Bunga kemboja
From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Bunga kemboja, kemoja, semboja atau bunga kubur ialah sejenis bunga dalam genus tumbuhan berbunga Plumeria dalam keluarga Apocynaceae terdiri daripada 19 spesies.[1][2] Spesies-spesies genus ini tumbuh asli di kawasan tropika Karibia, Mexico dan Amerika Selatan,[3] pokok bunga kemboja dibawa ke Asia Tenggara dari pulau-pulau Filipina dan Ternate yang dijajah Empayar Sepanyol pada abad ke-17.[4]:356
Remove ads
Penamaan
Bunga kemboja (Jawi: کمبوج) umum dipakai kepada spesies tertentu iaitu Plumeria rubra.[5]:32 Ia juga diberi nama sebagai bunga kamboja di Sumatera[6]:76 dan kemoja (Jawi: کموج) di Kedah.[7] Nama bunga ini tidak diperkenalkan dari Kemboja, tetapi ia dinamakan kerana asalnya dari tempat asing.[4]:356
Nama semboja (Jawi: سموج) digunakan di Jawa.[6]:76
Bunga ini juga diberi nama cempaka biru (Jawi: چمڤاک بيرو) dan cempaka mulia (Jawi: چمڤاک مليا).[7]
Taksonomi
Nama genus Plumeria diberikan daripada Charles Plumier, seorang rahib Katolik dan ahli botani Perancis abad ke-17 yang mengembara ke Dunia Baru mendokumentasikan banyak spesies tumbuhan dan haiwan.[4]
Remove ads
Botani
Saiz pokok ini besar. Ia berbatang lembut yang berwarna kelabu dan mempunyai banyak cabang, ia mengeluarkan getah putih yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit.[5][8]
Bunga
Pokok kemboja mula berbunga pada awal musim panas sampai musim luruh. Bunga-bunga pokok muncul pada tangkai di hujung dahan.[5] Sekuntum bunga terdiri daripada sari salut berbentuk tiub 3-10.2 sm panjang yang pecah menjadi lima kelopak bulat dan berlilin. Kelopak-kelopak ini berwarna merah menyala, kuning, putih kekuning-kuningan, atau jingga.[8][3]
Bunga kemboja mempunyai bau yang sangat harum seperti campuran bunga melur dan limau untuk menarik perhatian rama-rama Sphingidae, ia tidak mengeluarkan nektar.[9]
Buah
Buahnya keras dan merekah sehingga terbelah mengeluarkan biji benih yang nipis bersayap.[5][3]
Remove ads
Dalam budaya
Bunga ini selalu dikaitkan dengan kawasan perkuburan di Malaysia, Indonesia dan Filipina.[10][4]:356-357 Ia juga dikenali sebagai Cempaka Kubur. Oleh yang demikian pokok bunga kemboja jarang ditanam di halaman-halaman rumah.
Di beberapa pulau Pasifik seperti Tahiti, Fiji, Samoa, Hawaii, New Zealand, Tonga, dan Kepulauan Cook, bunga-bunga spesies kemboja digunakan untuk membuat kalungan lei.[11] Bunga ini dipakai kaum wanita Polinesia untuk menunjukkan status pertalian: bunga dipakai di telinga kanan menunjukkan mereka yang mahu mencari pasangan, bunga di telinga kiri menunjukkan mereka yang sudah berpunya.[12]
Galeri
- Bunga kemboja merah.
- Bunga kemboja merah.
- Bunga Kemboja kacukan
- Bunga kemboja kacukan
- Bunga kemboja kacukan
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads
