Pertempuran Vaslui
From Wikipedia, the free encyclopedia
From Wikipedia, the free encyclopedia
Pertempuran Vaslui (juga dirujuk sebagai Pertempuran Podul Înalt atau Pertempuran Racova) terjadi pada 10 Januari 1475 antara pasukan Stephen III dari Moldavia dan Empayar Uthmaniyyah di bawah pimpinan Gabenor Rumelia, Hadım Suleiman Pasha. Pertempuran ini berlaku di Podul Înalt (Jambatan Tinggi) berhampiran kota Vaslui yang terletak di Moldavia (kini di timur Romania). Tentera Uthmaniyah melebihi tentera musuh dengan memiliki kekuatan sebanyak 120,000 tentera berhadapan dengan 40,000 tentera Moldavia yang mempunyai tentera tambahan dan tentera upahan.[5]
Pertempuran Vaslui | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Perang Moldavia-Uthmaniyyah dan Perang Uthmaniyyah-Hungary | |||||||
Peta pertempuran. | |||||||
| |||||||
Pihak yang terlibat | |||||||
Moldavia Kerajaan Poland | |||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||
Stephen III Mihály Fants[3] |
| ||||||
Kekuatan | |||||||
40,000 Moldavia 5,000 Székelys 2,000 Poland 1,800 Hungary (tidak bertempur) 20 buah meriam |
50,000-120,000 Turki Uthmaniyyah 17,000 Wallachia (tidak bertempur) 20,000 Bulgaria (hamba) | ||||||
Kerugian dan korban | |||||||
~5,000 terkorban dan tercedera |
~50,000 terkorban[4] 70,000 ditawan |
Pada tahun 1451, Putera Moldavia iaitu Bogdan II telah dibunuh oleh abangnya, Peter untuk merebut takhta. Putera baru itu mengukuhkan kedudukannya dengan bersetuju menjadi naungan kepada Raja Poland, Casimir IV. Beliau juga mula membayar ufti kepada Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1456. Walau bagaimanapun, anak kepada Bogdan iaitu Stephen telah meraih sokongan daripada pejuang Hungary, John Hunyadi dan penguasa Wallachia, Vlad III. Pada tahun 1457, Stephen menerima bantuan ketenteraan daripada Vlad lalu membolehkannya melangkah menuju ke Moldavia dan menewaskan Peter di Orbic. Beliau akhirnya menjadi putera dengan gelaran Stephen III.
Stephen meneruskan pembayaran ufti kepada Uthmaniyah dan beliau menggunakan masa ini untuk membuat pembaharuan. Beliau menyekat kuasa golongan bangsawan manakala golongan hamba telah dibebaskan untuk membolehkan mereka menyertai pasukan ketenteraan. Angkatan tenteranya telah diperkukuhkan dengan penggunaan unit-unit artileri dan pembinaan kubu pertahanan di sepanjang sempadan kerajaan. Stephen telah memperoleh kota Khotyn dari Poland sama ada melalui hubungan diplomasi atau tindakan tenteranya. Semasa pesaingnya Peter telah dibuang ke Transylvania, beliau bertindak menyerang kawasan itu yang merupakan kawasan lindungan Hungary. Sekutu lamanya, Vlad III telah tumpas kepada boneka Uthmaniyah, Radu dalam perebutan takhta pada tahun 1462. Stephen mengambil peluang ini untuk menguasai kota strategik Chilia pada tahun 1465 sekali gus ia mengesahkan penguasaan beliau ke atas delta Danube.
Pada tahun 1466, Stephen menyokong pemberontakan anti-Hungary di Transylvania. Pada lewat tahun 1467, penguasa Hungary iaitu Matthias I berjaya mematahkan pemberontakan yang tercetus di Transylvania dan angkatannya menuju ke Moldavia dengan kekuatan dari 20,000 hingga 40,000 tentera bersama beratus-ratus meriam. Di sebuah tempat yang dikenali sebagai Baia, Stephen bersama 15,000 tenteranya berjaya memenangi pertempuran menentang Hungary dengan lebih 10,000 tentera Hungary terkorban di samping Matthias sendiri tercedera. Putera Stephen menyerang Transylvania dalam masa beberapa tahun berikutnya tetapi beliau juga dipaksa berundur untuk memastikan keselamatan kerajaannya terjamin. Semasa musim panas 1470, beliau menewaskan Angkatan Kencana habis-habisan di Lipnic sekali gus menandakan salah satu pertempuran terakhir yang menyaksikan serangan Angkatan Kencana. Pada hujung tahun, pesaing Stephen iaitu Peter menyerbu Moldavia tetapi telah ditewaskan di Targu dan kemudian telah dihukum mati. Pencerobohan lain pula menyusul dari Wallachia tetapi ia berjaya ditangkis di Soci pada tahun 1471.
Pada masa ini, hubungan antara Stephen dan Sultan Muhammad al-Fatih mula mengendur. Pada tahun 1471, Uthmaniyah mendesak kota Chilia dipulangkan kepada pemerintahan Wallachia semula. Stephen menolak tuntutan tersebut dan beliau telah mula berkomplot dengan Uzun Hasan untuk menentang Uthmaniyah pada tahun 1472. Pada tahun berikutnya, Putera Stephen telah mengambil kesempatan di kala pertelingkahan yang tercetus antara Uthmaniyah dan Aq Qoyunlu. Beliau berhenti membayar ufti kepada Uthmaniyah, menyerang Wallachia, menewaskan Radu di Râmnicu Sărat dan membantu Basarab III Laiotă untuk menaiki takhta Wallachia. Di timur, Uthmaniyah berjaya menewaskan Aq Qoyunlu dalam Pertempuran Otlukbeli pada tahun 1473. Setelah ancaman dari timur berjaya diselesaikan, Sultan Muhammad al-Fatih mengalihkan tumpuannya ke Eropah pula.
Pada penghujung tahun 1274, status Radu telah dipulihkan manakala Laiotă meraih takhta hasil bantuan Stephen. Hal ini membuatkan Sultan Muhammad al-Fatih tidak dapat bertolak ansur lagi. Sultan menuntut Stephen supaya membayar ufti, memulangkan kota Chilia dan menamatkan serangannya ke atas Wallachia. Setelah Putera Stephen menolak tuntutan tersebut, sultan menugaskan gabenor Rumelia, Hadım Suleiman Pasha yang sedang sibuk mengepung kota Venezia, Shkodër untuk menamatkan kempennya dan memindahkan pasukannya bagi menentang Moldavia. Suleiman mematuhi arahan tersebut dan pasukannya tiba di Sofia pada September 1274.
Jumlah angkatan tentera Empayar Uthmaniyyah dalam pertempuran ini antara 50,000 hingga 120,000 tentera. Difahamkan sehingga 20,000 orang Bulgaria menyertai pasukan Suleiman Pasha di Sofia tetapi ia tidak jelas sama ada mereka merupakan tentera atau jurutera seperti yang disebut dalam sumber Uthmaniyah. Laiotă bersama 15,000 tentera Wallachia juga menyertai pasukan Uthmaniyah.
Sementara itu, Stephen pula menjangkakan serangan Uthmaniyah setelah keputusannya menolak tuntutan sultan. Beliau telah meminta bantuan daripada Hungary, Poland dan Paus. Seramai 10,000 tentera Stephen telah diperkukuhkan oleh ribuan petani Moldavia yang direkrut, 2,000 orang Poland, 2,000 orang Hungary dan 5,000 Székely sekali gus menghasilkan jumlah pasukan seramai 30,000 hingga 40,000 tentera. Beliau juga memiliki 20 buah meriam dan unit kecil penembak senapang.
Suleiman menyeberangi Danube pada November 1274 dan beliau memberikan tempoh berehat kepada tenteranya selama dua minggu. Kemudian, pasukannya meneruskan kemaraan ke Moldavia sebelum bergabung dengan pasukan Laiotă berhampiran Bucharest. Pada Disember, pasukan Uthmaniyah tiba di Moldavia sementara Stephen menggunakan taktik bumi hangus terhadap musuh. Kampung-kampung telah dibakar, semua perigi telah diracun dan penduduk diarah berpindah untuk menimbulkan masalah bekalan kepada Uthmaniyah. Bukan itu sahaja, Stephen yang berhadapan dengan musuh jauh lebih unggul menggunakan taktik serang dan cabut. Tentera Uthmaniyah yang penat dan kelaparan menuju ke utara selama sebulan.
Pada 10 Januari 1475, peninjau Uthmaniyyah melaporkan terdapat kampung di lembah yang terletak di selatan Vaslui dialiri oleh Sungai Bârlad. Dek kerana kabus tebal dan hujan yang lebat mendinginkan suasana, Suleiman ingin berehat bersama pasukannya di selatan Vaslui sementara menanti semua pasukan Moldavia muncul. Walau bagaimanapun, setelah tentera Uthmaniyah menyeberangi sungai melalui satu-satunya jambatan di kawasan itu, mereka mendengar pukulan gendang perang Moldavia dari utara. Dengan perasaan yakin bahawa musuh kini memunculkan diri, Suleiman menggerakkan pasukannya ke hadapan menempuh kabus yang tebal dan mengarahkan pasukannya untuk mengatur formasi di sebelah barat sungai. Apabila pukulan gendang terus kedengaran, lebih ramai tentera Uthmaniyah bertindak menyeberangi sungai dan menuju ke arah utara.
Tentera Uthmaniyah memasuki satu lembah yang sempit dan tidak sesuai bagi mereka melancarkan serangan kavalri. Sementara itu, barisan depan Uthmaniyah mula bertembung dengan pasukan Moldavia. Kavalri ringan Stephen menyerang tentera sayap Uthmaniyah sebelum mereka mengumpan dan mengheret tentera Uthmaniyah ke kawasan lembah. Stephen menempatkan pasukan terbaiknya yang terdiri daripada unit profesional Moldavia dan Székely sebelum mereka diarahkan berundur. Pasukan Uthmaniyah diarahkan untuk mara sehinggalah mereka terkejut melihat pasukan musuh berhenti berundur di sebuah tempat yang telah diatur. Pada masa ini, artileri Stephen yang terlindung, pemanah dan penembak diarahkan untuk melepaskan serangan masing-masing ke arah unit Uthmaniyah.
Suleiman yang berada di belakang unit depan Uthmaniyah tidak dapat meneliti situasi sebenar yang menimpa mereka. Beliau cuba menggesa saki baki pasukannya untuk menyeberangi sungai. Meriam api Moldavia yang melepaskan tembakan ke arah jambatan berkayu menyebabkan jambatan tersebut runtuh. Hal ini merencatkan pengukuhan tentera Uthmaniyah semula. Tentera Wallachia yang tidak begitu setia kepada Suleiman membuat keputusan untuk tidak menyeberangi sungai itu. Sementara itu, Stephen menghantar pasukan kavalri ringannya untuk mengumpan kavalri Uthmaniyah ke kawasan lembah bagi memerangkap tentera musuh. Sipahi berjaya memberikan tekanan ke atas pasukan sayap profesional Moldavia dan Székely tetapi perkara ini menjerat mereka lebih banyak lagi.
Secara tiba-tiba, gendang perang Moldavia kedengaran dari hutan oleh barisan kiri Uthmaniyah. Tentera Uthmaniyah yang begitu terdedah kepada serangan menyebabkan komander mula panik. Suleiman yang tidak dapat mentaksir situasi sebenar cuba membentuk satu barisan untuk menghadapi ancaman dari arah kiri. Serangan utama Moldavia direncanakan ke atas pasukan sayap kanan Uthmaniyah manakala kavalri berat boyar Stephen yang berlindung di belakang bukit pula kini melancarkan serangan dari tepi dan belakang pasukan Uthmaniyah. Walaupun tentera Uthmaniyah melebihi tentera musuh, mereka menduga akan dikepung dari tiga arah sekali gus menimbulkan panik. Mereka akhirnya cuba untuk berundur sambil dikejar dan diburu oleh kavalri Moldavia. Pengunduran Uthmaniyah berlangsung selama tiga hari dan tentera Stephen terus menggugat mereka.
Sumber moden mendakwa Stephen kehilangan 4,500 tentera manakala pasukan Suleiman pula kehilangan korban sebanyak 45,000 tentera. Ramai pemimpin Uthmaniyyah telah ditawan dan dibunuh. Kejayaan Moldavia merupakan kekalahan terbesar ditanggung oleh Uthmaniyah semasa berhadapan menentang tentera Kristian sehingga kini. Sementara itu, Stephen memperoleh gelaran berprestij "Athleta Christi" yang membawa makna "Juara Kristus" oleh Paus.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.