Hattusa, juga Hattuşa, Ḫattuša, Hattusas, atau Hattusha, merupakan ibu kota Empayar Het pada dua tempoh yang berbeza dan wujud pada akhir Zaman Gangsa. Runtuhannya terletak berhampiran Boğazkale moden, Turki, (asalnya Boğazköy) berhampiran Sungai Kızılırmak (Het: Marashantiya; Yunani: Halys).
𒌷𒄩𒀜𒌅𒊭 Ḫattuša (Bahasa Het) Hattuşaş (Bahasa Turki) | |
Lokasi | Berhampiran Boğazkale, Wilayah Çorum, Turki |
---|---|
Wilayah | Anatolia |
Koordinat | 40°01′11″N 34°36′55″E |
Jenis | Penempatan |
Sejarah | |
Diasaskan | Alaf ke-6 SM |
Ditinggalkan | s. 1200 SM |
Zaman | Zaman Gangsa |
Budaya | Het |
Perincian tapak | |
Keadaan | Runtuhan |
Charles Texier mengemukakan perhatian kepada runtuhan-runtuhannya selepas lawatan beliau pada tahun 1834. Sepanjang abad berikutnya, terdapat penerokaan sekali-sekala yang melibatkan pelbagai ahli arkeologi. Pada abad ke-20, Persatuan Oriental Jerman dan Institut Arkeologi Jerman menjalankan penggalian sistematik, yang berterusan hingga ke hari ini.[1] Hattusa telah ditambahkan ke senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1986.
Tanda terawal orang tinggal di tapak itu adalah dari alaf ke-6 SM semasa zaman Kalkolitik. Pada hujung alaf ke-3 SM, orang Hatti mendirikan sebuah penempatan di lokasi-lokasi yang dahulunya pernah diduduki dan menamakan tapak itu Hattusy.[2] Pada abad ke-19 dan ke-18 SM, pedagang-pedagang dari Assyria, yang berpusat di Kanesy (Neša) (Kültepe moden) mendirikan sebuah pos perdagangan di sana, dengan kawasan mereka sendiri di hilir kota.[3]
Lapisan terbakar yang ditemui semasa penggalian menunjukkan bahawa kota Hattusa telah musnah dibakar sekitar 1700 SM. Orang yang bertanggungjawab nampaknya ialah Raja Anitta dari Kussara, kerana baginda dengan bangganya mengaku bertanggungjawab dan juga menulis sumpahan mengenainya:
"Barang siapa selepas beta yang menjadi raja dan membina semula kota Hattusas, semoga Dewa Ribut dari Langit memanahnya!"[4]
namun kota itu dibina semula selepas itu, mungkin oleh salah seorang putera Anitta.[5][6]
Pada separuh pertama 1650 SM, Raja Labarna dari Het memindahkan ibu kota dari Neša ke Hattusa dan menukar nama baginda kepada Hattusili, "orang/lelaki dari Hattusa".[7][8] Selepas orang Kaska datang dari utara, kota itu dua kali diserang mereka dan di bawah raja Tudhaliya I, orang Het memindahkan ibu kota ke utara ke Sapinuwa. Di bawah Muwatalli II, mereka berpindah ke selatan ke Tarhuntasya tetapi baginda menugaskan adindanya, Hattusili III sebagai gabenor Hattusa.[9] Pada pertengahan abad ke-13 SM, Mursili III dari Het mengembalikan ibu kota ke Hattusa, di mana ia kekal sehingga akhir kejatuhan kerajaan Het pada abad ke-12 SM (KBo 21.15 i 11–12).[10]
Pada kemuncaknya, Hattusa meliputi 1.8 km2 (440 ekar) dan terdiri daripada bahagian dalam dan luar, kedua-duanya dikelilingi oleh tembok besar yang didirikan semasa pemerintahan Suppiluliuma I (s. 1344 –1322 SM), yang masih kelihatan pada hari ini. Bahagian dalam kota meliputi kawasan seluas 0.8 km2 (200 ekar) dan mempunyai sebuah kubu dengan bangunan pentadbiran yang besar serta kuil. Kediaman diraja, atau akropolis, dibina di atas rabung yang kini dikenali sebagai Büyükkale (Kubu Besar).[11] Kota itu dilengkapi dengan tembok yang lebih daripada 6 km (3.7 bt) panjangnya, dengan lapisan dalam dan luarnya sekitar 3 m tebal dan terdapat 2 m ruang antara mereka, menjadikan jumlah ketebalan 8 m.[12]
Di selatan terletak bahagian luar kota yang keluasan kira-kira 1 km2 (250 ekar), dengan gerbang masuk yang dihiasi ukiran pahlawan, singa dan sfinks. Empat kuil terletak di sini, setiap satu terletak di sekeliling satu laman dengan serambi anjung, bersama-sama bangunan untuk bukan tujuan keagamaan dan kediaman. Di luar tembok terdapat tanah perkuburan, kebanyakannya menempatkan abu pembakaran mayat. Populasi kota itu dianggarkan berada di antara 40,000 dan 50,000 pada puncaknya; pada awalnya, kota itu menempatkan satu pertiga daripada jumlah tadi. Rumah-rumah kediaman yang dibina dengan kayu dan batu bata lumpur sudah tiada di tapak, meninggalkan hanya dinding-dinding batu kuil dan istana.
Hattusa musnah, diiringi seluruh negeri Het, sekitar 1200 SM, pada zaman keruntuhan Zaman Gangsa. Penggalian menunjukkan bahawa Hattusa ditinggalkan beransur-ansur dalam masa beberapa dekad dan empayar Het hancur.[13] Ada yang mencadangkan bahawa seluruh rantau mengalami kemarau pada masa itu.[14] Namun, kota itu diperhati mempunyai tanda-tanda kemusnahan dek dibakar.[15] Tapak ini kemudiannya ditinggalkan sehinggalah 800 SM, apabila penempatan Frigia didirikan di kawasan itu.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.