genus tumbuhan From Wikipedia, the free encyclopedia
Amorphophallus (atau amnya disebut lekir) ialah genus besar sekitar 200 tumbuhan bak herba berumbi tropika dan subtropika dalam keluarga talas-talasan (Araceae). Ia tempatan dari Asia, Afrika, Australia dan sebilangan kepulauan oceanik.[1][2] Beberapa spesiesnya dijadikan "makanan kebuluran" selepas disediakan dengan teliti untuk menyingkirkan getahnya yang gatal.[3] Genus ini termasuklah bunga bangkai (Amorphophallus titanum) dari Indonesia, dengan perbungaan paling besar daripada mana-mana tumbuhan dalam genusnya, yang dikenal melalui bau hamis yang dikeluarkan semasa tempoh mekarnya, yang mana mengambil masa sampai tujuh tahun pertumbuhan untuk terbentuk.[4]
Amorphophallus | |
---|---|
Bunga lekir betul, Amorphophallus prainii. | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Plantae |
Klad: | Trakeofit |
Klad: | Monokot |
Order: | Alismatales |
Keluarga: | Araceae |
Subkeluarga: | Aroideae |
Tribus: | Thomsonieae |
Genus: | Amorphophallus Blume ex Decne. |
Spesies jenis | |
Amorphophallus paeoniifolius | |
Spesies | |
Lihat teks. | |
Sinonim[1] | |
|
Rekod sistematik tertua tumbuhan ini adalah pada 1692, ketika Van Rheede tot Drakenstein menerbitkan gambaran mengenai dua tumbuhan berlainan. Nama "Amorphophallus" julung kali disebut pada 1834 oleh pakar tumbuhan Belanda, Blume.[5] Antara 1876 dan 1911, Engler menyatukan beberapa genus lain ke dalam Amorphophallus, dengan monograf terakhir diterbitkan pada 1911.[5]
Ia ialah tumbuhan tanah rendah yang tumbuh di zon tropika dan subtropika paleotropik, dari Afrika Barat hingga ke Kepulauan Pasifik. Tiada satu pun daripadanya ditemukan di Amerika, sungguhpun genus Dracontium yang amat sama namun tidak berkait telah berevolusi di sana. Kebanyakan spesies pula endemik dan tumbuh di kebanyakan tanah terusik seperti hutan kedua.[6]
Nama Inggerisnya Amorphophallus datang daripada Yunani iaitu amorphos, "tanpa bentuk, cacat" dan phallos, "zakar", yang mana merujuk pada bentuk tongkol bunga menonjol bunga tersebut.
Di Malaysia, nama tumbuhan ini berubah-ubah mengikut kawasan tertentu bagi spesies berlainan. Amorphophallus paeoniifolius (yang berbatang hijau muda) sering disebut "sarek" sedangkan Amorphophallus prainii (yang berbatang hijau gelap) pula disebut khusus sebagai "lekir".[7] Sebaliknya, Amorphophallus titanum dipanggil "bunga bangkai".
Di Indonesia, untuk tujuan pertanian, Amorphophallus paeoniifolius sering disebut "suweg", Amorphophallus muelleri disebut "iles-iles" atau "porang", dan Amorphophallus variabilis pula disebut "walur".[8]
Tumbuhan yang kecil hingga gergasi ini tumbuh daripada umbi bawah tanah. Umbi Amorphophallus berubah-ubah bagi setiap spesies, dari umbi bundar tidak sekata bagi Amorphophallus konjac, yang memanjang bagi Amorphophallus longituberosus dan Amorphophallus macrorhizus, hingga yang berstok akar bergugus pelik bagi Amorphophallus coaetaneus. Dari puncak umbi ini, daun tunggal yang mencecah beberapa meter bagi spesies besar terbentuk pada tangkai daun bak batang, diikuti oleh perbungaan tunggal atas kematangannya. Daun ini terdiri daripada tangkai daun tegak dan lai daun melintang yang terdiri daripada sebilangan anak daun kecil. Daun tersebut kekal selama semusim. Tangkai induk (tangkai bunga utama) boleh jadi panjang atau pendek.
Mirip dengan keladi, spesies ini mengeluarkan perbungaan yang terdiri daripada seludang bunga (pengasuh bak upih) tirus dan bujur yang sering membalut tongkol bunga (bulir bunga berpaksi berisi). Seludangnya boleh berlainan warna, namun kebanyakannya ungu keperangan atau hijau keputihan. Ada rabung atau bintil pada sisi dalamnya yang berperan selaku perangkap serangga.
Tumbuhan ini berumah satu. Tongkolnya berbunga kecil: bunga betina yang hanya mempunyai putik ada di dasar, kemudian bunga jantan yang setiapnya ada satu sulur bunga, dan diikuti oleh kawasan kosong yang mandul. Bahagian hujung yang dipanggil "appendix" ini, terdiri daripada bunga mandul yang disebut staminodium, dan boleh jadi amat besar. Bunga ini tidak mempunyai sari bunga.
Bunga betina yang matang hanya terbuka dalam masa satu hari. Dalam kebanyakan spesies, perbungaannya akan mengeluarkan bau daging mereput untuk menarik serangga, sungguhpun beberapa spesies mengeluarkan bau yang menyenangkan. Melalui sebilangan perangkap serangga yang pintar, serangga pendebunga yang memasuki seludang ketika bunga betina terbuka akan tinggal di dalam untuk sekitar sehari sambil bunga jantannya matang dan membebaskan debunga. Debunga jatuh pada serangga ini, dan mereka akan membawanya keluar dari seludang dan mendebungakan bunga betina dalam seludang lain. Spesies Amorphophallus dijadikan tumbuhan makanan oleh beberapa spesies ulat Lepidoptera (kekupu dan rerama) termasuk Palpifer sexnotatus dan Palpifer sordida.
Bunga yang terdebunga akan berkembang menjadi buah beri yang bundar. Beri ini merah, jingga, putih, putih kuning atau biru mengikut spesies.
Genus ini dipecahkan menjadi empat subgenus berdasarkan analisis filogenitik pada 2017:[9]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.