baka anjing dari Jepun From Wikipedia, the free encyclopedia
Spits Jepun[lower-alpha 1] ialah satu baka anjing kecil hingga sederhana daripada jenis spits. Terdapat piawaian berlainan di seluruh dunia untuk saiz unggul baka ini, tetapi ia sentiasa lebih besar daripada sepupunya yang lebih kecil, anjing Pomerania. Ia dikembangkan di Jepun pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an melalui pembiakbakaan sebilangan baka anjing jenis spits lain bersama-sama. Ia diiktiraf oleh kebanyakan kelab kenel utama, kecuali American Kennel Club oleh sebab penampilan serupanya dengan anjing Pomerania putih, anjing Eskimo Amerika, dan anjing Samoyed. Walaupun ia merupakan baka agak baharu, ia semakin menjadi sangat popular kerana perangai dan ciri lain yang disenangi.
Negara asal | Jepun | ||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Kebimbangan kesihatan utama ialah kehelan tempurung lutut dan kebimbangan kecil berulang-ulang ialah kecenderungan baka ini terhadap mata berair. Ia boleh bertindak sebagai anjing penjaga yang boleh diharap, tetapi ia merupakan sejenis anjing teman dan lebih suka menjadi bahagian giat keluarga. Sungguhpun ia mungkin kelihatan gebu, ia merupakan baka dengan penjagaan sedikit kerana bulunya kotoran tidak melekat pada lapis bulunya.
Spits Jepun ialah anjing kecil setinggi sekitar 33 cm (13 in) pada paras kelasa dengan tubuh lebih kurang berbentuk segi empat sama, dada dalam, lapis bulu ganda putih metah sangat tebal. Lapis bulunya terdiri daripada lapis bulu luar yang mencacak dari lapis bulu bawah lembut, dengan bulu lebih pendek di muncung dan di telinga serta di hadapan tungkai hadapan dan tungkai belakang. Lingkaran leher berbulu lebih panjang. Ia mempunyai muncung menirus dan telinga tajam (tegak) kecil berbentuk segi tiga. Ekornya panjang, berbulu panjang lebat, dan terangkat melingkar ke atas dan menyentuh belakang anjing. Lapis bulu putihnya berkontras dengan tapak kaki dan kuku kaki hitam, hidung hitam, dan mata gelap.[2] Mata bujur besar (seakan-akan benih ginkgo) adalah gelap dan agak menyerong dengan bulu mata putih dan hidung, bibir, dan pinggir matanya adalah hitam. Muka spits Jepun berbentuk baji.[3]
Ia mengongsi keserupaan bersama dengan anjing Pomerania, anjing Samoyed, dan anjing Eskimo Amerika.
Perihal bagi saiz unggul baka ini berbeza-beza. Di Jepun, saiz unggul untuk jantan diperihalkan sebagai 30–38 cm (12–15 in) pada paras kelasa, manakala betina lebih kecil sedikit; piawaian Jepun ialah piawaian yang diterbitkan oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa untuk pertandingan anjing antarabangsa.[4] Di United Kingdom, The Kennel Club memerihalkan saiz sebagai 34–37 cm (13–15 in) pada paras kelasa dengan betinanya setinggi 30–34 cm (12–13 in),[3] yang sama untuk Australian National Kennel Council.[5] Di New Zealand, menurut New Zealand Kennel Club, saiz unggul ialah 30–40 cm (12–16 in) untuk jantan dan 25–35 cm (9.8–13.8 in) untuk betina. Canadian Kennel Club pula menyatakan bahawa saiz untuk anjing jantan ialah 12 in (30 cm) dengan betina yang lebih kecil sedikit dan United Kennel Club di Amerika Syarikat memerihalkan saiz unggul sebagai 12–15 in (30–38 cm) untuk jantan dan 12–14 in (30–36 cm) untuk betina. Kelab-kelab kenel kecil dan pertubuhan lain mungkin menggunakan mana-mana saiz unggul ini atau mentakrifkan saiz sendiri. Spits Jepun pada umumnya lebih besar daripada sepupunya, anjing Pomerania.
Pembiak baka anjing di Jepun pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an menghasilkan spits Jepun melalui pembiakbakaan silang bagi sebilangan baka spits lain untuk mengembangkan spits Jepun.[6] Pembiak baka bermula dengan spits Jerman putih, yang pada asalnya dibawa dari China timur laut ke Jepun; anjing-anjing ini pertama kali dipamerkan pada pertunjukan anjing di Tokyo pada tahun 1921.[7][8] Pada antara tahun 1925 dengan tahun 1936, pelbagai baka spits putih kecil diimport dari seluruh dunia dan disilangkan ke dalam baka berkembang, dengan matlamat untuk menghasilkan baka lebih baik.[7] Piawaian terakhir untuk baka ini ditulis selepas Perang Dunia Kedua dan diterima oleh Japan Kennel Club.[7] Baka ini memperoleh kepopularan di Jepun pada tahun 1950-an dan dieksport ke Sweden pada awal tahun 1950-an. Dari sana, baka ini menuju ke England, dan The Kennel Club mengiktiraf spits Jepun pada tahun 1977 dalam Kumpulan Utiliti.[2] Spits Jepun telah tersebar ke seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat Australia, dan India dan ia diiktiraf oleh kebanyakan kelab kenel besar di dunia berbahasa Inggeris; oleh Canadian Kennel Club dalam Kumpulan 6, Bukan Sukan, oleh New Zealand Kennel Club (Kumpulan Bukan Sukan), oleh Australian National Kennel Council dalam Kumpulan 7 (Bukan Sukan), dan oleh United Kennel Club (Amerika Syarikat) dalam Kumpulan Baka Utara. Pada April 2019, American Kennel Club menambahkan baka spits Jepun ke dalam Khidmat Ternakan Asasi yang bermaksud bahawa ia masih belum diiktiraf oleh AKC.[9] Baka ini juga diiktiraf oleh pejabat pendaftaran dan kelab kecil.
Ia merupakan baka sihat dengan sangat sedikit masalah genetik. Kebimbangan kesihatan utama untuk spits Jepun ialah perkembangan kehelan tempurung lutut, iaitu keadaan yang menyebabkan tempurung lutut terkehel dari kedudukan normalnya. Ia juga terdedah kepada mata berair, yang hampir kerap disebabkan oleh kehadiran duktus air mata yang terlalu kecil, atau alahan terhadap rumput panjang atau stres. Ia jarang disebabkan oleh sebarang kecacatan mata serius.[10]
Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 13 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[11]
Sebagai anjing aktif, setia, dan pintar,[12] spits Jepun terkenal kerana keberanian besar, kasih sayang, kesetiaan, dan keramahan yang menjadikannya anjing penjaga baik dan pendamping unggul untuk orang tua dan kanak-kanak kecil. Kebanyakan spits Jepun merupakan anjing penjaga baik walaupun saiznya agak kecil dan ia mempunyai kecenderungan untuk menyalak untuk memberikan amaran tentang ketibaan orang asing.[12] Spits Jepun mula-mula sekali ialah anjing teman dan cukup bahagia dengan sentuhan dan perhatian manusia, dengan kecenderungan terhadap kehidupan sebagai anggota keluarga. Ia terkenal sebagai anjing sangat setia. Ia menikmati aktiviti dan suka berada di ruangan luar. Ia cerdas, suka bermain, berwaspada, dan patuh, dan khususnya cemerlang dan bersikap penyayang terhadap kanak-kanak.[13]
Spits Jepun dapat mentoleransi cuaca sejuk tetapi, oleh sebab ia dibiakbakakan sebagai anjing teman, ia lebih suka tinggal di dalam rumah dengan kehangatan keluarga manusianya.[12] Sungguhpun dapat tinggal di pangsapuri, ia memerlukan masa untuk berlari-lari di luar tanpa cawak di persekitaran selamat.
Oleh sebab tekstur lapis bulunya, lumpur dan kotoran langsung tertanggal atau dapat mudah ditanggalkan dengan memberus. Walau bagaimanapun, oleh sebab lapis bulu tebal baka ini, pemberusan kerap adalah penting.[12][14][15]
Lapis bulu spits Jepun adalah agak kering berbanding dengan baka lain. Lapis bulunya patut dirawat dua kali seminggu dengan menggunakan berus pin yang mencapai lapis bulu bawah untuk mengelakkan pembentukan simpulan.[16] Perawatan bulu baka ini adalah agak mudah berbanding dengan baka lain. Lapis bulu putihnya mempunyai tekstur antilekat yang kerap diperihalkan serupa dengan teflon.[17]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.