Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Luncur ais berbunga (bahasa Inggeris: figure skating )[1] adalah suatu sukan di mana seseorang individu atau sebuah kumpulan membuat persembahan sembil meluncur atas ais dengan menggunakan kasut luncur khas. Ia merupakan sukan musim sejuk pertama yang dimasukkan dalam sukan Olimpik pada tahun 1908.[2] Displin-displin yang ada dalam sukan ini pada peringkat Olimpik ialah perseorangan lelaki, perseorangan wanita, pasangan, dan luncur ais tari.
Para peluncur bersaing di beberapa peringkat dari tahap permulaan sampailah ke tahap Olimpik (senior) di peringkat tempatan, wilayah, negara dan antarabangsa. Kesatuan Peluncur Antarabangsa (International Skating Union, ISU) mengatur semua pertandingan dan penghakiman sukan ini pada peringkat antarabangsa, termasuklah Sukan Olimpik Musim Sejuk, Kejuaraan Dunia, Kejuaraan Junior Sedunia, Kejuaraan Eropah, Kejuaraan Empat Benua, siri Grand Prix (peringkat senior dan junior), dan Siri Challenger ISU.
Sukan itu juga berkaitan dengan seni pertunjukan. Pertandingan yang utama biasanya tamat dengan gala pertunjukan di mana peluncur-peluncur dari setiap disiplin melakukan persembahan yang tidak kompetitif. Kebanyakan peluncur ini turut terlibat dalam persembahan luncur ais yang berlangsung sewaktu dan selepas musim pertandingan, baik semasa mereka aktif mahupun bersara dari kerjaya sukan mereka.
Kasut luncur yang digunakan dalam sukan ini berbeza daripada kasut luncur dalam sukan lainnya seperti hoki ais di mana ia mempunyai satu set hujung gerigi besar (toe picks) pada bahagian depan bilah yang digunakan terutamanya untuk melompat dan tidak boleh digunakan untuk mengusap atau berputar. Sekiranya penggunaan sebaliknya berlaku, gerigi tersebut akan menyebabkan peluncur kehilangan momentum, atau menjauh dari pusat pusingannnya. Bilah dipasangkan pada tapak dan tumit kasut menggunakan skru. Peluncur profesional bukan sahaja akan dipasangkan kasut dan bilah khas tetapi pakar juga diupah untuk mengasah bilah untuk memenuhi keperluan tertentu peluncur.[3]
Kesatuan Peluncur Antarabangsa memilih gelanggang bersaiz piawaian Olimpik (30 m × 60 m) untuk tujuan pertandingan, terutamanya acara utama. mengikut peraturan ISU nombor 342: "sekiranya boleh, [gelanggang luncur hendaklah] berukuran enam puluh (60) meter dalam satu arah dan tiga puluh (30) meter di satu arah lain, tetapi tidak lebih, dan tidak kurang daripada lima puluh enam (56) meter dalam satu arah dan dua puluh enam (26) meter pada satu arah yang lain."[4] Sistem skor memberi ganjaran kepada peluncur yang meliputi seluruh permukaan ais gelanggang dalam program mereka. Gelanggang saiz Olimpik mampu menunjukan perbezaan antara peluncur yang lebih berkemahiran namun tempat sebegini tidak sedia ada di semua tempat. Sekiranya sesebuah gelanggang itu mempunyai dimensi yang berbeza, persediaan dan kelajuan peluncur barangkali boleh terhalang ketika peluncur tersebut menyesuaikan diri.[5][6]
Kualiti ais luncuran diadili berdasarkan ciri-ciri kelancaran, geseran, kekerasan, dan kerapuhan.[7] Faktor yang mempengaruhi kualiti sebegini termasuk suhu, kualiti air, dan kadar penggunaan, di mana gelanggang akan lebih rosak jika menggunakan bahagian kasut yang salah. Suhu gelanggang biasanya ditetapkan secara optimumnya pada 24 °F (-4 °C).[7] Ais yang bermutu tidak seberapa boleh mempengaruhi prestasi para peluncur.[8]
Para peluncur dibenarkan memilih pakaian sendiri dengan sedikit sahaja larangan yang diberikan. Peserta perempuan dibolehkan memakai gaun dengan pakaian dalam yang sama warna, ataupun mereka boleh memakai seluar (sejak tahun 2004).[9] Sarung balut kaki berwarna kulit yang tidak jarang barangkali dipakai dalam gaun atau skirt mereka sehingga mencecah paras kasut luncur. Peluncur lelaki pula dimestikan memakai seluar biasa – yakni, seluar sama sendat (tights) tidak dibenarkan sama sekali, namun pihak pengadil tidak selalunya mengenakan penolakan markah untuk pelanggaran peraturan sebegini.[10] Pakaian atau kostum yang berpadanan tidak perlu dalam displin-displin berpasangan dan tarian.[11]
Pertandingan-pertandingan dahulunya hanya dibenarkan beriringan dengan muzik instrumental, atau nyanyian vokal tanpa sebarang lirik. ISU mula membenarkan muzik berlirik dalam displin luncur ais tarian pada musim 1997—1998. Kesatuan ini kemudiannya membenarkan para peserta semua displin memilih muzik berlirik sendiri dalam pertandingan mereka pada musim 2014-2015.[12][13] Kerja-kerja penyuntingan muzik profesional juga dilibatkan agar muzik yang dipilih memenuhi kriteria persembahan para peluncur,[14] di mana peluncur hendaklah meluncur mengikut rentak atau irama yang jelas.
Sukan ini dalam peringkat Olimpik terdiri daripada displin berikut:[15]
Sukan ini mengambil kos yang sangat mahal,[16][17][18][19] disebabkan faktor tempoh ais dan latihan.[20] Sesetengah persatuan negara tertentu akan menyediakan dana untuk peluncur jika mereka memenuhi kriteria tertentu persatuan.[21] Banyak peluncur mengambil kerja sambilan, malah ada daripadanya yang telah mencuba kaedah crowdfunding untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi kegiatan sukan mereka.[22][23][24] Di Jerman, banyak peluncur elit menyertai tentera untuk menampung kos pembiayaan sukan.[25] Beberapa peluncur kompetitif turut bergantung kepada pendapatan daripada pertunjukan.[26][27] Persembahan sebegini harus mendapat kebenaran persatuan mereka, yakni peluncur barangkalinya akan kehilangan kelayakan untuk bertanding secara kompetitif jika mereka mengambil bahagian tanpa izin. Terdapat juga kes-kes tertentu di mana peluncur akan berada dalam keadaan terpaksa untuk bersaing dalam keadaan yang cedera agar mereka dibenarkan terlibat dalam pertunjukan.[26]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.