Dalam kajian linguistik bahasa bertulis, sistem tulisan sukukataan ialah sistem tulisan yang menggunakan sekumpulan lambang tulisan yang mewakili suku kata atau lebih kerapnya mora yang membentuk perkataan. Lambang tulisan tersebut dikenali sebagai aksara sukukataan.
Simbol dalam aksara sukukataan, dipanggil citrasukukata, biasanya mewakili bunyi konsonan (pilihan) (pangkal mudah) diikuti dengan bunyi vokal (nukleus)—iaitu, suku kata CV atau V—tetapi pemetaan fonografi lain, seperti CVC, CV-nada, dan C (biasanya sengau pada akhir suku kata), juga terdapat dalam aksara sukukataan.
Jenis
Sistem tulisan yang menggunakan sukukataan adalah lengkap apabila ia meliputi semua suku kata dalam padanan bahasa pertuturannya tanpa memerlukan peratura ortografik/grafemik yang rumit, seperti koda tersirat ⟨C1V⟩ ⇒ /C1VC2/) vokal senyap ⟨C1V1+C2V2⟩ ⇒ /C1V1C2/) atau vokal gema ⟨C1V1+C2V1⟩ ⇒ /C1V1C2/). Hal ini lebih kurang bercocok dengan ortografi cetek dalam sistem tulisan alfabet.
Citrasukukata tulen adalah yang merangkumi semua bahagian suku kata, contohnya pangkal awal, nukleus tengahan, dan koda akhiran, tetapi oleh kerana pangkal dan koda bersifat pilihan dalam sekurang-kurangnya beberapa bahasa, terdapat citrasukukata tulen tengahan (nukleus), huluan (pangkal-nukleus), hujungan (nukleus-koda) dan penuh (permulaan-nukleus-koda). kebanyakan aksara sukukataan hanya mengandungi satu atau dua jenis suku kata dan membentuk suku kata lain dengan kaedah grafik.
Citrasukukata, justeru aksara sukukataan, adalah murni, bercerakin, atau sembarangan jika ia tidak mempunyai kemiripan wajah yang sesuai dengan kemiripan fonik, contohnya dalam hiragana, simbol untuk ka (か) tidak menyerupai apa-apa yang dapat mengagakkan bentuk simbol untuk ki (き), atau bentuk simbol untuk a (あ). Jika tidak, ia bersifat sintetik (jika ia berlainan mengikut pangkal, rima, nukleus, atau koda) atau bertata (jika ia berlainan mengikut kesemuanya). Beberapa sarjana, misalnya Daniels,[1] menggunakan istilah umum untuk aksara sukukataan bercerakin dan mencipta istilah lain (abugida, abjad) jika perlu.
Bahasa yang menggunakan aksara sukukataan
Bahasa yang menggunakan penulisan bersukukata termasuklah bahasa Jepun, bahasa Calagi, bahasa Vai, bahasa Yi di Asia timur, bahasa campuran asasan bahasa Inggeris iaitu bahasa Ndyuka, bahasa Xiangnan Tuhua, dan bahasa kuno Yunani Mykene (Senggaris B). Selain itu, aksara bahasa Kriti Senggaris A yang belum ditafsirkan juga dipercayai oleh beberapa orang sebagai aksara sukukataan, namun hal ini belum terbukti.
Aksara Cina, aksara pepaku yang digunakan untuk bahasa Sumer, bahasa Akkad, dan bahasa lain, serta aksara Maya adalah bersifat sukukataan, walaupun berdasarkan padalogogram. Oleh itu, kadangkala mereka dinamakan sebagai logosilabik.
Bahasa Jepun sezaman menggunakan dua aksara sukukataan yang dipanggil kana (sebagai tambahan kepada sistem bukan sukukataan iaitu kanji dan romaji), iaitu hiragana dan katakana, yang dikembangkan daripada aksara kanji sekitar 700-800 M. Oleh kerana bahasa Jepun selalunya menggunakan suku kata CV (konsonan + vokal), aksara sukukataan sangat sesuai untuk menulis bahasa ini. Seperti dalam banyak aksara sukukataan, urutan vokal dan konsonan akhiran ditulis dengan glif berasingan, supaya kedua-dua atta dan kaita ditulis dengan tiga kana: あった (at-ta) dan かいた (ka-i-ta). Oleh itu, ia kadangkala dipanggil sebagai sistem tulisan mora.
Bahasa-bahasa yang menggunakan aksara sukukataan kini selalunya mempunyai fonotaktik mudah, dengan keulungan suku kata ekamora (CV). Sebagai contoh, aksara Yi moden digunakan untuk menulis bahasa yang tidak mempunyai diftong atau koda suku kata; anehnya dalam kalangan aksara sukukataan, terdapat glif tersendiri untuk setiap gabungan konsonan-vokal-nada (CVT) dalam bahasa tersebut (selain satu nada yang ditandakan dengan diakritik).
Sebilangan kecil aksara sukukataan mempunyai glif untuk suku kata yang tidak bersifat ekamora, dan yang aksara yang pernah sebegitu telah dipermudahkan dengan berlalunya masa untuk menghilangkan kerumitan itu. Sebagai contoh, aksara Vai asalnya mempunyai huruf tersendiri untuk suku kata yang diakhiri dengan koda (doŋ), vokal panjang (soo), atau diftong (bai), tetapi tidak cukup huruf untuk membezakan semua gabungan CV (beberapa perbezaan diabaikan). Aksara modennya telah dikembangkan untuk merangkumi semua mora, tetapi pada masa yang sama dikurangkan untuk mengeluarkan semua suku kata lain. Suku kata dwimora kini ditulis dengan dua huruf, seperti dalam bahasa Jepun: diftong ditulis dengan bantuan glif V atau hV, dan koda sengauan ditulis dengan glif untuk ŋ, yang dapat membentuk suku kata tersendiri dalam aksara Vai.
Dalam Senggaris B, yang digunakan untuk mentranskripsikan bahasa Yunani Mykene, bahasa yang bersuku kata rumit, pangkal konsonan rumit ditulis dengan dua glif atau dipermudahkan menjadi satu, sementara koda umumnya diabaikan, misalnya ko-no-so untuk Κνωσός Knōsos, pe-ma untuk σπέρμα sperma.
Aksara Calagi umumnya menggunakan vokal tersenyap untuk konsonan koda, tetapi juga memiliki grafem keratan untuk /s/, yang boleh digunakan sebagai koda dan juga dalam kelompok konsonan /sC/ awalan.
Perbezaan dengan abugida
Bahasa India dan Asia Tenggara, serta bahasa-bahasa Samiah Habsyah, mempunyai sejenis sistem tulisan yang dipanggil sebagai abugida. Dalam aksara sistem ini, bukan seperti aksara sukukataan murni, suku kata bermula dengan konsonan yang sama biasanya dinyatakan dengan grafem berdasarkan cara biasa pada unsur-unsur grafik lazim. Biasanya setiap huruf yang mewakili suku kata terdiri daripada beberapa unsur yang menunjukkan bunyi suku kata individu.
Pada abad ke-19, sistem ini dipanggil 'silabiks' (syllabics), sebuah istilah yang telah bertahan dalam nama aksara-aksara Bumiputera Kanada (Canadian Aboriginal syllabics) yang juga merupakan sebuah abugida.
Dalam aksara sukukataan tulen, mungkin terdapat kemiripan wajah antara huruf-huruf yang mempunyai bunyi konsonan atau vokal yang sama, tetapi selalunya ia tidak sistematik atau sama sekali nalar. Sebagai contoh, huruf untuk ke (け), ka (か), dan ko (こ) dalam aksara Hiragana Jepun tidak mempunyai persamaan bentuk untuk menunjukkan bunyi [k]. Bandingkan dengan aksara Dewanegeri, sebuah aksara abugida, yang hurufnya untuk ke (के), ka (का) dan ko (को) masing-masing menunjukkan bunyi [k] dengan menggunakan क untuk bentuk huruf dasar terkongsinya .
Perbandingan dengan aksara Rumi
Bahasa Inggeris, bersama dengan banyak bahasa Indo-Eropah yang lain seperti bahasa Jerman dan bahasa Rusia, mengizinkan struktur suku kata yang rumit, menjadikannya sukar untuk menulis perkataan Inggeris dengan suku kata. Aksara sukukataan "murni" yang berdasarkan bahasa Inggeris memerlukan glif tersendiri untuk setiap suku kata yang mungkin. Oleh itu, seseorang memerlukan simbol yang berasingan untuk "bag", "beg", "big", "bog", "bug", "bad", "bed", "bid", "bod", "bud", "bead", "bide", "bode", dll. Oleh kerana bahasa Inggeris mempunyai lebih daripada 10,000 kemungkinan berbeza untuk suku kata individu,[2] aksara sukukataan kurang sesuai untuk mewakili bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, sistem murni seperti itu jarang wujud. Suatu penyelesaian untuk masalah ini, yang biasa berlaku pada beberapa suku kata di seluruh dunia (termasuk kata pinjaman bahasa Inggeris dalam bahasa Jepun), adalah dengan menulis vokal gema, seolah-olah koda suku kata adalah suku kata kedua: ba-gu untuk "bag", dll. Satu lagi pendekatan yang sama adalah dengan mengabaikan koda, supaya "bag" akan ditulis sebagai ba. Ini sudah jelas tidak akan berfungsi dengan baik untuk bahasa Inggeris, tetapi telah dilakukan dalam bahasa Yunani Mykene ketika kata akarnya berpanjang dua atau tiga suku kata dan suku kata koda merupakan konsonan lemah seperti n atau s (contoh: χρυσός krysos ditulis sebagai ku-ru-so).
Lihat juga
- Senarai aksara sukukataan
Rujukan
Wikiwand in your browser!
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.