From Wikipedia, the free encyclopedia
Kelab Bola Sepak Leicester City merupakan sebuah kelab bola sepak profesional Inggeris yang berpusat di Leicester di East Midlands. Leicester City bertanding di Liga Kejohanan Bola Sepak Inggeris dan juga mempunyai gelanggang sendiri yang bernama Stadium King Power.
Nama penuh | Kelab Bola Sepak Leicester City | |||
---|---|---|---|---|
Gelaran | The Foxes | |||
Diasaskan | 1884 (Sebagai Leicester Fosse FC) | |||
Stadium | Stadium King Power (Kapasiti: 32,261 [1]) | |||
Pemilik | King Power International Group | |||
Pengerusi | Aiyawatt Srivaddhanaprabha | |||
Pengurus | Brendan Rodgers | |||
Liga | Liga Kejohanan | |||
2022-23 | Liga Perdana Inggeris, ke-18 | |||
Tapak sesawang | Laman kelab | |||
| ||||
Musim semasa |
Kelab ini ditubuhkan pada tahun 1884 sebagai Leicester Fosse dan bermain di padang berdekatan Fosse Road. Nama Leicester City mula digunakan pada tahun 1919. Mereka berpindah ke Filbert Street pada tahun 1891 dan bermain di sana selama 111 tahun.[2] Mereka berpindah sekali lagi, kali ini ke Stadium Walkers pada tahun 2002. Leicester City dipilih ke Liga Bola Sepak Inggeris pada tahun 1894. Kelab ini telah memenangi Divisyen Kedua enam kali dan Liga Kejohanan sekali. Mereka juga telah memenangi kejuaraan League One sekali, Piala Liga Inggeris tiga kali dan muncul naib juara Piala FA empat kali dan menjuarai Liga Perdana Inggeris pada tahun 2016.
Ditubuhkan pada tahun 1884 oleh sekumpulan kanak-kanak lelaki dari Wyggeston School sebagai "Leicester Fosse", kelab ini menyertai Persatuan Bola Sepak England pada tahun 1890.[3] Sebelum berpindah ke Filbert Street pada tahun 1891, kelab ini bermain di lima tempat berbeza termasuk Victoria Park dan Belgrave Road Cricket and Bicycle Grounds.[4] Kelab ini juga menyertai Liga Midland pada tahun 1891 dan dipilih ke Divisyen Dua Football League pada tahun 1894 selepas menduduki tempat kedua. Perlawanan pertama Leicester dalam Football league ialah ketika kekalahan 4–3 kepada Grimsby Town, dengan kemenangan liga pertama berlaku pada minggu berikutnya, menang ke atas Rotherham United di Filbert Street. Musim itu juga menyaksikan kemenangan terbesar dalam sejarah kelab itu, 13–0 ke atas Notts Olympic dalam perlawanan kelayakan Piala FA. Pada musim 1907–08, kelab ini muncul naib juara Divisyen Kedua dan mendapat promosi ke Divisyen Pertama. Walau bagaimanapun, kelab ini disingkirkan selepas semusim termasuk kekalahan terbesar dalam sejarah kelab itu, 12–0 kepada Nottingham Forest.[5]
Pada tahun 1919, apabila liga bersambung selepas Perang Dunia Pertama, Leicester Fosse menghentikan perdagangan kerana masalah kewangan. Kelab ini dibentuk semula sebagai "Leicester City Football Club". Susulan pertukaran nama, kelab ini mencapai kejayaan sederhana pada tahun 1920–an; dibawah pengurusan Peter Hodge, yang meninggalkan kelab ini pada bulan Mei 1926 dan digantikan dua bulan kemudian oleh Willie Orr dan dengan penjaring gol rekod, Arthur Chandler berada dalam pasukan ini,[6] mereka memenangi kejuaraan Divisyen Dua pada musim 1924–25[7] dan merekodkan kedudukan tertinggi mereka dalam liga pada musim 1928–29 sebagai naib-juara.[3] Walau bagaimanapun, tahun 1930–an menyaksikan penurunan dengan kelab ini tersingkir liga pada musim 1934–35[8] dan selepas mendapat promosi pada musim 1936–37,[9] mereka tersingkir liga sekali lagi pada musim 1938–39.[10]
City layak ke perlawanan akhir Piala FA buat pertama kali dalam sejarah mereka pada tahun 1949,[11] kalah 3–1 kepada Wolverhampton Wanderers. Leicester memenangi kejuaraan Divisyen Dua pada tahun 1954,[12] dengan bantuan Arthur Rowley, salah seorang penjaring paling prolifik kelab. Walaupun mereka tersingkir daripada Divisyen Satu pada musim berikutnya, di bawah bimbingan Dave Halliday mereka kembali ke liga itu pada tahun 1957,[13] dengan Rowley menjaringkan 44 gol dalam satu musim.[6] Leicester kekal dalam Divisyen Satu sehingga tahun 1969.[14]
Dibawah pengurusan Matt Gillies dan pembantunya Bert Johnson, Leicester layak ke perlawanan akhir Piala FA dua kali, tetapi tewas dalam kedua-dua acara pada tahun 1961 dan 1963. Mereka adalah wakil England dalam Piala Pemenang Piala Eropah 1961–62. Gillies membimbing Leicester untuk memenangi trofi pertama mereka pada tahun 1964 apabila Leicester mengalahkan Stoke 4–3 secara agregat untuk memenangi Piala Liga buat pertama kali. Leicester juga layak ke perlawanan akhir Piala Liga pada tahun berikutnya tetapi tewas 3–2 menerusi agregat kepada Chelsea. Selepas permulaan musim yang teruk, Matt Gillies meletak jawatan pada bulan November 1968. Penggantinya, Frank O'Farrell gagal mengelakkan penyingkiran tetapi kelab itu layak ke perlawanan akhir Piala FA pada tahun 1969, tewas kepada Manchester City 1–0.
Pada tahun 1971, Leicester dinaikkan semula ke Divisyen Satu dan memenangi Perisai Amal 1971. Jimmy Bloomfield kemudiannya dilantik sebagai pengurus untuk musim baru. Leicester layak ke separuh akhir Piala FA pada musim 1973–74.[15]
Frank McLintock menggantikan Jimmy Bloomfield pada tahun 1977. City disingkirkan liga pada akhir musim 1977–78 dan McLintock meletak jawatan. Jock Wallace menyambung tradisi kejayaan pengurus Scotland (selepas Peter Hodge dan Matt Gillies) dengan membawa Leicester untuk memenangi kejuaraan Divisyen Dua pada tahun 1980.[16] Walau bagaimanapun, Wallace gagal untuk mengekalkan Leicester dalam Divisyen Satu tetapi mereka layak ke peringkat separuh akhir Piala FA pada tahun 1982. Pengurus seterusnya Leicester adalah Gordon Milne yang mendapat promosi pada tahun 1983. Lineker membantu Leicester untuk mengekalkan tempat mereka dalam Divisyen Pertama tetapi dia dijual kepada Everton pada tahun 1985 dan dua tahun kemudian Leicester tersingkir liga.
Milne meninggalkan kelab ini pada tahun 1986 dan digantikan pada tahun 1987 oleh David Pleat yang dipecat pada bulan Januari 1991 dengan Leicester berdepan bahaya penyingkiran ke Divisyen Ketiga. Gordon Lee telah ditugaskan di kelab ini sehingga akhir musim. Leicester menang perlawanan terakhir musim mereka untuk mengelakkan penyingkiran ke divisyen ketiga.
Brian Little mengambil alih tugas pada tahun 1991 dan menjelang akhir musim 1991–92, Leicester layak ke perlawanan akhir playoff untuk tempat dalam Liga Perdana Inggeris tetapi tewas kepada Blackburn Rovers. Kelab ini juga layak ke perlawanan akhir playoff pada tahun berikutnya tetapi tewas 4–3 kepada Swindon Town. Pada musim 1993–94, City dinaikkan liga melalui playoff selepas mengalahkan Derby County 2–1 dalam perlawanan akhir. Little meletak jawatan pada bulan November untuk mengambil alih tugas di Aston Villa. Penggantinya, Mark McGhee gagal menyelamatkan Leicester daripada menduduki tempat kedua terbawah pada musim 1994–95. McGhee meninggalkan kelab ini pada bulan Disember 1995 untuk mengambil alih tugas di Wolverhampton Wanderers.[17]
McGhee digantikan oleh Martin O'Neill. Dibawah O'Neill, Leicester layak ke playoff promosi untuk Divisyen Satu 1995–96 dan mengalahkan Crystal Palace 2–1 dan berjaya kembali ke Liga Perdana Inggeris. Susulan promosi, Leicester meletakkan diri mereka dalam Liga Perdana dengan empat musim berturut-turut menduduki sepuluh teratas dalam liga. O'Neill mengakhiri penantian 33 tahun Leicester untuk memenangi trofi utama dengan memenangi Piala Liga dua kali, pada tahun 1997 dan 2000. Leicester juga muncul naib juara pada tahun 1999. Kelab ini layak ke Piala UEFA pada musim 1997–98 dan 2000–01, pertandingan Eropah pertama kelab ini sejak tahun 1961. Pada bulan Jun 2000, O'Neill berpindah ke Celtic.
O'Neill digantikan oleh bekas jurulatih England B-21, Peter Taylor. Dalam tempoh ini, penampilan terbaru Leicester dalam pertandingan Eropah berakhir dengan kekalahan 3–1 kepada Red Star Belgrade pada 28 September 2000 dalam Piala UEFA 2000–01.[18] Leicester bermula dengan baik di bawah pengurusan Taylor, menduduki tempat teratas dalam Liga Perdana untuk dua minggu sebelum penurunan prestasi menyaksikan mereka menduduki tempat ke-13.
Taylor dipecat selepas permulaan buruk pada musim 2001-02 dan penggantinya Dave Bassett cuba kekal selama enam bulan sebelum digantikan oleh pembantunya, Micky Adams, pertukaran pengurusan berlaku sejurus sebelum mereka tersingkir liga. Leicester cuma memenangi lima perlawanan liga dalam keseluruhan musim.
Leicester berpindah ke stadium baru berkapasiti 32,500 iaitu Stadium Walkers pada permulaan musim 2002–03, mengakhiri tempoh selama 111 tahun di Filbert Street. Walkers, pengilang cip kentang berpangkalan di Leicestershire, memperoleh hak penamaan untuk tempoh sepuluh tahun.[19] Pada bulan Oktober 2002, kelab ini masuk ke dalam pentadbiran dengan hutang sebanyak £30 juta. Adams digantung daripada pintu perpindahan untuk kebanyakan musim itu walaupun selepas itu diselamatkan dengan pengambilalihan oleh konsortium diketuai oleh Gary Lineker. Adams membimbing Leicester untuk muncul naib juara Divisyen Satu dan meraih promosi automatik kembali ke Liga Perdana dengan mengutip lebih daripada 90 mata. Leicester hanya kekal semusim dalam liga teratas dan disingkirkan ke Championship, sebelum ini dikenali sebagai Divisyen Satu.
Apabila Adams meletak jawatan sebagai pengurus pada bulan Oktober 2004, Craig Levein dilantik sebagai bos. Ini kemudiannya menjadi satu tempoh yang tidak berjaya dan selepas 15 bulan Levein dipecat. Pembantu pengurus Rob Kelly mengambil alih sebagai pengurus sementara dan selepas memenangi tiga daripada empat perlawanan, dia dilantik untuk keseluruhan musim. Kelly membawa Leicester ke tempat selamat dan pada bulan April 2006 dan dia diberi jawatan pengurus tetap.
Pada bulan Oktober 2006, bekas pengerusi Portsmouth, Milan Mandarić dikatakan berminat untuk membeli kelab ini dengan harga £6 juta dengan skuad semasa bernilai kira-kira £4.2 juta. Pengambilalihan ini diumumkan pada 13 Februari 2007.[20] Pada 11 April 2007, Rob Kelly dipecat sebagai pengurus dan Nigel Worthington dilantik sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim. Worthington menyelamatkan kelab ini daripada penyingkiran tetapi tidak ditawarkan untuk menjadi pengurus tetap. Pada 25 Mei 2007, kelab ini mengumumkan bekas pengurus MK Dons, Martin Allen sebagai pengurus baru mereka dengan kontrak tiga tahun. Hubungan Allen dengan Mandarić menjadi tegang dan hanya selepas empat perlawanan, Allen meninggalkan kelab ini dengan persetujuan bersama pada 29 Ogos 2007. Pada 13 September 2007, Mandarić mengumumkan Gary Megson sebagai pengurus baru kelab. Walau bagaimanapun, Megson meninggalkan kelab ini pada 24 Oktober 2007 selepas hanya enam minggu berperanan. Mandarić meletakkan Frank Burrows dan Gerry Taggart sebagai pengurus sementara sehingga pengurus baru dilantik.
Pada 22 November, Ian Holloway dilantik sebagai pengurus. Holloway mencipta sejarah dengan menjadi pengurus Leicester pertama dalam tempoh lebih 50 tahun untuk memenangi perlawanan liga pertama mereka selepas memegang jawatan itu, mengalahkan Bristol City 2–0.[21] Walau bagaimanapun, Leicester disingkirkan daripada Liga Championship pada akhir musim 2007–08 selepas seri 0–0 dengan Stoke City. Holloway kemudiannnya meninggalkan kelab ini dengan persetujuan bersama dan digantikan oleh Nigel Pearson. Kelab ini kembali ke Liga Championship dalam percubaan pertama dengan muncul juara League One selepas menang 2–0 ke atas Southend United. Musim 2009–2010 menyaksikan kebangkitan Leicester dibawah Pearson berterusan dengan kelab ini menduduki tempat ke-5 dalam liga dan layak ke perlawanan play-off Liga Championship. Walau bagaimanapun, mereka tewas menerusi penentuan penalti kepada Cardiff City dalam perlawanan separuh akhir play-off. Pada 29 Jun 2010, Nigel Pearson meninggalkan Leicester untuk menjadi pengurus Hull City. Pada 7 Julai 2010, Paulo Sousa disahkan sebagai pengganti Pearson.[22]
Pada bulan Ogos 2010, berikutan perjanjian penajaan jersi tiga tahun dengan King Power Group, Mandarić menjual kelab ini kepada konsortium Thailand, Asian Football Investments (AFI) diketuai oleh King Power Group, Vichai Raksriaksorn.[23] Mandarić, seorang pelabur dalam AFI,[24] dikekalkan sebagai pengerusi kelab.[25] Pada 1 Oktober 2010, selepas permulaan buruk menyaksikan Leicester berada di bawah liga Championship dengan hanya satu kemenangan daripada 9 perlawanan, Paulo Sousa dipecat daripada kelab ini.[26] Dua hari kemudian, Sven-Göran Eriksson dilantik sebagai pengurus dan menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab ini.[27] Pada 10 Februari 2011, Vichai Raksriaksorn sebagai sebahagian daripada konsortium Asia Football Investments, dilantik sebagai pengerusi baru selepas Mandarić meninggalkan kelab ini pada bulan November.[28]
Leicester dilihat sebagai salah satu kelab pilihan untuk mendapat promosi pada musim 2011–12, tetapi pada 24 Oktober 2011, selepas permulaan tidak konsisten dengan the Foxes hanya memenangi 5 daripada 13 perlawanan, Sven-Göran Eriksson meninggalkan kelab ini dengan persetujuan bersama.[29] Tiga minggu kemudian, pada 15 November 2011, Nigel Pearson disahkan akan kembali ke kelab ini sebagai pengganti Eriksson. Pearson kemudiannya membawa The Foxes ke tempat ke-6 pada musim 2012–2013, mengesahkan Leicester City dalam play off Championship selepas kemenangan 3–2 ke atas Nottingham Forest. Walau bagaimanapun, mereka tewas dalam perlawanan separuh akhir menerusi agregat 3–2 kepada Watford.[30]
Pada bulan April 2014, selepas kemenangan 2–1 ke atas Sheffield Wednesday termasuk dengan kekalahan Queens Park Rangers dan Derby County membolehkan Leicester City mendapat promosi ke Liga Perdana selepas 10 tahun.
Pada 22 April 2014, kemenangan 1–0 ke atas Bolton Wanderers FC di Stadium Reebok menyaksikan Leicester muncul juara Football League Championship 2013-14.
Dengan kenaikan Leicester ke divisyen teratas tersebut, mereka telah membawa masuk pemain Brighton & Hove Albion FC, Leonardo Ulloa dan pemain Inter Milan F.C., Esteban Cambiasso. Leicester mulakan liga dengan terikat seri 2-2 dengan Everton F.C.. Selepas itu pada bulan September 2014, Leicester mengejutkan gergasi England, Manchester United F.C. 5-3 selepas bangkit dari ketinggalan 3-1 dan menjaringkan 4 gol dalam berbaki 30 minit. Selepas itu, permainan Leicester mulai menurun hingga menyebabkan mereka berada di tangga tercorot dengan hanya 19 mata sahaja ketika perlawanan berbaki 8 yang tinggal dan dibezakan 7 mata dari zon selamat. Selepas tamat rehat antarabangsa, Leicester berjaya mencipta kebangkitan mengejutkan apabila memenangi 6 perlawanan daripada 8 perlawanan dan sekaligus mereka menamatkan liga di tangga ke-14 dengan 41 mata dan menjadi pasukan pertama yang paling terselamat dari penyingkiran. Namun begitu, Nigel Pearson telah dipecat selepas tiga tahun mengendalikan pasukan tersebut.
Pada 13 Julai 2015, bekas pengendali Chelsea F.C., Claudio Ranieri telah dilantik sebagai pengurus baharu. Perlawanan pertama kendalian bermula dengan langkah cemerlang apabila mereka menewaskan Sunderland F.C. 4-2. Pada 3 Disember 2015, penyerang mereka, Jamie Vardy menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United, memecahkan rekod Ruud Van Nistelrooy dengan 10 perlawanan. Pada 14 April 2016, kemenangan 2-0 menentang Sunderland, beserta kemenangan Tottenham Hotspur F.C. 3-0 keatas Manchester United menyaksikan Leicester layak ke Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama dalam sejarah kelab. Pada 3 Mei 2016, pencabar gelaran liga mereka, Tottenham terikat seri 2-2 dengan Chelsea F.C., menyaksikan Leicester menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak tempoh penubuhan kelab selama 132 tahun.
Nota: Bendera menunjukkan pasukan kebangsaan seperti yang ditakrifkan di bawah peraturan kelayakan FIFA. Pemain boleh memegang lebih daripada satu kewarganegaraan bukan FIFA.
|
|
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.