Getah

From Wikipedia, the free encyclopedia

Getah

Getah (sap) ialah apa-apa jenis cecair yang dihasilkan daripada batang pokok apa-apa spesies tumbuhan;[1] batang tersebut mempunyai sel-sel xilem (unsur-unsur vesel atau trakeid) atau unsur-unsur tabung ayunan floem yang mengangkut air dan nutrien ke seluruh bahagian tumbuhan tersebut. Ia tidak sama dengan resin yang dihasilkan secara berasingan, dan mempunyai komponen dan fungsi yang berlainan.[2]

Thumb
Titisan-titisan getah pada pucuk pokok Sansevieria trifasciata.

Perkataan getah dalam bahasa Melayu juga dipakai kepada bahan yang dihasilkan daripada kepingan atau gumpalan getah rembesan batang spesies tumbuhan tertentu (latex)[1] untuk banyak industri; terutamanya pokok spesies Hevea brasiliensis.

Penghasilan

Getah dihasilkan oleh 20,000 spesies tumbuhan berbunga dikotiledon dan monokotiledon daripada lebih 40 keluarga termasuk 14 peratus spesies tumbuhan tropika, serta enam peratus spesies tumbuhan beriklim sederhana.[3] Beberapa ahli dalam alam kulat juga menghasilkan lateks apabila tercedera, seperti Lactarius deliciosus.[4] Kulat dan tumbuhan boleh mengeluarkan getah hasil evolusi keseirasan menyesuaikan kepada pelbagai jenis persekitaran secara berasingan.[5] dan dalam beberapa cendawan (terutamanya spesies Lactarius). Spesies-spesies tumbuhan dan kulat menghasilkan getah daripada dua sistem sel-sel dalam dua cara yang berbeza.

Latisifer terartikulat

Dalam banyak tumbuhan, getah dihasilkan sebaris sel yang terletak dalam meristem batang atau akar. Dinding di antara sel-sel ini bercantum membentuk tiub berterusan yang dipanggil salur getah (latex vessel). Oleh kerana salur-salur ini terdiri daripada banyak sel, ia dikenali sebagai latisifer terartikulat. Kaedah pembentukan ini ditemui dalam tumbuhan keluarga Papaveraceae (termasuk popi) dan pokok Hevea brasiliensis (dalam keluarga Euphorbiaceae), keluarga Moraceae seperti spesies Castilla elastica), dan spesies-spesies dalam keluarga Asteraceae. Sebagai contoh, Parthenium argentatum ialah tumbuhan guayule yang berada dalam tribus Heliantheae; Asteraceae penghasil getah yang lain dengan latisifer terartikulat adalah termasuk ahli Cichorieae, sebuah klad yang ahlinya menghasilkan getah, beberapa daripadanya dalam jumlah yang menarik secara komersial. Ini termasuk Taraxacum kok-saghyz, spesies yang ditanam untuk pengeluaran lateks.[6]

Latisifer tidak terartikulat

Sebaliknya, dalam tumbuhan keluarga Asclepiadaceae dan Euphorbiaceae, sistem latisifer terbentuk dengan cara yang berbeza. Pada peringkat awal perkembangan anak benih, sel-sel penghasil getah membeza, dan apabila tumbuhannya tumbuh, sel-sel lateks ini tumbuh menjadi sistem bercabang yang menjangkau seluruh tumbuhan. Dalam banyak tumbuhan dalam keluarga Euphorbiaceae, keseluruhan struktur terbentuk daripada satu sel tunggal – jenis sistem ini dikenali sebagai latisifer tidak terartikulat yang dibezakannya daripada struktur berbilang sel yang diterangkan di atas. Dalam tumbuhannya yang matang, keseluruhan sistem latisifer berasal daripada satu sel tunggal atau sekumpulan sel yang terdapat dalam embrio.

Sistem latisifer terdapat di dalam semua bahagian tumbuhan matang, termasuk akar, batang, daun, dan kadangkala buah. Ia sangat banyak dalam tisu korteks. Lateks biasanya keluar sebagai cecair putih, tetapi dalam beberapa kes ia terdapat dalam warna jernih, kuning atau merah, seperti dalam keluarga Cannabaceae.[5]

Tujuan

Getah dikeluarkan tumbuhan dan kulat untuk melindungi diri daripada herbivor dan fungivor. Idea ini pertama kali dicadangkan pada tahun 1887 oleh Joseph F. James, yang menyatakan bahawa getah dari tumbuhan Asclepias syriaca:

Maka padanya itu membawa serta pada ketika yang sama sifat-sifat yang kurang menyenangkan, sehingga menjadi ia suatu perlindungan yang terlebih baik bagi tumbuhan ini berbanding segala duri, miang, atau bulu yang dapat diadakan. Bermula pada tumbuhan ini, terlampau banyak lagi amat tidak enaklah getahnya itu, sehingga ia memperbuat suatu pekerjaan yang teramat berguna dalam hal ehwal kehidupannya.[7]

Bukti yang menunjukkan fungsi pertahanan ini termasuk penemuan bahawa lintah bulan akan memakan daun yang lateksnya telah dikeluarkan tetapi bukan daun yang masih utuh, bahawa banyak serangga memutuskan urat yang membawa lateks sebelum mereka memakan daun tersebut, dan bahawa getah spesies Asclepias humistrata memerangkap 30% beluncas kupu-kupu raja yang baru menetas.[5] Ini juga telah ditemui pada kulat, dengan lebih sedikit bilangan artropoda yang menyerang Lactarius penghasil lateks berbanding Russula yang tidak menghasilkan lateks. Dalam eksperimen pemakanan menggunakan Lactarius, lintah bulan Ambigolimax valentianus mengelak daripada memakan cendawan yang mengeluarkan getah.[8]

Bukti lain ialah getah mengandungi kepekatan bahan pertahanan 50 hingga 1000 kali lebih tinggi daripada tisu tumbuhan lain. Toksin ini termasuk yang juga toksik kepada tumbuhan dan terdiri daripada pelbagai jenis bahan kimia yang sama ada beracun atau antinutritif.

Getah dengan aktifnya dipindahkan ke kawasan yang cedera bagi tumbuhan atau kulat; dalam kes Cryptostegia grandiflora, lateks yang lebih daripada 70 cm dari tapak kecederaan dikerahkan.[5] Tekanan hidrostatik yang besar dalam pokok menjalar ini membolehkan kadar aliran lateks yang sangat tinggi. Dalam laporan tahun 1935, ahli botani Catherine M. Bangham memerhatikan bahawa ia "menembusi tangkai buah Cryptostegia grandiflora menghasilkan pancutan lateks lebih dari satu meter panjang, dan mengekalkan pancutan ini selama beberapa saat."[9]

Sifat pembekuan lateks berfungsi dalam pertahanan ini kerana ia menghadkan pembaziran dan kelekatannya memerangkap serangga dan bahagian mulutnya.[5]

Walaupun terdapat penjelasan lain untuk kewujudan lateks adalah termasuk penyimpanan dan pergerakan nutrien tumbuhan, sisa, dan pemeliharaan keseimbangan air, "pada dasarnya tiada satu pun fungsi ini yang dipercayai dan tiada satu pun yang mempunyai sokongan empirik".[5]

Lihat juga

Rujukan

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.