![cover image](https://wikiwandv2-19431.kxcdn.com/_next/image?url=https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/e/e9/Paris_psaulter_gr139_fol7v.jpg/640px-Paris_psaulter_gr139_fol7v.jpg&w=640&q=50)
Sutera Byzantium
From Wikipedia, the free encyclopedia
Sutera Byzantium ialah sutera yang ditenun di Empayar Byzantium dari kira-kira abad keempat hingga Kejatuhan Konstantinopal pada 1453.
![Thumb image](http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/e/e9/Paris_psaulter_gr139_fol7v.jpg/320px-Paris_psaulter_gr139_fol7v.jpg)
Ibu kota Byzantium Konstantinopal merupakan pusat tenunan sutera penting pertama di Eropah. Sutera adalah salah satu komoditi terpenting dalam ekonomi Byzantium, digunakan oleh kerajaan sebagai alat pembayaran dan diplomasi.[1]
Sutera mentah dibeli dari China dan dibuat menjadi kain halus yang mempunyai harga yang tinggi di seluruh dunia. Kemudiannya, ulat sutera diseludup ke dalam Empayar dan perdagangan sutera darat menjadi kurang penting secara beransur-ansur. Selepas pemerintahan Justinianus I, pembuatan dan penjualan sutera menjadi monopoli maharaja, diproses hanya di dalam kilang-kilang diraja, dan dijual kepada pembeli yang dibenarkan.[1]
Sutera Byzantium penting kerana warnanya yang terang, penggunaan benang emas, dan kehalusan yang amat serupa dengan sulaman dalam fabrik tenunan akik.[2] Byzantium menguasai pengeluaran sutera di Eropah sepanjang Zaman Pertengahan Awal, sehinggalah industri tenunan sutera Itali diasaskan pada abad ke-12 dan Empayar Byzantium ditakluk dan berpecah dalam Perang Salib Keempat (1204).
![Thumb image](http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/5/5e/%D0%A2%D0%BA%D0%B0%D0%BD%D1%8C_%D1%81%D0%B8%D0%BD%D1%8F%D1%8F.%D0%9F%D0%B0%D1%80%D0%B0_%D0%BF%D1%82%D0%B8%D1%86_%D0%B8_%D0%B3%D1%80%D0%B8%D1%84%D1%84%D0%B8%D0%BD%D0%BE%D0%B2_%D0%B2_%D0%BA%D1%80%D1%83%D0%B3%D0%B0%D1%85.jpg/640px-%D0%A2%D0%BA%D0%B0%D0%BD%D1%8C_%D1%81%D0%B8%D0%BD%D1%8F%D1%8F.%D0%9F%D0%B0%D1%80%D0%B0_%D0%BF%D1%82%D0%B8%D1%86_%D0%B8_%D0%B3%D1%80%D0%B8%D1%84%D1%84%D0%B8%D0%BD%D0%BE%D0%B2_%D0%B2_%D0%BA%D1%80%D1%83%D0%B3%D0%B0%D1%85.jpg)
Pada zaman Empayar Rom, tekstil sutera sampai ke Barat dari darat melalui Jalan Sutera seberang Asia dari China Han, melalui Empayar Parthia dan kemudian Empayar Sasan ke pusat-pusat perdagangan di Syria. Import sutera mentah, benang sutera, dan fabrik siap semuanya direkodkan, tetapi teknik menghasilkan tekstil-tekstil ini daripada ulat sutera Bombyx mori tetap menjadi rahsia orang Cina yang dijaga rapi sehinggalah Maharaja Timur Justinianus I (482–565) mengatur agar telur ulat sutera diseludupkan keluar dari Asia Tengah pada tahun 553-54,[3] memulakan industri tenunan sutera Byzantium.
Tidak lama selepas telur ulat sutera dari China diseludup oleh pendeta-pendeta Kristian Nestorianisme,[4] ahli sejarah Byzantium abad ke-6 Menander Protektor menulis tentang bagaimana orang Sogdia cuba mewujudkan perdagangan langsung sutera China dengan Empayar Byzantium. Selepas membentuk pakatan dengan pemerintah Sasan, Khosrow I, untuk mengalahkan Empayar Hefthali, Istämi yang memerintah orang Göktürk dari Kekhanan Turkik telah didekati oleh pedagang-pedagang Sogdia untuk dapat menghadap raja segala raja Sasan demi mendapatkan perkenan baginda untuk merentas wilayah-wilayah Parsi untuk berdagang dengan Byzantium.[4] Istämi menolak permintaan pertama, tetapi apabila baginda bersetuju pada kali kedua dan menghantarkan duta-duta Sogdia kepada maharaja Sasan, maharaja menitahkan seluruh kedutaan tersebut dibunuh dengan racun.[4] Maniah, seorang diplomat Sogdia, meyakinkan Istämi untuk menghantar kedutaan terus ke Konstantinopal, yang tiba pada tahun 568 dan bukan sahaja mempersembahkan sutera kepada pemerintah Byzantium Ioustinos II, tetapi juga mencadangkan mereka berpakat menentang Parsi. Ioustinos II bersetuju dan menghantar kedutaan ke Kekhanan Turkik, memastikan perdagangan sutera langsung yang diingini oleh orang Sogdia.[4][5][6] Namun, walaupun sutera Byzantium mula dihasilkan dari abad ke-6, sutera Cina masih dianggap lebih berkualiti, disokong dengan penemuan syiling solidus Byzantium yang ditempa semasa pemerintahan Ioustinos II yang ditemui dalam sebuah makam Cina wilayah Shaanxi dari dinasti Sui (581-618 TM) pada tahun 1953, serta syiling-syiling Byzantium lain yang ditemui di pelbagai tapak arkeologi.[7] Menurut catatan sejarah China, Byzantium (atau "Fu-lin"), mengikut tradisi diplomatik Rom yang lama dengan menghantarkan beberapa kedutaan ke China. Mereka melawat China pada dinasti Tang (618-907 TM) dan sekali pada dinasti Song (960-1279), membawakan hadiah-hadiah eksotik seperti barang kaca sambil menunjukkan minat untuk terus berdagang sutera dengan China.[8] Ahli sejarah Byzantium abad ke-7 Teofilaktos Simokates memberikan gambaran yang agak tepat tentang China, geografinya, penyatuan semulanya oleh dinasti Sui (581-618), bahkan menamakan pemerintahnya Taisson yang bermaksud "Anak Tuhan", mungkin berasal daripada nama Maharaja Taizong dari Tang (r. 626-649).[9] Sumber-sumber Cina yang kontemporari, iaitu Kitab Tang Baru dan Lama, juga menggambarkan kota Konstantinopal dan bagaimana ia dikepung oleh Muawiyah I (pengasas Kekhalifahan Umaiyah), yang menuntut ufti selepas itu.[8][10]
Jenis-jenis alat tenun dan teknik tenunan baharu turut memainkan peranan. Sutera tenunan biasa atau genggang sudah pun berlegar di dunia Rom, dan sutera damask bercorak dengan motif geometri yang semakin kompleks muncul pada pertengahan abad ke-3. Kepar kompaun bermuka benang pakan telah ada paling lewat tahun 600, dan kepar kompaun polikrom (berbilang warna) menjadi tenunan standard sutera Byzantium dalam beberapa abad yang mendatang.[11][12] Tenunan lampas monokrom menjadi fesyen sekitar tahun 1000 di pusat-pusat tenunan Byzantium dan Islam; fabrik-fabrik ini bergantung pada tekstur yang berbeza dan bukannya warna untuk menghasilkan corak. Sebilangan kecil sutera Byzantium yang ditenun seperti dewangga juga masih terpelihara.[12]
Peraturan yang mengawal penggunaan pewarna ungu Tirus yang mahal berbeza-beza mengikut tahun, tetapi kain yang dicelup dalam warna ini biasanya hanya untuk golongan tertentu dan digunakan sebagai hadiah diplomatik. Pewarna lain yang digunakan di bengkel-bengkel sutera Byzantium ialah akar mader, serbuk kumbang kermes, nila, weld, dan sepang.[13] Benang emas dibuat dengan melilitkan jalur-jalur perak sepuh pada teras sutera.[14]
Sutera Byzantium bergambar pada abad ke-6 (dan mungkin ke-5) mempunyai motif-motif kecil seperti hati, swastika, tapak tangan dan daun yang dihasilkan dengan dua pakan yang berlainan warna.[11] Kemudian, motif-motif tumbuhan yang mudah dicam (seperti daun teratai dan bunga) dan manusia muncul. Tekstil yang masih terpelihara mendokumentasikan pertukaran teknik dan tema ikonografi yang kaya antara Konstantinopal dan pusat-pusat tekstil baru Islam di Mediterranean dan Asia Tengah dalam tahun-tahun selepas penaklukan Muslim pada abad ke-7. Corak-corak abad ke-8 dan ke-9 memperagakan bulatan-bulatan yang sederet, yang mempunyai sepasang orang atau haiwan yang menghadap satu sama lain secara simetri.[15] Banyak motif mengimbau corak Sasan termasuk pokok kehidupan, kuda bersayap, singa, dan binatang khayalan,[2] dan terdapat sejumlah fabrik lama yang masih terpelihara yang pakar-pakar tidak sepakat jika berasal dari Byzantium atau tamadun Islam.[16] Corak-corak bergaya menunjukkan perkara yang popular di istana diraja, seperti berburu atau perlumbaan kereta kuda dengan empat ekor kuda.[15]