Hamlet
From Wikipedia, the free encyclopedia
From Wikipedia, the free encyclopedia
The Tragedy of Hamlet, Prince of Denmark ("Tragedi Hamlet, Putera Denmark") adalah sebuah kisah tragedi karya William Shakespeare. Drama yang berlatarkan negara Denmark mensandiwarakan pembalasan dendam Putera Hamlet ke atas mamandanya, Raja Claudius kerana membunuh Raja Hamlet, iaitu kanda kepada Claudius dan ayahanda Putera Hamlet, dan kemudian merampas takhta dan memperisterikan Gertrude, iaitu balu kepada raja lama dan bonda kepada Putera Hamlet. Drama ini terang-terangan menggambarkan kegilaan yang sebenar dan yang dibuat-buat, baik ketenggalaman dalam kepiluan mahupun gelora kemarahan, serta menerokai tema-tema pengkhianatan, dendam, sumbang mahram dan keruntuhan akhlak.
Hamlet adalah drama Shakespeare yang paling lama, bahkan adalah antara tragedi yang paling berkuasa dan berpengaruh dalam kesusasteraan Inggeris, dengan sebuah cerita yang mampu "diceritakan semula dan diadaptasikan tanpa henti."[1] Drama ini adalah antara karya Shakespeare yang paling laris sewaktu zaman beliau,[2] malah merupakan antara yang paling dipentaskan dalam sejarah, termasuklah mengungguli senarai persembahan Royal Shakespeare Company sejak tahun 1879.[3] Ia telah mengilhami sasterawan-sasterawan lain seperti Goethe, Dickens, Joyce dan Murdoch, malah diperikan sebagai "cerita yang paling banyak kali difilemkan selain Cinderella".[4]
Shakespeare mengasaskan Hamlet pada legenda Amleth yang dipelihara oleh Saxo Grammaticus, seorang pembabad abad ke-13 dalam karyanya Gesta Danorum seperti yang kemudiannya diceritakan semula oleh ilmuwan abad ke-16, François de Belleforest. Beliau mungkin juga memperoleh ilham ataupun mungkin terkarang sebuah drama (andaian) zaman Elizabeth yang kini dikenali sebagai Ur-Hamlet. Hampir tentu sekali beliau membentuk peranan watak utama buat Richard Burbage, iaitu pelakon tragedi paling terkemuka pada zaman Shakespeare.[5] Dalam berabad-abad semenjak itu, watak Putera Hamlet telah diperan oleh pelakon-pelakon lelaki terkemuka dari zaman ke zaman.
|
|
Protagonis Hamlet ialah Putera Hamlet dari Denmark, putera kepada Raja Hamlet yang baru mangkat, dan juga anak saudara kepada Raja Claudius, iaitu adinda dan pewaris takhta ayahanda Hamlet. Claudius dengan tergesa-gesa mengahwini balu kepada King Hamlet, iaitu Gertrude, ibu kepada Hamlet. Denmark telah sekian lama bertelagah dengan negara jiran Norway, maka dijangkanya sebuah pencerobohan yang dipimpin oleh Fortinbras sang Putera Norway.
Kisah bermula pada suatu malam yang dingin pada musim sejuk di Elsinore iaitu istana diraja Denmark. Para sentri Elsinore cuba meyakinkan sahabat Hamlet, iaitu Horatio bahawa mereka telah terlihat roh Raja Hamlet dalam bentuk hantu. Hamlet terdengar khabar itu lalu berazam untuk melihat hantu ayahandanya. Pada malam itu, Sang Hantu tampil kepada Hamlet lalu berpesan kepadanya bahawa dia dibunuh oleh Claudius yang mencurahkan racun ke dalam telinganya. Sang Hantu menuntut supaya Hamlet menuntut belanya; Hamlet sudi lalu memilih untuk berpura-pura hilang akal untuk mengelakkan rasa sangsi. Walaupun begitu, Putera Hamlet sendiri meragui sama ada Sang Hantu boleh dipercayai.
Sambil bersibuk dengan hal-ehwal negara, Claudius dan Gertrude cuba menangkis serangan oleh Putera Fortinbras dari Norway. Oleh sebab risau akan ratapan Hamlet yang lama terhadap ayahandanya serta perilakunya yang semakin tidak menentu, mereka mengutuskan dua orang rakan seguru Hamlet, iaitu Rosencrantz dan Guildenstern untuk mendapat tahu sebabnya. Hamlet menyambut ziarahan kawan-kawannya, tetapi cepat sedar akan niat mereka untuk mengintip.
Polonius adalah ketua penasihat Claudius yang dipercayai; anak lelakinya Laertes hendak menyambung pelajaran di Perancis, sementara anak perempuannya Ophelia sedang melamar Hamlet. Penjodohan ini tidak direstui oleh Polonius dan Laertes yang lantas menegur Ophelia supaya membatalkan hasratnya. Sebentar kemudian, Ophelia senyap-senyap bertemu dengan Hamlet tetapi begitu rimas dengan gelagat aneh Hamlet hingga dia memberitahu bapanya tentang keadaan Hamlet. Polonius menyebut akan "keghairahan cinta"[7] sebagai punca kegilaan Hamlet lalu mengkhabarkan tentangnya kepada Claudius dan Gertrude. Di pertemuan seterusnya, Ophelia melayan gembar-gembur Hamlet yang menuduhnya tidak bertindak tidak senonoh, lalu diusirnya ke biara.
Hamlet tetap tidak yakin bahawa Sang Hantu bercakap benar, tetapi datangnya sekumpulan pelakon di Elsinore yang mengemukakan satu penyelesaian kepadanya, iaitu Hamlet akan mengadakan pementasan untuk melakonkan semula pembunuhan ayahandanya, lalu menentukan kebersalahan Claudius dengan meneliti tindak balasnya. Seluruh istana berhimpun untuk menyaksikan pementasan itu dengan iringan ulasan langsung Hamlet sepanjang cerita. Setelah menyaksikan pelakon raja dibunuh dengan racun di dalam telinga, Claudius tiba-tiba berangkat pergi dari dewan. Maka terbuktilah kepada Hamlet akan kebersalahan mamandanya.
Gertrude menyuruh Hamlet ke bilik tidurnya untuk menuntut penjelasan. Dalam perjalanan, Hamlet melintasi Claudius yang sedang berdoa tetapi teragak-agak untuk membunuhnya atas alasan bahawa dia akan ke syurga jika mati sambil berdoa. Di bilik tidur, berlakunya perbalahan besar antara Hamlet dengan Gertrude. Polonius yang mengintip di sebalik dewangga terbuat bising; maka Hamlet yang menyangka itu Claudius menikam-nikam tanpa terkawal hingga terbunuh Polonius. Maka muncullah Sang Hantu untuk menggesa Hamlet supaya melayan Gertrude dengan sopan tetapi berpesan semula supaya Claudius dibunuh. Gertrude yang tidak dapat melihat atau dengar Sang Hantu itu menanggap perbualan Hamlet dengan Sang Hantu sebagai lagi bukti bahawa anakandanya itu kurang siuman. Setelah menyorokkan mayat Polonius, Hamlet diusir ke Inggeris oleh Claudius yang risau akan nyawanya, dengan pengawasan ketat oleh Rosencrantz dan Guildenstern.
Dimurungkan oleh ratapan ke atas kematian Polonius, Ophelia merayau-rayau di seluruh Elsinore sambil menyanyikan lagu-lagu lucah. Kandanya, Laertes kembali dari Perancis, dimarahkan oleh kematian bapanya dan kegilaan adiknya. Claudius meyakinkan Laertes bahawa Hamlet satu-satunya yang bertanggungjawab; kemudian tibanya khabar bahawa Hamlet masih bebas. Maka Claudius segera merancangkan sesuatu, yang mana dia mencadangkan pertarungan pedang rapier bermata racun antara Laertes dengan Hamlet, tetapi secara senyapnya merancang untuk menawarkan wain beracun kepada Hamlet seandainya rancangan asal gagal. Gertrude menyampuk untuk mengkhabarkan bahawa Ophelia telah mati lemas.
Dua orang penggali kubur membincangkan yang kononnya Ophelia membunuh diri, sambil mengorek kuburnya. Hamlet tiba bersama Horatio lalu bergurau senda dengan salah seorang penggali itu yang tergali keluar tengkorak kepada tukang lawak dari zaman kanak-kanak Hamlet, iaitu Yorick. Datangnya perarakan persemadian yang dipimpin oleh Laertes. Maka Laertes bergelut dengan Hamlet, tetapi perbalahan mereka segera dipatahkan.
Sekembali di Elsinore, Hamlet menceritakan kepada Horatio bagaimana dia bolos, malah Rosencrantz dan Guildenstern sudah mati. Seorang istana, Osric datang menyampuk untuk mempelawa Hamlet untuk berlawan pedang dengan Laertes. Sementara tentera Fortinbras menghampiri Elsinore, bermulalah perlawanan. Laertes menusuk Hamlet dengan mata pedang beracun tetapi terluka dirinya hingga mati. Gertrude terminum wain yang beracun itu lalu mati. Di saat-saat akhirnya, Laertes berbaik semula dengan Hamlet lalu mendedahkan niat Claudius untuk membunuh. Dalam detik-detik hujung nyawa dirinya, Hamlet sempat membunuh Claudius lalu mencalonkan Fortinbras sebagai pewaris takhtanya. Apabila tibanya Fortinbras, Horatio menceritakan segala-galanya, lantas Fortinbras memerintah supaya mayat Hamlet dibawa pergi dengan penuh hormat.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.