Baripusat (astronomi)
From Wikipedia, the free encyclopedia
Dalam astronomi, baripusat (daripada bahasa Yunani Kuno βαρύς (barús), bermaksud "berat", dan κέντρον (kéntron), bermaksud "pusat")[1] ialah pusat jisim kepada dua atau lebih jasad yang mengorbit antara satu sama lain dan merupakan titik di mana jasad-jasad tersebut mengorbit. Baripusat merupakan suatu titik dinamik, bukannya objek fizikal. Ia merupakan satu konsep penting dalam bidang-bidang astronomi dan astrofizik. Jarak daripada pusat jisim sesuatu jasad ke baripusat tersebut boleh dikira dengan masalah dua jasad.
Jika salah satu daripada dua jasad yang mengorbit antara satu sama lain itu adalah jauh lebih besar daripada jasad yang lagi satu dan dua jasad tersebut agak rapat antara satu sama lain, maka baripusat dua jasad tersebut biasanya akan terletak di dalam jasad yang jauh lebih besar itu. Dalam hal ini, berbanding kelihatan kedua-dua jasad mengorbit satu titik di antara mereka, jasad yang ringan jisimnya itu akan kelihatan mengorbit mengelilingi jasad yang berat jisimnya, manakala jasad yang berat jisimnya itu mungkin diperhatikan bergoyang sedikit. Contoh untuk situasi ini adalah seperti sistem Bumi–Bulan yang baripusatnya terletak pada purata 4,671 km (2,902 bt) dari pusat Bumi, iaitu 74% daripada radius Bumi 6,378 km (3,963 bt).
Apabila kedua-dua jasad mempunyai jisim yang seakan, baripusat mereka biasanya akan terletak di antara mereka dan kedua-dua jasad akan mengorbit di sekelilingnya. Contoh untuk situasi ini adalah seperti pasangan Pluto dan Charon (salah satu satelit semula jadi Pluto) serta untuk banyak asteroid dedua dan bintang dedua.
Apabila objek yang ringan jisimnya berada di kedudukan jauh, baripusat dua jasad tersebut boleh terletak di luar objek yang berat jisimnya. Contoh untuk situasi ini adalah seperti baripusat untuk Musytari dan Matahari, yang walaupun Matahari seribu kali ganda lebih berat berbanding Musytari, baripusat mereka berada sedikit di luar Matahari kerana jarak yang agak jauh antara mereka.[2]
Dalam bidang astronomi, koordinat baripusat merupakan koordinat tidak berputar dengan asalnya di baripusat dua atau lebih jasad. Sistem Rujukan Cakrawala Antarabangsa (ICRS) ialah sistem koordinat baripusat yang berpusat pada baripusat Sistem Suria.