Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Teluk Kumbar merupakan sebuah teluk kecil yang terletak berhampiran dengan Balik Pulau, Pulau Pinang, Malaysia. Pantainya mengadap ke Selat Melaka / Lautan Hindi. Ia merupakan sebuah daerah dengan keluasan kira-kira 20 kilometer persegi meliputi beberapa buah kampung iaitu Kampung Sungai Batu, Kampung Tengah, Kampung Nelayan, Kampung Masjid, Kampung Matahari Naik, Kampung Matahari Jatuh (Jalan Sepakat), Kampung Sulup, Pasir Belanda dan Gertak Sanggul.
Teluk Kumbar juga kaya dengan makanan laut di situ dan makanannya adalah mahal seperti di Tanjung Tokong.
Teluk Kumbar dikatakan dibuka oleh orang-orang yang berasal dari Acheh, Sumatera. Mereka terdiri dari golongan pelaut sama ada nelayan atau pelaut (dilabelkan sebagai bajak atau lanun oleh penjajah Barat yang pernah hadir di lautan sebelah sini). Ia dibuka lebih awal dari tahun 1880an.
Teluk Kumbar mendapat nama daripada rimbunan pokok kumbar, sejenis palma yang mempunyai pelepah yang berduri tajam dan buahnya juga mempunyai bilah-bilah nipis duri tajam yang rapuh pada kulit ( sebagaimana buah salak). Buahnya berwarna kemerahan ketika masak dan masam rasanya. Rimbunan pokok ini mengisi ruang tanah di bahagian tengah dan bukit yang memerlukan ketabahan yang tinggi untuk menerokanya.
Teluk Kumbar terdiri dari sebuah telukan laut yang menganjur dari Sungai Batu ke Kampung Nelayan, kira-kira 3 kilometer panjangnya. Terdapat beberapa telukan kecil yang lain di Pasir Belanda dan Gertak Sanggul yang secara keseluruhannya menjadikan garis pantai nya sepanjang lebih 10 kilometer.
Pentadbiran Teluk Kumbar diuruskan oleh seorang Penghulu, yang dilantik oleh kerajaan tempatan. Beliau bertanggungjawab untuk menguruskan semua perkara yang berkaitan.
Pengurusan masjid pula diuruskan oleh seorang yang berjawatan Pengerusi Qaryah. Beliau menguruskan sebuah masjid dan beberapa buah surau yang terdapat di seluruh kawasan Teluk Kumbar.
Teluk Kumbar mempunyai penduduk seramai 7000 orang. Kebanyakkannya terdiri daripada orang Melayu dan Cina dan sedikit orang India.
Pekan Teluk Kumbar dibuka pada awal 1880an terletak di persimpangan jalan Teluk Kumbar / Gertak Sanggul. Kebanyakan bangunan asalnya masih kelihatan sama sehingga kini. Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar merupakan bangunan institusi yang tertua, dibuka pada tahun 1880. Terdapat beberapa buah lagi bangunan seperti Balai Polis Teluk Kumbar, Pasar Lama dan Masjid yang menjadi penanda usia pekan kecil ini dalam garis masa kewujudannya.
Pembinaan Bandar Baru PERDA telah mengubah lanskap pekan ini. Bandar ini yang dibina pada akhir 1990an, menambahkan koleksi bangunan kediaman dan industri kecil di sini. Ia juga terut menambahkan jumlah penduduk. Selain itu, pemaju-pemaju perumahan juga turut mengambil peluang untuk mengisi ruang di lot-lot tanah yang dijual oleh orang-orang Melayu khususnya dengan rumah-rumah mewah bertingkat yang dijual semula dengan harga berlipat ganda.
Penduduk di sini bakal menikmati kemudahan sembahyang di masjid baru yang sedang dalam pembinaan bagi menggantikan masjid lama. Pembinaannya yang tertangguh sejak beberapa tahun telah dimulakan pada tahun 2012 dan dirasmikan majlis pecah tanah oleh YAB Tan Sri Muhiyuddin bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri.
Agama
Hasilan laut dan Mee udang merupakan produk popular di Teluk Kumbar. Dengan diiringi 5 ekor udang putih bersaiz sederhana atau besar, semangkuk mee kuah boleh dinikmati untuk merasai kemanisan udang laut dan kelazatan resipi mee kuah masakan Teluk Kumbar.
Kesan sejarah yang terdapat di sekitar kawasan ini turut menarik untuk dilawati. Masih dalam keadaan asal, beberapa buah kubu perang British peninggalan PD2 masih boleh dilihat, sebuah di Kampung Nelayan , berhampiran kuala sungai dan sebuah lagi di hadapan SK Teluk Kumbar. Rangka kapal perang British masih boleh dilihat, ia tersadai di Tukun Ramai, daratan paling selatan di sebelah Barat Daya, di Gertak Sanggul.
Tempat rekreasi yang menarik juga terdapat di kawasan ini. Untuk para pemancing, kawasan-kawasan taraf sederhana untuk memancing siakap, kerapu, semilang, gelama dan sebagainya sedia menanti anda untuk melayan hobi masing-masing. Pilihlah port-port yang sesuai di garis pantai sepanjang 10 kilometer, anda mungkin pulang dengan hasil lumayan dengan bermodalkan cacing laut dan anak ikan ataupun mungkin pulang dengan tangan kosong sekiranya terkena port yang telah dipasang dengan pukat mati ( pukat ketam ) atau dituba oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.
Bagi yang gemar beriadah, jalan raya yang menghubungkan Pekan dengan Gertak Sanggul adalah tempat berjogging dan berbasikal yang sesuai. Jalannya teduh dan kurang trafik terutamanya pada hujung minggu membolehkan anda mengeluarkan peluh tanpa risau diterjah oleh pemandu-pemandu yang tidak berhemah.Bagi yang suka berenang, Pantai Tanjung Asam merupakan tempat yang sesuai. Lautnya tidak begitu dalam, kurang berombak dan agak bersih ketika air pasang. Perenang perlu berhati-hati dengan kemunculan obor-obor. Alat-alat rekreasi laut juga disediakan dengan sewa berpatutan oleh beberapa orang operator di situ. Penginapan di chalet juga terdapat di situ. Laksa Pak Bai adalah antara makanan popular yang dijual di Tanjung Asam pada hari Ahad dengan harga yang berpatutan di samping terdapat beberapa penjual lain yang menyediakan juadah masing-masing untuk dinikmati oleh pengunjung pada harga yang mampu.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.