Sultan Perak & Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah (Jawi: سلطان نظرين معز الدين شاه ابن المرحوم سلطان ازلن محب الدين شاه المغفور له; diputerakan pada 27 November 1956 di George Town, Pulau Pinang) ialah Sultan Perak ke-35. Baginda merupakan anakanda pertama dan putera sulung kepada Sultan Perak ke-34, Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama Raja Permaisuri Tuanku Bainun.[1][2]
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah | |
---|---|
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVII Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan XXXV | |
Timbalan Yang di-Pertuan Agong | |
Pemerintahan | 13 Disember 2016 - kini |
Negeri | Perak |
Didahului oleh | Sultan Muhammad V |
Sultan Perak | |
Pemerintahan | 29 Mei 2014 – kini |
Pertabalan | 6 Mei 2015 |
Didahului oleh | Sultan Azlan Muhibbuddin Shah |
Raja Muda Perak | |
Kemahkotaan | 15 April 1987 - 29 Mei 2014 |
Didahului oleh | Raja Ahmad Saifuddin |
Diikuti oleh | Raja Jaafar |
Raja Kecil Besar | |
Kemahkotaan | 16 Februari 1984 - 15 April 1987 |
Didahului oleh | Raja Ahmad Hashim |
Diikuti oleh | Raja Izzuddin Iskandar Shah |
Keputeraan | Raja Nazrin Shah Ibni Raja Azlan Shah 27 November 1956 (umur 67 tahun, 11 bulan dan 14 hari) George Town, Pulau Pinang, Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia) |
Pasangan | Tuanku Zara Salim (k. 2007) |
Anakanda | |
Ayahanda | Sultan Azlan Muhibbuddin Shah |
Bonda | Raja Permaisuri Tuanku Bainun |
Agama | Islam |
Raja Nazrin Shah telah diputerakan pada 27 November 1956, di George Town, Pulau Pinang, Malaya. ketika pemerintahan paduka nenda baginda, Sultan Yussuff Izzuddin Shah. Paduka ayahanda baginda, Raja Azlan Shah (kemudian Sultan Azlan Muhibbuddin Shah) merupakan paduka anakanda kelima putera bongsu kepada Sultan Yussuff Izzuddin Shah. Paduka bonda baginda, Cikgu Bainun (kemudian Tuanku Bainun) ialah orang kebanyakan dari Pulau Pinang yang kemudian mengahwini Raja Azlan Shah pada tahun 1955. Semasa baginda diputerakan, paduka ayahanda baginda bertugas sebagai majistret sementara paduka bondanya bertugas sebagai seorang guru di Pulau Pinang. Raja Nazrin Shah ialah paduka anakanda dan putera sulung daripada lima adik-beradik, Raja Azureen, Raja Ashman Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia. Kesemuanya telah berangkat ke luar negeri untuk melanjutkan pengajian tingginya.
Baginda memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah 5, dan menyambung pendidikan rendah dan menengah rendah dari darjah 6 hingga tingkatan 2 di Sekolah St. John, Kuala Lumpur. Setelah berusia 13 tahun, Baginda berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge. Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.
Semasa Raja Azlan Shah selamat diputerakan, paduka ayahanda baginda bukan tergolong dalam raja bergelar kerana baginda merupakan paduka putera yang bongsu dan menyebabkan baginda berada jauh dalam susur galur pewarisan takhta kerajaan Perak sekali gus membuatkan Raja Nazrin Shah turut jauh dalam pewarisan takhta. Pada zaman pemerintahan paduka ayahanda baginda pula, kedudukan baginda semakin dekat apabila paduka ayahanda baginda diangkat sebagai Sultan Perak setelah kemangkatan paduka nenda baginda. Pada 16 Februari 1984, Raja Nazrin Shah dimasyhurkan sebagai Raja Kechil Besar Perak dan telah menyempurnakan istiadat menjunjung duli pada 30 Ogos 1986. Dengan gelaran raja bergelar Perak baru ini, baginda berada di tempat ketiga mengikut sistem hierarki sistem pergiliran Kesultanan Perak.[3]
Pada tanggal 12 April 1987 apabila Raja Muda Raja Ahmad Saifuddin Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Ibni Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Raja Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia. Baginda telah dimasyhurkan Raja Muda Perak pada 15 April 1987, mengambil alih tempat ayahanda baginda, Sultan Azlan Shah, yang menaiki takhta menjadi Sultan Perak dua minggu sebelum itu.
Raja Nazrin Shah berjumpa dan berkenalan dengan Zara Salim Davidson sejak baginda berusia 48 tahun.
Istiadat pernikahan diadakan secara sederhana dan ringkas dengan adat istiadat di Istana Iskandariah dengan mas kahwin 250 gram emas tulen dalam bentuk lima syiling.
Selepas lapan tahun berkenalan, Raja Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim diijabkabulkan pada 17 Mei 2007 di Istana Iskandariah.[4] Perkahwinan ini merupakan yang pertama kali dalam sejarah kerana semua Raja Muda yang dilantik sebelum ini telah berkahwin sebelum dilantik sebagai Raja Muda Perak. Raja Dr Nazrin Shah berpakaian persalinan baju songket tenunan Terengganu berwarna kuning diraja dengan baju melayu lengkap bersamping berserta setanjak. Raja Dr. Nazrin amat disenangi pelbagai lapisan masyarakat dan dibuktikan apabila berita perkahwinannya dengan Zara Salim Davidson disambut dengan penuh kesyukuran dan perasaan teruja.
Raja Nazrin Shah dikurniakan anakanda pertama baginda, Yang Teramat Mulia Raja Azlan Muzzaffar Shah pada 14 Mac 2008. Anakanda kedua, Yang Teramat Mulia Raja Nazira Safya telah diputerakan pada tahun 2 Ogos 2011.
Raja Nazrin Shah telah menjadi Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan dua kali iaitu apabila paduka ayahanda baginda diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada tahun 1989 hingga tahun 1994 serta sewaktu paduka ayahanda baginda gering bermula pada tahun 2008 sehingga kemangkatan paduka ayahanda baginda. Baginda telah menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja mewakili paduka ayahanda baginda.[5]
Baginda diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dilantik sebagai Canselor Keempat Universiti Malaya berkuatkuasa 16 Julai 2014. Pada 14 Ogos 2014, baginda telah berkenan menjadi Kolonel Yang Dipertuan Rejimen Jurutera Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertuan Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.
Pada tahun 2008, Raja Nazrin Shah mengambil alih tugas paduka ayahanda baginda sebagai Pemangku Raja Perak akibat gering. Setelah separuh dekad memegang jawatan sebagai Pemangku Raja, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mangkat pada 28 Mei 2014. Pada hari yang sama, keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam Mesyuarat Khas Dewan Negara Perak dan mencapai kata sepakat menamakan Raja Nazrin Shah dengan nama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak yang baharu. Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Perak sehari selepas kemangkatan Al-Marhum Paduka Ayahanda Baginda pada hari Istiadat Pemakaman Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Baginda dan Raja Puan Besar Perak berangkat berpindah ke Istana Iskandariah.
Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV diadakan pada 6 Mei 2015, setahun selepas kemangkatan paduka ayahanda baginda di Istana Iskandariah. Istiadat Pertabalan ini disiar secara langsung di kaca mata televisyen tempatan Malaysia.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ialah penaung diraja Mercy Malaysia. Baginda berkenan berangkat ke Istanbul, Turki untuk mempengerusikan sesi khas mengenai pembiayaan sosial Islamik yang diadakan sempena Sidang Kemanusiaan Sedunia 2016.
Duli Yang Maha Mulia telah berkenan menerima jemputan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tuan Yang Teruamat Ban Ki-moon untuk mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menerima penghargaan di UNGA-71.[6]
Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda untuk dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia apabila Sultan Muhammad ke-V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.[7]
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak berkenan berangkat mencemar duli ke Istiadat Persemadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Mendiang Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat mewakili negara sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Besar, Thailand pada 25 Oktober 2017.[8]
Pada 2 November 2018, baginda diangkat sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong mengambil alih tugas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sehingga 31 Disember kerana Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan. Selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Sultan Nazrin menandatangani watikah pengisytiharan setelah ia dibaca oleh Tun Dr Mahathir bagi menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Hakim Negara dan Dato' Pengelola Bijaya Diraja di Istana Hinggap.[9] Walau bagaimanapun, disebabkan perletakan jawatan secara mengejut oleh Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 06 Januari 2019, baginda sekali lagi menjadi Pemangku Yang di-Pertuan Agong pada hari berikutnya, 07 Januari 2019 manakala Majlis Raja-Raja akan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 24 Januari 2019 dan upacara mengangkat sumpah akan diadakan pada 31 Januari 2019.
Baginda ialah Felo Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan juga Magdalene College, Universiti Cambridge; Fellow Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; Fellow Diraja kepada Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.
Baginda berkelulusan dari Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Baginda juga memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England pada 1979 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada 1984.
Putera raja yang berjiwa rakyat, Raja Dr. Nazrin terlibat dalam program amal dan kemasyarakatan untuk kepentingan rakyat, khususnya bagi membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.
Putera raja berilmu tinggi dengan pandangan dan buah fikirannya dalam pelbagai isu mencakupi politik, sosial, ekonomi, kemasyarakatan, agama serta isu semasa sering diikuti dengan penuh minat oleh rakyat selain menjadi bahan perbincangan ilmiah serta bualan orang ramai.
Gelaran hormat bagi Sultan Nazrin Muizzuddin Shah | |
Gaya panggilan | Duli Yang Maha Mulia |
---|---|
Gaya pertuturan | Duli Yang Maha Mulia |
Gaya pilihan | Tuanku |
Nama penuh dan gelaran rasmi baginda ialah:
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, D.K., D.K.S.A., D.K.A., D.M.N., D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), D.K.N.S. (Negeri Sembilan), D.K. (Perlis), D.K (Kedah), D.K. (Johor), D.K. (Pahang), PhD (Harvard), Sultan, Yang di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan Jajahan Takluknya
Baginda telah dikurniakan:[10]
Sultan Nazrin Shah berkahwin dengan Tuanku Zara Salim Davidson pada 17 Mei 2007. Pasangan diraja ini telah dikurniakan seorang putera dan seorang puteri.
Nama | Keputeraan | Tempat Keputeraan | Umur |
---|---|---|---|
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim (Raja Permaisuri Perak) | 22 Mac 1973 | Ipoh, Perak | 51 tahun, 7 bulan dan 19 hari |
Yang Teramat Mulia Raja Azlan Muzzaffar Shah (Raja Kecil Besar Perak) | 14 Mac 2008 | Hospital Pakar Damansara, Selangor | 16 tahun, 7 bulan dan 27 hari |
Yang Teramat Mulia Raja Nazira Safya | 2 Ogos 2011 | Hospital Pakar Damansara, Selangor | 13 tahun, 3 bulan dan 8 hari |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.