From Wikipedia, the free encyclopedia
Kingdom Hearts (キングダムハーツ , Kingudamu Hātsu) ialah satu siri permainan video berperanan yang dimajukan dan diterbit oleh Square Enix (dahulunya Square), hasil usahasama Square dan Disney Interactive Studios di bawah pengarahan Tetsuya Nomura, seorang pereka watak yang sekian lama bersama Square. Kingdom Hearts menyaksikan perentasan latar-latar Disney di sebuah alam yang direka khusus untuk siri ini. Tambahan pula, siri ini menampilkan barisan pelakon suara serba ternama yang merangkumi kebanyakan pelakon suara rasmi Disney. Watak-watak dari siri Final Fantasy rekaan Square Enix turut muncul dan berinteraksi dengan pemain dan watak-watak Disney. Siri ini mengisahkan pengembaraan watak utama bernama Sora yang mencari rakan-rakannya dan pertemuannya dengan watak-watak Disney dan Final Fantasy di alam masing-masing.
Siri Kingdom Hearts kini terdiri daripada empat judul permainan untuk pelbagai platform permainan video, serta judul-judul akan datang yang sedang diusahakan. Kebanyakan permainan dalam siri ini meraih sambutan hangat dari para pengulas dan penggemar permainan video, namun setiap permainan ini telah mencapai tahap kejayaan yang berbeza-beza. Pada September 2007, siri Kingdom Hearts sudah diedarkan lebih 11 juta salinan di seluruh dunia,[1][2] dengan 2 juta salinan di rantau sistem video PAL, 3 juta di Jepun, dan 5 juta di Amerika Utara.[3][4] Terdapat beberapa jenis barang dagangan yang dikeluarkan di samping permainannya, seperti runut bunyi, figura, dan buku teman. Tambahan lagi, permainan-permainan ini telah diadaptasi menjadi siri manga dan novel.
Siri permainan Kingdom Hearts mengandungi unsur-unsur aksi dan pemainan peranan. Permainan-permainannya dipandu oleh kemaraan lurus ke peristiwa seterusnya, yang biasanya dikisahkan dalam bentuk cut scene, namun terdapat banyak tugas sampingan (side quests) yang menawarkan faedah bonus kepada watak-watak. Pemain menjadi pengemudi watak utama siri ini, iaitu Sora. Sora biasanya ditemani oleh Donald Duck dan Goofy, yang merupakan watak bukan pemain yang membantu Sora ketika berlawan. Dalam permainan yang pertama dan ketiga, kelakuan mereka boleh diubah agar sesuai dengan keperluan pemain. Permainan ini memperlihatkan pertempuran yang melibatkan serangan badan, sihir, dan penyeruan; tetapi setiap permainan aalah berbeza cara permainannya.
Gummi Ship juga merupakan tema yang biasa dalam siri, namun hanya digunakan dalam permainan pertama dan ketiga. Gummi Ship ini merupakan kaedah pengangkutan utama untuk merentasi alam dalam permainan. Oleh sebab menerima ulasan kurang memuaskan dalam permainan pertama, maka Gummi Ship diperbaiki dalam permainan ketiga.[5] Ketiga-tiga permainan turut menampilkan jurnal yang boleh dicapai dari menu utama. Jurnal ini mencatat maklumat mengenai kisah, watak-watak, musuh, dan lokasi. Dalam permainan, jurnal ini disimpan oleh Jiminy Cricket, yang dilantik oleh Ratu Minnie sebagai pencatat diraja.[6]
Permainan-permainan Kingdom Hearts dipengaruhi oleh francais induknya, iaitu Final Fantasy.[7] Seperti yang dilihat dalam permainan berperanan yang lain, Kingdom Hearts mempunyai sistem mata pengalaman yang menetukan perkembangan watak. Setiap kali musuh ditewaskan, pemain meraih pengalaman yang memuncak menjadi "level-up", apabila watak-watak semakin kuat serta memperoleh capaian kepada kebolehan baru.[8] Jumlah pengalaman ini dikongsi dengan semua ahli kumpulan dan setiap watak bertambah kuat sambil menambah pengalaman.[9]
Kingdom Hearts menampilkan percampuran watak-watak Disney dan Final Fantasy terkenal, dan juga beberapa watak baru yang direka oleh Nomura.[10] Walaupun adanya tempat-tempat yang hanya terdapat dalam francais Kingdom Hearts, namun alam-alam dari filem Disney banyak sekali diterokai. Sora mesti mengunjungi alam-alam ini dan berinteraksi dengan watak-watak Disney tersohor untuk melindungi mereka daripada musuh. Selalunya, tindak-tanduk Sora di alam-alam ini amat menyerupai jalan-jalan cerita yang diperlihatkan dalam filem Disney asal masing-masing. Donald Duck menegur Sora agar tidak terlampau masuk campur di alam-alam ini, kerana khuatir akan menimbulkan masalah.[11][12] Moogle, iaitu makhluk-makhluk kecil dari Final Fantasy, juga kerap ditemui dalam permainan, untuk menawarkan kedai sintesis kepada pemain untuk mereka barang-barang untuk kegunaan dalam permainan.
Tiga permainan utama dalam siri Kingdom Hearts tertumpu pada pengembaraan Sora yang mencari rakan-rakannya, Kairi and Riku. Permainan pertama menunjukkan bagaimana Sora terpisah dari rakan-rakannya apabila dunia mereka dicerobohi oleh seangkatan heart rosak yang bergelar Heartless. Ketika serangan berlaku, dia meraih senjata khas yang dikenali sebagai Keyblade. Kemudian, Sora menemui Donald Duck, tukang sihir diraja Istana Disney, dan Goofy, kapten pengawal diraja Istana Disney.[13] Donald dan Goofy sedang mencari "kunci" atas titah Raja Mickey.[14] Ketiga-tiga mereka bersatu dan mengembara ke pelbagai alam bertema Disney, melindungi segala heart di setiap alam untuk mengekang serangan Heartless. Di sepanjang jalan mereka menemui segerombolan watak jahat Disney yang diketuai Maleficent yang mengawal makhluk Heartless.[15][16] Kumpulan bertiga itu lama-kelamaan menyedari bahawa seorang lelaki bernama Ansem ialah antagonis yang sebenar. Rancangan Ansem adalah membuka pintu ke dalam Kingdom Hearts. Sora, Donald, dan Goofy menumpaskan Ansem, lalu menutup pintu itu dengan bantuan Riku dan Raja Mickey di sebelah lain pintu.
Setelah menutup pintu Kingdom Hearts, barulah mereka bertiga mencari Riku dan Raja Mickey.[17] Mereka menemui sebuah kubu misteri bernama Castle Oblivion.[18] Sewaktu memasuki kubu itu, mereka mula beransur-ansur kehilangan ingatan mereka.[19] Mereka bertiga menemui sekumpulan penjahat berpakaian serba gelap yang bergelar Organization. Selepas menewaskan ahli-ahli Organization dalam kubu, Sora menyedari ingatannya telah dimanipulasi oleh seorang gadis bernama Naminé yang dikawal oleh Organization. Untuk membolehkan mereka memulihkan ingatan mereka, Naminé menidurkan Sora, Donald, dan Goofy selama setahun.[20] Apabila mereka bertiga dibawa ke aras tertinggi kubu tersebut, Riku dan Raja Mickey tiba di aras bawah tanah lalu bergegas ke aras atas jua. Riku melawan kegelapan dalam hatinya sambil cuba menerima penduaan sifatnya antara cahaya dan kegelapan.[21]
Setahun kemudian, Sora, Donald, dan Goofy bangkit lalu meneruskan pencarian mereka untuk Riku dan King Mickey. Mereka mengenali puak Nobody dan pempmpin mereka, iaitu Organization XIII. Kemudian, Maleficent bangkit lalu bersatu dengan Pete, seorang lagi penjahat Disney, untuk meneruskan pencarian kuasanya. Sora sekali lagi mengembara ke merata alam bertemakan Disney untuk menyelesaikan haru-biru yang diangkarakan Organization XIII, makhluk Heartless, Maleficent dan Pete, serta penjahat-penjahat tempatan. Sementara itu, Kairi diculik oleh Organization. Mereka bertemu Raja Mickey, yang mendedahkan sifat sebenar Ansem, iaitu antagonis Kingdom Hearts. Ansem yang ditewaskan Sora semula ini sebenarnya merupakan Heartless of Xehanort, seorang anak murid Ansem the Wise. Xemnas, iaitu ketua Organization XIII, menunjukkan dirinya sebagai Nobody of Xehanort.[22][23] Tiga sekawan itu tiba di markas Organization XIII, di mana Kingdom Hearts menjelma di atas. Ansem the Wise menggunakan suatu peranti yang menghamburkan sedikit kuasa Kingdom Hearts, tetapi kesaratan dalam sistem menyebabkan peranti itu meletup lalu meragut nyawa Ansem.[24] Di atas kubu Organization XIII, Sora dan rakan-rakannya melawan Xemnas, yang menggunakan saki-baki Kingdom Hearts untuk melawan mereka.[25] Setelah Xemnas gugur, Sora dan Riku disatukan semula dengan kawan-kawan yang lain di tempat asal mereka di Destiny Islands.[26]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.