From Wikipedia, the free encyclopedia
Kesusasteraan (Jawi: كسوسسترأن, bentuk ringkas: sastera سسترا) atau persuratan (Jawi: ڤرسورتن) merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Pada erti kata yang lebih luas, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang indah-indah, sama ada ia tertulis atau tidak. Ia lahiriahnya wujud dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita. Misalnya, kita akan mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera. Dan kita sendiri pula akan menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang sebenarnya juga merupakan kesusasteraan.
Pada kesimpulannya, kesusasteraan merupakan sebahagian daripada budaya manusia. Ia adalah ekspresi diri manusia dan juga manifestasi estetika manusia terhadap bahasa yang dipertuturkan oleh mereka sendiri. Ia juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat untuk mengungkapkan makna-makna simbolik di sebalik kata-katanya.
Kata-kata sastera dan kesusasteraan yang terimbuh (dengan kata Jawa kuno su "indah, baik") mula wujud pada abad ke-20 meminjam dari kata bahasa Sanskrit शास्त्र śāstra "ajaran, perintah, arahan, petunjuk".[1][2] Pengungkapan ini dipopularkan dengan tertubuhnya Angkatan Sasterawan 50, pada zaman sebelum meletusnya Perang-Perang Dunia, ungkapan persuratan imbuhan kata surat (yakni bermaksud "tulisan" atau "apa jua tertulis pada kertas") lebih didapati.[2][3][4]
Secara umumnya, pengkategorian kesusasteraan Melayu akan merujuk kepada tradisional dan moden. Walaupun Kedua-dua kategori mempunyai genre prosa dan puisi serta menggambarkan cara hidup atau budaya Melayu, ciri-ciri mereka adalah berbeza.
Kesusasteraan Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah diwarisi secara turun-temurun, disebarluaskan melalui lisan. Manakala kesusasteraan Melayu moden disebarkan melalui lisan dan tulisan. Kesusasteraan Melayu tradisional terhad kepada sesebuah masyarakat tertentu sahaja yang bersifat esklusif, dan kesusasteraan Melayu moden bersifat individu dengan adanya cipta terpelihara. Tambahan pula, kesusasteraan Melayu moden tidak lagi bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus dimiliki oleh pengarangnya.
Kesusasteraan dapat dilahirkan dalam pelbagai bentuk bahasa. Dan secara kasarnya ia boleh dikategorikan kepada 2 kategori yang besar menurut bentuk bahasa yang digunakan, yakni:
Prosa merujuk kepada hasil kesusteraan yang ditulis dalam ayat-ayat biasa, yakni dengan menggunakan tatabahasa mudah. Biasanya ayat-ayat dalam kesusasteraan akan disusun dalam bentuk karangan. Prosa adalah satu bentuk kesusasteraan yang lebih mudah difahami berbanding dengan puisi. Contoh bagi kesusasteraan prosa ialah: cerpen, novel, skrip drama, esei dan sebagainya.
Puisi merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan "tidak menuruti tatabahasa". Ia sebenarnya tidak terdiri daripada ayat-ayat yang lengkap, melainkan terdiri daripada frasa-frasa yang disusun dalam bentuk baris-barisan. Pada lazimnya, puisi merupakan bahasa yang berirama dan apabila dibaca pembaca akan berasa rentaknya. Contoh bagi kesuasteraan puisi termasuklah: Sajak, Syair, Pantun, Gurindam, Lirik, Seloka, Mantera dan sebagainya.
Sekiranya, hasil kesuasteraan dikategorikan secara semantik, yakni dari segi isi, kesusasteraan boleh dibahagikan kepada dua kategori yang besar, yakni:
Kesusasteraan Naratif merupakan hasil sastera yang mengandungi perkembangan plot. Dengan kata lain, ia adalah bahan sastera yang menceritakan suatu peristiwa, yang mengandungi unsur watak, masa berlaku dan tempat berlaku. Kesusasteraan ini biasanya dilahirkan dalam bentuk prosa, tetapi dalam keadaan tertentu ia juga dilahirkan dalam keadaan puisi, seperti apa yang dimaksudkan sebagai syair naratif seperti: Syair Siti Zubaidah.Kesusasteraan naratif adalah satu hiburan yang biasa terdapat dalam kehidupan manusia. Dalam masyarakat moden, kita dapat menjumpai kesusasteraan naratif dalam bentuk cerpen, komik, filem, drama dan sebagainya.
Kesusasteraan bukan Naratif merujuk kepada hasil kesusasteraan yang tidak mengandungi plot. Bahan sastera ini mengandungi lebih banyak ekspresi pengarang berbanding dengan kesusasteraan naratif. Kesusteraan ini lebih banyak dilahirkan dalam bentuk puisi.
Kesusasteraan boleh dilahirkan dalam pelbagai cara, dan salah satu cara yang biasa ditemui adalah dalam bentuk teks, yakni dalam bentuk tulisan yang tersusun. Teks kesusasteraan merupakan satu bentuk binaan yang terdiri daripada unsur-unsur seperti apa yang sebut di bawah:
(Yang berikutnya untuk sastera naratif sahaja)
Kehadiran unsur-unsur ini dalam teks kesusasteraan membezakan teks kesusasteraan dengan bentuk tulisan yang lain seperti tulisan sains.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.