From Wikipedia, the free encyclopedia
Parthenon (bahasa Yunani Kuno: Παρθενών , nama moden: Παρθενώνας Parthenonas) merupakan kuil terletak di dataran Akropolis Athenai, Yunani dibina khas untuk dewi yang memberi nama kepada kota tersebut, Athena. Pembinaannya bermula pada 447 SM apabila Empayar Athen berada pada kekuasaan tertingginya. Ia disiapkan pada 438 SM, walaupun hiasan Parthenon berterusan sehingga 432 SM. Parthenon dianggap sebagai simbol demokrasi Yunani Kuno dan Athen, dan merupakan salah satu monumen budaya terhebat di dunia.
Tapak Warisan Dunia UNESCO | |
Maklumat am | |
---|---|
Nama asli | Παρθενών |
Sebahagian dari | Akropolis Athens |
Inskripsi | 1987 (sesi ke-11) |
Maklumat lokasi | |
Lokasi | Athens, Perbandaran Athens, Yunani |
Koordinat | 37°58′17″N 23°43′36″E |
sunting · sunting di Wikidata |
Kuil ini ditukarkan menjadi suatu gereja yang didedikasikan kepada Maria si Perawan pada akhir abad ke-6 M[1] Pembinaan ini menghalakan gereja baharu ini mengikut arah timur, begitu juga dengan altarnya menghadap arah ini bersebelahan apsis yang dibina pada pintu utama kuil (pronaos).[2][3][4] Gambaran orang-orang suci dan nabi dicat pada dinding kuil sambil juga tulisan keimanan Kristian diukir pada tiang-tiang runtuhan.[5] Sebarang patung yang terjumpa dikeluarkan dan dipindahkan dari pekarangan kuil.
Gereja yang baharu ini menjadi antara kawasan yang paling didambakan para penziarah Kristian dalam Empayar Byzantium selain Konstantinopolis, Ephesos, dan Thessaloniki.[6]
Kawasan sekitar Parthenon diserahkan kepada empayar Uthmaniyah pada 1456 setelah mereka berjaya mengalahkan askar-askar Republik Firenze yang melindungi pekarangan tersebut.[7] Gereja itu pada awalnya dikekalkan penggunaannya,[8] namun ia kemudiannya menjadi masjid pada akhir abad ke-15:[9][10] ada sejarawan yang menyatakan penukaran ini hukuman Mehmed II terhadap percubaan warga kota Athenai pada ketika itu.[11]
Apsis dan menara gereja ditukarkan menjadi mihrab dan manarah,[12][13] sambil suatu mimbar baru dibina.[2] Altar turut dikeluarkan serta dinding-dinding gereja ditutup dari sebarang gambaran santo yang wujud sebelumnya.[14]
Perang Morea yang meletus antara pihak Republik Venezia dan kerajaan Uthmaniyah menyaksikan bangunan ini dijadikan suatu gedung senjata api dan tempat berlindung masyarakat Turki setempat.[15] Kekacauan ini mencapai kemuncaknya apabila suatu bedilan ditembak mengena gedung tersebut dari Bukit Philopappos pada 26 September 1687 mengakibatkan suatu letupan meranapkan sebahagian tengah bangunan ini.[16][17] Sebanyak 300 orang terkorban dalam letupan ini baik secara langsung mahupun dari serpihan melayang kena askar-askar Uthmaniyah berdekatan;[18] letupan ini turut menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan banyak rumah berlanjutan ke esok harinya.[19] Pihak Turki yang berjaya mendapatkan kembali Akropolis tidak lama selepas ini mengambil batu runtuhan pekarangan Akropolis dijadikan bahan binaan suatu masjid lebih kecil dalam tapak Parthenon.[20] Malah, banyak khazanah dan batuan dari tapak bersejarah ini dicuri bertahun-tahun.[21]
Keadaan daulah kerajaan Uthmaniyah yang lemah pada kurun ke-18 memudahkan orang Barat melawat dan mengamati tapak bersejarah ini. Catatan dan lakaran dilakukan para wisatawan ini menarik minat ramai kepada budaya Yunani yang baharian serta perjuangan orang Yunani memerdekakan diri dari cengkaman kuasa Uthmaniyah.
Kesemua bahagian kecuali tapak dan tangga manarah diruntuhkan tidak lama selepas pihak Yunani berjaya menawan kembali Athens dalam perang kemerdekaan tahun 1832.[22] Pada lewat kurun zaman ini pula, ia mula menjadi tarikan banyak orang Barat yang menganggapnya suatu pencapaian tinggi seni ketamadunan mereka.[23]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.