From Wikipedia, the free encyclopedia
Layang-layang (Jawi: لايڠ٢) atau wau (Jawi: واو) merupakan satu alatan dibina dari lembaran bahan tipis seperti kertas berkerangka yang diterbangkan (atau "dilayangkan") ke udara ditambat dengan tali atau benang yang dipegang di darat. Layang-layang memanfaatkan kekuatan hembusan angin yang bergeser mengelilingi badan layang-layang mewujudkan tekanan rendah di atas badan dan tekanan tinggi di bawah badan; perbezaan tekanan ini memberikan daya angkat kepada layang-layang tersebut.[1] Bentuk layang-layang ini adakala ditambahkan hujung ber"ekor" agar senang mengemudikan layang-layang sambil ia dibawa tiupan angin.[2]
Alat wau atau layang-layang ini sering dimainkan untuk tujuan hiburan pelbagai peringkat umur. Permainan wau juga diadakan untuk pertandingan. Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya.)
Perkataan layang-layang gandaan kata dasar layang لايڠ turunan kata akar Proto-Austronesia *layaŋ₁ "menerbang"[3] digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja.
Perkataan “wau” dikatakan berasal daripada perkataan kerajaan Melayu Pattani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut. Nama wau juga dikaitkan dengan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau; apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi "wau" secara berirama.
Layang-layang tertua di dunia mungkin dicipta oleh orang-orang pulau Muna, Sulawesi Tenggara, Indonesia. Penggambaran mengenai layang-layang tertua adalah dari lukisan gua zaman mesolitik di pulau Muna, Sulawesi Tenggara, yang telah wujud sejak 9500-9000 tahun SM.[4] Lukisan itu menggambarkan layang-layang yang disebut kaghati, yang masih digunakan oleh orang Muna moden.[5] Layang-layang diperbuat daripada daun kolope (umbi hutan) untuk layar utama, kulit buluh sebagai bingkai, dan serat nenas hutan dibungkus sebagai tali, walaupun layang-layang moden menggunakan string sebagai tali.[6]
Kedatangan permainan layang-layang di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan. tarikh serta asal-usulnya.
Pada masa dahulu, orang-orang Melayu di Singapura turut menggunakan layang-layang bagi menangkap ikan.[7]
Mengikut satu cerita, wau itu pada awalnya ialah permainan tanpa nama. Permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat daripada daun tertentu yang diikat pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat-urat daun nanas. Wau dimainkan di tempat yang berangin. Suatu waktu, permainan tanpa nama itu putus talinya, dan anak itu pun menangis “wa,wa,wa,wa…”, maka, menurut yang empunya cerita, lahirlah perkataan "Wau".
Mengikut asal usul yang lain, yang lebih dekat dengan mitos, ia bermula apabila Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh membuang tembuni Dewa Muda ke laut. Maka Mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan merasa tidak selesa duduk di kayangan, lalu dia turun ke Medan Kulum Laman Yang Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa Muda terapung-apung di Sungai Nil. Tembuni itu dipulihkan menjadi seorang dewa yang dinamakan Awang si Jambul Lebat dan selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan “rangka” Wau untuk Dewa Muda.
Untuk menyiapkan Wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk dijadikan bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda dijadikan tangan dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau. Apabila Wau ini dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam. Daripada bunyi busur itulah wujudnya nama "Wau". Mengikut asal usul ini juga, wau yang tidak ada busur atau busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam dipanggil "layang-layang".
Mengikut asal usul yang lain pula, wau wujud daripada semangat padi. Pada satu hari, seorang petani bersama isterinya yang tidak mempunyai anak terjumpa dengan seorang anak perempuan yang cantik, lalu dipelihara oleh mereka. Si suami tiap-tiap hari membawakan minuman dan makanan kepada anak perempuan itu di tempat dia bermain di rumah padi, yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu di hati isteri. Anak perempuan itu dipukul oleh si isteri lantas melarikan diri dari rumah petani tersebut menghala angin barat.
Berikutan dengan kejadian itu, padi petani suami isteri tadi, tidak berbuah dan diserang penyakit. Mengikut nujum, anak perempuan yang dihalau tadi ialah semangat padi. Untuk memohon ampun, petani itu harus membuat satu lembaga merupai Wau Bulan sekarang ini dan dinaikkan setelah menuai.
Mengikut asal usul yang lain, Wau Bulan lahir sebagai lambang penyatuan kembali Empayar Srivijaya oleh Dewa Muda. Setelah kemangkatan pembina Empayar Srivijaya iaitu Sri Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar yang meliputi seluruh Asia Tenggara ini mulai berpecah diperintah secara berasingan dari negara induk Srivijaya iaitu Medang Bhumi.
Di awal abad ke-8 muncul seorang tokoh, iaitu cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama Jaya Sinha. Beliau mempunyai pelbagai gelaran, antaranya Sabjaya atau Sanjaya Putera, Inu Dewa, Seri Panji, Mahisa Kelana Seri Panji, Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya dan Hyang Kamajaya, tetapi dia lebih terkenal dalam cerita-cerita tradisi sebagai Dewa Muda. Dewa Muda telah mengadakan beberapa serangan untuk menyatukan kembali Empayar Srivijaya.
Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau ‘lembaga’ wau bulan yang baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya atau Asia Tenggara itu.Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai ‘Sejagat Tanah Jawa’.
Kepala dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut ‘Nabi Mahlail Alaihissalam’ antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan nama ‘Mahalelselt’. Dalam cerita-cerita tradisi dia digelar ‘Burung Petala Indera’. Oleh itu, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini.
Dikisahkan bahawa busur wau ini memiliki dua belas bahasa, dua belas ragam yang melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat Empayar Srivijaya. Dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja-Laos-Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi. Sementara dua belas ragam bererti dua belas suku terdapat di dua belas daerah/negeri tersebut tadi.
Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai ‘negara pusat’ atau ‘kawasan pusat pemerintahan’ yang dinamakan ‘Nusa Kencana-Kawasan Emas dan bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan Nusantara-Kawasan yang dirantai oleh laut-laut.
Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat.
Dalam asal usul yang lain pula, wau dinyatakan berasal dari Kembayat Negara di zaman Siti Zubaidah dan wau ini bernama Wau Lenggang Kembayat. Wau inilah yang dinaikkan oleh Pembina Empayar Srivijaya iaitu Dewa Muda. Bentuknya tidaklah seperti Wau Bulan seperti yang dinyatakan dalam asal usul di atas. Wau Lenggang Kembayat ini bentukya seperti Wau Ikan yang wujudnya sekarang ini.
Banyak lagi terdapat asal usul wau, tetapi hampir semuanya menyerupai asal usul yang telah dicatat.
Pelbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan.
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang juruanjung yang memegang wau dan seorang jurutarik yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.
Di masa kini, walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu, layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.
Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbangkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau agar ia mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat daripada daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.
Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.
Antara bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau.
Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti.
Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut.
Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia.
Antara petua-petua yang diguna pakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat ialah :-
Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.
Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula dengan kertas pasir.
Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh.
Rangka bingkai wau kemudian akan diikat:
Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah:
Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat:
Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.
Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.
Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
Jambu biasanya diperbuat daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu.
Belalai menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau.
Fungsi utama busur adalah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri daripada empat komponen iaitu ‘bok’, daun ibus, inas dan buluh penyepit.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.