From Wikipedia, the free encyclopedia
Pilihan raya kecil Hulu Selangor 2010 ialah pilihan raya kecil Malaysia yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi P-94 Parlimen Hulu Selangor, YB Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac 2010. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyatakan pilihan raya diadakan pada 25 April 2010 dan penamaan calon pada 17 April 2010. Calon hanya dibenarkan berkempen dalam tempoh itu sahaja, iaitu selama 9 hari.
Di dalam pilihan raya kecil ini, calon Barisan Nasional yang diwakili oleh Kongres India Malaysia (MIC), P. Kamalanathan telah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti undi sebanyak 1,725 undi.[1]
Pada 25 Mac 2010, ahli parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia akibat barah otak. Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau memang mengetahui bahawa Datuk Dr. Zainal memang tenat dan pernah menjalani tiga pembedahan sebelum ini.[2] Berikutan daripada itu, pada 27 Mac 2010, Pakatan Rakyat memulakan kempennya untuk mempertahankan kerusi parlimen Hulu Selangor dengan perhimpunan kira-kira 5,000 penyokongnya di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu di dalam sebuah majlis yang dinamakan "Kempen Selamatkan Malaysia".
Sebelum itu lagi, komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Kongres India Malaysia (MIC) pula telah mencadangkan G. Palanivel sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil ini.[3] Pada 29 Mac 2010, Parti Hak Asasi Manusia (HRP) yang diwakili oleh setiausaha agung penaja parti berkenaan, P. Uthayakumar, telah mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.[4]
Sebanyak 34,020 atau 52.7 % pengundi adalah Melayu; 16,964 atau 26.3 % Cina; 12,453 atau 19.3 % India dan 1,063 atau 1,7 % kaum lain.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyatakan tempoh rasmi kempen hanya selepas penamaan calon pada 17 April 2010. SPR tidak boleh bertindak ke atas mereka yang memasang bendera dan sepanduk, berkumpul dan berarak untuk tujuan berkempen sebelum 17 April. PBT dan polis ditugaskan untuk melakukan pemantauan.
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi. SPR menubuhkan enam Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya mengikut Seksyen 27B Akta tersebut sebaik sahaja menguatkuasakan Akta Pilihan Raya supaya pihak terbabit mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.[5]
Keputusan pilihan raya diumumkan pada jam 11.00 malam kerana kesemua 136 peti undi tiba di pusat pengiraan jam 9 malam. Undi pos untuk pasukan tentera dan polis di di ibu pejabat polis daerah dan kem tentera di Kuala Kubu Bahru pada hari Jumaat 23 April 2010.[6]
Terdapat 137 peti undi termasuk peti undi dari Bukit Fraser. Jumlah pusat pengundi ialah 48 buah, semuanya sekolah menengah dan sekolah rendah. Pusat penjumlahan undi terletak di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu. Ia terletak bersebelahan dengan Stadium Kuala Kubu Bharu dan Masjid Ar Rahimah Kuala Kubu Bharu. Pengundi seramai 64,500 yang mana 1,039 adalah pengundi pos. Seramai 34,020 atau 52.7 peratus pengundi adalah Melayu, 16,964 atau 26.3 peratus Cina, 12,453 atau 19.3 peratus India dan kira-kira 1,000 Orang Asli.
Semasa hari pengundian, cuaca panas dan tidak hujan sepanjang hari. Oleh itu peratus keluar agak tinggi iaitu 75.8 %. Namun ia tersasar dari jangkaan SPR sebanyak 80 %. Kesesakan lalulintas berlaku di beberapa tempat di jalan persekutuan dari Rawang ke Tanjung Malim dan sekitar pusat mengundi. Di sini tidak ada lebuh raya kecuali persimpangan di Bukit Beruntung.
Jadual berikut merupakan rentetan pilihan raya di Hulu Selangor semenjak 1990:-
Tahun | Ahli Parlimen | Parti | Lawan | Parti Lawan | Majoriti |
---|---|---|---|---|---|
1990 | G. Palanivel | BN-MIC | Nazar Yakin | Semangat 46 | 8,982 |
1995 | G. Palanivel | BN-MIC | Adnan Din | Semangat 46 | 21,415 |
Peng Kim Sing | DAP | ||||
1999 | G. Palanivel | BN-MIC | Dr. Halili Rahmat | Keadilan | 8,595 |
2004 | G. Palanivel | BN-MIC | Ismail Kamus | PAS | 14,483 |
2008 | Zainal Abidin Ahmad | Keadilan | G. Palanivel | BN-MIC | 198 |
Semasa pilihan raya umum Malaysia 2008 pada Mac 2008, Barisan Nasional menang kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di Hulu Selangor, namun PKR menang kerusi Parlimen menerusi Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Jumlah majoriti terkumpul kemenangan calon BN di tiga DUN iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali ialah 6,179 undi. Sedangkan Dr Zainal menang kerusi Parlimen dengan majoriti hanya 198 undi.
Di DUN Hulu Bernam, Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor Datuk Idris Abu Bakar menewaskan calon PAS Abdul Shukor Ali dengan majoriti 3,549 undi. Idris mendapat 7,985 undi manakala Shukor 4,436 undi.Di situ ada seramai 17,549 pengundi.
Di DUN Kuala Kubu Bharu, calon MCA Wong Kun Moon menewaskan calon DAP Annamalai Ramu dengan majoriti 448 undi. Beliau mendapat 6,107 undi manakala Ramu 6,555. Pengundi di situ ialah seramai 18,212 orang.
Di DUN Batang Kali, calon UMNO Mohd Isa Abu Kasim menewaskan calon PKR Mohd Nasarudin Abdul Aziz dengan majoriti 2,179 undi. Mohd Isa mendapat 11,724 undi manakala Mohd Nasarudin 9,545 undi. Pengundi ialah seramai 27,832 orang.
Calon kerusi Parlimen BN ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel. Beliau mendapat 22,979 undi manakala Dr Zainal 23,177. Pengundi untuk kerusi Parlimen ialah seramai 63,593 orang. Perbezaan undi pula bukan sedikit tetapi sampai 5,981.
Tan Sri Samy Vellu selaku Presiden MIC awal-awal lagi telah mencadangkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Palanivel a/l K. Govindasamy bertanding semula untuk kali ke-5. Beliau pernah menang 4 kali (1990, 1995, 1999 dan 2004) dan kalah sekali di situ (2008).[7] Beliau adalah ketua bahagian MIC Hulu Selangor, ketua MIC Selangor dan Timbalan Presiden MIC Pusat. MIC hanya mencadangkan nama beliau sahaja. Hulu Selangor ialah kuota MIC, selaras dengan permuafakatan Barisan Nasional.[8] Pertimbangan Samy Vellu ialah apa akan jadi jika Palanivel jadi Presiden MIC nanti tanpa jawatan ataupun bukan wakil rakyat.[9]
Beberapa pihak mencadangkan MIC hendaklah mengemukakan calon yang muda dan segar seperti Cikgu K. Parthiban atau Naib Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan. Tetapi ditempelak oleh Datuk Seri Samy Vellu yang menyatakan akan mengemukakan pemuda berumur 19-21 tahun. Parthiban pernah mengalahkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Ijok pada 2007.
Namun menurut para pemerhati MIC hendaklah berkorban dengan memberi peluang kepada UMNO untuk meletakkan calon di Hulu Selangor. Ini adalah realiti dan hakikat politik serta kehendak orang Hulu Selangor sendiri.[10]
Tan Sri Muhammad Haji Muhd Taib mungkin dicalonkan kerana beliau berasal dari Batang Kali, Hulu Selangor. Majoriti pengundi di situ ialah Melayu dan logik jika tidak mahu pengundian songsang berlaku. Nama Datuk Zainal Abidin Sakom bekas ADUN Batang Kali, Ketua Wanita Bahagian, Puan Rosni Sohar dan Setiusaha bahagian, Md. Nazri Ahmad Dahlan turut ditonjolkan. Kuota MIC boleh dipindahkan ke parlimen Kuala Selangor.
Namun sebarang keputusan mengenai siapa calon yang layak akan diputuskan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.[11]
Calon nasional dari Parti Keadilan Rakyat mungkin sekali Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Seri Chua Jui Meng, Shamsul Iskandar Mohd Akin, tokoh AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Dr Badrulamin Bahron. Datuk Dr. Halili Rahmat sebagai anak tempatan turut dilihat sesuai.[12]
Selepas pilihan raya, pembangkang mendakwa BN membelanjakan RM167 juta bagi melaksanakan pelbagai projek untuk meraih undi di Hulu Selangor.[19]
Pada 17 April 2010, 4 orang disahkan menghantar borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor. Pegawai Pengurus Pilihan raya kecil itu, Nor Hisham Ahmad Dahalan mengumumkan hanya 4 calon bertanding:[20]
Nama calon (Umur) | Parti | Keterangan | ||
---|---|---|---|---|
P. Kamalanathan (41) | Barisan Nasional-MIC | Ketua Penerangan MIC | ||
Datuk Mohd Zaid Ibrahim (56) | PKR | Ahli Majlis Tertinggi PKR | ||
VS Chandran (56) | BEBAS | Bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor | ||
Johan Mohd Diah (31) | BEBAS | AJK Pemuda UMNO Shah Alam |
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menafikan polis menghalang calon wanita, Anuradh Jeyasingam atas tiket Bebas menghantar borang pencalonan.
Penyokong Barisan Nasional ditempatkan di Pejabat UMNO Hulu Selangor bersebelahan masjid. Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan perhentian bas KKB. Namun jalan raya sempit menghalang laluan masuk dan keluar. Jarak antara kedua-dua kumpulan penyokong ialah 200 meter.
Polis turut menerima laporan polis dari seorang lelaki 34 tahun yang dibaling dengan objek keras berhampiran masjid. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata. Berlaku insiden kecil seperti baling botol berisi air, kayu bendera dan batu kecil, ejek-mengejek, jerit-menjerit, rampasan kain rentang dan baju yang berunsurkan provokasi dan pembesar suara. Tidak ada tangkapan oleh polis atau Unit Simpanan Persekutuan (FRU).[21] Mereka membawa potret 'Teoh Beng Hock' dan kain rentang 'Altantuya', 'Chua Soi Lek', 'kaki botol' dan 'liwat' serta 'Umno-Apco, Umno-Apco' dan lain-lain.
Kekecohan dipercayai bermula apabila Tian Chua tersalah lorong memasuki 'zon larangan'. Sebuah kereta Proton Wira pecah cermin sisi kerana ditendang dan dipijak serta dibaling botol air oleh penyokong BN. Puncanya mungkin kerana ada baju berlogo 'PKR' dan melalui 'zon larangan'.
Kawad berduri khas telah mencederakan beberapa pemimpin dan penyokong di laluan masuk BN. Antara yang cedera ialah Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Mohd Shafie Apdal dan S. Ganesan.
Laluan masuk PKR tiada kecederaan kerana dikawal oleh 50 anggota Unit Amal PAS yang membuat rantai manusia untuk mengelak tolak menolak.
Bagaimanpun, selang beberapa jam selepas menyerahkan borang, kedua-dua calon bebas menarik diri, menjadikan pilihan raya ini satu lawan satu.[22]
Permit kempen / ceramah dikeluarkan mula 17 April - 24 April 2010. Permit boleh dipohon dari Ibu Pejabat Polis Daaerah Kuala Kubu Baru, Balai Polis Sentosa dan Balai Polis Hulu Bernam.
Pada 17 April 2010, jam 11.15 malam, berlaku insiden baling botol berisi air ketika kempen di padang berdekatan Pekan Kerling, Kuala Kubu Baru. Insiden itu sejurus ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.[23]
Parti | Calon | Undian | % | ±% | |
---|---|---|---|---|---|
BN-MIC | P. Kamalanathan | 24,997 | - | ||
PR-PKR | Mohd Zaid Ibrahim | 23,272 | - | ||
undi rosak | 731 | - | |||
Majoriti | 1,725 | - | |||
Peratusan mengundi | 48,935 | 75.87 | - |
Pada 24 Mei 2010, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan petisyen di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam di bawah Seksyen 32(a) dan 32 (c) Akta Kesalahan pilihan Raya 1954 bagi mencabar keputusan pilihan raya ini. Barisan Nasional (BN) didakwa memberi rasuah terutama di kawasan Felda.[29] Beliau menamakan Kamalanathan, 45, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden. Peguam Datuk Zaid diwakili oleh Malik Imtiaz Sarwar. Pada 20 Julai 2010, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur telah menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim terhadap permohonan ahli parlimen BN yang memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor, P Kamalanathan untuk membatalkan petisyen plihan raya yang dikemukakannya.[30] Pada 23 Julai 2010, Mahkamah Pilihan Raya akan memutuskan pada 5 Ogos 2010 sama ada membenarkan permohonan ahli parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bagi membatalkan petisyen yang difailkan oleh ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim. Akhirnya Pada 5 Ogos 2010, Mahkamah membenarkan permohonan ahli parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bagi membatalkan petisyen Datuk Zaid.[31]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.