From Wikipedia, the free encyclopedia
Secara tradisinya, taman Islam ialah tempat istirahat yang nyaman dan mengingatkan syurga. Terdapat banyak rujukan tentang taman di dalam al-Quran, dan taman itu digunakan sebagai kiasan duniawi kepada kehidupan di dalam syurga yang dijanjikan kepada orang yang beriman:
Terdapat taman-taman Islam formal yang masih bertahan di dalam zon yang luas melebar dari Sepanyol dan Magribi di barat hingga India di timur. Taman-taman Islam yang terkenal termasuklah yang ada di Taj Mahal dan Generalife di Alhambra yang terletak di Granada, Sepanyol.
Tema umum taman Islam yang tradisional ialah air dan teduhan. Tidak seperti taman Inggeris, yang sering direka untuk bersiar-siar, taman Islam dimaksudkan untuk istirahat dan tafakur. Atas sebab inilah, taman-taman Islam biasanya mengandungi tempat duduk.
Fairchild Ruggles merujuk pada tabiat sejagat perkebunan, dan keperluan asas manusia yang dipenuhinya; keperluan menanam, menguasai lanskap liar, dan mengaturnya. Aspek spiritual perkebunan, menurut pandangan ini, adalah perkembangan terkemudian. Dia menegaskan dengan lebih lanjut taman formal klasik, yang dikenali sebagai Charbagh (atau Chahar Bagh), adalah satu bentuk yang wujud dalam tamadun Islam; satu tamadun yang secara tradisionalnya melibatkan orang-orang dari pelbagai kepercayaan dan budaya.[1]
Clifford A. Wright, seorang penulis masakan Mediterranean, menggambarkan pelbagai jenis taman bagi pelbagai tujuan.The Muslim Gardens of Paradise
Selepas kemasukan Arab pada kurun ke-7M, rekabentuk tradisional taman Parsi digunakan dalam taman Islam. Sejak itu taman Parsi secara tradisinya dipagari oleh tembok dan direkabentuk untuk mewakili syurga; perkataan Parsi bagi kawasan berpagar ialah 'pairi-daeza.' Di dalam Charbagh atau taman syurga, empat tali air biasanya membawa air kepada kolam pusat atau air pancut, yang ditafsirkan sebagai empat batang sungai di dalam syurga, yang dipenuhi dengan susu, madu, arak dan air.[2][3] Pengaruh Hellenistik juga ketara; penggunaan garisan lurus oleh Barat pada pelannya bercampur baur dengan tanaman hiasan dan air pancut Sassan.[4]
Banyak taman-taman dalam tamadun Islam hilang daripada kita pada masa kini. Manakala kebanyakan yang lain mungkin mengekalkan bentuknya, tanaman yang asal diganti dengan yang moden.[1] Taman itu adalah satu bentuk sementara bagi seni kesenibinaan yang bergantung pada iklim, dan sumber yang tersedia bagi mereka yang menjaganya.
Seyahatname tulisan Evliya Çelebi pada kurun ke-17 mengandungi gambaran taman-taman syurga di sekeliling pekan Berat dan Elbasan, Albania. Menurut Dr. Robert Elsie, seorang pakar mengenai budaya Albania, sangat sedikit kesan-kesan budaya timur yang halus dari zaman Empayar Uthmaniyyah yang masih tinggal di sini pada masa kini.[5]
Dar al-Bahr, Istana Tasik, terletak di hujung selatan Kubu Bani Hammad, sebuah kota berkubu yang musnah yang kekal tidak berpenghuni selama 800 tahun. Artifak yang didapati daripada tapak itu membuktikan tahap tamadun yang tinggi. Pada zamannya, ia dikomen oleh pelawat dengan pemandangan nautika yang terpancar di dalam kolam besarnya. Di sekeliling kolam dan istana adalah teres, laman dan taman. Tidak diketahui dengan banyak tentang taman-taman ini, selain daripada motif-motif singa yang diukir pada air pancut batu.[6] Kubu Bani Hammad adalah Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang dicatatkan sebagai "gambaran tulen kota berkubu orang Islam."
Nama Shalimar dianggap bermaksud, antaranya, "tempat tinggal yang penuh kebahagiaan" atau "cahaya bulan". Pada asalnya terdapat tiga buah taman dengan nama Shalimar: satu di Lahore, Pakistan, satu lagi di Jammu Kashmir, India dan akhir sekali, terletak di Delhi, yang telah lenyap sepenuhnya.[7]
Taman-taman Shalimar, Lahore, dibina oleh gabenor Lahore, dengan dana yang dibekalkan oleh Maharaja Mughal Shah Jahan, bermula pada tahun 1641. Air dibekalkan oleh satu tali air yang digali daripada sungai Ravi yang berdekatan. Dibina dengan gaya Mughal, ia dikelilingi oleh tembok yang tinggi dengan menara pada bucu-bucunya. Permukaan tembok sebelah dalam mempunyai kesan fresko dalam corak bunga-bungaan. Tali air melalui taman-taman itu, yang dibina di atas tiga teres berasingan pada ketinggian berbeza. Teres-teres taman itu disusun atur mengikut motif tradisonal "syurga" yang terdiri daripada empat saluran yang bertumpu pada air pancut pusat, dan meliputi keseluruhannya 40 ekar.[8] Diarkibkan 2006-02-14 di Wayback Machine
Taman merupakan ciri biasa rumah-rumah di Sepanyol pada zaman pemerintahan Islam. Rekabentuk al-Andalus menekankan kebersendirian dan kenyamanan, dengan bilik-bilik dibuka terus ke koridor berbumbung yang terbuka. Bersebelahan koridor ini, seseorang biasanya menemui taman patio yang menghijau lengkap dengan air pancut pusat.[9]
Taman Al-Azhar adalah mercu tanda moden yang terletak di Kaherah, Mesir. Ia disusun atur di sepanjang satu siri pusat taman-taman Islam formal berteres. Kerja pemahatan batu Mamluk berwarna-warni, air pancut dan corak geometri Islam adalah tema taman yang stilistik dan dominan. Ia disenaraikan sebagai salah satu daripada 60 ruang awam besar dunia oleh Project for Public Spaces (PPS).[10]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.