Anjing gembala Jerman, anjing herder Jerman,[lower-alpha 2] juga dikenali di Britain sebagai anjing Alsace atau alsatian,[lower-alpha 3] ialah satu baka anjing pekerja Jerman bersaiz sederhana hingga besar. Baka ini dikembangkan oleh Max von Stephanitz dengan menggunakan pelbagai anjing gembala tradisional Jerman dari tahun 1899.

Fakta Segera Nama lain, Negara asal ...
Anjing gembala Jerman
Thumb
Jantan dewasa
Nama lain
  • Anjing herder Jerman
  • Anjing herder
  • Anjing Alsace
  • Anjing serigala Alsace[lower-alpha 1]
Negara asalJerman
Trait
Berat Jantan 30–40 kilogram (66–88 lb)[1]
Betina 22–32 kilogram (49–71 lb)[1]
Tinggi Jantan 60–65 sentimeter (24–26 in)[1]
Betina 55–60 sentimeter (22–24 in)[1]
Bulu Lapis bulu ganda
Warna Sawo matang dengan pelana hitam, sabel, hitam padu, atau dwiwarna
Saiz perinduk 6–8 ekor[2]:40
Jangka hayat 10 tahun atau lebih[3]:35
Anjing (Canis lupus familiaris)
Tutup

Ia pada asalnya dibiakbakakan sebagai anjing gembala untuk penggembalaan biri-biri. Ia sejak itu telah digunakan dalam banyak jenis kerja lain, termasuk bantuan kepada yang kurang upaya, pencarian dan penyelamatan, kerja polis, and ketenteraan. Ia kerap dibela sebagai anjing teman dan, menurut Persekutuan Kinologi Antarabangsa, mempunyai angka kedua tertinggi bagi pendaftaran tahunan pada tahun 2013.[4]

Sejarah

Thumb
Max von Stephanitz, pengasas baka (dengan Horand von Grafrath), sekitar tahun 1900
Thumb
Ilustrasi dari tahun 1909

Semasa tahun 1890-an, percubaan dilakukan untuk memiawaikan baka-baka anjing.[5] Anjing dibiakbakakan untuk memulihara trait-trait yang membantu dalam kerjanya dalam penggembalaan biri-biri dan perlindungan kawanan biri-biri daripada pemangsa.[6] Di Jerman, ini diamalkan dalam komuniti setempat, bilamana gembala memilih dan membiakbakakan anjing. Baka ini diiktiraf mempunyai kemahiran penting untuk penggembalaan biri-biri, seperti kecerdasan, kelajuan, kekuatan, dan derita bau tajam.[6] Hasilnya merupakan anjing yang mampu melakukan perkara sedemikian, tetapi itu berlainan dengan ketara, dari segi kedua-dua penampilan dan kebolehan, dari tempat ke tempat.[5]

Untuk mengatasi perbezaan-perbezaan ini, Persatuan Filaks dibentuk pada tahun 1891 dengan niat penghasilan rancangan perkembangan terpiawai untuk baka-baka anjing asli di Jerman.[6] Persatuan ini bubar hanya selepas tiga tahun kerana perbalahan dalaman berterusan mengenai trait-trait pada anjing yang patut digalakkan oleh persatuan tersebut;[6] sesetengah anggota percayai bahawa anjing patut dibiakbakakan hanya untuk tujuan pekerjaan, sementara yang lain percaya bahawa anjing patut dibiakbakakan juga untuk penampilan.[7] Sungguhpun tidak berjaya dalam matlamat mereka, Persatuan Filaks telah mengilhami orang ramai untuk mengusahakan pemiawaian baka-baka anjing secara bebas.

Dengan kebangkitan bandar raya perindustrian besar di Jerman, populasi pemangsa mula menurun, lalu menjadikan anjing biri-biri tidak diperlukan.[6] Pada masa sama, kewaspadaan anjing gembala biri-biri sebagai kelas kanin serba guna dan cerdas mula meningkat.[6] Max von Stephanitz, seorang bekas kapten askar berkuda dan bekas pelajar Kolej Veterinar Berlin, merupakan bekas anggota Persatuan Filaks yang tegas percaya bahawa anjing patut dibiakbakakan untuk pekerjaan.[6] Beliau mengagumi kecerdasan, kekuatan, dan kebolehan anjing gembala biri-biri asli Jerman, tetapi tidak dapat menemukan mana-mana satu baka tunggal pun yang memuaskan beliau sebagai anjing pekerja sempurna.[6]

Pada tahun 1899, von Stephanitz menghadiri sebuah pertunjukan anjing apabila kepada beliau seekor anjing bernama Hektor Linksrhein ditunjukkan.[6] Hektor merupakan hasil daripada beberapa generasi pembiakbakaan terpilih dan sepenuhnya memenuhi sifat anjing pekerja yang sepatutnya menurut yang dipercayai oleh von Stephanitz. Beliau berpuas hati dengan kekuatan anjing tersebut dan lalu tertarik dengan kecerdasan, kesetiaan, dan kecantikan haiwan tersebut, sehingga beliau membeli anjing tersebut serta-merta.[5] Selepas membeli anjing berkenaan, beliau menukarkan namanya kepada Horand von Grafrath dan von Stephanitz menubuhkan Persatuan untuk Anjing Gembala Jerman.[5] Horand diisytiharkan sebagai anjing gembala Jerman pertama dan merupakan anjing pertama yang ditambahkan ke dalam daftar baka persatuan tersebut.[6] Dalam hanya beberapa dekad selepas penubuhan Persatuan untuk Anjing Gembala Jerman, baka ini menjadi salah satu baka paling popular dan banyak di dunia, kedudukan yang telah dikekalkan sehingga kini. Menjelang tahun 1923, Persatuan untuk Anjing Gembala Jerman mendakwa bahawa terdapat 50,000 orang anggota pembayar dius di lebih daripada 500 cabang di Jerman sahaja.[8]

Horand menjadi titik pusat bagi atur cara pembiakbakaan dan dibiakbakakan dengan anjing milik anggota persatuan lain dalam yang memaparkan trait yang diingini dan dengan anjing dari Thüringen, Franken, dan Württemberg.[6] Setelah membapai banyak anak anjing, anak kepada Horand yang paling peridi ialah Hektor von Schwaben.[6][9] Hektor dibiakbakakan secara dalaman dengan salah seekor lagi anak kepada Horand dan menghasilkan Heinz von Starkenburg, Beowulf, dan Pilot, yang kemudian membapai sejumlah 84 ekor anak anjing, kebanyakannya melalui pembiakbakaan dalaman dengan anak-anak lain kepada Hektor.[6] Pembiakbakaan dalaman ini dianggap penting untuk menetapkan trait-trait yang dicari-cari pada baka ini.[6] Progeni Beowulf juga dibiakbakakan secara dalaman dan daripada anak-anak inilah semua anjing gembala Jerman melakarkan pautan genetik. Persatuan berkenaan dipercayai mencapai matlamatnya kebanyakannya kerana kepemimpinan kuat dan tidak terkompromi pada von Stephanitz dan beliau lalu dihargai sebagai pencipta anjing gembala Jerman.[10]

Semasa separuh pertama abad kedua puluh, baka ini menjadi sekuatnya terhubung dengan Jerman Imperial dan Jerman Nazi, oleh sebab perkaitannya dengan kesucian dan faham ketenteraan.[8] Anjing gembala Jerman didambakan sebagai "germanische Urhunde" ("anjing asli Jerman"), kerana kedekatannya dengan serigala, dan menjadi tarikan fesyen semasa era Nazi.[11] Adolf Hitler mendapatkan seekor anjing gembala Jerman bernama "Prinz" pada tahun 1921, semasa tahun-tahun kemiskinan beliau, tetapi beliau terpaksa menempatkan anjing itu di tempat lain. Walau bagaimanapun, ia berjaya melepaskan diri dan pulang kepada beliau. Hitler, yang mengagumi kesetiaan dan kepatuhan anjing itu, kemudian semakin cinta akan baka ini.[12] Hitler membela beberapa ekor anjing baka ini lagi, termasuk Blondi, yang merupakan antara beberapa ekor anjing di dalam Führerbunker semasa Pertempuran Berlin pada penghujung Perang Dunia Kedua. Anjing memainkan peranan dalam propaganda Nazi dengan penggambaran Hitler sebagai pencinta haiwan.[11] Dalam persiapan untuk membunuh diri, Hilter mengarahkan Dr. Werner Haase untuk menguji sebiji kapsul sianida pada Blondi yang kemudian mati akibat itu.[13] Erna Flegel, seorang jururawat yang bekerja di stesen korban kecemasan di Reichskanzlei menyatakan pada tahun 2005 bahawa kematian Blondi telah menjejaskan orang di dalam bunker itu lebih daripada bunuh diri Eva Braun.[14] Anjing gembala Jerman juga digunakan secara meluas sebagai anjing pengawal di kem tahanan Nazi semasa Holokus.[15]

Semasa anjing gembala Jerman diperkenalkan ke Amerika Syarikat, ia pada awalnya merupakan anjing popular.[16] Walau bagaimanapun, semakin kepopularan anjing ini meningkat, semakin ia dikaitkan sebagai baka berbahaya yang dimiliki oleh gengster dan bootlegger.[17][18][19] Reputasi anjing gembala Jerman sebagai baka berbahaya telah tumbuh sehingga ia diharamkan buat masa singkat untuk diimport di Australia pada tahun 1929. Rang undang-undang malah dipertimbangkan untuk mewajibkan agar semua anjing gembala Jerman di Australia Selatan dimandulkan.[20]

Penamaan

Thumb
Betina (kiri) and jantan (kanan) sabel

Baka ini dinamai deutscher Schäferhund oleh von Stephanitz yang diterjemahkan kepada "anjing gembala biri-biri Jerman".[21] Pada masa sama, semua anjing gembala lain di Jerman dirujuk dengan nama ini; lalu, anjing-anjing tersebut dikenali sebagai altdeutsche Schäferhunde atau anjing-anjing gembala biri-biri lama Jerman.

Terjemahan terus bagi nama itu diterima pakai untuk kegunaan dalam buku pembaka; walau bagaimanapun, pada penghujung Perang Dunia Pertama, penyertaan perkataan "Jerman" dipercayai akan menjejaskan kepopularan baka ini[22] oleh sebab sentimen anti-Jerman pada era itu.[23] Baka ini dinamai semula secara rasmi oleh The Kennel Club kepada "Alsatian Wolf Dog" ("anjing serigala Alsace")[22] sempena rantau Alsace di Perancis yang menyempadani Jerman.[6]

Kesudahannya,[bila?] tambahan "Wolf Dog" ("anjing serigala") digugurkan[22] selepas banyak kempen oleh pembiak baka yang risau bahawa pengenalan sebagai kacukan anjing–serigala bakal menjejaskan kepopularan dan keundangan baka ini.[6] Nama "Alsatian" ("anjing Alsace") kekal selama lima dekad[22] sehingga tahun 1977, apabila kempen-kempen berjaya oleh penggemar anjing menekankan agar kelab-kelab kenel British mengizinkan agar baka ini didaftarkan semula sebagai "German Shepherd" ("[anjing] gembala Jerman").[24] Perkataan "Alsatian" pernah muncul dalam tanda kurung sebagai sebahagian daripada nama baka formal dalam American Kennel Club dan disingkirkan pada tahun 2010.[25]

Perihal

Thumb
Rangka di Muzium Anatomi Veterinar São Paulo, Brazil

Anjing gembala Jerman merupakan anjing bersaiz sederhana hingga besar.[26] Tinggi menurut piawaian baka pada kelasa ialah 60–65 cm (24–26 in) untuk jantan dan 55–60 cm (22–24 in) untuk betina.[27][28][29] Anjing gembala Jerman mampu mencapati kelajuan pecutan sehingga 30 miles per jam (48 km/j).[30] Anjing gembala ini adalah lebih panjang daripada ketinggiannya dengan perkadaran unggul 10:8.5. Piawaian baka rasmi AKC tidak menetapkan julat berat piawai.[31] Ia mempunyai dahi jendul, muncung potongan segi empat sama yang panjang dengan rahang kuat dan hidung hitam. Matanya bersaiz sederhana dan berwarna perang. Telinganya besar dan berdiri tegak, terbuka di hadapan dan selari, namun kerap ditarik ke arah belakang semasa pergerakan. Anjing gembala Jerman mempunyai leher panjang, yang dinaikkan apabila teruja dan direndahkan apabila bergerak dengan langkah pantas serta menghendap. Ekornya berbulu lebat dan mencapai paras keting.[28]

Anjing gembala Jerman mempunyai lapis bulu ganda yang rapat dan padat dengan lapis bulu bawah tebal. Lapis bulu diterima dalam dua varian; sederhana dan panjang. Gen untuk bulu panjang adalah resesif yang menjadikan keragaman berbulu panjang lebih jarang. Penjagaan variasi berbulu panjang berlainan dalam piawaian berlainan; variasi berbulu panjang diterima tetapi tidak bertanding dengan anjing berbulu piawai di bawah Verband für das Deutsche Hundewesen dan The Kennel Club sementara ia boleh bertanding dengan anjing berbulu piawai tetapi dianggap sebagai kecacatan dalam American Kennel Club.[28][31][32] FCI menerima jenis berbulu panjang pada tahun 2010 dan menyenaraikannya sebagai keragaman b—sementara jenis berbulu pendek pula disenaraikan sebagai keragaman a.[33]

Paling kerap, anjing gembala Jerman sama ada berwarna sawo matang/hitam atau merah/hitam. Kebanyakan keragaman warna mempunyai topeng hitam dan tanda-tanda badan hitam yang berbeza-beza daripada "pelana" klasik hingga "selimut" menyeluruh. Variasi warna lebih jarang termasuk keragaman-keragaman sabel, hitam legam, putih metah, hati, perak, biru, panda. Keragaman hitam menyeluruh dan keragaman sabel boleh diterima menurut kebanyakan piawaian; walau bagaimanapun, biru dan hati dianggap sebagai kecacatan serius dan putih menyeluruh segera menyebabkan penyingkiran daripada penunjukan dalam pengakuran dalam All Breed and Specialty Shows.[31]

Kecerdasan

Anjing gembala Jerman dibiakbakakan secara spesifik untuk kecerdasannya.[34] Dalam senarai baka paling berkemungkinan menyalak sebagai anjing pengawal, Stanley Coren menempatkan baka ini di tempat kedua.[35] Sekali dengan kekuatannya, trait ini menjadikan baka ini yang diingini sebagai anjing polis, anjing pengawal, dan anjing pencarian dan penyelamatan, kerana ia mampu sepantasnya mempelajari pelbagai tugas dan mentafsir arahan dengan lebih baik daripada baka-baka lain.[36]

Perangai

Thumb
Seorang bayi manusia dengan dua ekor anjing

Anjing gembala Jerman merupakan anjing giat pada paras sederhana dan diperihalkan dalam piawaian baka sebagai anjing yakin diri.[31] Baka ini ditandai dengan kesanggupan untuk belajar dan minat untuk mempunyai tujuan. Ia ingin tahu yang menjadikannya anjing pengawal cemerlang dan sesuai untuk misi pencarian. Ia dapat menjadi terlampau bersikap pelindung bagi keluarganya dan wilayahnya, terutamanya jika tidak tersosialisasi dengan betul.[37] Ia tidak cenderung untuk segera berkawan dengan orang asing.[38] Anjing gembala Jerman adalah amat cerdas dan patuh, serta bersikap pelindung bagi pemiliknya.[39]

Agresi dan penggigitan

Sebuah kajian semula kesusasteraan tahun 2020 dalam Plastic and Reconstructive Surgery ("Pembedahan Plastik dan Pembentukan Semula") mendapati bahawa dari tahun 1971 hingga tahun 2018, antara semua anjing baka tulen di Amerika Syarikat, anjing gembala Jerman bertanggungjawab untuk gigitan terbanyak yang cukup parah untuk mewajibkan rawatan hospital.[40]

Sungguhpun sebuah laporan Australia dari tahun 1999 menyediakan statistik yang menunjukkan bahawa anjing gembala Jerman merupakan baka ketiga paling mungkin menyerang orang di sesetengah tempat peristiwa di Australia,[41] apabila kepopularannya diambil kira, peratusan serangan oleh anjing gembala Jerman menjunam ke tempat ke-38.[42]

Menurut rancangan televisyen National Geographic Channel Dangerous Encounters, gigitan anjing gembala Jerman mempunyai daya lebih daripada 1,060 newton (238 lbf) (berbanding dengan yang daripada anjing Rottweil, melebihi 1,180–1,460 newton (265–328 lbf), daripada pitbul, 1,050 newton (235 lbf), daripada anjing pengutip Labrador, hampir-hampir 1,000 newton (230 lbf), atau daripada manusia, hampir-hampir 380 newton (86 lbf)).[43]

Baka moden

Thumb
Matlamat kelab baka umum untuk keakuran tubuh anjing gembala Jerman, dikritik oleh The Kennel Club United Kingdom

Baka anjing gembala Jerman moden dikritik oleh pakar kerana menyimpang daripada ideologi asli Max von Stephanitz bahawa anjing gembala Jerman patut dibiakbakakan terutamanya sebagai anjing pekerja dan bahawa pembiakbakaan patut seketatnya dikawal untuk menyingkirkan kecacatan dengan cepat.[44]:6[45] Beliau percaya bahawa, mengatasi semua hal lain, anjing gembala Jerman patut dibiakbakakan untuk kecerdasan dan kebolehan pekerjaan.[6]

Kontroversi

The Kennel Club, di United Kingdom, terlibat dalam pertikaian dengan kelab-kelab baka anjing gembala Jerman tentang isu kekukuhan pada strain pertunjukan baka ini.[46][47] Sesetengah strain pertunjukan telah dibiakbakakan dengan garis atas (belakang) amat melengkung yang menyebabkan gaya jalan lemah pada tungkai belakang.

Isu ini dibangkitkan dalam dokumentari BBC, Pedigree Dogs Exposed, yang menyatakan bahawa pengkritik baka ini memerihalkannya sebagai "separuh anjing, separuh katak". Seorang doktor ortopedik haiwan mengulas tentang rakaman anjing-anjing dalam gelanggang pertunjukkan bahawa anjing-anjing tersebut "tidak normal".

Kedudukan The Kennel Club ialah bahawa "isu kekukuhan ini bukan perbezaan ringkas bagi pendapat, isu ini merupakan isu asasi bagi pengakuran dan pergerakan penting baka ini."[46] The Kennel Club telah berkeputusan untuk melatih hakim-hakim semula untuk mendenda anjing-anjing dengan masalah ini.[48]

The Kennel Club juga mengesyorkan pengujian untuk hemofilia dan displasia pinggul, yang merupakan masalah umum lain dengan baka ini.[49][50]

Ubahan

Anjing gembala Eropah Timur

Thumb
Anjing gembala Eropah Timur

Anjing gembala Eropah Timur ialah keragaman anjing gembala Jerman yang dibiakbakakan di bekas wilayah Kesatuan Soviet dengan tujuan untuk menghasilkan versi lebih besar dan lebih tahan sejuk bagi anjing gembala Jerman. Ia kekurangan cacat bentuk fizikal yang dibiakbakakan dalam susur galur barat bagi anjing gembala Jerman dan telah menjadi salah satu jenis anjing paling popular di Rusia.[51]

King shepherd

King shepherd ialah keragaman anjing gembala Jerman yang dibiakbakakan di Amerika Syarikat dengan harapan pembiak bakanya untuk membetulkan catat bentuk fizikal yang telah dibiakbakakan ke dalam baka asli.[52]

Anjing gembala Shiloh

Thumb
Anjing gembala Shiloh

Anjing gembala Shiloh ialah keragaman anjing gembala Jerman yang dibiakbakakan di Amerika Syarikat. Ia dikembangkan pada tahun 1970-an dan tahun 1980-an untuk membetulkan isu tingkah laku dan pengakuran yang telah dibiakbakakan ke dalam anjing gembala Jerman moden dan dibiakbakakan untuk saiz besar, panjang belakang, perangai, dan kekukuhan pinggul.[53][54] Ia telah diiktiraf sejak tahun 1990 oleh American Rare Breed Association.[55]

Anjing gembala putih

Thumb
Anjing gembala putih

Anjing gembala putih ialah keragaman anjing gembala Jerman yang dibiakbakakan di Amerika Syarikat. Anjing gembala Jerman berbulu putih pernah dilarang daripada pendaftaran di tanah airnya Jerman, tetapi di Amerika Syarikat dan di Kanada, pewarnaan ini mendapat pengikut dan sebuah kelab baka dibentuk khusus untuk anjing gembala Jerman putih, yang memanggil keragaman ini anjing gembala putih. Keragaman ini diiktiraf sebagai baka terpisah oleh United Kennel Club.[56]

Anjing gembala putih Switzerland

Thumb
Anjing gembala putih Switzerland

Anjing gembala putih Switzerland ialah keragaman anjing gembala Jerman yang dibiakbakakan di Switzerland. Ia diturunkan daripada anjing gembala putih Amerika; baka anjing pertama bagi perintis baka ini ialah anjing Amerika yang lahir pada tahun 1966 dan diimport ke Switzerland. Keragaman ini diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa sebagai baka terpisah pada tahun 2003 dan kini diiktiraf oleh sebilangan kelab kenel kebangsaan.[56]

Kegunaan sebagai anjing pekerja

Anjing gembala Jerman merupakan pilihan popular untuk kegunaan sebagai anjing pekerja.[57] Ia diketahui mudah dilatih dan bagus untuk melaksanakan tugas dan mengikuti arahan. Ia khususnya sangat dikenali kerana kerja polisnya dengan penggunaan untuk penjejakan penjenayah, perondaan kawasan bermasalah, dan pengesanan dan penahanan suspek. Sebagai tambahan, beribu-ribu ekor anjing gembala Jerman telah digunakan oleh pihak tentera. Anjing pekerja ketenteraan ini biasanya dilatih untuk tugas peninjauan dan ia digunakan untuk memberikan amaran kepada askar tentang kehadiran musuh atau jerangkap samar atau bahaya lain.[58] Anjing gembala Jerman juga telah dilatih oleh kumpulan tentera untuk terjun berpayung dari pesawat[59] atau sebagai senjata antikereta kebal. Ia pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua sebagai anjing utusan, anjing penyelamatan, dan anjing pengawal peribadi.[6]

Anjing gembala Jerman merupakan salah satu baka yang digunakan secara paling meluas dalam pelbagai peranan kerja bau. Ini termasuk pencarian dan penyelamatan, pencarian kadaver, pengesanan narkotik, pengesanan bahan letupan, pengesanan pencepat kebakaran, dan anjing pengesanan periuk api. Ia sesuai untuk bidang kerja ini kerana deria baunya yang tajam dan kebolehannya untuk bekerja tanpa mempedulikan gangguan.[58] Pada satu masa, anjing gembala Jerman merupakan baka yang terpilih secara hampir eksklusif untuk digunakan sebagai anjing pandu untuk yang kurang penglihatan. Apabila pelatihan anjing pandu formal bermula di Switzerland pada tahun 1920-an di bawah kepemimpinan Dorothy Eustis, semua anjing yang dilatih merupakan anjing gembala Jerman betina.[60] Suatu uji kaji dalam pengujian perangai bagi sekumpulan anjing pengutip Labrador dan anjing gembala Jerman menunjukkan bahawa anjing pengutip mendapat markah lebih tinggi pada purata dalam kestabilan emosi, kebolehan untuk pulih dengan segera daripada keadaan menakutkan, tingkah laku kerjasama, dan keramahan; sementara anjing gembala Jerman adalah superior dalam agresi dan tingkah laku pertahanan. Hasil ini mencadangkan bahawa anjing pengutip Labrador adalah lebih sesuai terhadap kerja anjing pandu sementara anjing gembala Jerman lebih sesuai untuk kerja polis.[61]

Buat masa ini, anjing pengutip Labrador dan anjing pengutip keemasan digunakan secara lebih meluas untuk kerja ini, tetapi masih ada anjing gembala Jerman yang dilatih. Pada tahun 2013, kira-kira 15% daripada anjing yang dilatih oleh Guide Dogs of America merupakan anjing gembala Jerman, sementara selebihnya merupakan anjing pengutip Labrador dan anjing pengutip keemasan.[62] The Guide Dogs for the Blind Association ("Persatuan Anjing Pandu untuk Orang-orang Buta") di United Kingdom melatih sesetengah anjing gembala Jerman,[63] sementara Guide Dogs for the Blind ("Anjing Pandu untuk Orang-orang Buta") di Amerika Syarikat hanya melatih anjing pengutip Labrador, anjing pengutip keemasan, dan silangan antara kedua-dua baka ini.[64]

Anjing gembala Jerman masih digunakan untuk penggembalaan dan penjagaan biri-biri yang meragut di padang rumput di sebelah kebun dan ladang tanaman. Ia diharapkan untuk meronda sempadan untuk mengekalkan biri-biri daripada menceroboh dan merosakkan tanaman. Di Jerman dan di tempat-tempat lain, kemahiran ini diuji dalam ujian anjing utiliti yang juga dikenali sebagai ujian anjing utiliti penggembalaan HGH (Herdengebrauchshund).[65]

Seekor anjing gembala Jerman Mexico, Zuyaqui, dibedah dan jasadnya dipamerkan di Museo del Enervante milik Sedena di Mexico. Ia dianggap sebagai anjing yang telah menangkap paling banyak dadah dalam sejarah polis dan ketenteraan Mexico.[66]

Angka

Thumb
Seekor anak anjing berusia sembilan bulan

Apabila The Kennel Club menerima pendaftaran pada tahun 1919, 54 ekor anjing gembala Jerman didaftarkan. Menjelang tahun 1926, angka ini telah meningkat kepada melebihi 8,000.[5] Baka ini memperoleh pengiktirafan antarabangsa selepas penghujung Perang Dunia Kedua. Askar-askar yang pulang memuji-muji baka ini dan haiwan pelakon Rin Tin Tin dan Strongheart mempopularkan baka ini secara lanjut.[67] Anjing gembala Jerman pertama yang didaftarkan di Amerika Syarikat merupakan Queen of Switzerland. Anaknya menghidap kecacatan akibat pembiakbakaan tidak bagus yang menyebabkan baka ini mengalami kemerosotan kepopularan semasa lewat tahun 1920-an.[67]

Kepopularan meningkat lagi selepas Sieger Pfeffer von Bern menjadi Pemenang Besar (Grand Victor) tahun 1937 dan tahun 1938 dalam pertunjukan anjing American Kennel Club sehingga mengalami lagi kemerosotan lagi sekali pada kesimpulan Perang Dunia Kedua kerana sentimen anti-Jerman.[67] Kepopularan meningkat secara beransur sehingga tahun 1993, apabila ia menjadi baka ketiga paling popular di Amerika Syarikat. Setakat tahun 2016, anjing gembala Jerman merupakan baka kedua paling popular di Amerika Syarikat.[67][68] Ia biasanya merupakan antara baka paling kerap berdaftar di negara lain.[67] Ia merupakan baka ketiga paling berdaftar dengan American Kennel Club pada tahun 2020[69] dan baka ketujuh paling berdaftar dengan The Kennel Club di United Kingdom pada tahun 2016.[70]

Kesihatan

Thumb
Potret seekor anjing gembala Jerman berusia sepuluh tahun

Banyak penyakit umum bagi anjing gembala Jerman merupakan hasil pembiakbakaan dalaman yang diamalkan pada awal kehidupan baka ini.[71] Salah satu penyakit am ialah displasia pinggul dan displasia siku yang dapat membawa kepada pengalaman nyeri pada selebih kehidupannya dan dapat menyebabkan radang sendi.[perlu rujukan] Sebuah kajian yang dijalankan oleh Universiti Zürich mendapati bahawa 45% daripada anjing pekerja polis terjejas akibat stenosis spina degeneratif, tetapi saiz sampel kecil digunakan.[72] Orthopedic Foundation for Animals mendapati bahawa 19.1% anjing gembala Jerman terjejas akibat displasia pinggul.[73]

Berbilang kajian telah mendapati bahawa jangka hayat anjing gembala Jerman adalah lebih rendah daripada jangka hayat keseluruhan yang didapati dalam kajian: sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 11.3 tahun berbanding dengan 12 tahun untuk baka silang dan 12.7 tahun untuk baka tulen;[74] sebuah kajian United Kingdom tahun 2022 yang menggunakan rekod veterinar mendapati jangka hayat sebanyak 10.16 tahun berbanding dengan 11.23 tahun secara keseluruhan dan 11.82 tahun untuk baka silang;[75] di Itali, sebuah kajian tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 10 tahun, yang sama dengan jangka hayat keseluruhan tetapi kurang daripada purata 11 tahun untuk baka silang;[76] sebuah kajian tahun 2005 di Sweden yang berdasarkan data insurans mendapati bahawa 51% daripada jumlah anjing gembala Jerman mati menjelang usia 10 tahun, yang lebih rendah daripada kadar keseluruhan kemandirian 10 tahun pada 35%.[77] Sebuah kajian Perancis tahun 2015 pula mendapati jangka hayat sebanyak 10.08 tahun.[78]

Anjing gembala Jerman ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat mielopati degeneratif, yang disebabkan oleh mutasi pada gen SOD1.[79] Sebuah kajian kecil di United Kingdom menunjukkan bahawa 16% daripada anjing gembala Jerman muda tanpa gejala adalah himozigus untuk mutasi ini, dengan 38% selanjutnya sebagai pembawa.[80]

Anjing gembala Jerman mempunyai insiden lebih tinggi daripada normal bagi penyakit von Willebrand, iaitu gangguan perdarahan terwaris umum,[perlu rujukan] dan kelemahan pankreas eksokrin (EPI), iaitu satu penyakit degeneratif bagi pankreas. 1% daripada populasi anjing gembala Jerman United Kingdom dianggarkan menghidap penyakit ini.[81]

Keadaan otot rangka

Gangguan otot rangka merupakan keadaaan lemah kurus yang kerap dikaitkan dengan kandungan genetik, malnutrisi, dan peristiwa berkaitan dengan stres.[82] Sesetengah baka seperti anjing gembala Jerman cenderung terhadap pelbagai gangguan rangka berlainan, termasuk bukan hanya: displasia pinggul anjing, sindrom kauda ekuina, dan osteoartritis.[83][84]

Displasia pinggul anjing (CHD) ialah keadaan abnormal bagi sendi pinggul dan tisu sekeliling yang menyebabkan ketidakstabilan dan kehelan separa bagi sendi pinggul, lalu menyebabkan nyeri, keradangan, ketempangan, dan mungkin osteoartritis bagi sendi berkenaan.[83][85] Sebuah kajian Amerika Utara yang menganalisis lebih daripada 1,000,000 imbasan pinggul dan 250,000 imbasan siku pada anjing yang melebihi usia dua tahun mendapati bahawa anjing gembala Jerman mempunyai kadar displasia pinggul dan displasia siku sebanyak 18.9% dan 17.8% masing-masing. Anjing gembala Jerman mempunyai kadar ke-8 tertinggi bagi displasia pinggul dan kadar ke-6 tertinggi bagi displasia siku.[86] Sebuah lagi kajian Amerika Utara mendapati bahawa 10.26% daripada jumlah anjing gembala Jerman yang ditinjau di hospital-hospital pengajar menghidap displasia pinggul, berbanding dengan 3.52% secara keseluruhan.[87]

Kekerdilan pituitari

Thumb
Dua ekor anjing seperinduk berusia 10 bulan, yang di sebelah kiri ialah anjing seperinduk tidak terjejas dan yang di sebelah kanan ialah anjing betina yang terjejas akibat kekerdilan pituitari.
Thumb
Seekor anjing betina dewasa dengan kekerdilan pituitari yang memaparkan alopesia parah

Hiposomatotropisme kongenital, yang juga dikenali sebagai kekerdilan pituitari, telah diketahui sebagai gangguan resesif autosom pada anjing gembala Jerman buat masa lama. Keadaan ini menyebabkan perencatan pertumbuhan. Lapis bulu anak anjing dikekalkan sehingga usia dewasa dan rerambut pengawal gagal terbentuk sepenuhnya di luar hujung-hujung distal. Akhirnya, alopesia penuh berlaku. Darjah perencatan pertumbuhan dan gejala klinikal lain berbeza-beza sesama anjing terjejas.[88]

Penyiasatan mengenai genealogi pada tahun 1978 mendapati bahawa mutasi ini ber-evolusi pada tahun 1940 atau lebih awal. Berbilang juara telah ditunjukkan sebagai pembawa mutasi ini, yang menjelaskan penyebaran dan prevalens gangguan ini. Keadaan ini telah diperhatikan pada baka-baka yang disilangkan dengan anjing gembala Jerman seperti anjing beruang Karelia, anjing serigala Saarloos, dan anjing serigala Czechoslovakia. Kekerdilan pituitari pada baka anjing lain (kecuali yang dengan keleluhuran anjing gembala Jerman) adalah amat jarang.[88]

Tidak seperti manusia yang mempunyai gen POU1F1 dan gen PROP1 yang bertanggungjawab atas kecacatan ini, mutasi pada gen LHX3 pula bertanggungjawab untuk keadaan ini.[88][89] Universiti Utrecht menawarkan ujian genetik untuk kecacatan ini.[88]

Anjing tidak terawat biasanya hidup sehingga antara 3–5 tahun. Anjing yang menjalani rawatan dapat hidup dengan sihat selama beberapa tahun tetapi masih kurang mungkin mempunyai jangka hayat normal.[88]

Thumb
Strongheart, salah seekor anjing bintang terawal (1921)

Anjing gembala Jerman telah ditonjolkan dalam pelbagai media.[90] Pada tahun 1921, Strongheart menjadi salah seekor anjing bintang filem terawal dan diikuti pada tahun 1922 oleh Rin Tin Tin. Kedua-duanya mempunyai bintang di atas Laluan Kemasyhuran Hollywood.[91]

Anjing milik Batman, Ace the Bat-Hound, muncul dalam buku-buku komik Batman, mulanya pada tahun 1955,[92] melalui tahun 1964.[93] Mulai tahun 1964, kemunculannya adalah sesekali.

Seekor anjing gembala Jerman yang bernama Kommissar Rex merupakan bintang rancangan drama tatacara Polis Austria yang memenangi banyak anugerah, bilamana anjing gembala Jerman Rex membantu unit homisid Polis Jenayah Vienna.[94]

Kántor [hu] merupakan seekor anjing polis masyhur dan sangat berjaya di Hungary pada tahun 1950-an dan awal tahun 1960-an. Selepas kematiannya, kisahnya dicerekakan oleh dua buah novel jenayah karya Szamos Rudolf [hu], berjudulkan Kántor nyomoz [hu] ("Kántor Menyiasat") dan Kántor a nagyvárosban ("Kántor di Kota Raya"). Sebuah siri televisyen ngeri lima bahagian yang berjudulkan Kántor dibikan pada tahun 1975, yang selonggarnya berdasarkan kisah anjing sebenar, yang menepatkan latar peristiwa lebih daripada sedekad selepas Kántor sebenar mati. Siri ini menjadi produksi asasi dalam sejarah televisyen Hungary, lalu menjadikan anjing gembala Jerman baka anjing paling popular di negara itu sejak itu. Pameran taksidermi bagi jasad Kántor diletakkan di Muzium Polis di Budapest.[95][96]

Anjing gembala Jerman terkenal

  • Anjing pengasas baka
    • Horand von Grafrath (1 Januari 1895 – selepas 1899), dianggap sebagai anjing gembala Jerman dan dasar genetik untuk anjing gembala Jerman moden
  • Dalam filem, televisyen, dan cereka
    • Strongheart (1 Oktober 1917 – 24 Jun 1929), yang ditampilkan dalam filem-filem Hollywood tahun 1921–1927
    • Rin Tin Tin (September 1918 – 10 Ogos 1932), Rin Tin Tin Jr., dan Rin Tin Tin III, yang ditampilkan dalam filem-filem Hollywood tahun 1922–1947
    • Thunder the Dog (7 September 1921 – selepas Oktober 1928), yang ditampilkan dalam filem-filem Hollywood tahun 1923–1927
    • Silver Streak (lahir pada 1924), yang ditampilkan dalam filem-filem Hollywood tahun 1924–1928
    • Lightning, cucu kepada Strongheart, yang ditampilkan dalam filem-filem Hollywood tahun 1934–1938
    • Ace the Wonder Dog, yang ditampilkan dalam filem-filem Hollywood dan siri-siri tahun 1938–1946
    • Rex the Wonder Dog, adiwira cereka dalam alam DC Comics 1952–kini
    • Ace the Bat-Hound, pasangan cereka kepada Batman dalam DC Comics 1955–kini
    • Joe, protagonis dalam siri televisyen NBC Run, Joe, Run tahun 1974–1975
    • Won Ton Ton, protagonis filem komedi tahun 1976 Won Ton Ton, the Dog Who Saved Hollywood, olok-olokan Rin Tin Tin
    • Koton, yang kadang-kadang dikenali pasti sebagai Rando, anjing polis yang kemudian ditampilkan dalam filem tahun 1989 K-9 dengan James Belushi
    • Rex, protagonis bagi siri televisyen komedi-drama Austria-Itali Inspector Rex tahun 1994–2015, dan remake di negara-negara lain
  • Anjing peliharaan tokoh politik
    • Blondi (1941 – 29 April 1945), anjing peliharaan milik Hitler yang padanya beliau menguji kapsul-kapsul sianida yang kemudian dimakan oleh beliau untuk membunuh diri, lalu membunuhnya
    • Champ (11 November 2008 – 19 Jun 2021), Commander (lahir pada 1 September 2021), dan Major (lahir pada 17 Januari 2018), anjing peliharaan milik Presiden Amerika Syarikat Joe Biden
    • Major, anjing polis yang kemudian dibela sebagai anjing peliharaan presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt sementara beliau masih memegang kuasa, yang menggigit seorang senator Amerika Syarikat dan Perdana Menteri United Kingdom pada tahun 1933 sewaktu tinggal di Rumah Putih
  • Penerima Pingat Dickin PDSA (untuk anjing khidmat ketenteraan dan pertahanan awam)[97]
    • Anugerah untuk siri asli tahun 1943–1949 untuk perkhidmatan dalam Perang Dunia Kedua
      • Antis (1939–1953), 28 Januari 1949 untuk khidmat perang di Afrika Utara dan di England dan dalam bantuan pascaperang dalam pelarian dari Czechoslovakia komunis
      • Bing, juga dikenali sebagai Brian (sekitar 1943 – Oktober 1955), 29 Mac 1947 untuk perkhidmatan dengan askar payung terjun Batalion Payung Terjun (Lancashire) Ke-13
      • Irma, 12 Januari 1945 kerana menyelamatkan orang yang terperangkap di bawah bangunan musnah dalamperkhidmatan pertahanan awam dalam The Blitz
      • Jet (21 Julai 1942 – 18 Oktober 1949), 12 Januari 1945 kerana menyelamatkan orang yang terperangkap di bawah bangunan musnah dalam perkhidmatan pertahanan awam dalam The Blitz
      • Rex, April 1945 kerana mengesan lokasi korban di dalam asap tebal di dalam bangunan terbakar dalam perkhidmatan awam di England
      • Rifleman Khan, 27 Mac 1945 kerana menyelamatkan seorang askar lemas pada November 1944 di Belanda dalam Pertempuran Tambak Walcheren, sebahagian daripada Pertempuran Schelde
      • Thorn, 2 Mac 1945 kerana mengesan lokasi korban serbuan udara di dalam asap tebal di dalam bangunan terbakar dalam perkhidmatan awam
    • Selepas pemulihan pingat pada tahun 2000
  • Penerima Pingat Emas PDSA (untuk anjing bukan ketenteraan)[98][99]
    • Ajax, 11 Jun 2013 untuk perkhidmatan dalam pengawal sivil yang menyelamatkan nyawa dengan pengesanan sebuah bom ETA dekat dengan tapak berek pengawal di pulau Mallorca di Sepanyol pada tahun 2009 dalam keadaan berbahaya
    • Anya, 6 Julai 2010 untuk perkhidmatan sebagai anjing polis British dalam pertahanan seorang pegawai daripada serangan pisau pada Januari 2008
    • Ellie dan Jones (kacukan), 22 Ogos 2013 kerana menyelamatkan tuan mereka yang tumbang dan kehilangan kesedaran akibat kejutan diabetes pada November 2010
    • Finn (lahir pada Mac 2009), 6 Mei 2018 untuk perkhidmatan sebagai anjing polis dalam serangan pisau terhadap seorang pegawai polis di Stevenage, Hertfordshire, England, pada 5 Oktober 2016[100]
    • Gage (mata pada 13 Julai 2010), 22 Ogos 2013 (pascakematian) untuk perkhidmatan sebagai anjing polis di sebuah subbandar Christchurch, New Zealand, yang mempertahankan seorang pegawai dalam serangan oleh seorang lelaki dengan raifal (yang mengakibatkan kematian anjing itu)
  • Anjing ketenteraan, polis, pencarian dan penyelamatan, dan pengawal insitusi lain
    • Gabi, anjing pengawal tahun 1980-an di Zoo Beograd yang melindungi seorang pengawal keselamatan dan orang awam dengan bertarung dengan seekor jaguar terlepas
    • Kántor [hu], anjing polis di Hungary pada tahun 1950-an dan awal tahun 1960-an, kemudian digambarkan dalam versi-versi cereka untuk novel dan televisyen
    • Lex (1999 – 25 Mac 2012), yang digunakan oleh Kor Marin Amerika Syarikat di Iraq dan kemudian diadopsi oleh keluarga salah seorang askar yang terkorban dalam serangan roket semasa berkhidmat sebagai pengendalinya
    • Mancs (1994–2006), anjing pencarian dan penyelamatan gempa bumi di Miskolc, Hungary, yang membantu untuk menyelamatkan seorang anak perempuan berusia 3 tahun yang meluangkan 82 jam di bawah runtuhan gempa bumi tahun 1999 di Turki
    • Nemo A534 (mati pada Disember 1972), yang berkhidmat dalam pertempuran dalam Tentera Udara Amerika Syarikat semasa Perang Vietnam
    • Rajah, anjing polis cemerlang dan tidak rasmi di New Zealand, yang dicadangkan sebagai calon pengganti untuk Rin Tin Tin dalam filem-filem
    • Trakr (sekitar 1994 – April 2009), anjing polis Kanada yang menemukan orang terselamat terakhir dalam serangan 11 September 2001 di Bandar Raya New York, Amerika Syarikat
    • Zuyaqui (mati pada 2000-an), yang digunakan oleh angkatan polis dan tentera Mexico untuk pengesanan dadah haram

Catatan

  1. Jawi: انجيڠ سريݢالا الزس; bahasa Inggeris: Alsatian wolf dog
  2. Jawi: انجيڠ ݢمبالا جرمن; انجيڠ هيردر جرمن; Jerman: deutscher Schäferhund, Sebutan bahasa Jerman: [ˈdɔʏtʃɐ ˈʃɛːfɐˌhʊnt]; bahasa Inggeris: German shepherd dog; German shepherd
  3. Jawi: انجيڠ الزس; السيشن; bahasa Inggeris: alsatian

Rujukan

Bacaan lanjut

Pautan luar

Wikiwand in your browser!

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.

Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.