Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Pertempuran Laut Jawa adalah satu pertempuran laut semasa Perang Dunia II melibatkan satu armada kapal perang Tentera Berikat dengan kapal-kapal Tentera Laut Imperial Jepun. Pertempuran ini berakhir dengan kekalahan teruk di pihak Tentera Berikat. Panglima Markas Amerika-British-Belanda-Australia (American-British-Dutch-Australian Command) atau ABDA, Laksamana Karel Doorman terbunuh dalam pertempuran ini. Pertempuran Selat Sunda adalah dikira sebagai sebahagian daripada Pertempuran Laut Jawa. Pertempuran Laut Jawa berlangsung untuk tempoh beberapa hari dalam bulan Februari – Mac 1942.
Pertempuran Laut Jawa adalah pertembungan terbesar melibatkan kapal-kapal perang sejak Pertempuran Jutland dalam Perang Dunia I
Penaklukan jajahan Belanda di Hindia-Belanda dilaksanakan dengan begitu pesat sebagai lanjutan kepada Penaklukan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura (Disember 1941 – Februari 1942). Pasukan Tentera Jepun menggunakan kedudukan mereka di kepulauan Palau untuk menawan pangkalan-pangkalan tentera di Sarawak dan Filipina Selatan. Tentera Jepun telah juga menawan pangkalan di bahagian timur pulau Borneo dan bahagian utara Pulau Sualwesi. Daripada pangkalan-pangkalan yang ditawan itu Tentera Jepun menerbangkan pesawat udara untuk memberikan penguasaan udara membolehkan konvoi kapal pembawa askar dengan perlindungan diberikan oleh kapal kruiser dan kapal pembinasa melalui Selat Makassar menuju ke Laut Maluku.
Tentera Berikat dengan pemusatan pemerintahan di bawah Markas Amerika-British-Belanda-Australia ataupun ABDA telah mengutuskan satu pasukan laut untuk menentang kumpulan kapal Jepun tersebut. Pasukan laut ini terdiri daripada kapal-kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, Tentera Laut Diraja Australia dan Tentera Laut Diraja Belanda diletakkan di bawah pemerintahan Laksamana Thomas C. Hart. Kebanyakan daripada kapal-kapal yang ditugaskan adalah kapal-kapal tua yang sudah usang, vintage dari Perang Dunia I
Pada 23 Januari 1942, satu skuadron kapal pembinasa Amerika Syarikat membuat serangan ke atas sebuah konvoi di Selat Makassar apabila konvoi berkenaan menghampiri Balikpapan di Borneo. Dalam pertempuran dikenali sebagai Pertempuran Balikpapan ini, skuadron kapal pembinasa yang terdiri dari USS Paul Jones, USS Parrott, USS Pope dan USS John D. Ford membuat serangan ke atas 12 buah kapal pembawa askar. 3 buah kapal Jepun (Kuretake Maru, Sumanoura Maru, Tatsukami Maru) dan sebuah bot peronda (P-37) dapat ditenggelamkan oleh kapal-kapal Amerika tersebut dengan serangan torpedo. Walau bagaimanapun, kebanyakan torpedo yang dilancarkan tidak meletup. Oleh kerana serangan ini dilancarkan lewat, serangan ini tidak dapat menyangkal penawanan Balikpapan oleh Tentera Jepun.
Pada 13 Februari 1942, kumpulan Tentera Berikat tewas semasa Pertempuran Palembang dan gagal dalam percubaan mereka hendak menyekat hasrat Tentera Jepun menguasai Palembang dengan pelabuhan dan kemudahan minyak dan petroleum.
Pada 19 Januari 1942, Ketumbukan Udara Pertama Jepun (Japanese First Air Fleet) di bawah pemerintahan Laksamana Chuichi Nagumo menyerang dan memusnahkan pangkalan di Darwin di sebelah utara Australia. Kerosakan yang dilakukan menyebabkan Darwin tidak lagi dapat digunakan sebagai pangkalan bekalan dan pelabuhan untuk menyokong operasi kapal-kapal Tentera Berikat di Hindia Belanda.
Satu pasukan Tentera Berikat di bawah pemerintahan ABDA Pasukan laut Tentera Berikat terdiri daripada kapal kruiser HNLMS De Ruyter (Kapal Laksamana ataupun kapal pemerintah), HNLMS Tromp, USS Houston, dan USS Marblehead dengan diiringi kapal-kapal pembinasa HNLMS Bankert, HNLMS Piet Hein, HNLMS Van Ghent, USS Barker, USS Bulmer, USS Edwards dan USS Stewart. Dalam pertempuran yang dikenali Pertempuran Selat Makassar, kumpulan ini diserang oleh kapal terbang Jepun
Kumpulan kapal ini diserang oleh kapal terbang Jepun. USS Marblehead terkena dua butir bom dan mengalami kerosakan di sebelah kiri kapal, dan 15 anak kapal terbunuh dan 84 lain cedera. USS Houston dan HNLMS De Ruyter juga mengalami kerosakan. Pasukan itu mengundur diri untuk melindungi kapal kruiser yang mengalami kerosakan dan belayar arah selatan menuju Selat Lombok dan ke pelabuhan di Tanjung Priok.
Keadaan kini getir untuk Tentera Berikat – Singapura sudah tewas dan garisonnya menyerah kalah dan ramai askar-askar Komanwel menjadi tawanan perang. Pasukan Tentera Laut ABDA pula tidak bersatu, dengan kapal-kapal daripada 4 negara berlainan, dan anggota-anggotanya mempunyai moral rendah disebabkan serangan udara yang berterusan oleh pasukan Jepun. Penyelarasan di kalangan kapal-kapal 4 negara berkenaan juga hampir tidak wujud.
Satu pasukan amfibi Tentera Jepun sedang berkumpul untuk persediaan penaklukan Pulau Jawa. Pada 27 Februari 1942, pasukan laut ABDA di bawah pemerintahan Karel Doorman belayar dari Surabaya untuk memintas pasukan amfibi Jepun tersebut yang belayar melalui Selat Makassar.
Pasukan ABDA terdiri daripada 2 buah kruiser berat (HMS Exeter, USS Houston) dan 3 buah kapal kruiser ringan (HNLMS De Ruyter (kapal Laksamana Doorman), HNLMS Java, HMAS Perth) dan sembilan buah kapal pembinasa (HMS Electra, HMS Encounter, HMS Jupiter, HNLMS Kortenaer, HNLMS Witte de With, USS Alden, USS John D. Edwards, USS John D. Ford, USS Pope and USS Paul Jones).
Kumpulan kapal amfibi Jepun diberikan perlindungan oleh psukan kapl perang Jepun yang agak kuat terdiri dari 2 buah kapal kruiser berat (IJNS Nachi dan IJNS Haguro), dua buah kapal kruiser ringan (IJNS Naka, IJNS Jintsu) dan 14 buah kapal pembinasa (IJNS Yudachi, IJNS Samidare, IJNS Murasame, IJNS Harusame, IJNS Minegumo, IJNS Asagumo, IJNS Yukikaze, IJNS Tokitsukaze, IJNS Amatsukaze, IJNS Hatsukaze, IJNS Yamakaze, IJNS Kawakaze, IJNS Sazanami, dan IJNS Ushio). Kumpulan ini diperintah oleh Laksamana Muda Shoji Nishimura.
Kapal kruiser Jepun dilengkapkan dengan persenjataan yang lebih berat berbanding dengan kapal-kapal Tentera Berikat dengan 10 laras meriam 8 inci (203 mm) berbanding dengan 6 laras yang dibawa oleh HMS Exeter. Walaupun USS Houston mempunyai 9 laras meriam 8 inci, hanya 6 laras boleh digunakan kerana turet belakangnya telah kerosakan semasa serangan udara Tentera Jepun dalam Pertempuran Makassar.
Pasukan ABDA bertembung dengan pasukan Jepun di laut Jawa, dan pertempuran berlangsung dari tengah hari sehingga tengah malam. Pasukan Tentera Berikat cuba menghampiri dan menyerang kapal pembawa askar pasukan amfibi penaklukan tetapi dihalang oleh pasukan perlindungan kapal-kapal Tentera Laut Jepun. Kuasa tembakan Tentera Jepun memaksa pasukan ABDA berpatah balik.
Pada waktu siang, pasukan Tentera Berikat ABDA mempunyai penguasaan udara kerana kapal terbang Jepun tidak dapat memberikan perlindungan kepada kapal-kapal Jepun disebabkan keadaan cuaca buruk. Tetapi keadaan cuaca yang buruk ini juga menjejaskan peralatan komunikasi pihak ABDA di antara pihak-pihak terlibat – unit-unit yang terlibat dalam tugasan peninjauan, unit-unit yang memberikan perlindungan udara – dengan markas ABDA. Ini mengeruhkan lagi kelemahan penyelarasan yang sudah sedia menjadi masalah. Keadaan bertambah buruk dengan kegiatan penyesakan radio. Hanya sebuah kapal, HMS Exeter dilengkapkan dengan radar, pada ketika itu satu teknologi baru muncul.
Semasa pertempuran, kedua-dua pihak tidak menunjukkan kebolehan menembak meriam dan torpedo dengan tepat. Pihak Jepun melepaskan 1,271 butir peluru 8-inci tetapi hanya 5 butir sahaja yang mengenai sasaran. Walaupun demikian, HMS Exeter mengalami kerosakan teruk apabila bilik dandangnya terkena peluru meriam 8 inci. HMS Exeter kemudiannya beredar dengan diiringi kapal HNLMS Witte de With.
HNLMS Kortenaer terbelah dua dan tenggelam dengan cepat akibat terkena tempbakan torpedo. HMS Electra, yang memberikan perlindungan kepada HMS Exeter bertembak-tembakan dengan IJNS Jintsu dan IJNS Asagumo, dan berjaya menegani kapal-kapal berkenaan tetapi dirinya sendiri mengalami kerosakan teruk kepada superstrukturnya. Api semarak menyala di atas kapal HMS Electra, dan turet meriamnya kehabisan peluru. Melihatkan keadaan ini, perintah diberikan untuk anak-anak kapalnya meninggalkan kapal itu. Di pihak Tentera Jepun, hanya IJNS Asagumo terpaksa beredar daripada pertempuran akibat kerosakan teruk. Kapal-kapal HNLMS De Ruyter, HNLMS Java dan HMS Jupiter tenggelam akibat tembakan torpedo. HNLMS Doorman juga tenggelam bersama-sama HNLMS De Ruyter.
HMS Exeter yang mengalami kerosakan teruk belayar ke Selat Sunda dengan diiringi HMS Encounter dan USS Pope. Tetapi ketiga-tiga buah kapal ini dipintas dna ditenggelamkan oleh kapal kruiser IJNS Nachi and IJNS Haguro pada pagi 11 MAC 1942. Empat buah kapal pembinasa yang lain melarikan diri tanpa menunggu arahan daripada ABDA.
Kapal pembawa pesawat terbang USS Langley yang membawa 32 buah kapal terbang P-40 Tentera Udara Amerika Syarikat dibom oleh kapal terbang Tentera Laut Jepun 75 batu di selatan Tjilatjap, dan mengalami kerosakan teruk. Kapal ini kemudiannya tenggelam ditembak oleh USS Whipple (DD-217).
Akibat kekalahan ini, Markas ABDA tidak berupaya menyekati kemaraan pasukan penaklukan Jepun yang hendak menakluki Pulau Jawa. Pada 1 Mac 1942, pasukan tentera penaklukan Pulau jawa berlabuh di laur pantai Kragan dan menurunkan askar-askar dari Divisyen ke-48 Infantri. Selepas beberapa pertempuran pihak Belanda menyerah diri pada 9 Mac 1942.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Pertempuran Laut Jawa. |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.