Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Orang Bamar (ဗမာလူမျိုး, MLCTS: ba. ma lu. myui:; IPA: [bəmàː]), merupakan kelompok etnik terbesar di Myanmar, merangkumi kira-kira 68% (30 juta) daripada seluruh populasi. Namun, terdapat spekulasi bahawa kerajaan telah menokok tambah sedikit jumlah ini. Lebih-lebih lagi, sudah lebih seabad berlalu sejak kali terakhir diadakannya banci yang boleh dipercayai, dan perangkaan kini berdasarkan anggaran. Orang Bamar biasanya berambut hitam lurus, dan berkulit ton gelap (namun kahwin campur membolehkan keplrbagaian ton kulit).
Orang Bamar sering dipanggil orang Burma, tetapi istilah ini agak samar ertinya kerana boleh termasuk warga Myanmar yang tergolong dalam kumpulan etnik yang lain (Karen, Shan, Kachin, Mon, dsb.) Junta tentera menggunakan istilah "Myanmar" untuk menyifatkan mana-mana warga Myanmar daripada semua latar etnik.
Orang Bamar berketurunan Asia Timur dan bertutur dalam sejenis bahasa Sino-Tibet (yang rapat pertaliannya dengan bahasa Tibet, dan jauh pertaliannya dengan bahasa Cina). Mereka berhijrah dari kawasan yang kini dikenali sebagai Yunnan di China ke lembah sungai Ayeyarwady di Burma Atas sejak 1200-1500 tahun dahulu. Sepanjang satu alaf yang lalu, mereka telah banyak menggantikan atau menyerap etnik Mon dan Pyu yang asalnya mendominasi populasi lembah Ayeyarwady.
Bahasa Burma, iaitu bahasa rasmi Myanmar, ditutur secara meluas oleh orang Bamar dan juga kebanyakan golongan etnik minoriti. Kosa kata asalnya terdiri daripada perkataan Sino-Tibet, tetapi kebanyakan istilah yang berkaitan dengan agama Buddha, seni, sains, dan kerajaan berasal daripada bahasa Indo-Eropah seperti Pali dan Inggeris. Orang Rakhine, sungguhpun berlainan budayanya daripada orang Bamar, namun bertalian etnik dengan orang Bamar dan bertutur dalam satu dialek bahasa Burma yang merangkumi pengekalan bunyi /r/ yang sudah bergabung kepada bunyi /j/ dalam bahasa baku piawai (namun masih terdapat dalam ortografi). Selain itu, terdapat juga dialek dari kawasan pantai Bahagian Tanintharyi, termasuk Myeik (Beik) dan Dawei (Tavoyan).[1] Bahasa Inggeris diperkenalkan pada 1800-an ketika orang Bamar menemui orang British sebagai negara perdagangan dan terus berkembang di bawah pemerintahan penjajah yang menyusul.
Orang Bamar menjadikan sarung sebagai pakaian tradisional, lalu memanggilnya sebagai longyi (လုံခ္ယည္ ). Kaum wanita memakai sejenis sarung yang dipanggil htamain (ထမီ ), dan lelaki pula memakai sejenis sarung yang dijahit menjadi bentuk tiub, yang bergelar longyi, atau, secara lebih formal, sehelai kain panjang tunggal yang dibalut mengelilingi pinggul, iaitu paso (ပုဆုိး ). Pakaian formal lazimnya merangkumi berlian emas, skarf sutera, dan jaket. Ketika dalam acara formal, lelaki sering dilihat membalut kepala mereka dengan kain bergelar gaungbaung (ခောင္းပောင္း ) serta memakai jaket berkolar Mandarin dipanggil taikpon (တုိက္ပုံ ), manakala perempuan memakai blaus. Kedua-dua jantina memakai capal baldu Mandalay pa nak (မန္တလေးဖိနပ္ ), namun capal kulit, getah atau plastik (ဂ္ယပန္ဖိနပ္ , "kasut Jepun") juga dipakai. Di kawasan bandar, pakaian Barat termasuk kemeja T, seluar jean dan kasut sukan menjadi popular, terutamanya di kalangan generasi muda. Tatu berazimat, subang, dan rambut panjang yang diikat simpul pernah menjadi kebiasaan lelaki Bamar, tetapi kian pudar sejak selepas Perang Dunia II; lelaki berseluar pendek dan bertocang ekor kuda, serta juga rambut bercelup warna pada kedua-dua jantina, sudah kelihatan di Yangon dan Mandalay dewasa ini, terutama dalam suasana senang-lenang cuti Tahun Baru Burma iaitu Thingyan. Lelaki dan wanita Bamar juga memakai thanaka, khususnya pada muka mereka, namun amalan ini terhad kepada kaum wanita, kanak-kanak dan lelaki bujang. Solekan dan kosmetik Barat sekian lama disambut baik di kawasan bandar. Thanaka bukan sahaja dipakai orang Bamar, malah juga oleh kelompok etnik lain di Myanmar.
Makanan Bamar banyak mengandungi unsur rantauan, seperti teknik goreng kacau dan kari yang pedas tetapi kadang-kala ringan rempahnya, selalu disertakan pes ikan serta bawang, bawang putih, halia, cili kering dan kunyit. Nasi (ထမင္း htamin) dijadikan makanan asasi, tetapi mi (ခောက္ဆ္ဝဲ hkauk swè), salad (အသုတ္ a thouk), dan roti (ပောင္မုန့္ paung mont) juga kerap dimakan. Teh hijau ialah minuman kegemaran orang Bamar, namun daun teh juga secara tradisinya dijeruk dan dimakan sebagai sejenis salad bergelar lahpet. Masakan Bamar yang paling dikenali ialah mohinga, mi beras dalam bubur ikan. Selain itu makanan etnik lain (Shan, Cina, India) juga dimakan.
Perayaan agama Buddha disambut secara meluas oleh orang Bamar. Thingyan, atau Pesta Air, menandakan bermulanya Tahun Baru Burma pada bulan April. Thadingyut, yang menandakan tamatnya Vassa (tempoh puasa), disambut bersama-sama Pesta Cahaya pada bulan Oktober. Kathina atau upacara penyembahan jubah kepada para sami diadakan pada permulaan Vassa pada bulan Julai dan juga pada bulan November.
Kebanyakan orang Bamar beragama Buddha mazhab Theravada. Mereka diajar untuk mengamalkan pancasila dan mengamalkan dana (beramal), sila (berakhlak), dan bavana (bertakafur). Kebanyakan desa mempunyai sebuah biara serta juga lazimnya sebuah pagoda yang diselenggara dan didukung oleh orang awam. Perayaan pagoda tahunan biasanya jatuh pada hari bulan purnama, dan upacara penyembahan makanan untuk para sami diadakan pada permulaan dan selepas tempoh Vassa berbetulan dengan musim monsun, dan ketika inilah uposatha ("hari suci") biasanya diamalkan sekali seminggu. Kanak-kanak pada masa dahulu diajar oleh para sami sebelum wujudnya sekolah kebangsaan sekular. Upacara shinbyu yang mana kanak-kanak lelaki menjadi sami pelatih untuk jangka masa sigkat merupakan tugas paling penting bagi ibu bapa beragama Buddha. Mubaligh Kristian pula tidak banyak pengaruhnya terhadap orang Bamar meskipun wujudnya banyak sekolah mubaligh di bandar-bandar raya.
Orang Bamar mengamalkan agama Buddha bersama dengan pujaan nat yang mendahului kedatangan agama Buddha. Pujaan ini melibatkan upacara-upacara yang berkaitan dengan 37 Nat yang dilantik oleh Raja Anawratha, namun banyak lagi nat kecil yang turut disembah. Dalam perkampungan, banyak rumah mendirikan mazbah di halaman untuk penyembahan nat, iaitu nat ein (နတ္အိမ္ ), serta satu lagi di luar kampung iaitu nat sin (နတ္စင္ ) yang sering ditemui di bawah pokok bo. Di dalam kebanyakan rumah, terdapat juga sebuah kelapa bergelar nat oun di atas mazbah utama untuk Eindwin Min Mahagiri (အိမ္တ္ဝင္းမင္းမဟာဂိရိ ; "Raja Dalaman Gunung Agung"), salah satu Nat yang teragung.
Orang Bamar lazimnya menggunakan hari lahir (kalendar "8 hari" tradisi, yang termasuk Yahu, tengah hari Rabu) sebagai dasar pemilihan nama. Huruf-huruf daripada kumpulan dalam skrip Burma diberi kepada hari tertentu, dan daripada inilah orang Bamar memilih nama.[2] Nama dipilih seperti berikut:
Hari | Huruf |
---|---|
Isnin (တနင္းလာ ) | က (ka), ခ (hka), ဂ (ga), ဃ (ga), င (nga) |
Selasa (အင္ဂာ ) | စ (sa), ဆ (hsa), ဇ (za), ဈ (za), ည (nya) |
Rabu (ဗုဒ္ဓဟူး ) | လ (la), ဝ (wa) |
Yahu (ရာဟူး ) | ယ (ya), ရ (ya, ra) |
Khamis (က္ရားသပတေး ) | ပ (pa), ဖ (hpa), ဗ (ba), ဘ (ba), မ (ma) |
Jumaat (သောက္ရာ ) | သ (tha), ဟ (ha) |
Sabtu (စနေ ) | တ (ta), ထ (hta), ဒ (da), ဓ (da), န (na) |
Ahad (တနင္ဂန္ဝေ ) | အ (a) |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.