From Wikipedia, the free encyclopedia
Pada tahun 2008, suatu krisis ekonomi sedunia dikatakan terjadi melihat dari beberapa peristiwa hingga berlakunya kegawatan ekonomi di seluruh dunia. Ini merangkumi harga minyak tinggi yang menyebabkan harga makanan tinggi (akibat pergantungan penghasilan makanan pada petroleum, di samping menggunakan hasil tanaman makanan seperti etanol dan biodiesel sebagai alternatif kepada petroleum) dan inflasi sedunia; krisis kredit teruk yang mengakibatkan lingkupnya bank-bank pelaburan dan komersial yang besar dan ternama di merata dunia; pengangguran makin menjadi-jadi; dan kemungkinan kemelesetan sejagat.
Dekad 2000-an menyaksikan ledakan komoditi, iaitu harga komoditi utama melambung semula setelah melalui Kemelesetan Komoditi Besar 1980-2000. Namun pada tahun 2008, harga-harga kebanyakan komoditi, khususnya minyak dan makanan, melambung begitu tinggi sampai betul-betul menjejaskan ekonomi, membawa ancaman stagflasi dan pengunduran globalisasi.[1]
Pada bulan Januari 2008, harga minyak mencecah $100 setong buat julung kalinya dalam apa yang disifatkan antara peristiwa penting terawal yang berlaku sepanjang tahun ini.[2] Pada bulan Julai, harga minyak mencapai tahap $147 setong, namun selepas itu kembali menjunam.
Krisis makanan dan bahan api pernah dibincangkan di Sidang Kemuncak G8 ke-34 pada bulan Julai.[3]
Pada separuh kedua tahun 2008, harga kebanyakan komoditi menjunam atas jangkaan permintaan berkurangan dalam keadaan ekonomi dunia meleset.[4]
Pada pertengahan bulan Oktober 2008, Indeks Kering Baltik yang mengukur jumlah perkapalan, jatuh 50% dalam seminggu kerana krisis kredit menyukarkan para pengeksport memperoleh surat kredit.[5]
Pada bulan Februari 2008, Reuters melaporkan bahawa inflasi global mencapai tahap paling dahsyat dalam sejarah, lebih-lebih lagi inflasi domestik adalah pada paras tertinggi dalam masa 10-20 tahun bagi kebanyakan negara.[6] "Lebihan bekalan wang di seluruh dunia, pelonggaran kewangan oleh Rizab Persekutuan untuk membendung krisis kewangan, bertambahnya pembangunan yang didukung dasar kewangan longgar di Asia, spekulasi terhadap komoditi, kegagalan pertanian, peningkatan kos import dari China dan kenaikan permintaan makanan dan komoditi di pasaran memuncul yang pesat membangun" dijadikan kemungkinan penyebab inflasi.[7]
Pada pertengahan bulan 2008, data IMF menunjukkan bahawa inflasi adalah pada tahap tertinggi di negara pengeksport minyak, terutamanya akibat pertumbuhan rizab tukaran asing yang kekurangan pengendalian dasar kewangan yang boleh mengimbangi campur tangan tukaran asing sedemikian agar memastikan sasaran dasar kewangan negara itu tercapai. Bagaimanapun, inflasi juga menjadi-jadi di negara-negara yang dikelaskan oleh IMF sebagai "negara termundur bukan pengeksport minyak" dan "Asia Membangun", disebabkan kenaikan harga minyak dan makanan.[8]
Inflasi juga menjadi-jadi di negara-negara maju,[9][10] namun tidak seteruk yang dialami negara-negara membangun.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa menjangka bahawa sekurang-kurangnya 20 juta pekerjaan bakal hilang menjelang penghujung tahun 2009 akibat krisis - kebanyakannya dalam "sektor pembinaan, hartanah, perkhidmatan kewangan, dan kereta", sekaligus mengakibatkan pengangguran sedunii8iua melepasi tahap 200 juta buat julung kalinya.[11]
Pada bulan Mei 2008, KDNK Kanada dilaporkan susut 0.1% akibat kemerosotan industri perlombongan, minyak dan gasnya sebanyak 1.2% serta kejatuhan penghasilan kereta sebanyak 3.6%. Keluaran pembinaan di Kanada jatuh 0.4%, utiliti jatuh 1.3%, dan hasil pertanian pula menyusut 0.9%.[12] Pada suku pertama tahun 2008, ekonomi Canada merudum 0.3%, lalu Bank Kanada menyatakan bahawa pertumbuhan suku kedua mungkin kurang 0.8% dari jangkaan sebelum ini.[13] Kanada seterusnya mengkaji semula prestasi KDNK suku pertamanya yang menunjukkan penyusutan 0.8% dan menyatakan prestasi KDNK suku kedua meningkat 0.3% sahaja.[14]
Amerika Syarikat memasuki tahun 2008 ketika mengalami pembetulan pasaran perumahan, krisis gadai janji subprima dan kemerosotan nilai dolar.[15] Pada bulan Februari, 63,000 orang hilang pekerjaan dalam kejadian pengangguran terbesar sejak lima tahun.[16] Pada bulan September, 159,000 orang lagi hilang pekerjaan, maka purata hilang kerja bulanan dari Januari hingga September 2008 mencecah 84,000 orang sebulan.[17]
Perubahan kadar rizab persekutuan (Tahun terkini sahaja) | |||||
Tarikh | Kadar diskaun | Kadar diskaun | Kadar diskaun | Dana persekutuan | Kadar dana persekutuan |
---|---|---|---|---|---|
Primer | Sekunder | ||||
perubahan kadar | kadar faedah baru | kadar faedah baru | perubahan kadar | kadar faedah baru | |
Apr 30, 2008 | -.25% | 2.25% | 2.75% | -.25% | 2.00% |
Mar 18, 2008 | -.75% | 2.50% | 3.00% | -.75% | 2.25% |
Mar 16, 2008 | -.25% | 3.25% | 3.75% | ||
Jan 30, 2008 | -.50% | 3.50% | 4.00% | -.50% | 3.00% |
Jan 22, 2008 | -.75% | 4.00% | 4.50% | -.75% | 3.50% |
Rujuk carta terperinci kadar diskaun persekutuan Amerika Syarikat:
Pada awal tahun 2008, ramai pemerhati percaya bahawa kemelesetan sudah melanda Amerika Syarikat.[18][19][20] Sebagai kesan langsung keruntuhan syarikat kewangan Bear Stearns, Global Insight menaikkan kebarangkalian kemelesetan yang semakin teruk ke paras 40% (berbanding 25% sebelum syarikat itu jatuh). Lebih-lebih lagi, pergolakan pasaran kewangan menandakan krisis ini pastinya bukan ringan mahupun singkat.
Pada bulan Mac 2008, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan Alan Greenspan berkata bahawa krisis kewangan di AS mungkin dilihat sebagai yang paling teruk semenjak berakhirnya Perang Dunia II.[21]
Menurut perangkaan yang dikeluarkan Biro Analisa Ekonomi pada bulan Mei 2008, pertumbuhan KDNK dua suku tahun sebelumnya adalah positif. Memandangkan salah satu petanda kemelesetan yang ketara ialah pertumbuhan ekonomi negatif selama sekurang-kurangnya dua suku fiskal, sesetengah penganalisa percaya ini menandakan ekonomi AS belum dilanda kegawatan ketika itu.[22] Namun, jangkaan ini diragui beberapa penganalisa yang mendakwa sekiranya inflasi diambil kira, maka pertumbuhan KDNK menjadi negatif selama dua suku itu, maka jadinya kemelesetan teknikal.[23] Dalam satu laporan keluaran 9 Mei 2008, ketua ahli ekonomi Amerika Utara untuk bank pembangunan Merrill Lynch menulis, walaupun dilaporkan pertumbuhan KDNK untuk suku pertama 2008, namun "masih boleh dipercayai bahawa kemelesetan sudah melanda antara bulan September dan Januari", atas sebab keempat-empat petunjuk kemelesetan Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan memuncak dalam jangka masa tersebut.[24]
Pengarah belanjawan negeri New York membuat kesimpulan bahawa negerinya secara rasminya sudah dilanda kemelesetan. Gabenor David Paterson menyeru sesi ekonomi kecemasan perundangan negeri diadakan pada 19 Ogos untuk menggesa potongan bajet $600 juta di samping pembekuan penyewaan dan penurunan perbelanjaan agensi negeri sebanyak 7% yang sudah dilaksanakan Gabenor.[25] Satu laporan yang dikeluarkan ahli-ahli ekonomi firma Wachovia pada 1 Ogos berkata, negeri Florida secara rasminya dilanda kemelesetan.[26]
Pengarah belanjawan Rumah Putih Jim Nussle berkata AS mengelak kemelesetan berikutan perangkaan KDNK yang dikaji semula oleh Jabatan Perdagangan menunjukkan penyusutan 0.2% dalam suku keempat tahun 2007 berbanding kenaikan 0.6%, dan pembetulan ke 0.9% dari 1% pada suku pertama 2008. KDNK suku kedua pula berada pada paras 1.9% di bawah jangkaan 2% sebelum ini.[27] Martin Feldstein yang mengetuai Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan sehingga bulan Jun dan bertugas di panel pentarikhan kemelesetan, berkata beliau percaya AS sudah agak lama mengalami kemelesetan dan Rizab Persekutuan tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan.[28]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.