sejagat terdapat dalam beberapa versi:
Jadual yang berikut memaparkan tarikh-tarikh penerimaan zon waktu berasaskan meridian Greenwich, termasuk zon separuh jam.
Tahun | Negara[14] | Tahun | Negara | Tahun | Negara |
---|---|---|---|---|---|
1848 | Great Britain [15] | 1906 | India,[16] Ceylon, Seychelles | 1930 | Bermuda |
1879 | Sweden | 1907 | Mauritius, Chagos | 1931 | Paraguay |
1883 | Kanada, Amerika Syarikat [17] | 1908 | P. Faroe, Iceland | 1932 | Barbados, Bolivia, Hindia Timur Belanda |
1884 | Serbia | 1911 | Perancis, Algeria, Tunis,[18] Hindia Barat Britisy | 1934 | Nicaragua, Niger T. |
1888 | Jepun | 1912 | Portugal,[19] jajahan Perancis yang lain, Samoa, Hawaii, Midway dan Guam, Timor, Kep. Bismarck, Jamaica, Kep. Bahamas | Menjelang 1936 | Labrador, P. Norfolk |
1892 | Belgium, Holland,[20] S. Africa[21] | 1913 | British Honduras, Dahomey | Menjelang 1937 | Cayman Is., Curacao, Ecuador, Newfoundland |
1893 | Itali, Jerman, Austria-Hungary (keretapi) | 1914 | Albania, Brazil, Colombia | Menjelang 1939 | Fernando Po, Parsi |
1894 | Bulgaria, Denmark, Norway, Switzerland, Romania, Turki (keretapi) | 1916 | Greece, Ireland, Poland, Turki | 1940 | Belanda |
1895 | Australia, New Zealand, Natal | 1917 | Iraq, Palestin | Menjelang 1940 | P. Lord Howe |
1896 | Formosa (Taiwan) | 1918 | Guatemala, Panama, Gambia, Gold Coast | Menjelang 1948 | Aden, P. Ascension, Bahrein, British Somaliland, Calcutta, Guiana Belanda, Kenya, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Oman, Negeri-Negeri Selat, St. Helena, Uganda, Zanzibar |
1899 | Puerto Rico, Filipina | 1919 | Latvia, Nigeria | Menjelang 1953 | Raratonga, Georgia Selatan |
1900 | Sweden, Mesir, Alaska | 1920 | Argentina, Uruguay, Burma, Siam | Menjelang 1954 | Kep. Cook |
1901 | Sepanyol | 1921 | Finland, Estonia, Costa Rica | Menjelang 1959 | Republik P. Maldives |
1902 | Mozambique, Rhodesia | 1922 | Mexico | Menjelang 1961 | Kep. Friendly, Kep. Tonga |
1903 | Ts'intao, Tientsin | 1924 | Jawa, KRSS | Menjelang 1962 | Arab Saudi |
1904 | Pantai Cina, Korea, Manchuria, Borneo U. | 1925 | Cuba | Menjelang 1964 | Kep. Niue |
1905 | Chile | 1928 | Pedalaman Cina | 1972 | Liberia |
Selain Guyana (+3h 45m) dan Pulau Chatham (-12h 45m), semua negara menjaga masa dalam hitungan jam genap atau separuh jam dari Greenwich.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.