Remove ads
golongan yang mengikuti manhaj salafussoleh From Wikipedia, the free encyclopedia
Salafi (Bahasa Arab: سلفي) adalah gerakan Kebangkitan Islam [1][2][3][4] yang dibentuk sebagai gerakan sosio-agama pada akhir abad ke-19 dan tetap berpengaruh di dunia Islam selama lebih daripada satu abad. Nama ini diambil daripada anjuran untuk kembali kepada kefahaman leluhur (Salaf), iaitu tiga generasi awal Muslim yang mengetahui ajaran Islam yang murni tanpa tambahan dan pengurangan. Generasi-generasi tersebut termasuklah Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat nabi yang diajarnya sendiri (para Sahabat), pengganti mereka (Tabi'in), dan pengganti kepada pengganti (Tabi'ut tabi'in). Secara praktikal, Salafi berpendapat bahawa umat Islam harus bergantung kepada Al-Quran, Sunnah dan Ijmak (kesepakatan) para ulama salaf, memberikan mereka keutamaan atas tafsiran agama oleh orang kemudiannya. Gerakan ini bertujuan untuk memperbaharui kehidupan Muslim dan ia telah memberikan pengaruh besar pada ramai pemikir dan gerakan Muslim di seluruh Dunia Islam. Sejak awal, Salafisme telah berkembang melalui usaha pelbagai reformis Islam, yang aktivitinya tersebar di pelbagai wilayah.
Istilah Salafi dibuat oleh Ibnu Taimiyah pada abad ke-8 Hijrah, dan dipopularkan oleh pengikut Muhammad bin Abdul Wahhab. Istilah ini di wilayah Najd pada abad ke-12 H, yang menjadikan Salafi sebagai sebuah gerakan reformasi yang didirikan oleh salah seorang perwakilan paling terkemuka di era moden.[5][6]
Doktrin Salafi berasaskan kepada melihat kembali pada zaman awal Islam untuk memahami cara umat Islam kontemporari harus mengamalkan iman mereka.[7]Salafi menolak inovasi agama atau bid'ah dan menyokong penerapan syariat (hukum Islam).[8] Dalam pendekatannya terhadap politik, gerakan Salafiyah kadangkala dibahagikan oleh ahli akademik dan jurnalis Barat kepada tiga kategori: kelompok terbesar adalah kaum konservatif (atau pendiam), yang menghindari politik; kelompok terbesar kedua adalah para aktivis, yang mempertahankan keterlibatan secara berkala dalam politik; dan kelompok ketiga adalah para jihadis, yang membentuk minoriti dan menganjurkan perjuangan bersenjata untuk memulihkan gerakan Islam awal.[8] Dalam isu hukum, Muslim Salafi terbahagi antara mereka yang menganjurkan penilaian hukum bebas (ijtihad) dan menolak kepatuhan ketat (taklid) kepada empat mazhab hukum Sunni, serta mereka yang tetap setia kepada mazhab-mazhab ini, terutamanya para ulama Saudi, yang tidak mengikuti mazhab tertentu.[9]
Di era kini, Salafisme merujuk kepada sekumpulan gerakan pembaharuan dan reformasi Sunni yang berbeza dan tetap menjadi tren signifikan dalam pemikiran Islam selama lebih dari satu abad.[10][11] Salafiyah kontemporari terbentuk sebagai gerakan tajdid (revivalis) di seluruh Dunia Muslim pada akhir abad ke-19 dalam konteks Imperialisme Eropah.[12][13]
Kata salafiyah diambil dari kata Salaf yang merupakan kependekan dari Salaf al-Ṣhāliḥ (Bahasa Arab: السلف الصالح), yang membawa maksud "pendahulu yang soleh". Dalam terminologi Islam secara umum, istilah ini digunakan untuk merujuk kepada tiga generasi terbaik umat Muslim iaitu sahabat, tabi'in, dan tabi'ut tabi'in. Ketiga generasi ini dianggap sebagai contoh terbaik dalam menjalankan syariat Islam.[14][15][16]
Kata Salafi sering dikaitkan dengan Wahhabisme, sehingga kedua istilah ini sering dipandang sebagai sinonim. Walhal, terdapat golongan Salafi yang tidak berkait dengan Muhammad bin Abdul Wahhab pun seperti di Mesir. Biasanya, pengikut gerakan salafi menggambarkan diri mereka sebagai Muwahidin, Ahlul Hadith[17], Ahlul Athar (Bahasa Arab:أهل الأثر) atau Ahlu Tauhid[18].
Asas ajaran ideologi Salafi adalah bahawa Islam telah sempurna dan selesai pada zaman Nabi Muhammad dan para sahabatnya. Oleh itu, tidak dibenarkan adanya inovasi, tambahan, atau pengurangan dalam syariat Islam kerana pengaruh adat dan budaya. Pemahaman ideologi Salafi berusaha untuk menghidupkan semula amalan Islam yang sesuai dengan cara agama Nabi Muhammad ketika pertama kali berdakwah.[19]
Salafisme juga telah digambarkan sebagai sebuah versi yang murni dan tulen dari Islam. Pengikutnya mengikuti beberapa perintah dan amalan yang hanya sesuai dengan petunjuk Nabi Muhammad.[20]
Pada zaman moden, istilah Salafi mempunyai dua definisi yang kadang-kadang berbeza. Yang pertama, digunakan oleh akademik dan sejarawan, merujuk kepada "aliran pemikiran yang muncul pada separuh kedua abad ke-19 sebagai reaksi terhadap penyebaran idea-idea dari Eropah", dan "orang-orang yang cuba memurnikan semula ajaran yang telah dibawa oleh Nabi Islam serta menjauhi pelbagai bentuk bid'ah, khurafat, dan syirik dalam agama Islam".[21]
Penggunaan "yang cukup berbeza" kedua yang lebih disenangi oleh para Salafi kontemporari secara sepihak, mendefinisikan seorang Salafi sebagai Muslim yang mengikuti "perintah kitab suci secara literal dan tradisional" dan bukannya "penafsiran yang tampak tidak terhad" dari "Salafi" awal. Para Salafi ini melihat kepada Ibnu Taimiyah, bukannya kepada tokoh abad ke-19 seperti Muhammad Abduh, Jamaluddin al-Afghani, dan Rashid Rida.[21]
Salafi adalah gerakan pembaharuan agama dan sosial yang pertama, dan banyak terlibat dalam menciptakan serta membentuk bentuk autoriti dan identiti tertentu, baik secara peribadi mahupun komuniti. Mereka mendefinisikan projek reformis mereka terutama melalui prinsip-prinsip akidah. Yang lebih penting lagi, metodologi mereka yang dikenali sebagai manhaj salaf adalah sekumpulan hukum serta bentuk sosial-politik.[22]
Dakwah Salafi adalah manhaj, bukan mazhab fiqh, sebagaimana yang sering dianggap oleh masyarakat umum. Salafi boleh berasal dari mazhab Maliki, Syafii, Hanbali[23], Hanafi, atau Zhahiri. Dari segi akidah, Salafi banyak merujuk kepada pemikiran dari mazhab Hanbali. Pengikut-pengikut manhaj ini menganggap diri mereka sebagai Ahli Sunah Waljamaah dan juga Ahli Hadith[24]. Gerakan ini juga menganut teologi tradisionalis, iaitu mazhab akidah Athariyah[25].
Salafi sangat menekankan amalan yang sesuai dengan hadith-hadith sahih dan hasan Nabi Muhammad, bukan hanya dalam ibadah mahdah seperti solat, tetapi juga dalam ibadah gairu mahdah, serta setiap aktiviti dalam kehidupan sehari-hari. Contohnya, mereka sering menggunakan tiga jari ketika makan, minum air dalam tiga tegukan, dan memegangnya dengan tangan kanan sambil duduk.[26]
Pemikiran Salafi mencari penyesuaian semula fiqh (perundangan Islam) jauh dari taklid (ketaatan pada preseden hukum mazhab tertentu) dan terus langsung kembali kepada Nabi, para sahabatnya, dan salafussoleh. Pengembalian yang lebih disukai kepada jalan murni Nabi disebut ittiba' (mengikuti Nabi dengan langsung merujuk kepada Kitab Suci).[27] Dalam pendekatan hukum, Salafi terbahagi antara mereka yang, atas nama penilaian hukum bebas (ijtihad), menolak kepatuhan yang ketat (taklid) terhadap empat mazhab dan yang lain yang tetap setia kepada mazhab-mazhab ini.[9][28][29]
Meskipun Muhammad bin Abdul Wahhab secara peribadi menolak praktik Taklid, ulama Salafi lebih memilih mengikuti mazhab Hanbali dan umumnya mengizinkan Taklid mengikuti fatwa (pendapat hukum) dan mendorong mengikuti mazhab.[30] Walaupun dalam manhaj mereka menolak Taklid dan menganjurkan Ijtihad, dari segi sejarah praktik hukum Salafisme sebahagian besar berdasarkan dalam batas-batas mazhab Hanbali sehingga kini. Penolakan doktrin Taklid oleh Salafi menyebabkan kemunculan ulama Salafisme terkemuka seperti Sa'ad bin Atiq, Abdurrahman bin Nashir as-Sa'di, Ibnu Utsaimin, Ibnu Baz, dan lain-lain; yang menyimpang secara signifikan daripada hukum fiqh Hanbali.[9][31][32][33][34]
Gerakan Salafi lainnya, bagaimanapun, percaya bahawa taklid adalah melanggar hukum dan mencabar autoriti mazhab. Dalam perspektif mereka, sejak mazhab muncul setelah era Salafussoleh (pendahulu yang soleh); orang-orang Muslim yang mengikuti mazhab tanpa langsung mencari dalil-dalil Kitab Suci akan menyimpang.[35][36] Ini termasuk ulama gerakan Ahlul Hadith seperti Muhammad Nasiruddin al-Albani, Muḥammad Ḥayāt al-Sindzī, Ibnu Amir al-Ṣanʿānī, asy-Syaukānī, dan yang lainnya; yang sama sekali mengutuk taklid (peniruan), menolak autoriti mazhab, dan mewajibkan umat Islam untuk mencari fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama yang hanya berdasarkan Al-Qur'an dan Hadith tanpa melibatkan perantara.[32][37][38] Ulama Ahlul Hadith akan membezakan diri mereka daripada Salafi yang mengikuti mazhab Hanbali sementara mereka menganggap diri mereka tidak mengikuti mazhab tertentu. Di era kontemporari, Al-Albani dan murid-muridnya, khususnya, akan langsung mengkritik Salafi dalam masalah taklid kerana kecenderungan mereka terhadap mazhab Hanbali dan menyerukan pemulihan Salafisme yang dimurnikan dari unsur-unsur yang bertentangan dengan doktrin Salaf.[39]
Ulama Salafi lain seperti Rasyid Ridha mengikuti jalan tengah, membenarkan orang awam untuk melakukan Taklid hanya jika perlu, dan mewajibkan mereka untuk melakukan Ittiba apabila bukti-bukti Kitab Suci diketahui. Metodologi hukum mereka menolak keberpihakan kepada risalah mazhab tertentu dan merujuk kepada kitab-kitab dari semua mazhab. Mengikuti Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim, para ulama ini menerima warisan sastera yang kaya dari Fikah Sunni dan menganggap penulisan dari empat mazhab Sunni sebagai sumber yang berguna untuk mengeluarkan keputusan bagi era kontemporari.[37][40][41]
Salafi kontemporari umumnya menolak amalan mengikuti aturan yang mapan dari setiap mazhab tertentu, mengutuk prinsip Taklid (peniruan buta) sebagai bid'ah (inovasi), dan secara signifikan dipengaruhi oleh prinsip-prinsip hukum mazhab, yang dari segi sejarah berkaitan dengan doktrin anti-mazhab yang menentang pengiktirafan mazhab hukum. Kecaman ulama Zahiri awal, Ibnu Hazm, terhadap Taklid dan seruan untuk membebaskan diri daripada sistem penafsiran dari pelbagai aliran yang diiktiraf dengan menyokong Fikah yang langsung berdasarkan Al-Qur'an dan Hadith; telah memberikan kesan besar kepada gerakan Salafiah.[32][42] Kekakuan hukum Salafi sering kali ditandakan dengan penyimpangannya dari aturan yang mapan (mu'tamad) dari empat mazhab Sunni, serta sering selaras dengan pandangan Zahir yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam ringkasan hukumnya, Al-Muhalla.[32][43][44]
Pendukung mazhab Athariyah pada zaman moden banyak yang berasal dari kelompok ini; mereka menjunjung tinggi karya-karya tokoh Athariyah dari Ibnu Taimiyyah.[45] Ibnu Taimiyyah merupakan sosok ulama yang sering diperdebatkan dan bahkan ditentang, serta menjadi ulama yang sangat dihormati di kalangan pengikut gerakan Salafi dan sering digelari Syaikhul-Islam. Tokoh penting lainnya termasuk ulama besar yang berpengaruh dalam sejarah Islam, seperti Ahmad bin Hanbal.[46]
Pengikut gerakan Salafi menganggap sumber hukum utama Islam, Al-Qur'an dan Sunnah, sudah cukup jelas, dan sering menolak penggunaan penafsiran serta akal fikir manusia.[47] Salafi lebih mengutamakan pelaksanaan praktikal daripada perdebatan makna, kerana hal tersebut dianggap jelas atau berada di luar rasional manusia. Mereka menganggap bahawa mengikuti teologi ilmu kalam, walaupun terbukti benar sekalipun, adalah dilarang.[48] Athariah mentafsirkan Al-Qur'an dan hadith secara literal dan tanpa konteks, serta hanya menerima pemaknaan yang sudah dianggap jelas dalam hal akidah. Hal ini berbeza dengan penganut takwil (penafsiran metaforis); pengikut Salafi tidak menafsirkan makna Al-Qur'an secara rasional dan percaya bahawa makna sebenarnya harus diserahkan kepada Allah sahaja.[49] Secara penafsiran, Salafi berbeza dari non-Salafi dalam beberapa aspek.[50]
Ibnu Taimiyyah dikenali kerana menulis beberapa tentangan terhadap firkah-firkah dan mazhab akidah Islam lainnya seperti Sufi, Jahmiyah, Asy'ariyah, Syiah, Falsafah, dan lain-lain, melalui fatwa-fatwanya.[51] Untuk menjelaskan pendekatan teologi Salafiah, Ibnu Taimiyyah mengeluarkan fatwa:
"Manhaj Salaf adalah mentafsirkan secara literal ayat-ayat Al-Qur'an dan hadith-hadith yang berhubungan dengan sifat-sifat Ilahi [ijra' ayat aṣ-ṣifat wa ahadiṡ aṣ-ṣifat 'ala ẓahiriha], dan tanpa menyerupakan-Nya dengan makhluk [ma' nafi al-kaifiyyah wat-tasybih]."
— Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, juz 5, hlm. 152, [51]
Banyak sistem kepercayaan yang berkaitan dengan dunia spiritual yang diamalkan oleh umat Islam di beberapa tempat dan wilayah, dianggap syirik oleh pengikut Salafi. Pengikut gerakan Salafi menganggap sejumlah amalan yang berkaitan dengan jin atau roh wali dan orang-orang soleh sebagai bid'ah dan syirik.[52][53][54]
Para pengikut Salafi banyak mengikuti ajaran-ajaran dari Ibnu Taimiyyah, terutama dalam masalah teologi dan spiritual. Ajaran-ajaran Ibnu Taimiyyah banyak memberi pengaruh kepada Salafisme, Ahli Hadith, dan gerakan Salafi yang lain. Menurut doktrin monoteistik Ibnu Taimiyyah, Tauhid dibahagikan kepada tiga: ar-rubūbiyyah (Tauhid Ketuhanan), al-ulūhiyyah (Tauhid Sesembahan), dan al-asmā' waṣ-ṣifāt (Tauhid Nama dan Sifat). Penafsiran syahadat tauhid oleh Ibnu Taimiyyah adalah menegaskan bahawa "tidak ada Tuhan (Ilah yang disembah) selain Allah", tanpa sekutu bagi-Nya, serta menjadi asas penting dalam akidah Salafi. Pada zaman kontemporari, tulisan-tulisan Ibnu Taimiyyah tentang teologi dan pembaharuan dalam amalannya telah mengilhami gerakan Salafi dalam pelbagai jenis.[55][56] Berkembangnya gerakan-gerakan ini pada abad ke-20 telah menyebabkan minat terhadap tulisan-tulisan Ibnu Taimiyyah semakin meningkat. Salafi umumnya menggelari Ibnu Taimiyyah sebagai Syaikhul Islam. Selain Ibnu Taimiyyah, murid-muridnya seperti Ibnul Qayyim al-Jauziyyah, Ibnu Kathir, az-Zahabi, dan lain-lain banyak menjadi ulama rujukan Salafi.[57][58][59][60][61]
Karya-karya ilmiah Ibnu Taimiyyah, yang menganjurkan akidah Athariyah dan dengan tegas mengkritik mazhab akidah yang lain, menjadi landasan teologi Salafiah.[62] Ibnu Taimiyyah juga mengutip sebuah kesepakatan ulama (Ijma'), tentang diperbolehkannya menganggap diri seseorang berasal dari keyakinan Salaf, dengan menyatakan:
“Tidaklah mengapa menyatakan diri (engkau) sebagai pengikut salaf, termasuk padanya dan merasa bangga padanya; melainkan harus diterima darinya, menurut ijmak. Manhaj salaf tidak dapat lari dari kebenaran. Jika seseorang berpegang padanya secara zahir dan batin, maka ia seperti orang mukmin yang selalu mengikuti kebenaran zahir dan batin.”[63][64]
Salafiah telah dikaitkan dengan pendekatan Islam yang literalis, ketat, dan konservatif menurut beberapa ahli akademik Barat. Beberapa pemerhati dan penganalisis Barat cenderung menyamakan gerakan ini dengan jihadisme Salafi, sebuah ideologi hibrid yang mendukung serangan kekerasan terhadap mereka yang dianggap musuh Islam (termasuk Salafi) sebagai ekspresi Islam yang sah.[65]
Pejabat pemerintah Jerman[66] telah menuduh Salafisme mempunyai hubungan yang kuat dengan terorisme, tetapi kemudian mereka menjelaskan bahawa tidak semua Salafi adalah pengganas. Pernyataan pejabat pemerintah Jerman yang mengkritik Salafisme disiarkan oleh Deutsche Welle pada April 2012.[67][68] Menurut ilmuwan politik Jerman Thorsten Gerald Schneiders, walaupun Salafi mendakwa untuk membina semula nilai-nilai Islam dan membela tradisi Islam, beberapa anggota gerakan mentafsirkannya dengan cara yang tidak sesuai dengan tradisi Islam dan menganggap unsur-unsur tertentu dari budaya Muslim seperti puisi, sastera, nyanyian, falsafah, dan lain-lain sebagai karya syaitan.[69] Menurut ilmuwan politik Perancis Olivier Roy, sebahagian besar generasi ketiga imigran Muslim Barat cenderung mengamalkan kefahaman Salaf dan beberapa daripada mereka mungkin memilih untuk menjauhkan diri dari tradisi keluarga mereka dan berkahwin dengan mualaf lain, berbanding dengan pasangan dari negara asal mereka yang telah dipilih oleh ibu bapa mereka.[70] Menurut Marc Sageman, sebahagian daripada gerakan Salafi dikaitkan dengan beberapa kumpulan pengganas di seluruh dunia, seperti Al-Qaeda.[71]
Namun, menurut penganalisis lain, Salafi pada dasarnya tidak berpolitik. Salafi boleh mempunyai pelbagai jenis hubungan dengan negara bergantung pada persekitaran, seperti populasi umum di tempat mereka berasal. Mereka tidak menunjukkan kecenderungan yang jelas terhadap kekerasan sebagai kelompok monolitik. Salafi yang terlibat dalam politik atau pemberontakan bersenjata melakukannya sebagai sebahagian daripada projek politik yang lebih luas.[72] Menurut Roel Meijer, hubungan Salafisme dengan kekerasan dalam pandangan Barat berasal dari tulisan-tulisan yang melalui prisma kajian keselamatan pada awal 2000-an dan dari gambaran Orientalis yang popular yang mengaitkan pembaharu Islam dengan kekerasan semasa era penjajahan.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.