From Wikipedia, the free encyclopedia
Resipi (disebut [ré.si.pi], Jawi: ريسيڤي) atau resepi (disebut [ré.sĕ.pi], Jawi: ريسڤي) ialah satu set arahan yang menjelaskan langkah menyediakan atau membuat sesuatu, terutama pemasakan sesuatu hidangan. Ia juga digunakan dalam bidang perubatan atau dalam teknologi maklumat (penerimaan pengguna).
Kedua-dua kata resipi dan resepi menyerap bahasa Inggeris: recipe yang meminjam dari bahasa Latin iaitu bentuk kata perintah recipere "memegang".[1]
Resipi bertulis yang paling awal diketahui adalah sejak 1600 SM dan berasal daripada tablet bahasa Akkadia dari selatan Babylonia.[2] Terdapat juga hieroglif Mesir purba menggambarkan penyediaan makanan.[3]
Banyak resipi Yunani purba yang diketahui. Buku masakan Mithaecus antara yang awal, tetapi kebanyakannya telah hilang; Athenaeus memetik satu resipi ringkas dalam Deipnosophistaenya. Athenaeus menyebut banyak buku masakan lain, yang semuanya sudah hilang.[4]
Resipi Rom diketahui bermula pada abad ke-2 SM dengan De Agri Cultura oleh Cato yang Tua. Banyak pengarang lain dalam tempoh ini menggambarkan masakan Mediterranean Timur dalam bahasa Yunani dan Latin.[4] Sesetengah resipi Punik diketahui dalam terjemahan bahasa Yunani dan Latin.[4]
Koleksi besar resipi De re coquinaria, secara konvensionalnya bertajuk 'Apicius', muncul pada abad ke-4 atau ke-5 dan merupakan buku masakan yang lebih kurang lengkap dari dunia klasik.[4] Ia menyenaraikan juadah-juadah yang disajikan dalam hidangan sebagai 'Gustatio' (pembuka selera), 'Primae Mensae' (hidangan utama) dan 'Secundae Mensae' (pencuci mulut).[5] Ia memulakan setiap resipi dengan arahan Latin "Ambil...", Recipe....[6]
Resipi Arab didokumenkan bermula pada abad ke-10; lihat al-Warraq dan al-Baghdadi.
Resipi terawal dalam bahasa Parsi bertarikh dari abad keempat belas. Beberapa resipi telah terselamat dari masa Wangsa Safawiyah, termasuk Karnameh (1521) oleh Mohammad Ali Bavarchi, yang termasuk arahan memasak lebih daripada 130 hidangan dan pastri yang berbeza, dan Madat-ol-Hayat (1597) oleh Nurollah Ashpaz.[7] Buku resipi dari tempoh Qajar adalah banyak, yang paling ketara Khorak-ha-ye Irani oleh putera Nader Mirza.[8]
Raja Richard II dari England menugaskan buku resipi yang dipanggil Forme of Cury pada 1390,[9] dan pada masa yang sama buku lain diterbitkan bertajuk Curye on Inglish, "cury" bermaksud memasak.[10] Kedua-dua buku memberi gambaran bagaimana makanan untuk kelas-kelas bangsawan disiapkan dan disajikan di England pada masa itu. Cita rasa mewah aristokrasi semasa Awal Tempoh Moden membawa bersamanya permulaan apa yang boleh dipanggil sebagai buku resipi moden. Menjelang abad ke-15, banyak manuskrip yang muncul memerinci resipi hari itu. Banyak manuskrip ini memberikan maklumat yang sangat baik dan mencatat penemuan semula banyak rempah dan herba termasuk ketumbar, pasli, basil dan rosemary, yang kebanyakannya telah dibawa balik dari Perang Salib.[11]
Dengan kemunculan mesin cetak pada abad ke-16 dan ke-17, banyak buku ditulis mengenai cara menguruskan isi rumah dan menyediakan makanan. Di Belanda[12] dan England,[13] persaingan semakin meningkat antara keluarga bangsawan mengenai keluarga mana yang mampu menyediakan jamuan yang paling mewah. Pada tahun 1660-an, masakan telah berkembang menjadi bentuk seni dan tukang masak yang baik sangat dicari-cari. Kebanyakan mereka menerbitkan buku mereka sendiri yang memerincikan resipi mereka dalam persaingan dengan pesaing mereka.[14] Kebanyakan buku-buku ini telah diterjemahkan dan boleh didapati dalam talian.[15]
Menjelang abad ke-19, keasyikan Victoria untuk reputasi domestik membawa kemunculan penulisan masakan dalam bentuk moden. Walaupun dikaburi oleh kemasyhuran dan penghormatan disebabkan Isabella Beeton, penulis masakan moden yang pertama dan penyusun resipi untuk isi rumah ialah Eliza Acton. Buku masakan perintisnya, Modern Cookery for Private Families (Masakan Moden untuk Keluarga Persendirian) yang diterbitkan pada tahun 1845, bertujuan untuk pembaca domestik dan bukannya tukang masak atau chef profesional. Format ini sangat berpengaruh, lalu mengasaskan format penulisan moden mengenai masakan. Ia memperkenalkan amalan sejagat sekarang untuk menyenaraikan bahan-bahan dan mencadangkan waktu memasak dengan setiap resipi. Ia termasuk resipi pertama kubis Brussel.[16] Chef kontemporari Delia Smith menggelar Acton "penulis resipi terbaik dalam bahasa Inggeris."[17] Modern Cookery bertahan lebih lama daripada Acton, kekal dalam cetakan sehingga 1914 dan boleh didapati lebih terkini dalam bentuk faksimili.
Kerja Acton ialah pengaruh penting kepada Isabella Beeton,[18] yang menerbitkan Mrs Beeton's Book of Household Management (Buku Pengurusan Rumah Tangga Puan Beeton) dalam 24 jilid bulanan antara tahun 1857 dan 1861. Buku ini ialah panduan untuk menguruskan isi rumah Victoria, dengan nasihat mengenai fesyen, penjagaan kanak-kanak, penternakan, racun, pengurusan orang suruhan, sains, agama, dan industrialisme.[19][20] Daripada 1,112 halaman, lebih daripada 900 halaman mengandungi resipi. Kebanyakannya gambaran dengan ukiran berwarna. Dikatakan banyak resipi telah diciplak daripada penulis awal seperti Acton, tetapi Beetons tidak pernah mendakwa bahawa kandungan bukunya adalah asli. Buku itu bertujuan sebagai panduan yang dipercayai untuk kelas menengah.
Tukang masak Amerika, Fannie Farmer (1857-1915) menerbitkan pada tahun 1896 karya terkenalnya The Boston Cooking School Cookbook (Buku Masakan Sekolah Masakan Boston) yang mengandungi kira-kira 1,849 buah resipi.[21]
Resipi masakan moden biasanya terdiri daripada beberapa komponen:
Sesetengah resipi akan mencatat berapa lama hidangan akan bertahan jika disimpan dan kesesuaiannya untuk dibekukan. Maklumat pemakanan, seperti kalori setiap hidangan dan gram protein, lemak, dan karbohidrat setiap hidangan, juga boleh diberikan.
Resipi yang terdahulu sering kali menyertakan maklumat yang lebih kurang, memberikan lebih banyak peringatan bahan dan perkadaran untuk seseorang yang sudah pun tahu bagaimana menyediakan hidangan.[22][23]
Penulis resipi kadangkala juga menyenaraikan variasi hidangan tradisional, untuk memberikan rasa yang berbeza daripada resipi yang sama.
Menjelang pertengahan abad ke-20, terdapat ribuan buku masakan dan buku resipi yang ada. Revolusi seterusnya datang dengan pengenalan tukang masak TV. Tukang masak TV pertama di England ialah Fanny Cradock dengan rancangan di BBC. Program memasak TV membawa resipi kepada khalayak baru. Pada hari-hari awal, resipi boleh didapati melalui pos daripada BBC; kemudian dengan pengenalan teks CEEFAX pada skrin, resipi boleh didapati di kaca televisyen.
Pada awal abad ke-21, terdapat tumpuan yang diperbaharui untuk memasak di rumah kerana kemelesetan lewat tahun 2000-an.[24] Rangkaian televisyen seperti Food Network dan majalah masih menjadi sumber utama maklumat resipi, dengan tukang masak dan chef antarabangsa seperti Jamie Oliver, Gordon Ramsay, Nigella Lawson dan Rachael Ray mempunyai rancangan masa perdana dan dengan laman web Internet memberikan butiran semua resipi mereka. Ini disertai oleh rancangan TV realiti seperti Top Chef atau Iron Chef, dan banyak laman internet yang menawarkan resipi percuma, tetapi buku masakan tetap popular seperti biasa.[25]
Gastronomi molekul menyediakan chef dengan teknik dan bahan masakan, tetapi disiplin ini juga menyediakan teori dan kaedah baru yang membantu mereka bentuk resipi. Kaedah ini digunakan oleh chef, foodie, tukang masak rumah dan juga miksologi di seluruh dunia untuk memperbaiki atau mencipta resipi.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.