alat From Wikipedia, the free encyclopedia
Milenium ke-2 SM menandakan peralihan daripada Zaman Gangsa Pertengahan ke Zaman Gangsa Akhir. Separuh pertamanya dikuasai oleh Kemaharajaan Pertengahan Mesir dan Babylon. Kawasan Indo-Iran berkembang sehingga dataran Parsi dan anak benua India dan memperkenalkan rata ke kawasan-kawasan tersebut. Abjad diperkembangkan. Perang rata dan pergerakan-pergerakan penduduk mengakibatkan perubahan-perubahan yang hebat pada pertengahan milenium, dan suatu ketenteraman yang baru muncul dengan penguasaan Aegea oleh Yunani dan kebangkitan Empayar Hittite. Akhir milenium melihat peralihan ke Zaman Besi. Jumlah penduduk dunia semakin bertambah dan mencapai 50 juta menjelang 1000 SM. Era ini juga merupakan masa apabila agama Yahudi dikatakan muncul.
Bahagian pertama milenium ini tidak begitu berwarna-warni berbanding dengan zaman-zaman yang lain dan masih wujud dalam bayangan zaman-zaman lampau yang lebih masyhur. Zaman ini merupakan reda dalam sejarah Timur Dekat Kuno, dengan peradaban-peradaban ketika peralihan milenium menghabiskan semua tenaga untuk mencuba memulihkan keadaan yang amat huru-hara. Mesir dan Mesopotamia yang merupakan peradaban-peradaban yang paling berkuasa pada masa itu juga mengalami apa yang dipanggil zaman yang tidak menonjolkan diri, dan hanya menyasarkan matlamat-matlamat yang sederhana dan realistik. Firaun-firaun Kemaharajaan Mesir Pertengahan dan raja-raja Babylon sezaman yang berketurunan Amorite memerintah dengan baik tanpa terlalu banyak kezaliman, suka akan seni dan seni bina yang elegan tanpa tokok tambah, dan mencapai kestabilan yang malangnya berlangsung hanya untuk masa yang singkat. Di timur yang lebih jauh, peradaban Lembah Indus merupakan zaman kemerosotan yang mungkin diakibatkan oleh pembanjiran yang teruk.
Taktik ketenteraan Mesir dan Babylon masih berasaskan pada askar-askar berjalan kaki yang mengangkut pelengkapan mereka dengan keldai. Bergabung dengan sebuah ekonomi yang lemah dan kesulitan untuk mengekalkan ketenteraman, keadaan yang tidak kukuh ini hancur musnah di bawah tekanan-tekanan luar negeri yang tidak dapat ditentang oleh mereka.
Lebih kurang seabad sebelum pertengahan milenium, gerombolan-gerombolan penyerang Indo-Eropah menerpa masuk Timur Dekat dari dataran Asia Tengah bak sebuah siri kejutan elektrik. Mereka menaiki rata-rata dua roda yang laju yang dikuasai oleh kuda-kuda. Sistem persenjataan itu telah dikembangkan pada masa yang lebih awal untuk peperangan dataran dan tidak dikenali di kalangan peradaban-peradaban timur klasik. Askar-askar berjalan kaki Mesir dan Babylon langsung tidak dapat menewaskannya. Hyskos menerpa masuk ke delta Nile pada 1630 SM, manakala tentera Balkan dan Aryan menerpa masuk ke Yunani dan India pada 1600 SM, dan tentera Hittite menerpa masuk ke Mesopotamia pada tahun 1595 SM.
Orang-orang yang telah ditewaskan menyesuaikan diri dengan pantas kepada taktik-taktik yang baru ini, dan menyebabkan suatu keadaan antarabangsa yang baru. Untuk sebahagian besar separuh kedua milenium ke-2 SM, Timur Dekat Kuno menjadi sebuah papan catur raksasa yang banyak kuasa kawasan bersaing tidak henti-henti untuk hegemoni dengan menggunakan rata-rata mereka di semua arah. Zaman ini sebenarnya merupakan zaman yang berwarna-warni, dengan penekanan baru terhadap seni bina yang terlalu hebat, fesyen pakaian yang baru, surat-menyurat diplomatik pada tablet lempung, dan pertukaran ekonomi yang dibaharui, dengan Kemaharajaan Baru Mesir memainkan peranan kuasa terbesar yang utama. Antara negara-negara yang agung pada masa itu, hanya Babylon menahan diri daripada mengambil bahagian dalam permainan catur ini kerana berpuas hati dengan kedudukan barunya yang berprestij sebagai ibu kota agama dan intelek dunia.
Ini adalah peradaban Zaman Gangsa pada zaman yang terakhir dan yang paling gemilang, dengan segala sifat sosialnya: tahap pembandaran yang rendah, kota-kota kecil yang dipusatkan pada kuil-kuil atau istana-istana, pemisahan kelas yang ketat antara rakyat buta huruf dengan elit tentera yang berkuasa (dibolehkan kerana pengetahuan penulisan dan pendidikan dikhaskan untuk segolongan kecil yang terdiri daripada katib-katib), serta kehidupan bangsawan yang hebat.
Menjelang akhir milenium ke-2 SM, gelombang-gelombang baru orang-orang gasar yang menunggang kuda pada kali ini memusnahkan sama sekali dunia Zaman Gangsa, dan disusuli oleh gelombangan-gelombangan perubahan sosial yang menandakan permulaan zaman yang amat berbeza. Yang juga menyebabkan perubahan-perubahan ini ialah Orang-orang Laut yang merupakan penyerang pelaut dari Laut Mediterranean.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.