From Wikipedia, the free encyclopedia
Sistem Intensifikasi Padi (Inggeris: System of Rice Intensification, SRI) ialah satu kaedah penanaman padi yang digunakan untuk meningkatkan hasil padi.[1][2] Sistem ini telah diasaskan pada tahun 1983 oleh seorang paderi dari Perancis bernama Henri de Laulanie di Madagascar.[3] Walau bagaimanapun, ujian penuh bagi sistem ini hanya berlaku beberapa tahun kemudian.[4] Produktiviti hasil dari SRI masih menjadi perdebatan diantara penyokong dengan pengkritik sistem ini.
Idea penggunaan sistem ini bermula seawal tahun 1960-an apabila Father Henri de Laulanie membuat pemerhatian kepada amalan petani yang menanam hanya satu anak pokok padi berbanding amalan biasa menanam banyak anak benih di dalam satu lubang dan tidak membiarkan sawah dipenuhi air (cukup sekadar berada dalam peringkat separa tepu) ketika peringkat fasa tampang. Penanaman dilakukan dengan jarak yang luas di dalam bentuk tersusun seperti kotak. Pada ketika itu, penanaman padi secara mengubah dilakukan oleh petani secara manual.
Pada tahun 1983, kaedah menanam secara mengubah menggunakan anak benih yang berusia kurang dari 15 hari didapati menunjukkan hasil yang sangat baik. Ketika harga baja melonjak naik pada ketika itu, penggunaan baja organik sangat meluas tetapi dapat memberikan hasil yang lebih baik berbanding dengan penggunaan baja kimia. Konsep dan amalan SRI terus menerus dievolusikan bagi penggunaan di dalam penanaman padi tanpa sistem pengairan (tanaman padi yang bergantung kepada hujan) dan pada ketika itu kaedah menanam secara mengubah amat popular berbanding tabur terus.
Prinsip yang perlu di dalam penggunaan sistem SRI bagi menjamin hasil yang berkesan:[5][6]
Prinsip ini sekaligus mengubah amalan konvensional di dalam pengurusan pokok, tanah, air dan nutrien. Perubahan ini dapat meningkatkan fenotaip yang lebih produktif bagi sebarang genotaip padi, dengan sesetengah varieti memberi respon yang lebih baik dari yang lain apabila kaedah SRI digunakan. Sistem ini dapat meningkatkan hasil padi, mengurangkan keperluan benih dan mengurangkan keperluan air 25 hingga 50 peratus.[7][8][9] Baja kimia dan racun kimia boleh digunakan, tetapi hasil terbaik diperolehi tanpa menggunakan input kimia yang dibeli.
Penyebaran SRI dari Madagascar ke seluruh dunia telah dilakukan oleh Prof. Dr. Norman Uphoff, Pengarah Institut Antarabangsa bagi Makanan, Pertanian dan Pembangunan, Universiti Cornell yang terletak di Ithaca, New York. Beliau memulakan usaha ini sejak tahun 1993 hingga 2005. Dalam tahun 1993, beliau telah menemui pegawai dari Association Tefy Saina, sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan di Madagascar pada tahun 1990 oleh de Laulanie bagi mempromosikan SRI. Setelah melihat kejayaan SRI selama 3 tahun di mana petani di Madagascar dapat meningkatkan hasil padi purata mereka dari 2 tan/ha kepada 8 tan/ha dengan SRI, Uphoff mengiktiraf sistem ini dan pada tahun 1997 beliau mula mempromosikan SRI di Asia. Sehingga 2010, SRI telah didokumenkan oleh 40 negara, dan yang terkini termasuklah Bhutan, Iraq, Iran dan Zambia.[10] Kerajaan di negara China, India dan Indonesia menggalakkan penggunaan SRI dengan mengembangkan sistem ini di kalangan petani. Konsep dan amalan SRI bukan sahaja diaplikasikan di sawah padi, tetapi juga tanaman lain seperti di India, konsep ini turut digunakan dalam tanaman gandum dan tebu.
Universiti Cornell (New York), Universiti Wageningen (Belanda) dan IRRI telah bekerjasama bagi menjalankan satu kajian percubaan di seluruh dunia bagi penggunaan SRI untuk tanaman padi bermula pada tahun 2009 hingga 2011.[11]
Pada tahun 2008, Prof. Dr. Norman Uphoff telah menjemput kumpulan profesional untuk berbincang mengenai SRI bersama-sama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MARDI, Universiti Kebangsaan Malaysia dan pihak-pihak yang berminat bagi membawa momentum kepada sektor industri padi. Daripada perbincangan itu, Dr. Anizan Isahak (UKM) mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan penyelidik dari UKM yang dinamakan "SRI-PADI" bagi membuat penyelidikan mengenai padi SRI.[12]
Sejak 2009, banyak percubaan SRI telah dijalankan. Percubaan SRI pertama dijalankan oleh Dr. Anizan di Selangor dekat Beranang menunjukkan hasil padi yang membanggakan kira-kira 7 dan 5 tan/ha bagi varieti padi MR219 dan UKMR2 manakala percubaan di Tanjung Karang cuma memberi hasil sekitar 4 tan/ha bagi kedua-dua varieti. Padi SRI turut ditanam di kawasan Tunjong, Kelantan dimana Pak Aep menjalankan inisiatif menanam padi SRI secara organik.
Pada tahun 2010, Puan Noorazimah Taharim memulakan usaha mengembangkan tanaman padi SRI di Sungai Leman berdekatan dengan Sekinchan.[13]
Persidangan Kebangsaan Pertama Padi SRI telah diadakan pada 5 dan 6 Julai 2011 di Putrajaya.[14] Persidangan Kebangsaan Kedua Padi SRI telah diadakan pada 11 hingga 13 Jun 2013 di Lumut, Perak.
Pada tahun 2013 hingga 2014, SRI telah dikembangkan ke Sik dan Baling di Kedah, Tumpat dan Jembal di Kelantan, Manir di Terengganu dan Ledang di Johor.
Beberapa laporan kejayaan SRI telah direkodkan di Kerala dan Andra Pradesh, India.[15] Program ini juga menunjukkan kejayaan di wilayah Nellanad Gramapanchayat di Thiruvananthapuram. Di wilayah Bihar, padi SRI mencatat rekod dunia dengan hasil 22.4 tan sehektar.[16][17]
Terdapat beberapa kritikan diberikan pada SRI.[18][19] Di kala penyokong SRI melaporkan banyak kelebihan sistem ini kerana peningkatan hasil -- kerintangan kepada penyakit dan perosak, kerintangan terhadap tekanan abiotik seperti kemarau dan ribut, penambahan output (dalam kg), mengurangkan pencemaran tanah dan sumber air -- kritik memfokuskan kepada hasil yang dikatakan meningkat tinggi kerana "tiada rekod yang disimpan dengan baik dan pemikiran tidak saintifik". Sesetengah kritikan juga menyatakan bahawa Madagascar dikatakan mempunyai tanah yang unik dan sesuai bagi penggunaan sistem ini tetapi disanggah oleh penyokong sistem ini.[20][21]
Pengkritik turut menyatakan kekurangan keterangan di dalam kaedah yang digunakan semasa percubaan sistem ini dan kurangnya penerbitan artikel serta kajian ilmiah. Setelah beberapa kritikan muncul, saintis mula menerbitkan pelbagai bahan kajian berkenaan SRI dan mula menjalankan percubaan SRI secara lebih meluas.
Di bawah merupakan galeri gambar daripada Puan Noorazimah Taharim bagi tanaman padi SRI yang diusahakan di Sungai Leman berdekatan Sekinchan, Selangor.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.