From Wikipedia, the free encyclopedia
Pelarian (Jawi: ڤلارين) atau pengungsi (Jawi: ڤڠوڠسي)[2] secara umumnya ialah seseorang yang dipaksa untuk merentasi sempadan antarabangsa dan tidak dapat pulang ke negara atau petempatan asal. Orang tersebut mungkin dirujuk sebagai pencari suaka sehingga mendapat status sebagai pelarian. Jabatan antarabangsa yang menguruskan perlindungan pelarian ialah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR). Selain itu, pihak PBB juga mempunyai UNRWA, satu jabatan khas untuk menguruskan perlindungan pelarian Palestin.[3] Sebuah hari khas telah diasaskan oleh pihak PBB untuk meningkatkan kesedaran kepada golongan pelarian, iaitu Hari Pelarian Sedunia pada setiap 20 Jun.
Rencana ini perlu dikemas kini. (Disember 2022) |
Jumlah penduduk | |
---|---|
s. 25.4 juta (19.9 juta di bawah UNHCR dan 5.4 juta di bawah UNRWA) | |
Kawasan ramai penduduk | |
Afrika Sub-Sahara | 6.236 juta |
Eropah dan Asia Utara | 6.088 juta |
Asia Selatan/Timur dan Oceania | 4.153 juta |
Asia Barat dan Afrika Utara | 2.653 juta |
Amerika Utara/Selatan | 484,261 |
"Pelarian" terbitan kata dasar "lari". "Pengungsi" terbitan kata dasar ungsi اوڠسي serapan Kawi usi (Hanacaraka: ꦲꦸꦱꦶ ).[4]
Berdasarkan Perkara 1.A.2 dalam Konvensyen berkenaan Status Pelarian oleh PBB pada 1951, seorang pelarian ditakrifkan sebagai seorang yang:[5]
Takrifan ini disahkan pada 1967 melalui Protokol berkenaan Status Pelarian oleh pihak PBB. Istilah "kumpulan sosial tertentu" mempunyai pelbagai kontroversi dan perdebatan disebabkan oleh takrifan yang dilihat terlalu umum.[6] Contoh-contoh kumpulan sosial yang pernah ditakrifkan terhadap istilah ini termasuk pelbagai jenis golongan wanita, kumpulan orientasi seksual tak lazim, keluarga-keluarga tertentu dan golongan miskin.[7]
Setakat 2011, pihak UNHCR masih mengekalkan takrifan di atas serta takrifan di bawah:[8]
Selain itu, orang pelarian dalaman, yakni orang yang terpaksa melarikan diri daripada petempatan asal tetapi masih berada dalam negara asal juga lazim disifatkan sebagai pelarian, tetapi tidak tertakluk terhadap takrifan perundangan rasmi pelarian.[9][10]
Seorang pelarian yang menetap di negara yang menandatangani Konvensyen berkenaan Status Pelarian 1951 berhak mendapat peluang pekerjaan. Selain itu, seorang pelarian mempunyai hak untuk pulang ke negara asal, tetapi proses pemulangan pelarian ke negara asal adalah sukar meskipun dalam keadaan pascakonfilk.[11] Pihak PBB juga menetapkan bahawa pelarian juga berhak pulang ke hartanah asal.[11] Hak penyatuan semula pelarian dengan ahli-ahli keluarga ialah hak yang lazim diiktiraf oleh kebanyakan negara. Di samping itu, golongan pelarian berhak untuk tidak pulang ke negara asal apabila terdapat kebimbangan tentang potensi penindasan di negara asal.[12] Menurut Perkara 28 dalam Konvensyen berkenaan Status Pelarian, negara yang menandatangani konvensyen tersebut wajib mengeluarkan dokumen perjalanan khas kepada golongan pelarian yang menetap di negara tersebut dengan sah.
Sebuah kem pelarian ialah petempatan yang dibina oleh pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan pelarian, orang pelarian dalaman atau golongan migran lain. Kem pelarian biasanya dibina sebagai petempatan dan perkhidmatan sementara dan segera, dan prasarana-prasarana yang lebih kekal lazimnya diharamkan. Kumpulan pelarian boleh menetap di kem-kem pelarian selama bertahun-tahun sehingga keadaan mengizinkan mereka untuk pulang ke negara asal. Kira-kira 700 buah kem pelarian telah ditubuhkan di seluruh dunia.[13] Selain itu, sesetengah dalam golongan pelarian juga menetap di kawasan bandar.[14]
Sebuah krisis pelarian merujuk kepada pergerakan kumpulan besar masyarakat, termasuk pelarian, orang pelarian dalaman dan golongan migran lain. Istilah ini juga boleh merujuk kepada insiden di negara asal atau masalah ketika pengungsian, termasuk masalah di negara tiba yang melibatkan kumpulan besar-besaran. Pada 2018, pihak PBB menganggarkan bahawa 68.9 juta orang dipaksa meninggalkan petempatan asal termasuk kira-kira 25.4 juta orang pelarian. Turki ialah negara dengan jumlah pelarian tertinggi dengan kira-kira 3.5 juta orang pelarian kini hadir dalam sempadan Turki. 57% daripada 68.9 juta orang tersebut berasal dari Syria, Afghanistan dan Sudan Selatan.[15]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.