From Wikipedia, the free encyclopedia
Pada 6 Februari 2023, sebuah gempa bumi besar melanda bahagian tengah dan selatan Turki dan utara Syria. Ia merupakan antara gempa bumi terkuat yang pernah dicatatkan dalam sejarah Turki dan Syria. Gempa bumi berlaku 34 km (21 bt) di barat dari bandar Gaziantep pada 04:17 waktu Turki (01:17 UTC, 09:17 waktu Malaysia),[5] menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan ramai mangsa terkorban di Turki Tenggara dan Syria Barat Laut. Dengan keamatan Mercalli maksimum XI (Melampau) dan magnitud tidak kurang daripada Mww 7.8, kejadian ini menyamai Gempa bumi Erzincan 1939 sebagai gempa bumi terkuat yang pernah tercatat secara radas yang pernah melanda Turki pada zaman moden, mungkin hanya di belakang gempa bumi Anatolia Utara 1668.[6][7] Ia juga merupakan gempa bumi yang menyebabkan kematian terbanyak di Turki semenjak gempa bumi İzmit 1999.[8]
Magnitud | Mww 7.8 (USGS)[1] Mw 7.7 (KOERI)[2] |
---|---|
Kedalaman | 17.9 km (11 bt) |
Koordinat | Pertama: Şehitkamil, Gaziantep 37.166°N 37.032°E Kedua: Ekinözü, Kahramanmaraş 38.0818°N 37.1773°E |
Lereng | Sesaran Anatolia Timur[3] |
Jenis | Jurus-gelincir |
Kawasan terjejas | Turki dan Syria |
Jumlah kerosakan | $84.1 bilion USD (anggaran) |
Keamatan maksimum | XI (Melampau) |
Pecutan tanah kemuncak | 1.62 g |
Tsunami | 0.17 m (6.7 in) |
Gegaran susulan | 2,109 (setakat 12 Februari) 200+ dengan Mw 4.0 ke atas Terbesar: Mw 7.7 pada 13:24 waktu Turki (UTC+3), 6 Februari 2023 |
Korban | > maut, lebih 53,560+ cedera
122,500
|
Petikan | [4] |
Gempa bumi ini diikuti oleh banyak gegaran susulan, termasuk gegaran kuat luar biasa dengan Mww 7.5 yang terjadi selepas gempa utama. Setakat 1 Mac 2023,[kemas kini] telah disahkan lebih 53,500 kematian: lebih 43,500 di Turki dan 8,400 di Syria.[9][10] Usaha menyelamat terjejas akibat ribut salji lebat yang melitupi runtuhan serta menyebabkan suhu jatuh mendadak.[11] Disebabkan suhu membeku di kawasan terbabit, sesiapa yang terselamat amat terdedah kepada hipotermia, lebih-lebih lagi yang tersepit dalam runtuhan.[12][13] Kemusnahan harta akibat gempa dianggarkan sebanyak AS$84.1 bilion,[14] menjadikannya kerugian gempa bumi keempat paling besar dalam catatan sejarah. Inilah bencana alam yang meragut paling banyak nyawa dalam sejarah Turki moden.[15]
Lokasi awal gempa menempatkannya di sekitar simpang tiga plat iaitu Anatolia, Arab dan Afrika. Mekanisme dan lokasi gempa konsisten dengan gempa yang terjadi di kawasan Sesar Anatolia Timur atau Sesar Jelmaan Laut Mati. Sesar Anatolia Timur menyebabkan gerakan Turki ke arah barat (Laut Aegea), sedangkan Transformasi Laut Mati membawa gerakan Semenanjung Arab ke arah utara relatif terhadap plat Afrika dan Eurasia.[1]
Wilayah tempat terjadinya gempa 6 Februari secara relatif tenang secara seismologi. Hanya tiga gempa berkekuatan 6 atau lebih besar yang terjadi dalam jarak 250 km dari gempa 6 Februari sejak 1970. Yang terbesar, dengan kekuatan 6.7, terjadi di timur laut gempa 6 Februari pada 24 Januari 2020. Semua gempa ini terjadi sepanjang atau di sekitar sesar Anatolia Timur. Meskipun ketenangan seismos relatif dari daerah pusat pada 6 Februari, Turki selatan dan Syria utara telah mengalami gempa bumi yang signifikan dan ketara pada masa lalu. Aleppo di Syria pernah hancur beberapa kali dalam catatan sejarah oleh gempa bumi besar, meskipun lokasi tepat dan kekuatan gempa ini hanya dapat diduga semata-mata. Aleppo dilanda gempa berkekuatan 7.1 pada 1138 dan gempa berkekuatan 7.0 pada 1822. Perkiraan korban gempa pada 1822 mencecah 20 hingga 60 ribu orang.[1]
Gempa bumi melanda pada waktu 01:17 UTC (9.17 pagi waktu Malaysia), diukur oleh pihak USGS, GCMT, dan GEOSCOPE masing-masing pada momen magnitud Mww 7.8, Mw 7.8,[16] dan Mw 8.0.[17] Pusat gempanya terletak di koordinat 37°9′57.6″N 37°1′55.2″E, 34 km (21 bt) di barat bandar Gaziantep di Wilayah Gaziantep berdekatan sempadan Syria. Hipopusat gempa terletak sedalam 17.9 km (11 bt).[1]
Gegaran ini mempunyai mekanisme fokus yang sepadan sesar jurus-gelincir cetek.[1] Pecahan berlaku pada sesaran jurus timur laut–barat daya dan junam timur laut, ataupun sesaran jurus timur laut–barat daya dan junam barat laut.[17]
Ini merupakan antara gempa bumi terkuat pernah dicatat di Turki, menyamai gempa bumi Erzincan 1939,[18] mungkin hanya di belakang gempa bumi Anatolia Utara 1668.[19][20] Secara global, ia merupakan yang terkuat dicatat sejak Ogos 2021.[21]
Gegaran depan berukuran mb 4.2 melanda 5 km (3.1 bt) di barat Bahçe, Wilayah Osmaniye pada 3 Februari.[22]
Setakat 20 Februari, telah tercatatnya lebih 6,000 gegaran susulan.[23][24] Gegaran susulan berukuran Mww 6.7 berlaku kira-kira 11 minit selepas gegaran induk.[25] Tercatatnya 25 gegaran susulan Mw 4.0 ke atas dalam enam jam setelah gegaran induk, menurut USGS. Lebih 12 jam kemudian, USGS melaporkan sekurang-kurangnya 54 gegaran susulan dengan magnitud 4.3 ke atas manakala Kepimpinan Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (Afet ve Acil Durum Yönetimi Başkanlığı , AFAD) mencatatkan sekurang-kurangnya sejumlah 120 gegaran susulan.[26] Pada 20 Februari, sebuah gegaran susulan Mww 6.3 melanda berdekatan Uzunbağ di Wilayah Hatay pada 20 Februari, terhasil daripada sesar serong-normal.[27]
Terdapat satu gegaran susulan besar sebanyak Mww 7.5 atau Mw 7.7 menurut GEOSCOPE[28] dan GCMT,[16] melanda pada waktu 10:24 UTC dengan pusat gempa 4 km (2.5 bt) di utara timur laut Elbistan di Wilayah Kahramanmaraş. Pecahan berlaku di sepanjang sesaran jurus-gelincir yang menjurus timur–barat menjunam utara, atau menjurus utara–selatan menjunam timur.[28] Malahan, ia disifatkan oleh banyak laporan awal sebagai gempa berasingan daripada gegaran susulan. Ia disusuli oleh dua lagi gegaran mb 6.0.
Seorang ahli sains di Pusat Penyelidikan Seismologi di Australia berkata dijangka gegaran susulan magnitud kecil akan berlarutan selama setahun. Akan tetapi, mungkin terjadinya gegaran susulan yang boleh menyebabkan goncangan kencang dalam berhari-hari hingga berminggu-minggu selepas gegaran induk.[29]
Tarikh | Waktu (UTC) | M | MMI | Kedalaman | Ruj. |
---|---|---|---|---|---|
6 Februari | 01:26 | 5.6 | VII | 17.0 km (10.6 bt) | [30] |
6 Februari | 01:28 | 6.7 | VIII | 14.5 km (9.0 bt) | [31] |
6 Februari | 01:36 | 5.6 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [32] |
6 Februari | 01:58 | 5.1 | – | 10.0 km (6.2 bt) | [33] |
6 Februari | 02:03 | 5.5 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [34] |
6 Februari | 02:23 | 5.2 | IV | 11.4 km (7.1 bt) | [35] |
6 Februari | 04:18 | 5.0 | VI | 14.5 km (9.0 bt) | [36] |
6 Februari | 10:24 | 7.7 | X[37] | 10.0 km (6.2 bt) | [16] |
6 Februari | 10:26 | 6.0 | VII | 20.1 km (12.5 bt) | [38] |
6 Februari | 10:35 | 5.8 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [39] |
6 Februari | 10:51 | 5.7 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [40] |
6 Februari | 11:01 | 5.0 | VI | 10.0 km (6.2 bt) | [41] |
6 Februari | 11:05 | 5.2 | IV | 10.0 km (6.2 bt) | [42] |
6 Februari | 12:02 | 6.0 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [43] |
6 Februari | 13:07 | 5.0 | VII | 17.1 km (10.6 bt) | [44] |
6 Februari | 13:39 | 5.1 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [45] |
6 Februari | 13:44 | 5.0 | VI | 10.0 km (6.2 bt) | [46] |
6 Februari | 15:14 | 5.3 | V | 10.0 km (6.2 bt) | [47] |
6 Februari | 15:33 | 5.2 | – | 8.8 km (5.5 bt) | [48] |
6 Februari | 16:43 | 5.0 | VI | 10.0 km (6.2 bt) | [49] |
6 Februari | 18:04 | 5.3 | VI | 10.0 km (6.2 bt) | [50] |
6 Februari | 20:38 | 5.3 | III | 10.0 km (6.2 bt) | [51] |
6 Februari | 20:44 | 5.0 | – | 10.0 km (6.2 bt) | [52] |
6 Februari | 21:58 | 5.1 | II | 10.0 km (6.2 bt) | [53] |
7 Februari | 03:13 | 5.5 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [54] |
7 Februari | 07:11 | 5.4 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [55] |
7 Februari | 10:18 | 5.4 | VII | 10.0 km (6.2 bt) | [56] |
7 Februari | 15:48 | 5.0 | VII | 8.3 km (5.2 bt) | [57] |
7 Februari | 18:10 | 5.3 | IV | 18.1 km (11.2 bt) | [58] |
8 Februari | 11:11 | 5.4 | VI | 7.5 km (4.7 bt) | [59] |
8 Februari | 14:20 | 5.1 | VI | 5.9 km (3.7 bt) | [60] |
16 Februari | 19:47 | 5.2 | V | 10.0 km (6.2 bt) | [61] |
18 Februari | 22:31 | 5.0 | III | 10.1 km (6.3 bt) | [62] |
20 Februari | 17:04 | 6.3 | IX | 16.0 km (9.9 bt) | [63] |
20 Februari | 17:07 | 5.5 | VI | 10 km (6.2 bt) | [64] |
25 Februari | 10:27 | 5.3 | VII | 17.0 km (10.6 bt) | [65] |
27 Februari | 02:51 | 5.0 | II | 10 km (6.2 bt) | [66] |
27 Februari | 09:04 | 5.2 | VI | 10 km (6.2 bt) | [67] |
Nota
Magnitud 7.0 ke atas
Magnitud 6.0–6.9
Magnitud 5.4–5.9 |
Menurut Harold Tobin, pengarah Pacific Northwest Seismic Network dan profesor Universiti Washington, Sesaran Anatolia Timur mempunyai rekod gegaran bumi yang lama dan dikenal pasti sebagai kawasan yang amat terdedah kepada gempa. Tidak pernah tercatat gempa melebihi magnitud 7.0 pada sesaran tersebut semenjak zaman peralatan diperkenalkan. Akan tetapi, pada zaman-zaman sejarah pula pernah berlaku gempa sekuat magnitud 7.4. Menurut Tobin lagi, gempa-gempa 6 Februari "lebih hebat daripada kemungkinan yang paling dijangka", malah biasanya pecahan di sebelah sesaanr akan mencetuskan pecahan di sebelah lagi sesaran. Gempa bumi Ridgequest di California pada tahun 2019 terjadi daripada pecahan sepanjang dua sesaran.[68]
Pecahan gempa magnitud 7.8 ini adalah antara pecahan jurus-gelincir pedalaman terbesar di dunia, setanding dengan gempa bumi San Francisco 1906 yang terpecah di sepanjang Sesar San Andreas. Seorang profesor geofizik di Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah, Arab Saudi berkata bahawa gempa mungkin berpecah sepanjang 300 km (190 bt) pada sesaran.[21] Dipercayai bahawa gempa telah memecahkan sebahagian Sesar Anatolia Timur dan Sesar Jelmaan Laut Mati.[69] Shinji Toda, seorang ahli seismologi di Universiti Tohoku, menggelar kejadian ini "gempa bumi cetek pedalaman paling dahsyat" pada abad ke-21.[70]
Model sumber yang dihasilkan oleh USGS menunjukkan bahawa gempa Mww 7.8 memecahkan tiga segmen sesaran dengan ukuran panjang × lebar berikut: Segmen 1 > 50 km (31 bt) × 30 km (19 bt); Segmen 2 >175 km (109 bt) × 30 km (19 bt); dan Segmen 3 >140 km (87 bt) × 30 km (19 bt). Pecahan bermula sepanjang Segmen 1—Segmen 1 bercabang dari Segmen 2 menghala ke barat daya. Pecahan tersebar ke timur laut sepanjang Segmen 2 dan ke barat daya sepanjang Segmen 3. Gegaran induk menghasilkan gelinciran maksimum 6.0 m (19.7 ka) sepanjang Segmen 2 di titik pertemuannya dengan Segmen 1.[1]
Pernah terjadinya gempa bumi jurus-gelincir pedalaman yang besar pada zaman lampau. Pada tahun 1905, dua gempa pedalaman Mw 8.0+ melanda Mongolia dan menghasilkan pecahan permukaan berjumlah 676 km (420 bt), bermula dengan gempa Tsetserleg, disusuli 14 hari kemudian dengan gempa Bulnay yang menghasilkan pecahan permukaan sepanjang 388 km (241 bt) menjurus timur–barat.[71] Pada tahun 2002, gempa Mw 7.9 berlaku di Alaska, memecahkan sesaran Denali dan Totschunda dan menghasilkan pecahan permukaan sepanjang 340 km (210 bt) di kedua-dua sasaran.[72] Sebuah gempa Mw 7.5 earthquake memecahkan bahagian Sesaran Motagua di Guatemala sepanjang 250 km (160 bt) ke atas; sesaran ini menandakan sempadan antara plat-plat Amerika Utara dan Caribbean.[73]
Gempa Mw 7.7 yang melanda 9 jam kemudian memecahkan suatu kekasapan (asperity ) pada sesaran yang berukuran panjang ~120 km (75 bt) dan lebar ~18 km (11 bt), menghasilkan gelinciran sebanyak 10.9 m (36 ka) menurut USGS.[74] Sesaran yang melakukannya bukan sebahagian daripada Sesaran Anatolia Timur.[69] Ahli sains Ross Stein berkata gempa bumi ini boleh dianggap sebagai "peristiwa bergantung" yang tidak mungkin berlaku seandainya gempa induk tidak terjadi.[75] Pindahan tekanan Coulomb dari gempa pertama mendorong sesaran Sürgü dan Çardak ke arah kerosakan yang memecah pada gempa kedua.[76]
Keamatan maksimum Mercalli Terubah Suai untuk gempa-gempa Mw 7.8 dan 7.7 masing-masing dianggarkan pada takat XI dan X.[37] Tiga pangkalan seismik USGS, dua di Antakya dan satu di Hassa, mencatatkan pecutan dan halaju tanah yang tinggi. Hassa mencatatkan pecutan tanah sebanyak 0.9082 g dan halaju sebanyak 215.34 cm/s (84.78 in/s), bersamaan dengan keamatan Mercalli Terubah Suai XI di takat (Melampau). Pecutan anah kemuncak ialah 1.62 g yang dicatat oleh stesen di Fevzipaşa.[77]
Berlakunya ambelasan tanah besar-besaran di İskenderun, menyebabkan beberapa bahagian bandar ditenggelami laut sejauh 200 m (660 ka) ke pedalaman. Ambelasan ini mungkin berpunca daripada pecahan di sepanjang sesaran kembang yang menyebabkan anjakan tanah secara menegak. Pengarah eCoast Marine Consulting and Research di New Zealand, Jose Borrero berkata bahawa ambelasan sebanyak ini adalah terjangka daripada gempa bumi besar. Kejadian-kejadian ambelasan sedemikian juga pernah berlaku di Gölcük sewaktu gempa bumi İzmit 1999, dan juga di Kaikōura sewaktu gempa bumi New Zealand 2016. Kesan-kesan yang diperhatikan di İskenderun mungkin didatangkan oleh ksan-kesan daripada pencecairan, ombak-ombak besar daripada cuaca buruk dan juga tsunami.[78]
Tercatatnya ombak-ombak tsunami kecil di pesisir pantai Famagusta, Cyprus, berukuran 0.17 m (6.7 in) dan tidak meninggalkan sebarang kerosakan.[79] Ombak tsunami juga dicatatkan pada 0.12 m (4.7 in) di İskenderun dan 0.13 m (5.1 in) di Erdemli.[80]
Amaran tsunami dikeluarkan oleh Jabatan Pertahanan Awam Itali untuk pesisir timur dan selatan, kemudian ditarik balik.[81][82][83] Amaran tsunami juga dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Astronomi dan Geofizik Kebangsaan Mesir untuk kawasan Laut Mediterranean termasuk pantai-pantai Mesir, dan itu pun ditarik balik akhirnya.[84]
Dilaporkan terdapat sekurang-kurangnya 43,556 kematian[9] dan 108,068 kecederaan di Turki.[85] Sekurang-kurangnya 13.5 juta orang dan 4 juta bangunan terjejas. Ribuan orang terperangkap di bawah runtuhan ketika bangunan runtuh.[86] Ada mangsa yang menyiarkan rayuan untuk pertolongan di media sosial.[87] Kementerian Alam Sekitar, Urbanisasi dan Perubahan Iklim menjalankan pemeriksaan kerosakan pada 763,000 bangunan; sekurang-kurangnya 41,791 bangunan di 10 wilayah Turki ranap atau hancur teruk,[88] mengakibatkan seramai 150,000 orang kehilangan tempat tinggal.[89][90] Gempa bumi telah menyebabkan rekahan lebar pada jalan raya.[91] Sewaktu usaha menyelamat, sering dijumpai anggota-anggota mayat dari runtuhan.[92]
Lebih 8,476 orang terbunuh,[10] dan lebih 14,500 orang lagi cedera di Syria.[93] Kementerian Kesihatan Syria telah mencatatkan lebih 2,234 kematian dan 2,950 kecederaan berkaitan gempa bumi di kawasan-kawasan kawalan kerajaan,[94][95] kebanyakannya di Aleppo dan Latakia.[96] Di kawasan yang dikuasai pemberontak, sekurang-kurangnya 4,526 orang terkorban[97] dan 2,200 lagi cedera.[98][99] Dianggarkan seramai 5.37 juta orang di seluruh Syria kehilangan tempat tinggal,[100] manakala sejumlah 10.9 juta orang, iaitu hampir separuh daripada jumlah penduduk Syria terjejas.[101]
Pemimpin banyak negara mengucapkan takziah kepada Turki dan Syria. Menjelang 9 Februari, tiga hari selepas gempa bumi, 95 negara dan 16 organisasi antarabangsa menawarkan bantuan kepada Turki, dan 6,479 anggota penyelamat dari 56 negara telah dikerahkan ke Turki.[102] Sebaliknya, jangkauan ke Syria dilihat kurang memberangsangkan disebabkan oleh situasi politik di Syria.[103][104]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.