Sultan Terengganu From Wikipedia, the free encyclopedia
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ibni al-Marhum Sultan Zainal Abidin (1 Disember 1895 - 25 September 1942) adalah Sultan Terengganu yang ke-14. Baginda memerintah dari tahun 20 Mei 1920 - 25 September 1942.
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ibni al-Marhum Sultan Zainal Abidin | |
---|---|
Pemerintahan | 20 Mei 1920 - 25 September 1942 |
Pendahulu | Sultan Haji Muhammad II Muazzam Shah |
Pengganti | Sultan Ali Shah |
Pasangan | Tengku Ampuan Mariam |
Ayahanda | Sultan Haji Zainal Abidin III Mu’azzam Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad |
Bonda | Cik Aisha binti Ismail |
Keputeraan | Istana Maziah, Kuala Terengganu, Terengganu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malaya British | 1 Disember 1895
Kemangkatan | 25 September 1942 46) Istana Timur, Padang Sri Negara, Malaya British | (umur
Agama | Islam |
Baginda dilantik menjadi Sultan Terengganu ke-13 walaupun pada mulanya baginda menolak.[1]
Baginda menggantikan kekandanya, Sultan Haji Muhammad II Muazzam Shah yang mengundurkan diri pada bulan Mei 1920 kerana tidak menyenangi campur tangan British dalam hal ehwal pentadbiran negeri.[2]
Istiadat dan keramaian menyambut keputeraan dan pertabalan baginda bermula pada Selasa 14 Jamadil Akhir 1339H bersamaan 22 Februari 1921 selama 10 hari. Ia bermula dengan menaikkan bendera diraja di atas Bukit Puteri dari jam 6.00 pagi ke 6.00 petang. Pada 23 Jamadil Akhir 1339H bersamaan 3 Mac 1921, berlangsung ucapan tahniah dan taat setia dipersembahkan oleh Menteri Besar bagi pihak Jemaah Menteri dan Pegawai Kerajaan. Pada pukul 4.30 petang dijalankan istiadat meletak kerja bagi istiadat pertabalan sultan dengan tembakan meriam sebanyak 17 das, disambut dengan paluan gamelan dan bunyi-bunyian sehingga jam 5.15 petang disertai dengan paluan Nobat dan tembakan meriam 17 das sekali lagi.
Sempena pertabalan ini, dua jenis loket emas telah dikeluarkan. Kedua-duanya sebelah menyebelah tertulis huruf jawi “Yang Maha Mulia Al-Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Yang Pertama” dan diebelah muka lagi tertulis “Selamat Tabal dan Kemahkotaan Kerajaan Terengganu 23.6.39”.[1]
Penasihat British di Trengganu iaitu J.L. Humphreys yang menjalinkan hubungan rapat dengan Sultan Sulaiman serta para pembesar lain membolehkan Penasihat British tersebut melakukan pelbagai perubahan dalam pentadbiran negeri.[3] Ini termasuklah pemansuhan peranan Syaikhul Ulama dalam menasihati Sultan dalam pentadbiran negeri, digantikan dengan Syaikhul Islam yang hanya dalam hal ehwal agama dan adat istiadat sahaja. Urusan pentadbiran negeri terutama yang membawa keuntungan material ditadbir oleh pihak British.
Pada zaman bagindalah bermulanya penentangan secara terbuka terhadap British. Gerakan ini terus merebak hingga mencetuskan beberapa pertembungan, misalnya pada 1922 serta 1925 dan yang terakhir di Padang Kacong pada 23 Mei 1928.[2]
Pada Mei 23 1928, terjadinya pertempuran antara pihak pentadbiran negeri dengan penentang kuasa British. Penentang-penentang tersebut diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Antara sebab berlakunya penentangan adalah kerana tidak puas hati rakyat terhadap kuasa British dan kerajaan kerana mengenakan cukai hasil, dan British sebagai pendatang tiada hak untuk mengutip cukai di Tanah Melayu, selain dihalang membuka tanah dan memotong pokok tanpa izin.[4]
Pertempuran tersebut berakhir dengan kekalahan pihak penentang, dan pemimpin-pemimpin gerakan penentangan tersebut dibacarakan di Istana Maziah dan dihukum penjara selama 5 hingga 15 tahun. Manakala Haji Abdul Rahman Limbong diperintahkan oleh Sultan Sulaiman agar keluar dari negeri Terengganu dan hidup di Mekah. Atas ehsan baginda Sultan Sulaiman, pemimpin-pemimpin gerakan yang lain dibebaskan dua tahun kemudian. Manakala Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia selepas satu setengah tahun di Mekah.[4]
Baginda mangkat pada pukul 5.00 petang hari Jumaat 24 September 1942M bersamaan 14 Ramadhan 1341H di istana Timur Padang Negara. Baginda gering akibat demam dan bisul beberapa hari sahaja. Baginda dimakamkan keesokan harinya di dalam kubah Masjid Abidin.[1]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.