jawatan pembesar adat di Negeri Sembilan From Wikipedia, the free encyclopedia
Yang Teramat Mulia Dato' Undang Yang Empat Negeri Sembilan ialah gelaran Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan. Undang bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin didefinisikan sebagai Raja bagi Negeri Sembilan mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.[1]
Undang pada asalnya adalah penghulu yang dilantik dalam kalangan suku Biduanda, iaitu suku pembesar Melayu berketurunan batin Orang Asli Sakai dan Jakun yang berkahwin campur dengan pembesar Kesultanan Johor Lama dan pembesar Minangkabau semasa zaman awal Negeri Sembilan.
Penghulu ini kemudiannya mendapat pengiktirafan daripada Kesultanan Johor-Riau dan diperakui sebagai pemerintah berdaulat dalam wilayah masing-masing dan dipercayai mula memakai gelaran Undang pada abad ke-18.[1]
Kedudukan Undang sebagai pemerintah terus diiktiraf oleh Belanda dan British pada abad ke-19 selain Raja-raja Melayu lain dan memainkan peranan dalam mengasaskan institusi asas Tanah Melayu yang menjadi teras kewujudan Malaysia.
Sistem pelantikan dan penggiliran Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan sistem pemerintahan Undang di Negeri Sembilan. Undang juga memainkan peranan dalam mengasaskan Rejimen Askar Melayu Diraja, penubuhan Majlis Perundingan Persekutuan yang kemudian menjadi Parlimen serta sistem pentadbiran awam Malaya (kini Malaysia).[1]
Kedudukan dan keistimewaan Undang selaku Raja diiktiraf dalam Perkara 71[2], Perkara 160[3] dan Perkara 181 [4] Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Negeri Sembilan mempunyai empat Undang yang mengetuai empat wilayah atau luak utama di negeri itu. Mereka ialah Undang Sungei Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol dan Undang Rembau, dikenali sebagai Undang Yang Empat.
Undang Yang Empat dianggap sebagai empat 'beradik' yang berkuasa menentukan hala tuju pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, berikutan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 mengkehendaki Yang di-Pertuan Besar perlu mendapatkan persetujuan Undang Yang Empat dalam kebanyakan kuasa budi bicara Raja di negeri berkenaan.
Peranan paling utama Undang Yang Empat ialah memilih dan menabal Yang di-Pertuan Besar mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Undang Yang Empat untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar.
Peranan utama lain bagi Undang adalah mempunyai kuasa persetujuan berhubung:-
Mengikut Perkara 17 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Undang Yang Empat adalah ahli Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (The Council of Yang di-Pertuan Besar and the Ruling Chiefs of Negeri Sembilan) yang turut dianggotai Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ianya dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar.
Secara tradisinya, Undang adalah Raja Melayu dalam jajahannya yang dikenali sebagai luak atau luhak. Pemilihan dan pelantikan Undang dilakukan oleh oleh Dato'-Dato' Lembaga di dalam sesebuah luak itu mengikut adat yang diamalkannya.
Luak | Gelaran | Undang[5] | Tempoh memerintah |
---|---|---|---|
Sungai Ujong | Dato' Klana Petra Sri Jaya | Mubarak Dohak | Sejak 1993 |
Jelebu | Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman
Sultan Jelebu |
Maarof Mat Rashad | Sejak 2018 |
Johol | Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan | Muhammad Abdullah | Sejak 2016 |
Rembau | Dato' Sedia Raja | Masih belum perkenan | Sejak 2024 |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.