Feminin (kumpulan)
From Wikipedia, the free encyclopedia
Feminin merupakan sebuah kumpulan pop wanita yang aktif di Malaysia. Ditubuhkan pada 1992, kumpulan ini meraih kejayaan pada 1990-an dan mula dikenali dengan lagu dari album pertama mereka iaitu "Untukmu".[1][2]
Feminin | |
---|---|
Berasal dari | Kuala Lumpur, Malaysia |
Genre | Hip Hop, Pop, R&B |
Instrumen | Vokal |
Tahun aktif | 1992–1997 |
Syarikat rakaman | Warner Music Malaysia |
Ahli | As - vokal utama Watie - vokal kedua Yatie - vokal harmoni Deq Nor - vokal harmoni Along - vokal harmoni |
Kumpulan ini telah meraih kejayaan di industri muzik Malaysia dalam tempoh yang singkat sebelum dibubarkan pada 1997 akibat masalah dalaman, ditambah pula dengan kegawatan ekonomi yang melanda rantau Asia. Antara lagu mereka yang paling popular hingga sekarang adalah "Untukmu". Mereka ada melakukan comeback tetapi sekadar untuk meremixkan lagu "Untukmu" sahaja.[3][4]
Sejarah
Sebelum Feminin ditubuhkan, kelima-lima ahli kumpulan ini bergiat aktif sebagai penari bersama syarikat Edrina Collection di bawah pengurusan Edriss Razhe bermula pada 1991. Edriss (kemudian menjadi pengurus Feminin) mendapati lima ahli kumpulan itu mempunyai bakat, kemudian mempelawa mereka menjadi artis rakaman. Hasil perbincangan bersama, pada Disember 1992, mereka memilih syarikat rakaman New Southern Records (NSR) yang ketika itu masih belum memiliki kumpulan rap sendiri kerana yakin NSR boleh mengembangkan bakat mereka yang terpendam. Mereka menandatangani kontrak bersama NSR selama dua tahun dan kontrak pilihan selama setahun.
Album pertama mereka, Untukmu dikeluarkan pada 26 Julai 1993.[5] Diterbitkan oleh Susan Goh, single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah lagu yang bertajuk sama hasil ciptaan kumpulan KRU.[6] Album ini mendapat sambutan apabila ia telah terjual sebanyak 100,000 unit.[7][8] Bagaimanapun, pada 1994, Along meninggalkan Feminin atas sebab peribadi setahun selepas album Untukmu dikeluarkan. Feminin kemudian meneruskan kerjaya muzik mereka secara berempat. "Untukmu" kemudian dirakamkan dan dinyanyikan semula oleh KRU.
Album kedua Feminin menyusul dengan tajuk Kini pada 1994, menjadi album pertama Feminin sebagai kuartet tanpa Along. Di dalam album ini, Feminin mula memperlihatkan perbezaan genre muzik yang dibawakan dan terdapat dua lagu bonus dimuatkan dalam album ini.[9] Antara lagu yang dikeluarkan sebagai single ialah "Kini" dan "Rindu". Pada tahun 1995, mereka mencatat sejarah apabila mendapat kontrak menjadi model iklan sabun Lux yang pernah membariskan artis popular seperti Fauziah Latiff dan Sheila Majid.[10] Mereka kemudian merakamkan semula lagu "Hanya Sekali" nyanyian asal kumpulan Ideal Sisters sebagai single pertama untuk album ketiga mereka yang akan dilancarkan.[11] Album ketiga dan terakhir Feminin, Kembali, dikeluarkan pada April 1996.[12] Dalam album ini, mereka telah merakamkan sebuah lagu berbahasa Inggeris bertajuk "Ride & Slide".[13] Selepas album Kembali dikeluarkan, Deq Nor pula menarik diri kerana beliau telah mendirikan rumahtangga pada tahun tersebut. Akhirnya, Feminin terpaksa akur dengan pembubaran secara rasmi pada tahun 1997 berikutan pengunduran anggotanya dan krisis ekonomi yang melanda negara pada ketika itu.[14]
Ahli kumpulan
- Asfarina binti Muhamad (As) - vokal utama
- Ruzilawati binti Muhamad (Watie) - vokal kedua
- Noor Intan Zanariah binti Abdul Zaharin (Deq Nor) - vokal harmoni
- Andriaty binti Abdul Rahman (Yatie) - vokal harmoni
Diskografi
Album studio
Album kompilasi
- Untukmu... Kini (1997)
- Kenangan Abadi Feminin (2011)
- 14 Lagu Hit Paling Hebat: 20th Feminin (2013)
Album lain
- Feminin In The House Mega Mix (1994)
- Seikhlas Budi Aidilfitri (1995)
Single
- "Kehadiran"
- "Bayangan Merbahaya"
- "Hanya Sekali"
- "Kembali"
- "Godaan Kotaraya"
- "Penawar Luka"
- "Cinta Abadi"
- "Lepaskan"
- "Kini"
- "Rindu"
- "Kehadiran"
- "Untukmu"
- "Cinta Abadi"
- "Selamat Tinggal Cinta"
Anugerah dan pencalonan
Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
1993 | Anugerah Industri Muzik Pertama | Artis Baru Duo/Berkumpulan Terbaik | Feminin | Menang |
1993 | Anugerah Bintang-Bintang Popular Ke-7 (ABPBH) | Penyanyi Berkumpulan Popular | Tercalon | |
1994 | Anugerah Media Hiburan | Kumpulan Wanita Popular | Feminin | Menang |
- Anugerah Platinum Berkembar: Album pertama mereka, “ Untukmu” menerima anugerah ini atas penjualan melebihi 100,000 unit.
- Anugerah Platinum: Album kedua mereka, “Kini”dianugerahkan atas penjualan melebihi 50,000 unit.
- Anugerah Emas: Album ketiga mereka, “Kembali” menerima anugerah ini dengan penjualan melebihi 30,000 unit.
- Pertandingan Akhir Pujaan 10 Nescafe 1994: Lagu “Untukmu” memenangi tempat kedua dalam pertandingan anjuran RTM ini.
- Lagu Paling Popular Radio Muzik 1994: Lagu Kini diiktiraf sebagai lagu paling popular di Radio Muzik pada tahun tersebut.
- Separuh Akhir Muzik-Muzik 1994 dan 1995: Lagu Untukmu dan Kini berjaya mara ke peringkat separuh akhir dalam pertandingan anjuran TV3 ini.
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.