Raja Syed Hamzah Jamalullail

Raja Perlis From Wikipedia, the free encyclopedia

Raja Syed Hamzah Jamalullail
Remove ads

Raja Syed Hamzah ibni Almarhum Raja Syed Safi Jamalullail (Jawi: راج سيد همزة ابن راج سيد صافي جمال اليل) atau Raja Syed Hamzah Jamalullail adalah Raja Perlis yang kelima. Baginda memegang takhta kerajaan Perlis selama dua tahun, dari tahun 1943 hingga 1945. Baginda merupakan adinda kepada raja sebelumnya, Raja Syed Alwi Jamalullail.[1]

Fakta Segera kelima, Pemerintahan ...
Remove ads
Remove ads

Kehidupan

Raja Syed Hamzah telah dilahirkan pada tahun 1895 dan merupakan putera ketiga kepada Raja Syed Safi Jamalullail dan Che Shamsiah binti Lebai Mat Amin. Baginda juga merupakan saudara seayahanda kepada Raja Syed Alwi Jamalullail. Baginda telah mendapat pengajian di Institut St. Xavier, Pulau Pinang.[2]

Baginda mempunyai tiga orang isteri. Baginda telah berkahwin dengan Tengku Kalsum, puteri kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Baginda juga telah berkahwin dengan Inche Aminah binti Merah Sutan dan Sharifah Aminah binti Syed Abbas Al-Sagoff. Baginda dikurniakan dua putera dan empat puteri bersama Sharifah Aminah, iaitu Syed Sofian, Syed Yusuf, Sharifah Hanim, Sharifah Mukminah, Sharifah Mariam dan Sharifah Fatimah.

Remove ads

Pemerintahan

Pendudukan Jepun di Perlis

Tentera Jepun mula memasuki dan menguasai pentadbiran negeri Perlis pada 12 Disember 1941, diketuai Kapten E. Hirota. Memandangkan ketika itu Raja Syed Alwi Jamalullail berada di luar Perlis, Kapten E. Hirota telah mengarahkan Syed Hamzah mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang dinaungi oleh Kerajaan Tentera Jepun. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Naib Pengerusi Majlis setelah Raja Syed Alwi berangkat pulang. Pada 11 Januari 1942, pentadbiran Jepun telah melucutkan kedudukan Syed Putra sebagai pewaris takhta dan melantik Syed Hamzah sebagai pewaris takhta Perlis yang baharu. Raja Syed Alwi telah mangkat pada 2 Februari 1943. Pihak berkuasa Jepun kemudiannya melantik Raja Syed Hamzah sebagai Raja Perlis yang baharu.[1]

Semasa pentadbiran Jepun, Perlis mengalami masalah kebuluran yang tinggi akibat harga barang yang meningkat dan rampasan hasil padi oleh tentera Jepun. Sistem persekolahan telah diubah mengikut sistem Jepun yang menggalakkan penyebaran pengaruh kebudayaan Jepun. Pada 20 Ogos 1943, Perlis bersama dengan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan kepada Kerajaan Siam oleh pihak berkuasa Jepun bagi membalas sumbangan Siam yang memberi sokongan dan kerjasama kepada Jepun. Penyerahan ini tidak mendapat persetujuan langsung daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis. Perlis kemudiannya diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi Tentera Siam yang menguruskan segala hal pentadbiran negeri kecuali hal ehwal agama Islam dan adat Melayu. Raja Syed Hamzah pula dilantik sebagai pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan atau digelar sebagai Muntri Spa Perlis oleh Siam. Pentadbiran Jepun berakhir pada 15 September 1945 setelah Penyerahan kalah Jepun.

Penurunan takhta

Setelah pentadbiran Jepun berakhir, kekacauan terus berlaku di Perlis setelah Tentera Komunis dan Bintang Tiga mula menguasai Tanah Melayu. British kemudiannya kembali semula ke Tanah Melayu dan melaksanakan Pentadbiran Tentera British bagi menamatkan kekacauan. Pentadbiran British mula dilaksanakan di Perlis di bawah pimpinan Mejar D.Burr pada 17 September 1945. Pihak British enggan mengiktiraf status Raja Syed Hamzah sebagai Raja Perlis, dan cuba mengembalikan kedudukan Syed Putra yang sebelumnya dilantik sebagai bakal Raja pada 30 April 1938. Raja Syed Hamzah kemudiannya turun takhta dan meninggalkan Istana Arau. Baginda juga berpindah ke Setul, Thailand dengan kehendak baginda sendiri dan kemudiannya berpindah ke Alor Setar, Kedah. Baginda mangkat di Alor Setar pada 20 Februari 1958 dan dimakamkan di Makam Diraja Arau.[1][2]

Sumbangan

Pada tahun 1930, Raja Syed Hamzah yang pada masa itu berkhidmat sebagai Naib Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, telah mengarang lirik bagi lagu Amin Amin Ya Rabaljalil. Baginda kemudiannya meminta R. G. Iles, Jurutera Negeri, untuk menyalin dan mengharmonikannya, kerana baginda tidak mahir membaca atau menulis muzik. Lagu ini diterima pakai sebagai lagu rasmi Negeri Perlis pada tahun 1935.[3]

Remove ads

Rujukan

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads