Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Trauma merupakan sebuah filem ngeri psikologi Malaysia 2004 arahan dan tulisan oleh Aziz M. Osman.[2] Dibintangi oleh Amy Mastura, Nasha Aziz, Sharifah Aleya dan Azhar Sulaiman,[3] ia mengisahkan Nurul yang mengalami trauma selepas dua kali terbabit dalam kemalangan jalan raya. Kehadiran Jeslina telah mencetuskan suatu tragedi dalam hidup Nurul yang dikatakan mempunyai gangguan mental. Filem ini ditayangkan pada 22 Januari 2004.[4][5]
Trauma | |
---|---|
Pengarah | Aziz M. Osman |
Penulis | Aziz M. Osman |
Lakon layar | Aziz M. Osman |
Dihasilkan oleh | Gayatri Su-Lin Pillai (eksekutif) |
Dibintangi | |
Sinematografi | Bade Hj. Azmi |
Disunting oleh | Aziz M. Osman |
Muzik oleh | Azman Abu Hassan |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh |
|
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 103 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM1.2 juta |
Pecah panggung | RM1.3 juta |
Kisah seorang gadis bernama Nurul, seorang arkitek berjaya yang mengalami trauma untuk memandu kereta selepas dia terbabit dalam kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, adiknya, Nadia serta teman lelakinya, Huzir banyak membantu memberi semangat serta sokongan supaya dia pulih sepenuhnya. Konflik filem ini bermula apabila Jeslina, pembantu peribadi kepada Huzir, mencetuskan perbalahan antara Nurul, Nadia dan Huzir.
Akibat percayakan kata-kata Jeslina, Nadia dan Huzir sanggup menghantar Nurul ke pusat rawatan psikologi di sebuah hospital sakit jiwa. Dalam diam, Huzir sudah terpikat pada Jeslina, sehinggakan keadaan menjadi tidak terkawal apabila Huzir membuat pengakuan mengenai hubungannya dengan Jeslina. Bahagian akhir filem ini memberi kejutan kerana ia akan menguji apakah Nurul boleh pulih daripada trauma bagi merungkai segala kekusutan serta konflik yang menyebabkan berlakunya hubungan renggang dengan adiknya.
Trauma ialah filem keenam terbitan Tayangan Unggul dan filem ke-20 arahan Aziz M. Osman.[7] Ia juga merupakan filem seram pertama arahannya. Sewaktu sidang akhbar selepas pratonton filem arahannya di pawagam TGV, KLCC, Aziz berkata: "Trauma ialah sebuah filem thriler saspens. Kalau saya sebagai penerbit, saya sendiri tidak berani menerbitkan filem seperti ini".[4]
Amy Mastura dan Azhar Sulaiman kembali digandingkan selepas dua filem lakonan mereka sebelum ini, Impian (1996) dan KLU (1999).[8][9] Amy yang sebelum ini berlakon di bawah arahan Aziz menerusi filem Puteri Impian (1997), memegang watak Nurul, seorang arkitek berjaya yang mengalami trauma selepas dua kali terbabit dalam kemalangan jalan raya. Beliau mengakui Trauma memberi pengalaman baru buatnya lebih-lebih lagi dalam kebanyakan filem lakonannya sebelum ini lebih tertumpu kepada watak-watak yang ceria.[4][10][11] Nasha Aziz memegang watak Jeslina, pembantu peribadi Huzir. Nasha mengakui wataknya dalam filem itu amat berbeza dengan filem-filem lakonannya sebelum ini. Trauma ialah filem kedua Nasha bersama Aziz selepas Puteri Impian.[4][12][13] Penyampai radio Era, Seelan Paul membuat kemunculan khas sebagai Doktor yang merawat Nurul. Kos penerbitan dan promosi dianggarkan berjumlah RM1.2 juta dengan penggambaran dijalankan di Genting Highlands, Pahang dan Kepong, Kuala Lumpur selama 41 hari dari November hingga Disember 2002.[4]
Filem ini dikeluarkan pada 22 Januari 2004 di 33 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei[14][15][16] semasa sambutan Tahun Baru Cina.[17] Filem ini telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM600,000 dalam tempoh 4 hari tayangan,[18] kutipan meningkat sebanyak RM 1 juta dalam tempoh seminggu.[19]
Hanisah Selamat dari Berita Harian dalam ulasannya mengenai filem ini menulis: "Jika selama ini penonton tempatan sering disogokkan filem suspens-thriler Barat, Korea dan Jepun, kali ini Tayangan Unggul membawa 'angin' baru dengan membawakan hasil yang sama kualiti menerusi filem terbaru berjudul Trauma".[20] Akmal Abdullah dari akhbar sama memuji filem ini sebagai "filem ketiga terbaik Aziz M. Osman".[17] Ramlah Zainal, menulis untuk Harian Metro mengulas bahawa filem ini "ternyata menyimpang daripada tema filem Melayu yang biasa" sekaligus "menyuntik semangat baru dalam industri perfileman tempatan".[21] Meor Shariman dari The Malay Mail memuji keseluruhan jalan cerita filem ini.[22]
Pada April 2004, filem ini telah dikeluarkan dalam bentuk VCD oleh Golden Satellite.[23] Trauma terpilih mewakili Malaysia di Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (FFAP49) yang berlangsung pada September 2004 di Fukuoka, Jepun. Turut terpilih FFAP49 ialah Berlari Ke Langit dan Pontianak Harum Sundal Malam.[24] Filem ini telah dipertontonkan di televisyen buat pertama kali apabila ia disiarkan di Astro Ria pada 15 September 2005.[25]
Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2004 | Festival Filem Malaysia ke-17 | Pelakon Wanita Terbaik | Nasha Aziz | Menang |
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Sharifah Aleya | Menang | ||
2005 | Anugerah Skrin 2005 | Pelakon Wanita Terbaik | Nasha Aziz | Menang |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.