From Wikipedia, the free encyclopedia
Tamadun keyunanian, iaitu tamadun Yunani di luar wilayah Yunani klasik, melambangkan kemuncak pengaruh Yunani di dunia purba mulai 323 SM hingga sekitar 146 SM (atau selewat-lewatnya 30 SM). Tamadun keyunanian didahului oleh zaman Yunani Klasik, dan diikuti oleh penguasaan Rom ke atas bekas taklukan Yunani, sungguhpun kebanyakan unsur kebudayaan, keagamaan, kesenian dan kesusasteraan Yunani masih meresapi pemerintahan Rom yang golongan elitnya fasih berbahasa Yunani dan Latin.
Penyebaran kebudayaan keyunanian dicetuskan oleh usaha penaklukan oleh Alexander Agung. Setelah baginda menawan Empayar Parsi, kerajaan-kerajaan keyunanian ditubuhkan di seluruh Asia Barat Daya (yakni 'Timur Dekat' dan 'Timur Tengah') serta Afrika Timur Laut (Mesir purba dan Cyrene di Libya purba). Kesannya merupakan kedatangan kebudayaan, bahasa dan golongan kolonis Yunani ke dalam wilayah-wilayah baru ini. Walaupun demikian, kerajaan-kerajaan baru ini juga menerima pengaruh kebudayaan tempatan yang sama kuatnya, dengan menerima amalan-amalan setempat yang berfaedah, perlu ataupun memudahkan.
Oleh itu, tamadun keyunanian melambangkan gabungan dunia Yunani Purba dengan Asia Barat Daya, serta berakhirnya pandangan masyarakat Yunani yang serong terhadap kebudayaan "orang gasar". Sejauh mana bangkitnya kebudayaan campuran Yunani-Asia yang sebenar masih dalam pertikaian; ijmak kini cenderung ke arah penerimaan budaya yang pragmatik oleh golongan atasan, padahal bagi orang keramaian, kehidupan tidak banyak berubah seperti sebelumnya.[1]
Zaman keyunanian ini bercirikan gelombang baru penjajahan Yunani[2] (yang berbeza dengan yang berlaku pada abad ke-8 hingga ke-6 SM) yang menubuhkan kota-kota dan kerajaan-kerajaan Yunani di Asia dan Afrika.[3] Kota-kota baru ini terdiri daripada para penjajah Yunani yang datang dari pelbagai tempat dalam wilayah Yunani, dan bukannya dari sesebuah "ibu kota" seperti dahulu.[3] Pusat-pusat kebudayaan utama meluas dari tanah besar Yunani ke Pergamon, Rhodes, serta koloni-koloni Yunani yang baru seperti Seleucia, Antioch dan Alexandria. Campuran masyarakat berbahasa Yunani ini melahirkan satu bahasa perantaraan yang berasaskan loghat Attika, iaitu bahasa Yunani Keyunanian yang menjadi lingua franca di seluruh dunia keyunanian.
Adalah dianggap bahawa zaman keyunanian ini bermula pada tahun 323 SM, apabila Alexander Agung mangkat di Babylon. Dalam sedekad berperang-perang (mulai 334 SM), Alexander telah menakluki seluruh Empayar Parsi dengan menggulingkan Raja Parsi, Darius III. Antara tanah-tanah yang ditakluki termasuk Asia Kecil, Assyria, Syam, Mesir, Mesopotamia, Media, Parsi, sesetengah bahagian Afghanistan, Pakistan dan kawasan steppe di Asia Tengah.
Alexander tidak membuat sebarang persiapan khas untuk mewariskan takhtanya untuk empayar yang baru ditubuhkannya sebelum mangkat pada usia yang muda, maka pada ketika sebelum mangkat, baginda menyerahkan kuasa kepada "yang terkuat".[4] Natijahnya merupakan peperangan antara panglima-panglimanya (Diadochi, atau 'Pewaris') yang berlarutan selama 40 tahun sebelum tercapainya persetujuan yang lebih kurang utuhnya, yang terdiri daripada empat jajahan utama:
Ini disusuli oleh dua buah lagi kerajaan, iaitu Kerajaan Yunani-Baktria dan Kerajaan India-Yunani.
Setiap kerajaan ini mempunyai pembangunan dan sejarah masing-masing yang nyata tersendiri, tetapi bagi kebanyakan kerajaan ini, sejarahnya berakhir dengan kemerosotan yang beransur-ansur dan penaklukan oleh Republik Rom. Terdapat banyak kitaran persekutuan, pergabungan dan peperangan sesama negeri-negeri ini.[5] Namun demikian, adalah nyata bahawa para pemerintah kerajaan-kerajaan ini masih menggelar diri sebagai kaum Yunani; oleh yang demikianm, mereka mengakui bahawa negeri-negeri keyunanian yang lain juga Yunani dan bukannya 'orang gasar yang menyamun'.
Tahun 146 SM dianggap sebagai penutup tamadun keyunanian, apabila Republik Rom menakluki kebanyakan tanah besar Yunani serta menyerap hampir seluruh Macedon purba. Pada ketika ini, kebangkitan Rom sebagai kuasa politik yang mutlak di rantau Mediterranean hampir lengkap, maka ini mungkin boleh dianggap sebagai bermulanya 'zaman Rom'. Tahun 30 SM juga dianggap sebagai akhir kuasa tamadun keyunanian yang mutlak apabila Kerajaan Keyunanian yang terakhir, iaitu Mesir Ptolemy ditawan oleh Rom (saki-baki empayar Seleucid telah ditakluki 30 tahun sebelum itu).
Selain empat kerajaan Pewaris yang utama, juga terdapat lingkungan pengaruh Yunani yang lebih luas ketika zaman pemerintahan keyunanian. Sebahagian tanah besar dan kepulauan Yunani masih kekal merdeka atas nama, walaupun sering dikuasai oleh Macedon. Kerajaan Epirus yang bersempadan dengan Macedon turut kuat dipengaruhi oleh Yunani, oleh itu juga dikira sebagai kerajaan Keyunanian.
Jauh di barat pula, kota-kota Yunani di Sicily dan selatan Itali ('Magna Graecia') kekal merdeka pada awal zaman tamadun keyunanian, kemudian ditawan oleh Rom; tetapi kota-kota tersebut pula menyumbang kepada peyunanian di Republik Rom. Di Asia Kecil, bangkitnya kerajaan-kerajaan Pontus dan Cappadocia yang bukan Yunani; biarpun tidak diyunanikan secara langsung, namun kota-kota itu kuat dipengaruhi oleh Yunani. Carthage dan Parthia juga kuat diyunanikan pada abad ke-3 SM.
Di hujung timur dunia keyunanian, kerajaan Yunani-Baktria ditubuhkan sebagai pecahan dari empayar Seleucid. Pada abad ke-2 SM, kerajaan Yunani-Baktria nampaknya telah menawan barat laut India untuk membentuk kerajaan India-Yunani, sekaligus memperluas lagi pengaruh Yunani (ke dalam sebuah wilayah Seleucid yang terabai). Sesungguhnya, kerajaan India-Yunani mungkin sekali negeri keyunanian terakhir yang kekal (hingga sekitar tahun 10 M), biarpun hampir tiada apa-apa yang diketahui tentangnya selain manfaatnya dari hal-ehwal Eropah; maka pada kesudahannya ia barangkalinya bukan benar-benar keyunanian.
Konsep peyunanian, yakni penyebaran budaya Yunani, sudah lama dipertikaikan. Tidak syak lagi, pengaruh Yunani tersebar ke seluruh wilayah keyunanian, tetapi sejauh mana serta sama ada ini merupakan dasar yang disengajakan atau sekadar pergabungan budaya masih hebat diperbahaskan.
Kemungkinan sekali bahawa Alexander sendiri memupuk dasar peyunanian secara paksaan. Biarpun kelihatan sebagai cubaan yang berniat untuk menyebarkan pengaruh Yunani, namun lebih besar kemungkinannya bahawa ini merupakan langkah-langkah pragmatik yang direka untuk membantu baginda memerintah empayarnya yang sungguh besar.[6] Dasar-dasar ini juga boleh difahami sebagai kesan daripada megalomania[7] yang dialami oleh Alexander pada akhir hayat baginda.
Rukun pertama dasar-dasar Alexander merupakan penubuhan kota-kota di merata empayar. Sejak dahulu lagi, ini telah ditafsirkan sebagai sebahagian daripada niat Alexander untuk meluaskan kebudayaan Yunani di seluruh empayarnya. Kota-kota ini dikatakan bertujuan untuk menjadi pusat pentadbiran setempat yang diduduki oleh orang Yunani; kebanyakannya diduduki oleh bekas askar perang Alexander. Tanpa disangkal lagi, ini sudah semestinya menyebabkan peluasan pengaruh Yunani di merata empayar. Namun begitu, tujuan utamanya mungkin juga untuk mengawal rakyat jelata barunya, dan tidak semestinya untuk meluaskan pengaruh Yunani. Arrian terang-terang berkata bahawa sebuah kota yang ditubuhkan di Baktria "bertujuan untuk memperadabkan penduduk setempat"; bagaimanapun, ulasan ini boleh ditafsirkan seperti yang mana 'memperadabkan' itu sebenarnya menguasai. Sudah tentu, kota-kota ini mungkin dijadikan tempat garison untuk menguasai kawasan-kawasan sekeliling.
Keduanya, Alexander cuba menyatukan golongan pemerintah Parsi dan Yunani melalui perkahwinan. Beliau melantik orang Yunani dan Parsi sekali ke dalam jawatan-jawatan pentadbiran tertinggi, namun baginda lebih bergantung pada orang Yunani apabila berdepan dengan situasi yang genting, serta turut melucutkan ramai satrap Parsi selepas pulang dari India. Baginda turut cuba mencampurkan kedua-dua kebudayaan dengan menerima guna unsur-unsur istana Parsi (seperti busana dan istiadat diraja) serta cuba mendesak supaya rakyat Yunani mengekalkan amalan proskinesis. Ini mungkin satu cubaan untuk menyamakan pandangan kedua-dua kaum ini terhadap Alexander sebagai 'Raja Agung', tetapi tidak disenangi oleh kaum Macedon kerana adat resam Yunani itu terhad kepada dewa-dewi sahaja. Dasar ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan memperluas kebudayaan Yunani, atau membentuk suatu budaya campuran. Namun demikian, adalah lebih baik jika ini dipandang sebagai cubaan semata-mata untuk mengawal sebuah empayar yang besar dan sukar terkawal;[6] Alexander mendahagakan kesetiaan golongan bangsawan Parsi yang sebanyak para pegawai Macedon. Oleh itu, kebudayaan istana campuran dihasilkan sebagai cubaan untuk mengelak daripada meminggirkan orang Parsi. Lebih-lebih lagi, perkahwinan Alexander dengan puteri Roxana dari Baktria yang membuahkan seorang cahaya mata boleh difahami sebagai cubaan untuk membentuk sebuah wangsa diraja yang diterima oleh orang Asia dan Yunani sekaligus.
Alexander turut menyatukan tenteranya dengan menaikkan askar-askar Parsi ke dalam pangkat Macedon. Ini pun juga boleh difahami sebagai penyelesaian yang pragmatik kepada masalah kekurangan tenaga manusia yang kronik. Kesan menjadi-jadinya megalomania Alexander kelihatan dalam rancangan baginda untuk menghomogenkan sepenuhnya para penduduk Eropah dan Asia secara pemindahan beramai-ramai.[7] Biarpun rancangan yang nyata tidak praktikal ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan untuk menubuhkan kebudayaan campuran yang baru, namun kehebatan rancangan ini membayangkan niat yang lain.
Pendek kata, dasar-dasar Alexander nyata sekali menyebabkan meluasnya budaya Yunani, tetapi masih belum dipastikan sama ada ini merupakan matlamat utama dasar-dasar itu. Mungkin sekali dasar-dasar itu hanya melambangkan cubaan pragmatik oleh Alexander untuk mengawal wilayah-wilayah baru dengan mengakui dirinya sebagai pewaris kepada warisan Yunani dan Asia sekaligus dan bukannya orang luar.
Setelah Alexander mangkat pada 323 SM, empayarnya berpecah kepada beberapa buah wilayah satrap di bawah pemerintahan para panglimanya. Kebanyakan pengubahan budaya oleh Alexander ditolak oleh para Diadochi, termasuk perkahwinan silang budaya.[6] Bagaimanapun, kedatangan kolonis Yunani secara beramai-ramai ke dalam wilayah baru ini tetap menyebarkan budaya Yunani ke dalam Asia. Penubuhan kota-kota baru kekal sebagai sebahagian utama dalam perjuangan para Pewaris untuk menguasai kawasan-kawasan tertentu, maka kota-kota ini kekal sebagai pusat penyebaran budaya. Peluasan budaya Yunani di bawah para Pewaris nampaknya berlaku serentak dengan peluasan pendudukan kaum Yunani dan bukannya suatu dasar yang aktif.
Biarpun keberatan pada mulanya, golongan Pewaris ini kelihatan telah menyerapkan diri mereka ke dalam jajahan masing-masing, kononnya untuk membantu mengawal ketenteraman rakyat.[8] Oleh itu, sebagai contoh, Raja-Raja Ptolemy, seawal-awal Ptolemy I Soter, raja keyunanian pertama Mesir, digambarkan sebagai fir'aun. Begitu juga, di kerajaan India-Yunani, terdapat raja-raja yang memeluk agama Buddha (cth. Menander). Dengan itu, kaum Yunani di kawasan-kawasan tersebut lama-kelamaan memeluk adat resam setempat dan menyertai kaum tempatan. Oleh yang demikian, lahirlah budaya-budaya campuran 'keyunanian' di kalangan masyarakat atasan.
Ringkasnya, penaklukan Alexander serta kerajaan-kerajaan Pewaris membolehkan peluasan jajahan dan pertembungan budaya Yunani, tetapi adalah tidak mungkin bahawa ini merupakan dasar paksaan. Lebih-lebih lagi, proses peyunanian begini diiringi oleh peluasan budaya Asia ke Eropah. Namun demikian, pergolakan yang berlaku pada ketika ini nampaknya turut menyebabkan berkembanganya kebudayaan campuran 'keyunanian'. Akhir sekali, harus diingatkan bahawa takat pengaruh kebudayaan Yunani di seluruh kawasan keyunanian selalu dibesar-besarkan disebabkan pengaruh besar terhadap keturunan-keturunan selanjutnya pada sebilangan kecil bandar yang kuat diyunanikan, terutamanya Iskandariah.
Kebanyakan ilmuwan abad ke-19 berhujah bahawa zaman keyunanian ini melambangkan kemerosotan budaya dari kegemilangan Yunani Klasik. Biarpun perbandingan ini kini dianggap tidak adil dan tidak bererti, namun harus diakui bahawa para pengulas zaman berkenaan turut menyaksikan berakhirnya sebuah zaman kebudayaan yang tiada tandingan.[9] Ini mungkin mempunyai hubung kait yang tidak terungkai dengan sifat pemerintahan. Adalah diingatkan bahawa selepas penubuhan demokrasi di Athens:
Oleh itu, setelah merosotnya demokrasi Yunani serta penubuhan negeri-negeri beraja, juga merosotnya persekitaran yang penuh dengan kebebasan kemasyarakatan.[5] Ini boleh disamakan dengan kemajuan negeri-negeri kota di Itali sewaktu zaman Pelaburan, diikuti oleh kemerosotannya di bawah pemerintah autokratik.
Bagaimanapun, kebudayaan keyunanian mekar dalam sesetengah bidang, terutamanya dalam memelihara sejarahnya. Seperti yang disebutkan tadi, negeri-negeri zaman keyunanian ini amat ghairah dengan zaman silamnya serta kegemilangan yang nampaknya pudar.[11]
Athens mengekalkan kedudukannya sebagai pusat pendidikan tinggi yang paling berprestij, terutamanya dalam bidang falsafah dan retorik, dengan sejumlah besar perpustakaan.[12] Iskandariah turut diperkatakan sebagai pusat penimbaan ilmu Yunan yang kedua terpenting. Perpustakaan Iskandariah menyimpan 700,000 jilid.[12] Kota Pergamon menjadi pusat utama pengeluaran pustaka yang memiliki sebuah perpustakaan yang menyimpan kira-kira 200,000 jilid, iaitu yang kedua terbanyak selepas Iskandariah.[12] Pulau Rhodes terkenal dengan maktab khusus politik dan hubungan luar. Cicero pernah menuntut ilmu di Athens, sementara Marcus Antonius pula di Rhodes.[12] Antioch diasaskan sebagai sebuah metropolis dan pusat pembelajaran Yunani yang mengekalkan statusnya hingga zaman Kristian.[12] Seleucia menggantikan Babylon sebagai metropolis di hilir Sungai Tigris.
Peluasan budaya Yunani ke merata Timur Dekat dan Asia turut dipacu oleh pembangunan bandar. Petempatan-petempatan seperti Ai-Khanoum yang terletak di atas laluan perdagangan memudahkan percampuran dan peluasan budaya. Penyamaan dewa-dewi pujaan setempat dengan dewa-dewi Yunani yang seumpama memudahkan pembinaan kuil ala Yunani, sementara amalan budaya Yunani di kota-kota ini juga memekarkan pembinaan gimnasium. Kebanyakan kota ini mengekalkan kebebasan pentadbiran mereka di bawah pemerintahan raja setempat atau satrap atas nama, dan lazimnya memperlihatkan institusi-institusi ala Yunani. Tahbisan, patung, seni bina dan tulisan Yunani ditemui di mana sahaja. Bagaimanapun, budaya setempat tidak dipinggirkan, sebaliknya dicampurkan untuk membentuk budaya baru.
Bahasa dan sastera Yunani meluas di seluruh bekas Empayar Parsi. Penghasilan Hikayat Iskandar (terutamanya di Mesir) banyak berpunca dari seni pementasan Yunani di samping pelbagai jenis kaedah penceritaan. Perpustakaan Iskandariah yang didirikan oleh Ptolemy I Soter telah menjadi sebuah pusat pembelajaran yang dicontohi oleh kerajaan-kerajaan lain. Salah satu contoh yang menunjukkan peluasan seni pementasan Yunani ialah kisah kematian Crassus oleh Plutarch, yang mana kepala Crassus dibawa ke istana Parthia sebagai alatan dalam pementasan Bakkhai. Juga terdapat panggung-panggung: misalnya, panggung di Ai-Khanoum di tepi Baktria, mempunyai 35 baris tempat duduk, iaitu lebih besar daripada teater di Babylon.
Peluasan pengaruh dan bahasa Yunani juga terbukti pada syiling Yunani Purba, yang mana potretnya lebih realistik, sementara pada muka hadapan syiling tertera gambar propaganda, memperingati suatu peristiwa atau gambar dewa. Penggunaan potret ala Yunani dan bahasa Yunani berterusan hingga zaman Parthia, walaupun penggunaan bahasa Yunani turut merosot.
Pada abad ke-2 hingga pertama SM, Rom menakluki Yunani secebis demi secebs hinggalah Mesir ditawan pada 30 SM. Empayar Rom mengawal Mediterranean. Bagaimanapun, Horace menerangkan dengan berbudi bahasa: "Graecia capta ferum victorim cepit et artis intulit agresti Latio" ("Yunani yang tertawan telah menawan pemenang yang garang dengan membawakan seninya ke dalam Latium yang kekampungan").[13] Seni dan sastera Rom meminjam contoh keyunanian. Bahasa Yunani Koine kekal sebagai bahasa utama di bahagian timur Empayar Rom. Di kota Rom pun, bahasa Yunani Koine dituturkan secara meluas di kalangan rakyat jelata, sementara golongan atasan bertutur dan menulis dalam bahasa Yunani sefasih bahasa Latin.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.