Simanggang merupakan sebuah bandar yang terletak di daerah Sri Aman, Bahagian Sri Aman, Sarawak, Malaysia. Simanggang juga merupakan pusat pentadbiran bagi Bahagian Sri Aman dan daerah Sri Aman. Bandar ini berada di tebing Batang Lupar dan terletak sejauh 193 kilometer atau tiga jam perjalanan dari Kuching, ibu negeri Sarawak.
Simanggang سيمڠڬڠ | |
---|---|
Bandar | |
Nama panggilan: Bandar Benak | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Sarawak |
Bahagian | Sri Aman |
Daerah | Sri Aman |
Pentadbiran | |
• Pentadbiran | Majlis Daerah Sri Aman |
• Walikota | Anthony Abell Chendan |
• Jumlah ahli | 62 orang |
Keluasan | |
• Jumlah | 3,845.7 km2 (1,484.8 batu persegi) |
Penduduk (2023[1]) | |
• Jumlah | 133,452 |
• Kepadatan | 35/km2 (90/batu persegi) |
Poskod | 95xxx |
Kawalan Kod Panggilan Antarabangsa | +6083 (Talian tetap) |
Laman sesawang | Laman web rasmi MDSA |
Simanggang terkenal dengan benak iaitu fenomena bena yang terjadi di Batang Lupar. Bena tersebut tiba dari muara dan terus memenuhi sungai dengan sangat cepat iaitu dalam 10 minit. Fenomena ini hanya terjadi di 48 sungai dan muara di seluruh dunia. Namun, fenomena bena di Simanggang ini hanya satu-satunya di dunia yang terjadi setiap hari.
Bandar ini pernah diubah namanya kepada Sri Aman pada tahun 1974, namun diubah semula kepada Simanggang pada 25 Oktober 2019.[2]
Pentadbiran
Bandar Simanggang berada di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Sri Aman yang juga merupakan sebahagian daripada pentadbiran Bahagian Sri Aman. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir bandar ini pula ialah Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).
Simanggang juga telah dimasukkan dalam prospek utama pembangunan perbandaran mampan Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA).
Ekonomi
Simanggang pada mulanya amat mengutamakan sepenuhnya aspek pembangunan berasakan agrikultur dan pertanian moden. Ini kerana Simanggang adalah pusat perdagangan berasaskan padi beras, kelapa sawit, getah, dan lada hitam. Meskipun kawasan daerah Simanggang banyak mengalami perubahan pembangunan yang pesat dan moden, namun kegiatan berasaskan pertanian masih menjadi keutamaan bagi masyarakat setempat di Simanggang.
Menurut satu tinjauan umum yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian Sarawak pada tahun 2022, dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada majoriti masyarakat di kawasan daerah Simanggang tetap memilih sektor pertanian sebagai keutamaan penduduk, manakala 32 peratus penduduk di daerah Simanggang adalah bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan awam dan swasta.
Daerah Simanggang kini dipilih sebagai salah satu lokasi tumpuan untuk pembangunan menyeluruh projek pengangkutan Transit Aliran Autonomi (ART) di bawah inisiatif Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS). Ini kerana lokasi daerah Simanggang amat signifikan dengan dua kawasan bahagian berhampiran, iaitu Bahagian Samarahan dan Bahagian Serian.
Demografi
Populasi penduduk
Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2023, jumlah populasi penduduk dalam kawasan daerah Simanggang adalah seramai 133,452 orang penduduk. Masyarakat etnik Iban mencatatkan jumlah penduduk yang sangat banyak di kawasan daerah Simanggang iaitu dengan jumlah sebanyak 98,795 orang penduduk.
Kubu
Kubu James[3]
Setelah berakhirnya Perang Beting Marao, Raja Putih kedua Sarawak, Charles Anthoni Brooke pada masa itu telah mengarahkan sebuah kubu dibina di Skrang. Arahan ini bertujuan untuk memusatkan pentadbiran Brooke di wilayah Skrang pada masa itu dan bagi memerhati pergerakan kaum Iban Skrang yang sering memberontak. Sekitar tahun 1849, sebuah kubu yang dinamakan Fort James atau Kubu James telah dibina. Nama kubu tersebut diambil sempena nama Rajah Pertama Sarawak iaitu Rajah James Brooke.
Antara peristiwa yang telah berlaku di Kubu James sepanjang operasinya ialah sebuah mesyuarat penting yang berlaku sekitar tahun 1863. Setelah memenangi Ekspedisi Kayan, Charles Brooke telah mengadakan mesyuarat dengan kesemua pemimpin Iban Skrang yang membantunya di dalam ekspedisi tersebut seperti Orang Kaya Pemancha Nanang dan pengikutnya. Sebagai tanda penghargaan kepada Orang Kaya Pemancha Nanang, 400 buah tajau milik kepada pengikut Iban Skrang telah dipulangkan semula. Persetujuan untuk menerima beberapa peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Raja Putih itu juga telah dicapai. Antara peraturannya ialah:
- Kesemua urusniaga yang melibatkan timbangan hendaklah menggunakan chupak, gantang serta menggunakan timbangan dacing dan ukuran ela.
- Duda atau Janda yang kematian pasangan mereka dibolehkan untuk berkahwin semula 6 bulan selepas kematian pasangan masing-masing.
- Tempoh berkabung (adat Ulit) hanya dibenarkan selama 3 bulan sahaja.
- Penggunaan tanda ulit (tanda berkabung) yang diletakkan di rumah panjang yang kematian komunitinya tidak digunakan lagi.
Pada tahun 1864, Kubu James tidak dapat bertahan lama kerana dibina di atas tanah rendah dan berlaku hakisan tanah di Nanga Skrang, lalu menyebabkan keruntuhan kubu ini.
Kubu Alice
Kubu Alice telah dibina oleh Rajah Charles Brooke pada tahun 1864, setelah berjaya menewaskan Rentap dalm peperangan tahun 1861[4]. Fungsi utama kubu ini adalah sebagai pusat pentadbiran selain menjadi benteng pertahanan bagi mengekalkan keamanan di Sungai Batang Lupar. Kubu ini juga berperanan sebagai mahkamah rakyat dan mempunyai penjara di tingkat bawah. Pembinaannya mengambil masa kira-kira 12 bulan dan merupakan keringat orang tempatan sendiri. Semua perbelanjaan dibiayai oleh Charles Brooke. Lokasinya terletak di atas bukit berhampiran tebing Sungai Batang Lupar.[5]
Kubu ini berukuran 67 meter panjang dan 60 meter lebar, berbentuk segi empat, mempunyai dua tingkat serta dicat berwarna putih. Bahan utama struktur kubu ini yang dibawa dari muara Sungai Batang Skrang adalah daripada kayu belian. Terdapat sebuah tanah lapang yang menghadap Sungai Batang Lupar di bahagian belakang bangunan. Di bahagian kiri dan kanan bangunan pula, terdapat menara yang tinggi manakala di sekeliling kubu, terdapat meriam-meriam besar bagi mempertahankan kubu. Pada mulanya, kubu ini tidak mempunyai nama sehinggalah pada tahun 1870, ketika isteri Rajah Charles Brooke, Ranee Margaret Alice berkunjung ke Simanggang dan mengilhamkan namanya menjadi Kubu Alice.
Antara sebab Kubu Alice didirikan di Simanggang adalah bagi mengawal pergerakan suku kaum tempatan yang mendiami persisiran Sungai Skrang dan Batang Ai. Sepanjang pemerintahan Brooke, banyak ekspedisi-ekspedisi telah dilancarkan daripada Kubu Alice. Antara ekspedisi yang telah dilancarkan adalah:[Source]
- Ekspedisi Ulu Ai Pertama – Oktober 1875
- Ekspedisi Ulu Ai Kedua – Disember 1875
- Ekspedisi Kolera Deluk – Jun 1902
- Ekspedisi Menyebat dan Engkari – Oktober 1902
- Ekspedisi Ulu Ai Pau – November 1902
- Ekspedisi Menentang Delok – September 1908
- Ekspedisi Ke Delok dan Jengin – November 1915
Kemenangan berpihak kepada Rajah Brooke dalam kesemua ekspedisi-ekspedisi yang telah dilancarkan bagi memastikan kestabilan Negara Sarawak pada masa itu.
Pada 10 Februari 1971, Kubu Alice telah diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah[6]. Setelah berada dalam keadaan terbiar untuk tempoh yang lama, pada Mei 2013, kerajaan Negeri Sarawak melalui Jabatan Muzium Sarawak telah memulakan proses pembinaan semula Kubu Alice. Kos pembinaan semula Kubu Alice ini adalah sebanyak RM 5 juta. 72 tahun selepas menutup pintunya, pada 18 April 2015 Kubu Alice dibuka semula kepada umum sebagai pusat pengumpulan peradaban dan sejarah bahagian kedua Sri Aman. Kini, Kubu Alice juga dikenali sebagai Muzium Warisan Sri Aman.[7]
Ringkasan sejarah perkembangan Kubu Alice:
Tahun | Peristiwa |
---|---|
1864 | Kubu Alice mula dibina oleh Charles Brooke. Nama kubu Alice diambil sempena nama isterinya, Ranee Margaret Alice Brooke. |
1865-1941 | Kubu Alice digunakan sebagai pusat pentadbiran, mahkamah rakyat, kubu pertahanan dan penjara. |
1941-1945 | Serangan Jepun ke atas Sarawak menyebabkan Kubu Alice ditutup. |
1945-2013 | Kubu Alice di biarkan tanpa sebarang pengurusan khusus dan semakin usang dimamah zaman. |
2013 | Proses pembinaan semula di bawah seliaan Jabatan Muzium Sarawak dimulakan. Kos pembinaan semula menelan belanja sebanyak RM5 juta. |
2015 | Kubu Alice dibuka semula kepada umum sebagai Muzium Warisan Sri Aman. |
Tarikan
Mercu Tanda
Tugu Burung Merpati merupakan salah satu daripada mercu tanda Simanggang. Ia dibina pada awal tahun 1990-an di mana struktur utamanya membentuk dua ekor burung merpati putih. Burung merpati yang sering dikaitkan dengan keamanan dijadikan simbol tugu tersebut sebagai peringatan peristiwa bersejarah Deklarasi Sri Aman[8]. Lokasi tugu tersebut yang terletak tidak jauh dari bulatan utama menuju pusat bandar merupakan tempat berlakunya peristiwa bersejarah itu diadakan.
Tokong Tze Yin Khor yang telah dibina pada kurun ke-19, merupakan tokong cina tertua di Simanggang. Kedudukannya terletak di tebing Sungai Batang Lupar, di jalan Sim Kim. Tokong ini amat unik kerana mempunyai bumbung berwarna hijau berbanding warna merah yang selalu digunakan dalam pembinaan tokong cina[9]. Lokasi pembinaan tokong ini adalah berdasarkan kawasan fengshui ketam hidup. Oleh itu, pemilihan warna hijau untuk bumbung tokong adalah dipercayai mengelakkan ketam "dimasak" lalu mati.
Gereja Katolik Mount Hosanna atau bahasa Inggerisnya Mount Hosanna Catholic Church mempunyai gaya seni bina yang sangat menarik dan unik. Bangunan gereja ini melambangkan tiga lilin putih yang besar. Terdapat 100 anak tangga tang dinamakan Tangga Jacob (Jacob's Ladder) untuk menuju ke gereja yang terletak di puncak bukit. Gereja ini terletak di KM157 Jalan Kuching-Sri Aman. Pembinaan gereja unik ini diusahakan oleh Father Richard Khoo[10], iaitu salah seorang daripada pemimpin agama Kristian Roman Katolik yang tersohor di Sarawak. Gereja ini dibina suatu waktu dahulu atas jerit perih dan sumbangan penganut agama Kristian di Sri Aman pada masa itu. Gereja ini terkenal di kalangan penduduk Kristian kerana setiap hari Ahad akan diadakan upacara Healing bermula jam 10.00 pagi.[11]
Tarikan Lain
Taman Panorama Benak merupakan kawasan strategik bagi menyaksikan fenomena benak di sungai Batang Lupar. Taman ini terletak bertentangan dengan Pejabat Residen Sri Aman.
Wong Tapang Rumput Gua merupakan sebuah kawasan rekreasi yang sesuai untuk aktiviti seperti berkelah. Lokasinya terletak di Jalan Sri Aman-Kuching dan 1.5km dari Kampung Gua. Kawasan ini diusulkan oleh Tuai Rumah Milu pada tahun 1998, dan diberi peruntukan oleh Majlis Daerah Sri Aman. Mata air jernih di sini mengalir dari Banjaran Kelingkang yang merupakan banjaran terpanjang di Borneo dan juga merupakan sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia.
Rujukan
Wikiwand in your browser!
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.