Karburetor adalah sejenis alat yang digunakan bagi mencampurkan bahan apipetrol dengan udara dengan kadar yang betul bagi kegunaan enjin pembakaran dalaman. Ia pernah digunakan secara meluas pada kereta sehingga dekad 1990-an apabila ia digantikan dengan sistem suntikan bahan api yang lebih cekap. Kini, hampir kesemua kereta model terkini serta kebanyakan model motosikal besar menggunakan suntikan bahan api manakala karburetor kini hanya digunakan pada enjin-enjin kecil seperti pemotong rumput serta pada motosikal kecil.
Perkatan "karburetor" berasal daripada perkataan Perancis iaitu carbure yang bermaksud 'karbida' ataupun 'menggabungkan dengan karbon'.
Karburetor berfungsi menggunakan Prinsip Bernoulli iaitu bergantung kepada tekanan udara rendah dalam karburetor hasil daripada kelajuan luruan udara ke rongga masukan enjin untuk menarik bahan api untuk dicampurkan bersama-sama udara. Lebih laju luruan udara masuk, lebih rendah tekanan udara di dalam karburetor serta lebih banyak bahan api dapat ditarik untuk dicampurkan dengan udara, dan seterusnya kelajuan enjin akan bertambah hasil penambahan campuran udara-bahan api.
Kebanyakan enjin kereta berkarburetor hanya menggunakan satu sahaja karburetor tetapi motosikal serta kereta lumba pula menggunakan berbilang karburetor mengikut bilangan silinder. Namun begitu, di dalam sistem suntikan bahan api pula, kebanyakan kenderaan mempunyai berbilang pemancit bahan api mengikut bilangan silinder.
Venturi tetap - mempunyai saiz venturi yang tetap serta bergantung kepada kelajuan luruan udara bagi menarik bahan api ke venturi untuk dicampurkan dengan udara.
Venturi boleh laras - juga dikenali sebagai karburetor kelajuan malar (constant velocity) ataupun karburetor injap gelungsur, karburetor jenis ini mempunyai satu injap gelungsur dengan jarum yang mengawal kedua-dua bukaan venturi dan jet utama. Di dalam karburetor jenis ini, bukaan venturi dilaraskan bagi mengawal kelajuan udara pada bahagian venturi sahaja.
Sebuah karburetor asas terdiri daripada beberapa bahagian berikut:-
Takungan bahan api - menerima bahan api dari tangki minyak
Venturi - bahagian aliran udara paling sempit bertujuan meningkatkan kelajuan luruan udara bagi menghasilkan tekanan udara paling rendah pada bahagian berkenaan bagi menarik bahan api keluar melalui jet utama. Biasanya saiz venturi adalah tetap, tetapi kerburetor injap gelungsur pula mempunyai satu injap gelungsur boleh laras yang mengawal saiz venturi.
Jet utama - laluan keluar utama bahan api ke venturi; alirannya dikawal oleh tekanan rendah pada venturi, tetapi pada sesetengah karburetor terutamanya jenis injap gelungsur pula jarum pada injap gelungsur turut mengawal bukaan jet utama.
Jet melahu - saluran sempit bagi menyalurkan udara dan bahan api semasa kelajuan melahu iaitu semasa injap pendikit tertutup.
Injap pendikit - terletak di bahagian hujung saluran udara karburetor, injap pendikit mengawal bukaan saluran udara selepas venturi bagi mengawal aliran campuran udara-bahan api ke enjin; dengan itu injap pendikit turut mengawal kelajuan enjin secara langsung. Injap pendikit disambungkan ke injak pendikit ataupun genggam pendikit bagi membolehkan pemandu kereta atau penunggang motosikal mengawal kelajuan enjin. Biasanya injap pendikit terdiri daripada injap rerama tetapi dalam sesetengah karburetor injap gelungsur, injap gelungsur itu sendiri turut bertindak sebagai injap pendikit.
Injap pencekik - terletak di bahagian pangkal saluran udara karburetor sebelum venturi, injap pencekik menyekat aliran udara bagi menghasilkan campuran udara-bahan api yang lebih kaya agar enjin lebih mudah dihidupkan semasa sejuk. Injap pencekik dikawal sama ada menggunakan tombol pencekik secara manual ataupun dengan menggunakan mekanisme automatik. Sesetengah karburetor tidak mempunyai pencekik tetapi menggunakan udara yang dipanaskan oleh saluran ekzos untuk memudahkan enjin dihidupkan semasa sejuk.
Biasanya, pengendalian karburetor terdiri daripada empat keadaan utama:-
Kelajuan melahu - Injap pendikit tertutup sepenuhnya, tetapi mempunyai sedikit bukaan udara bagi membolehkan sedikit udara melaluinya. Petrol mengalir di dalam karburetor melalui jet melahu. Kuantiti campuran udara-bahan api yang sedikit ini menyebabkan enjin hanya berputar pada kelajuan melahu (sekitar 850 rpm bagi kereta dan sekitar 1,400 rpm bagi motosikal).
Kelajuan rendah - injap pendikit terbuka sedikit, membolehkan udara berkelajuan rendah melalui venturi dan seterusnya menarik sedikit bahan api melalui jet utama ke venturi. Sementara itu, bahan api turut mengalir melalui jet melahu kerana kelajuan luruan bahan api melalui jet utama masih lagi rendah.
Kelajuan tinggi - injap pendikit terbuka besar, ataupun hampir terbuka sepenuhnya semasa menghampiri kelajuan maksimum. Bukaan injap pendikit yang besar membolehkan udara meluru masuk dengan laju dan banyak, merendahkan lagi tekanan udara pada venturi dan seterusnya menarik lebih banyak bahan api melalui jet utama. Kali ini, bahan api tidak lagi melalui jet melahu kerana lebih cenderung melalui jer utama di mana tekanan udara lebih rendah.
Semasa tombol pencekik ditarik - injap pendikit menyekat aliran udara masuk udara ke karburetor sehingga udara masuk ke karburetor kurang daripada semasa kelajuan melahu, menyebabkan campuran udara-bahan api yang kaya terhasil bagi memudahkan enjin dihidupkan semasa sejuk.
Lazimnya, nisbah campuran udara-bahan api petrol yang dipanggil sebagai nisbah stoikiometrik ialah 14.7:1, iaitu 14.7 unit berat udara dicampurkan pada setiap unit berat bahan api. Nisbah campuran yang lebih tinggi daripada nisbah stoikiometrik menghasilkan campuran nipis manakala nisbah campuran yang lebih rendah daripada nisbah stoikiometrik pula menghasilkan campuran kaya. Campuran yang terlalu kaya akan mengotorkan palam pencucuh dan kebuk pembakaran serta menyebabkan penggunaan bahan api yang tinggi manakala campuran yang terlalu nipis pula sukar dihidupkan semasa sejuk serta lebih banyak menghasilkan gas nitrogen oksida yang mencemarkan udara. Namun demikian, enjin kereta moden kini direka bagi membolehkan campuran udara-bahan api yang lebih nipis digunakan untuk penjimatan bahan api yang lebih baik.
Biasanya, karburetor dilaras melalui dua skru pelaras iaitu skru pelaras injap pendikit yang mengawal bukaan injap pendikit semasa kelajuan melahu, serta skru pelaras melahu yang mengawal aliran petrol semasa kelajuan melahu. Pelarasan karburetor yang baik akan membolehkan enjin mudah dihidupkan semasa sejuk serta menjimatkan bahan api dalam masa yang sama.