![cover image](https://wikiwandv2-19431.kxcdn.com/_next/image?url=https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/9/92/Uremic_frost_on_forehead_and_scalp_of_young_Afro-Caribbean_male.jpg/640px-Uremic_frost_on_forehead_and_scalp_of_young_Afro-Caribbean_male.jpg&w=640&q=50)
Penyakit ginjal kronik
From Wikipedia, the free encyclopedia
Penyakit ginjal kronik (juga dikenali sebagai penyakit buat pinggang kronik) merupakan sejenis penyakit buah pinggang yang melibatkan kehilangan fungsi buah pinggang secara beransur-ansur dalam tempoh beberapa bulan hingga beberapa tahun.[2][5] Pada mulanya tiada gejala dapat dikesan secara umum; kemudian gejala-gejala seperti bengkak kaki, rasa letih, muntah, hilang selera makan dan kekeliruan mungkin berlaku.[2] Antara komplikasi terlibat termasuklah peningkatan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, penyakit tulang dan anemia.[3][4][10]
Penyakit ginjal kronik | |
---|---|
Nama lain | Penyakit buah pinggang kronik, kegagalan ginjal, gangguan fungsi ginjal[1] |
![]() | |
Ibun uremia pada kepala seseorang yang menghidapi penyakit ginjal kronik | |
Pengkhususan | Nefrologi |
Gejala | Awal: Tiada[2] Kemudian: kebengkakan kaki, rasa letih, rasa ingin muntah, hilang selera, kekeliruan[2] |
Kerumitan | Penyakit jantung, tekanan darah tinggi, anemia[3][4] |
Tempoh | Berjangka masa panjang[5] |
Punca | Diabetes, tekanan darah tinggi, glomerulonefritis, penyakit ginjal polisistik[5][6] |
Ujian darah, ujian air kencing[7] | |
Rawatan | Pengambilan ubat-ubatan untuk mengawal tekanan darah, aras gula darah dan aras koleterol darah, terapi penggantian fungsi ginjal, pemindahan buah pinggang[8][9] |
Kekerapan | 753 juta (2016)[1] |
Kematian | 1.2 juta (2015)[6] |
sunting![]() |
Antara punca-punca penyakit ginjal kronik termasuklah diabetes, tekanan darah tinggi, glomerulonefritis, dan penyakit ginjal polisistik.[5][6] Faktor risiko terlibat ialah sejarah keluarga penyakit buah pinggang kronik.[2] Penyakit ini boleh didiagnosis melalui ujian darah untuk mengukur anggaran kadar penurasan glomerulus (eGFR), dan ujian air kencing untuk mengukur kandungan albumin.[7] Ujian ultrabunyi atau biopsi buah pinggang boleh dilakukan untuk menentukan punca dasar penyakit tersebut.[5] Beberapa sistem pemeringkatan penyakit ini berasaskan keterukan penyakit sedang digunakan.[11][12]
Saringan terhadap golongan berisiko adalah disyorkan.[7] Antara rawatan-rawatan awal mungkin termasuk penggunaan ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan darah, aras gula darah dan aras kolesterol darah.[9] Perencat enzim penukaran angiotensin (ACEI) atau antagonis reseptor angiotensin II (ARB) secara amnya merupakan ubatan barisan pertama untuk pengawalan tekanan darah, kerana ubatan tersebut memperlahankan perkembangan penyakit buah pinggang dan risiko penyakit jantung.[13] Diuretik kawasan lengkung boleh digunakan untuk mengawal edema, dan jika perlu, untuk menurunkan lagi tekanan darah.[14][9][15] Penggunaan NSAID harus dielakkan.[9] Antara langkah-langkah lain yang disyorkan adalah termasuklah bersenam dan perubahan diet tertentu seperti diet rendah garam dan pengambilan jumlah protein yang terkawal.[9][16] Rawatan untuk anemia dan penyakit tulang mungkin juga diperlukan.[17][18] Jika penyakit ini menjadi teruk maka pesakit memerlukan rawatan hemodialisis, dialisis peritoneum atau pemindahan buah pinggang untuk terus hidup.[8]
Penyakit buah pinggang kronik menjejaskan 753 juta orang di seluruh dunia pada tahun 2016 dengan 417 juta di kalangan perempuan dan 336 juta di kalangan lelaki.[1] Pada tahun 2015 ia menyebabkan 1.2 juta kematian, meningkat daripada 409,000 pada tahun 1990.[6][19] Punca-punca yang menyumbang kepada jumlah kematian terbanyak ialah tekanan darah tinggi dengan 550,000 kematian, diikuti oleh diabetes dengan 418,000 kematian, dan glomerulonefritis dengan 238,000 kematian.[6]