From Wikipedia, the free encyclopedia
Palet (bahasa Inggeris: pallet ) ialah struktur pengangkut rata yang digunakan untuk mengalas kontena ketika diangkat oleh foklif, jek palet atau alatan jek yang lain. Palet ialah asas kepada reka bentuk sebuah beban unit. Barangan akan diletakkan ke atas sebuah palet dan diikat dengan tali atau filem plastik pembalut regang, atau dimuatkan terus ke dalam kontena mini ULD.
Kebanyakan palet klasik diperbuat daripada kayu. Antara bahan lain yang digunakan ialah plastik, besi dan kertas. Setiap bahan mempunyai kelebihan dan kekurangannya.
Pengkontenaan telah menggalakkan penggunaan palet kerana kontena mempunyai permukaan rata dan bersih yang sesuai untuk palet. Kebanyakan palet boleh menampung beban sehingga 1000 kg. Hari ini, lebih daripada setengah bilion palet dikeluarkan setiap tahun dan hampir 2 bilion palet digunakan di Amerika Syarikat sahaja.
Palet membolehkan pemindahan tindanan berat menjadi mudah. Muatan di atas palet boleh diangkut menggunakan foklif pelbagai saiz, atau juga boleh diangkat menggunakan jek yang dipam dengan tangan. Penggunaan palet juga mengurangkan kos pengendalian dan penyimpanan.
Ketiadaan piawaian antarabangsa tunggal untuk palet menjadi salah satu halangan dalam perdagangan antarabangsa. Satu piawai tunggal adalah mustahil dapat dicapai kerana terdapat pelbagai keperluan yang perlu dipenuhi seperti; melepasi setiap pintu bangunan, muat di dalam kontena piawai, dan mengurangkan kos buruh. Contohnya, sebuah organisasi yang sudah mengendalikan palet yang besar selalunya tidak nampak sebab untuk membayar harga pengendalian yang lebih tinggi dengan menggunakan palet kecil yang boleh melepasi pintu-pintu bangunan.
Tiada piawai dimensi palet yang diterima pakai di peringkat global. Syarikat-syarikat dan organisasi-organisasi di seluruh dunia menggunakan ratusan saiz palet yang berbeza.[1] Walaupun tiada dimensi piawai untuk pengeluaran palet, terdapat beberapa saiz berbeza yang paling banyak digunakan.
Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) menetapkan enam dimensi palet, dinyatakan dalam Piawai ISO 6780: Flat pallets for intercontinental materials handling—Principal dimensions and tolerances:[2]
Dimensi, mm (Lebar × Panjang) | Dimensi, inci (Lebar × Panjang) | Ruang lantai digunakan, kontena ISO | Rantau yang banyak digunakan |
---|---|---|---|
1219 × 1016 | 48.00 × 40.00 | 3.7% | Amerika Utara |
1000 × 1200 | 39.37 × 47.24 | 6.7% | Eropah, Asia; sama dengan 48x40". |
1165 × 1165 | 44.88 × 44.88 | 8.1% | Australia |
1067 × 1067 | 42.00 × 42.00 | 11.5% | Amerika Utara, Eropah, Asia |
1100 × 1100 | 43.30 × 43.30 | 14% | Asia |
800 × 1200 | 31.50 × 47.24 | 15.2% | Eropah; muat banyak laluan pintu |
Dalam pelbagai jenis palet di Amerika Utara, yang paling banyak digunakan ialah palet Grocery Manufacturers' Association (GMA), yang mewakili 30% daripada semua palet kayu yang dikeluarkan di Amerika Syarikat.[3] ISO juga mengiktiraf palet GMA sebagai salah satu saiz palet piawai.
Dimensi, mm (Lebar × Panjang) | Dimensi, inci (Lebar × Panjang) | Kedudukan pengeluaran | Industri yang menggunakan |
---|---|---|---|
1219 × 1016 | 48 × 40 | 1 | Runcit, dan banyak lagi |
1067 ×1067 | 42 × 42 | 2 | Telekomunikasi, Cat |
1219 × 1219 | 48 × 48 | 3 | Dram |
1016 × 1219 | 40 × 48 | 4 | Ketenteraan[4], simen |
1219 × 1067 | 48 × 42 | 5 | Kimia, Minuman |
1016 × 1016 | 40 × 40 | 6 | Tenusu |
1219 × 1143 | 48 × 45 | 7 | Automotif |
1118 × 1118 | 44 × 44 | 8 | Dram, Kimia |
914 × 914 | 36 × 36 | 9 | Minuman |
1219 × 914 | 48 × 36 | 10 | Minuman, genting, pembungkusan kertas |
889 × 1156 | 35 × 45.5 | Tidak diketahui | Ketenteraan 1/2 kontena ISO, muat pintu piawai 36"[5] |
1219 × 508 | 48 × 20 | Tidak diketahui | Runcit |
Empat saiz lazim untuk palet EURO[6] (bersama dengan saiz alternatif ISO[7]) ialah:
Jenis palet EURO | Dimensi, mm (Lebar × Panjang) | Alternatif palet ISO |
---|---|---|
EUR, EUR 1 | 800 × 1200 | ISO1, sama saiz dengan EUR |
EUR 2 | 1200 × 1000 | ISO2 |
EUR 3 | 1000 × 1200 | |
EUR 6 | 800 × 600 | ISO0, separuh saiz EUR |
600 × 400 | suku saiz EUR | |
400 × 300 | satu per lapan saiz EUR |
Palet piawai Austrialia banyak ditemui di Australia dan jarang ditemui di tempat lain. Berbentuk segi empat sama dari kayu keras, ia bersaiz 1165 mm × 1165 mm dan muat dengan sempurna di dalam kontena RACE perkhidmatan keretapi Australia, tetapi langsung tidak sesuai untuk kontena ISO yang digunakan di seluruh dunia. Jika palet ini dimuatkan dengan betul (tanpa pembaziran ruang), ini bermakna terdapat purata 7 mm ruang antara palet dan dinding kontena. Oleh kerana ruang lega yang minimum antara palet dan dinding kontena, alasan atau sumbatan (untuk penstabilan) kurang diperlukan.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Palet |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.