From Wikipedia, the free encyclopedia
Tun Abdullah bin Ayub (3 Januari 1927 – 13 Disember 2018) merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara Malaysia ke-6 (1 Januari 1979 – 30 November 1982).[1]
Abdullah Ayub | |
---|---|
Ketua Setiausaha Negara ke-6 | |
Dalam jawatan 1 Januari 1979 – 30 November 1982 | |
Didahului oleh | Tun Abdullah Mohd Salleh |
Digantikan oleh | Tan Sri Hashim Aman |
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia | |
Dalam jawatan 1976–1978 | |
Didahului oleh | Tun Abdullah Mohd Salleh |
Digantikan oleh | Tan Sri Thong Yaw Hong |
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia | |
Dalam jawatan 1972–1974 | |
Didahului oleh | Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan |
Digantikan oleh | Tun Abdullah Mohd Salleh |
Maklumat peribadi | |
Lahir | 3 Januari 1927 Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak |
Mati | 13 Disember 2018 91) Kuala Lumpur, Malaysia | (umur
Tempat semadi | Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara |
Pasangan | Toh Puan Puteh Rafeah Arifin (m. 2001) Toh Puan Anna Abdul Ranee |
Tun Abdullah Ayub telah dilahirkan pada 3 Januari 1927 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut dan di Anglo-Chinese School, Sitiawan, sebelum meneruskan persekolahan beliau di Sekolah King Edward VII di Taiping, Perak. Berkat dari ketekunan dan ketabahan beliau dalam pelajaran, Tun Abdullah telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Cambridge School Certificate dan berjaya meneruskan pengajiannya ke Raffles College, Universiti Malaya, Singapura. Beliau lulus Ijazah B.A (Hons) dalam tahun 1953 dan telah dianugerahkan "Queen's Scholarship" kerana pencapaian yang amat cemerlang.[2][3]
Kerjaya Tun Abdullah dalam pentadbiran bermula apabila beliau diterima masuk sebagai Pegawai Pelatih (Probationer Officer) Malayan Civil Service (M.C.S) pada 5 Januari 1954 dan ditempatkan sebagai Penolong Pesuruhjaya Buruh di Pejabat Buruh Selangor.
Selepas lulus Pengajian Bahasa Cina, Tun Abdullah telah ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai Setiausaha Sulit kepada Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra mulai Ogos 1956. Beliau telah ditukarkan pula ke Kementerian Dalam dan Keadilan untuk membantu menyediakan persiapan perayaan Hari Merdeka dan Pertabalan Yang di-Pertua Agong yang pertama pada 31 Ogos 1957. Tun Abdullah kemudian telah dihantar untuk mengikuti Kursus Pentadbiran Awam di Universiti Cambridge, England selama setahun dari tahun 1958 hingga 1959.
Sekembalinya Tun Abdullah dari England, beliau telah ditugaskan di Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat sebagai Ketua Penolong Setiausaha dan selepas itu ke Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan akhirnya ditukarkan ke Perbendaharaan di awal tahun 1961. Tun Abdullah mempunyai kerjaya yang lama di Perbendaharaan iaitu hampir 15 tahun (1961–1972, 1976–1978). Dalam tempoh itu, beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam kementerian dan telah dinaikkan pangkat daripada Tingkatan Tertinggi H hingga Turus A. Beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (N.D.P.C.) selama beberapa lama dan kemudian menyandang jawatan pengerusinya.
Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Tun Abdullah semasa menjalankan tugas telah membawa beliau ke jawatan-jawatan yang lebih tinggi dan penting kepada negara Malaysia. Hal ini terbukti apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 1972. Selain itu, beliau juga berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan daripada Ogos 1976 hingga November 1978. Beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Kecemerlangannya sebagai seorang pentadbir mencapai kemuncaknya apabila Tun Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara untuk mengetuai Perkhidmatan Awam di negara ini pada 1 Januari 1979. Dalam pada itu, beliau telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Negara. Sebaik sahaja bersara daripada Perkhidmatan Awam pada 30 November 1982, Tun Abdullah terus dilantik sebagai Pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam.
Jasa-jasa beliau dihargai dengan anugerah-anugerah darjah SPCM, SPMJ, DPMT, DPSK, PGDK yang diterima daripada beberapa buah negeri di Malaysia dan tidak ketinggalan di peringkat persekutuan dengan Anugerah-anugerah Bintang KMN, JMN dan Darjah PSM pada tahun 1974 dan Darjah PMN pada tahun 1979, yang kedua-duanya membawa gelaran Tan Sri. Pada tahun 2011, beliau telah dikurniakan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Tun Abdullah Ayub meninggal dunia pada 13 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau berusia 92 tahun.[4][5][6] Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara selepas solat zuhur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 3 petang.[7][8]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.