From Wikipedia, the free encyclopedia
Dokumen pengenalan merupakan sejenis dokumen yang digunakan untuk memastikan identiti pembawanya. Berbeza dengan dokumen lain, tugas dokumen pengenalan ini adalah cuma untuk menyatakan identiti pembawanya. Jika dalam bentuk kad kecil, ia dipanggil kad pengenalan (KP).
Isu kad pengenalan boleh menimbulkan kontroversi, bergantung kepada cara kerajaan menggunakannya kerana dikatakan membolehkan kerajaan mengintip rakyatnya dengan mudah. Walau bagaimanapun, kontroversi ini biasanya hanya berlaku di negara-negara Barat yang tidak mempunyai kad pengenalan wajib.
Kad pengenalan moden amat berbeza sekali dengan kad “gambar foto di atas sekeping kadbod” tradisional, dan biasanya merupakan kad pintar berteknologi tinggi yang boleh dibaca oleh komputer.
Bila kad pengenalan itu dikeluarkan oleh kerajaan, ia menegaskan satu identiti awam yang unik untuk sesorang, dengan itu menetapkan identiti seseorang itu dalam hubungannya dengan kerajaan. Teknologi baru membolehkan kad pengenalan mengandungi maklumat biometrik, seperti gambar, geometri muka dan tangan, ukuran iris ataupun cap jari.
Maklumat lain yang biasanya terkandung dalam kad tersebut — atau pangkalan data sokongannya — termasuklah nama penuh, nama ibu bapa, alamat, pekerjaan, kerakyatan, jenis darah dan faktor Rhesus.
Undang-undang biasanya menghadkan kuasa meminta pengenalan diri (contohnya polis dan pegawai imigresen), walaupun apa yang terjadi ialah banyak pihak lain sama ada petugas kerajaan atau persendirian turut meminta pengenalan diri, contohnya jurujual mungkin meminta pengenalan diri jika seseorang pelanggan ingin membayar menggunakan kad kredit ataupun cek.
Di negara-negara di mana kad pengenalan khas tiada/tidak diwajibkan, kegagalan menunjukkan pengenalan diri kepada pihak berkuasa apabila diminta mungkin menyebabkan pelaku dibawa ke balai polis untuk pengenalan lanjut walaupun tiada kesalahan dilakukan. Ini membawa kepada kesan di mana membawa kad pengenalan diri adalah kewajipan de facto (keadaan) walaupun bukan kewajipan de jure (undang-undang). Dalam kebanyakan kes, dokumen lain seperti lesen memandu dan pasport biasanya diterima.
Sesetengah orang mungkin tidak mahu membawa dokumen pengenalan diri supaya sukar dikesan, contohnya orang biasa yang tidak mengingini gangguan. Namun kadang-kadang ia mungkin membantu dalam perlakuan haram; contohnya, di sesetengah negara, prosedur untuk pendatang asing tanpa izin mungkin berbeza mengikut umur atau kerakyatannya. Tanpa dokumen pengenalan, pendatang tersebut mungkin mempunyai lebih masa untuk menyiapkan kesnya sementara pihak berkuasa cuba mengenal pasti identitinya.
Untuk negara-negara yang mewajibkan pembawaan kad pengenalan sepanjang masa, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pelakunya didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.[1] Di Malaysia kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum penjara di bawah Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990. [2] , [3], [4] Menggunakan kad pengenalan orang lain juga merupakan satu kesalahan yang boleh dipenjarakan. [5]
Mengikut laporan Privacy International pada 1996, terdapat kira-kira 100 buah negara di dunia yang mewajibkan rakyatnya mempunyai kad pengenalan.
Di sesetengah negara, kad pengenalan cuma diwajibkan setelah sesorang itu mencapai satu umur tertentu.
Australia, Austria, Belanda, Finland, Jepun, Kanada, Perancis, Sweden dan Switzerland mempunyai kad/dokumen pengenalan khas, tetapi tidak diwajibkan.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.